Kepulauan Spratly: Rebutan Malaysia, China dan negara ASEAN lain

Negara kita sangat beruntung kerana dikelilingi kawasan laut yang cantik dan luas. Kewujudan kawasan laut ni dah menyebabkan bertambah lagilah sumber ekonomi dan juga pertumbuhan aktiviti ekonomi. Macam yang kita tahu, Selat Melaka adalah antara laluan perdagangan tersibuk dunia dengan 20,000 kapal tangki minyak mentah melalui selat ini setiap tahun. Itu belum lagi, lanun-lanun buat projek tepi dengan merompak kapal-kapal. Memang betul-betul sibuk!

Klik gambar untuk baca artikel

Antara Semenanjung dan Timur Malaysia pula dah dipisahkan dengan Laut Cina Selatan. Seluas mata memandang dengan 3.5 juta km persegi.  Sedar atau tak sedar, ianya sebuah lautan yang penuh konflik. Menteri Pertahanan, Mat Sabu pun ada sebut yang negara kita akan mengelak dari terlibat dengan sebarang konflik di kawasan ini. Untuk isu tuntutan bertindih di laut ini yang melibatkan Malaysia, Kementerian Luar akan uruskan di meja rundingan.

Rupanya ada kawasan bertindih? Maka, kami dari SOSCILI akan kongsikan salah satu isu kawasan bertindih di kawasan Kepulauan Spratly yang melibatkan negara kita.

(Selain link yang ada, artikel ini banyak merujuk laporan bertajuk Tuntutan Kepulauan Spratly tulisan Carlson Chew Yee Herng)

Tuntutan berdasarkan sejarah negara China tapi negara lain juga ada hak

Sebelum ini, kami ada tulis pasal Pulau Natuna di Laut Cina Selatan milik Indonesia. Apa yang menarik, penduduk sana bercakap dialek Terengganu. Di situ masih berlaku perebutan antara China dan Indonesia atas faktor tertentu (klik sini untuk baca cerita penuh). Ini berbeza dengan Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan lebih banyak negara melibatkan China, Taiwan, Vietnam, Filipina, Brunei dan juga MALAYSIA. Sampai enam negara ya berebut, apa yang menarik sangat tu?

Kepulauan Spratly bukanlah satu pulau sahaja, dalam kawasan itu ada pulau-pulau, bank-bank, terumbu, beting dan cays berjumlah kira-kira 230. Nama kepulauan ini adalah berdasarkan nama Kapten penangkapan ikan paus British, Richard Spratly yang terjumpa kepulauan ini pada tahun 1843.

Pemburu ikan paus macam atlet lompat bergalah. Imej dari Twocountriesonecistern.

Dari kesemua enam negara yang berebut, China ada bukti hubungan sejarah yang lama dengan kepulauan ini. Dilaporkan pada zaman Dinasti Han Barat, nelayan-nelayan Cina pernah guna pulau ini sebagai transit. Pada zaman Dinasti Ming (abad ke-15) pula ada menghantar beberapa ekspedisi ke pulau itu di bawah Laksamana Cheng Ho. Ada juga rekod tentang kepulauan ini hingga abad ketujuh belas.

Sejak 1945, garis berbentuk U atau Nine Dash Line dilakar dalam semua peta rasmi negara China. Kalau tengok pada garisa, kepulaun Spratly jelas terletak dalam garisan itu. Tapi, masyarakat antarabangsa tak pernah mengiktiraf garisan ini dan tak ada makna dalam undang-undang antarabangsa.

Fuh! Selamba je dia. Imej dari RFA.

Perebutan mula berlaku apabila PBB melalui United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) mula menetapkan Zon Ekonomi Eksklusif.

Malaysia mula libatkan diri dalam perebutan walaupun tiada pengasasan sejarah

Walaupun Malaysia tiada tak ada pengasasan sejarah untuk tuntutan, atas dorongan Vietnam dan Filipina, Malaysia mula buat tuntutan pada tahun 1978. Tuntutan ini adalah berdasarkan kepada konsep Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan prinsip Lanjutan Pelantar Benua (Continental Shelf Extension).

EEZ yang ditetapkan oleh UNCLOS memberikan sesebuah negara untuk ada hak-hak khas bagi penerokaan dan penggunaan sumber marin termasuk pengeluaran tenaga daripada air dan angin di kawasan pesisir pantai dan dasar laut. Kawasan laut EEZ dikira 200 batu nautika dari pantai sesebuah negara (air surut di pantai). Manakala, Lanjutan Pelantar Benua pula adalah kawasan tanah dasar laut yang ada dalam jarak 200 batu nautika dari pantai negara yang selalu diguna untuk perlombongan minyak.

Kalau tak faham, dah ada orang lukiskan ni. Imej dari Tunnel2funnel.

Oleh kerana EEZ dan Lanjutan Pelantar Benua inilah, maka negara-negara yang semestinya berdekatan Laut Cina Selatan dah menetapkan kawasan EEZ masing-masing yang bertembung dengan Nine Dash Line yang dilakar China.

Malaysia masih lagi menggunakan nama Laut Cina Selatan walaupun sudah ada EEZ sendiri. Sebaliknya, tiga negara jiran kita sudah menamakan semula nama lautan yang berada dalam EEZ masing-masing.

“…Vietnam yang menggunakan nama Laut Vietnam Timur, Filipina (Laut Filipina Barat) dan terkini Indonesia yang memperkenalkan nama Laut Utara Natuna bagi menggantikan nama Laut China Selatan di Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) masing-masing.”- Abdul Muein Abadi, petikan dari Sinar Harian.

Dari EEZ ini jugalah, ada 12 terumbu kepulauan kecil di bahagian selatan-timur Spratly yang dimahukan oleh Malaysia. Ianya adalah Terumbu Commodore, Amboyna Cay, Terumbu Layang-Layang, Southwest Shoal , Ardasier Breakers, Gloucester Breakers, Terumbu Mantanani, Terumbu Barque Kanada,Terumbu Lizzie Weber, Timur Laut Shoal , Glasgow Shoal dan North Viper Shoal. 

Pasukan Khas Laut (PASKAL) ditempatkan di pulau yang menjadi rebutan

Perebutan dengan negara kuasa besar China semestinya berlaku. Tapi kita mulakan dulu dengan Amboyna Cay yang merupakan perebutan dengan Vietnam. Pada tahun 1980, rundingan dah diadakan, tapi ianya gagal.

Dr. Mahathir pernah mencadangkan kepada PM ketika itu, Tun Hussein Onn supaya kerajaan menuntut pulau itu sebab ia lebih hampir dengan Malaysia. Tapi cadangan itu ditolak oleh Tun Hussein kerana bimbang perang Malaysia-Vietnam bakal meletus. Pulau itu akhirnya diduduki oleh Vietnam sehingga kini.

Rupa Amboyna Cay yang terkini. Imej dari AMTI.

Antara tahun 1981 hingga 1982, Malaysia mula merancang untuk meletakkan tentera di Pulau/Terumbu Layang-Layang yang menjadi tuntutan negara-negara lain. Sewaktu menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir terus mengatur langkah agresif untuk menduduki pulau itu. Pada tahun 1983, latihan tentera dah diadakan oleh Malaysia, Australia, New Zealand, Britian & Singapura (Perjanjian Lima-Kuasa Pertahanan) di Laut China Selatan. Dari latihan itu, tentera laut Malaysia berjaya mendarat di pulau itu.

“Setelah mengharungi begitu banyak pengorbanan – termasuklah peperangan ‘senyap’ dengan beberapa negara jiran – Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM akhirnya ditempatkan di sana pada Mei 1983 dengan kemudahan Stesen Lima.“- Abdul Muein Abadi, petikan dari FB-nya.

Tiga tahun kemudian, Malaysia bertapak lagi di dua lagi terumbu. Seterusnya, pada tahun 1999, Malaysia membina struktur di Erica Reef dan Investigator Shoal yang direbut dengan Filipina. Masuk tahun 2005, enam dari 12 pulau yang dituntut sudah diduduki Malaysia.
Berwarna-warni nampaknya. Imej dari Wikipedia.

Konflik bersenjata antara negara penuntut dan China termasuk Malaysia

Penandaan kawasan EEZ yang tak berapa jelas ini menyebabkan pertikaian terus berlaku dalam kalangan negara penuntut. Macam tu jugalah kawasan perikanan seluruh kawasan ini. Lagi pun, satu per sepuluh stok ikan dunia, ada di Laut Cina Selatan. Pernah ada laporan mengenai nelayan-nelayan Vietnam mati dan cedera parah ditembak oleh kapal China. Ada juga konflik sembilan nelayan China dah ditangkap dan dipenjarakan selama setahun kerana pemburuan haram penyu besar.

China pun ada sikap agresif dan tegas untuk bertapak dalam kawasan kepulauan Spratly. Pada Februari 1988 lagi, China dah menduduki pulau pertama iaitu Fiery Cross. Selepas sebulan pendudukan, tentera laut Cina dan Vietnam terjebak ke dalam konflik bersenjata berhampiran pulau itu. Konflik tadi membawa kepada kawalan China ke atas Terumbu Suni, Terumbu Cauteron, Nan Jiao Xun , Prince of Wales Bank, Terumbu Lansdowne dan Pulau Kennan.

China juga dah membina benteng-benteng kekal di beberapa terumbu yang diduduki. Apa yang menggemparkan dunia, apabila Terumbu Fiery Cross dah diubah menjadi pulau buatan yang lengkap dengan bekalan asas, helipad dan stesen pemerhati. Dan ada 6 lagi terumbu yang diubah menjadi pulau buatan.

Pertindihan kawasan dengan kuasa besar China ini juga dah memberi kebimbangan kepada Malaysia. Sebab lain kenapa Malaysia ada buat tuntutan dalam kepulauan Spratly ni adalah kerana talian komunikasi antara Timur dan Semenanjung Malaysia. Dilaporkan adalah tak mustahil Malaysia menduduki Pulau/Terumbu Layang-Layang pada Jun 1983 untuk halang China daripada berkongsi pulau itu.
Sebulan sebelum menduduki pulau itu, ada laporan mengatakan yang dua kapal China belayar kat kawasan itu kira-kira 20 batu nautika dari utara Sarawak. Pada Mei 1992, Sultan Azlan Shah dah melawat Pulau/Terumbu Layang-Layang. Lawatan diraja ini menunjukkan Malaysia akan mempertahankan kedaulatannya di Kepulauan Spratly. Salah satu terumbu yang menjadi konflik adalah James Shoal. Ianya dah dilakar oleh Malaysia sebagai kawasan pelantar benua negara yang juga menjadi tuntutan China.
Imej dari The Borneo Post.
 Pada Mac 2013, 4 kapal perang China ada anjurkan satu latihan di kawasan laut berhampiran James Shoal. Malaysia membantah secara rasmi kepada China. Beberapa bulan kemudian, Malaysia umumkan penubuhan satu pasukan laut serta dibina satu pangkalan di Bintulu dekat dengan kawasan James Shoal. Tapi pada Februari 2014, 3 lagi kapal perang China datang untuk menjalankan latihan dikawasan itu. Waktu ni Malaysia mengenepikan kejadian itu walaupun meragukan.

Sikap Malaysia terhadap negara lain yang juga bertindih kawasan

Malaysia sentiasa mengamalkan sikap serampang dua mata dalam hal pertindihan kawasan di Kepulauan Spratly. Kadang-kadang sokong negara ASEAN dan kadang kala berunding dengan China. Contohnya, dalam pertikaian Terumbu Mischief antara Filipina dan China pada tahun 1995, Malaysia menyokong ASEAN yang bimbang dengan perluasan China. Menteri Luar ketika itu, Tun Abdullah Badawi bersetuju yang rundingan antara negara penuntut perlu ada pihak ketiga untuk elak ketegangan.

Klik gambar untuk baca artikel.

Pada Ogos 1995, Forum Serantau ASEAN dah meluluskan yang pihak ketiga tak diperlukan dalam pertikaian Kepulauan Spratly. Proses penyelesaian hanya perlu melibatkan negara-negara yang menuntut sahaja. Pada 27 Oktober 1995, China dan Malaysia dah menanda tangani perjanjian untuk menolak sebarang campur tangan luar atau orang tengah dalam pertikaian pulau ini.

Pada tahun 1999, nampaknya sikap Malaysia terhadap negara ASEAN mengenai isu ini berubah. Kalau dulu sokong Filipina terus dalam isu Terumbu Mischief, kali ini Malaysia melalui Syed Hamid Albar (Menteri Luar) menolak permintaan Filipina agar isunya dengan China dibincangkan dalam Forum Serantau ASEAN. Alasannya, isu dua hala perlu perbincangan dua hala sahaja. Hubungan dua hala Malaysia dan China dalam isu ni diperkuatkan lagi pada Mei 1999 apabila lawatan Syed Hamid ke Beijing sempena sambutan hubungan dua negara itu yang ke-25.
Mahathir yang merupakan PM ketika itu mengulangi hasrat untuk selesaikan pertikaian laut secara dua hala. Sebab itu Malaysia mengikuti China mengutuk Amerika Syarikat yang berminat dalam perkembangan Spratly. Selepas kejadian kapal perang China berlatih berdekatan James Shoal macam kami ceritakan sebelum ni, Malaysia mula berdialog dengan Filipina dan Vietnam dalam isu pertikaian di Laut China Selatan.
Malaysia dan China bak atu keluarga. Gaduh-gaduh tu biasa. Imej dari The Star.
 Sikap dengan China pun berubah-ubah mengikut keadaan. Contohnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim pernah buat sidang akhbar pada Jun 2015 yang mengumumkan pencerobohan kapal asing China di South Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali). Pada November 2015 pula, Malaysia membenarkan tentera laut China untuk gunakan pelabuhan Kota Kinabalu berhampiran Filipina dan Kepulauan Spratly.
Sebelum ni juga, Malaysia pernah membenarkan pesawat tentera laut US jenis P-8A Poseidon untuk berhenti di Labuan. Ianya berhampiran dengan selatan kepulauan Spratly yang menimbulkan kemarahan China.

Tidak perlu kapal perang yang banyak di lautan ini, hanya bot-bot rondaan

Pada 27 Jun 2018, Setiausaha Pertahanan US, Jim Mattis dah bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping. Antara isu yang dibincangkan adalah mengenai perkembangan ketenteraan China di Laut Cina Selatan. Presiden China itu masih bertegas dengan status mereka di Laut China Selatan.

“Kami tak boleh kehilangan walau satu inci pun kawasan yang ditinggalkan oleh nenek moyang kami.”- Xi Jinping, petikan dari New York Times.

Daripada kenyataan itu dah nampak yang konflik di Laut Cina Selatan akan terus berlaku dikawasan pertindihan yang melibatkan negara Malaysia. Namun, PM Tun Mahathir ada menegaskan yang Malaysia akan kekal dalam pulau yang diduduki negara (4 atau 5 pulau) dan sesiapa rasa ada pulau lain yang dalam kawasan mereka, bolehlah diduduki. Satu formula juga dicadangkan Tun supaya konflik di sini akan bertambah baik.

“Saya rasa tak perlu ada banyak sangat kapal perang. Kapal perang hanya akan menegangkan keadaan.”- Tun Mahathir, petikan dari South China Morning Post.

Pulau Layang-Layang yang diduduki Malaysia. Imej dari Wonderful Malaysia.

Kapal yang perlu ada di lautan ini adalah bot-bot ronda kecil yang dilengkapi senjata untuk melawan lanun bukannya untuk berperang. Aktiviti rondaan perlulah disertai oleh 10 negara ASEAN. Jika China dan US mahu sertai rondaan dipersilakan tanpa membawa kapal perang. Kenyataan Tun Mahathir ni dah menunjukkan pendirian terkini Malaysia dalam isu di lautan ini. Mudah-mudahan ianya kekal aman dan damai untuk semua negara.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT