Tunku dicabar pengasas PAS. Dan tiga kali jawatan Presiden UMNO dipertandingkan

Sekarang ni, selain dari World Cup, mata kita juga tertumpu nak tengok pemilihan UMNO. Apa yang menariknya, ini adalah kali pertama UMNO buat pemilihan parti sebagai parti pembangkang. Presiden UMNO pun bukan lagi Perdana Menteri.

Buat masa sekarang, kita dah dapat tahu yang Ketua Pemuda UMNO dimenangi oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Asyraf berjaya dapat 73 undi daripada 189 bahagian, mengalahkan Khairul Azwan Harun (58 undi), Shahar Abdullah (56 undi), dan Jamal Yunus (2 undi).

Naib Ketua UMNO pulak dah dimenangi oleh Shahril Sufian Hamdan yang juga bekas pegawai dasar Khairy Jamaluddin. Dia ada bertanding dalam PRU-14 lepas kat Parlimen Kuala Langat, tapi kalah dengan Dr Xavier Jayakumar (Naib Presiden PKR).

Noraini (Ketua Wanita), Wajdi Dusuki (Ketua Pemuda) & Shahril Hamdan (Naib Ketua Pemuda). Imej dari Malay Mail.

Bila Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri dah dipilih, sekarang ni mata tertumpu pulak kepada jawatan-jawatan tertinggi parti, macam Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden. Tapi pemilihan Presiden kali ni nampaknya menarik bila 5 calon dah disahkan layak bertanding. Diorang tu adalah…

  1. Ahmad Zahid Hamidi (pemangku Presiden UMNO).
  2. Tengku Razaleigh Hamzah (Ahli Parlimen Gua Musang).
  3. Khairy Jamaluddin (bekas Ketua Pemuda UMNO).
  4. Mohamed Iqbal Maricair (Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bandar Tun Razak).
  5. Mohd Yusof Musa @ Jamaludin (UMNO Bahagian Iskandar Puteri).
Siapa pulak selepas ni? Imej dari daulahrakyat.com

Sebenarnya, dah lama kita tak dengar jawatan Presiden UMNO ni dipertandingkan. Selalunya, apa yang kita dengar – ‘menang tanpa bertanding’ je. Walaupun begitu, budaya jawatan presiden dipertandingkan ni sebenarnya dah ada lama, iaitu sejak penubuhan awal UMNO dulu. Buktinya…

Dato’ Onn letak jawatan, dan mula buka jalan untuk jawatan Presiden UMNO dipertandingkan

Seperti mana yang kita belajar kat buku teks, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 kerana menentang pembentukan Malayan Union. Penentangan tu berjaya apabila Malayan Union dibatalkan dan ia diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Orang disebalik perjuangan ni tak lain dan tak bukan adalah nasionalis – Dato’ Onn Jaafar.

Walaupun Onn yang menubuhkan UMNO, tapi hayatnya dalam UMNO tak lama. Pada tahun 1950, cadangan Onn nak bagi kerakyatan kepada orang bukan Melayu dah dibantah oleh ahli-ahli UMNO. Kontroversi ni semakin panas, bila Onn bagi lagi cadangan iaitu nak buka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu.

Dato’ Onn bersama-sama dengan wartawan Utusan Melayu. Imej dari helenang.wordpress

Kalau cadangan yang awal tadi tu pun dah dibantah, inikan pulak cadangan yang kedua. Disebabkan kecewa dengan bantahan ahli-ahli UMNO, Onn akhirnya ambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertua UMNO (sekarang presiden) pada 26 Ogos 1951.

Disebabkan ada kekosongan jawatan, maka orang baru perlu dilantik untuk memimpin UMNO. Orang yang dicadangkan, tak lain dan tak bukan adalah Tunku Abdul Rahman seorang anak Raja berpendidikan Cambridge, yang juga Pengerusi UMNO Kedah masa tu. Tapi laluan Tunku tak mudah bila dia dicabar oleh dua calon lain.

1. Tunku dicabar dua calon, yang salah seorangnya jadi pengasas…..PAS?!

Diceritakan, pada mulanya Tunku tak nak bertanding jawatan Yang di-Pertua UMNO, tapi dia dah dipujuk oleh beberapa pemimpin UMNO masa tu. Mereka adalah Tun Razak, Tun Sardon Jubir (kemudian jadi Gabenor Pulau Pinang), Hj Ahmad Badawi (bapa Pak Lah) dan Ibu Zain (Ketua Kaum Ibu UMNO). Tunku akhirnya setuju untuk bertanding.

Tapi seperti yang diceritakan kat atas tadi, laluan tu tak mudah. Masa ni, Tunku dah dicabar oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan dan Tan Sri Chik Mohamad Yusuf atau CM Yusuf. Fuad Hassan masa tu adalah Pengerusi Badan Agama UMNO. Beliau sebenarnya tak berapa berkenaan sangat dengan cara UMNO, terutama sekali dalam isu judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain.

Ahmad Fuad lepas tu jadi salah seorang pengasas PAS, tapi kemudiannya keluar dan menyertai IMP pimpinan Dato’ Onn. Imej dari tokoh1038.blogspot

“Dalam tulisannya, ‘Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan’, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulama ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran UMNO.” – Dipetik dari Jabatan Penerangan Malaysia.

Untuk maklumat tentang CM Yusuf pula, tak ada banyak yang kitorang boleh dapat. Apa yang pasti, Yusuf dicadangkan oleh beberapa bahagian di Perak, manakala Fuad oleh UMNO Terengganu.

Dato’ Onn menyampaikan ucapan terakhirnya sebagai YDP UMNO pada tahun 1951. Imej dari al-azharrisiddiq.com

Tapi akhirnya, Tunku dapat 57 undi, manakala CM Yusuf dapat 11 undi. Maknanya, Tunku berjaya mengalahkan Yusuf dan Fuad Hassan. Fuad kemudiannya keluar dari UMNO dan jadi salah seorang pengasas Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) dan jadi Presiden PAS yang pertama. 

“Sikap terbuka Tunku kepada saingan politik nyata terbukti kerana sewaktu Tunku menjadi Perdana Menteri, C.M. Yusof telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat.” – Tun Abdullah Ahmad Badawi, dipetik dari Koleksi Arkib Ucapan (10/02/2003).

CM Yusuf menerima kunjungan Menteri Imigresen Australia di Parlimen. Imej dari Wikipedia.

Tapi itulah kali terakhir jawatan Tunku sebagai Presiden UMNO dicabar. Tunku akhirnya berundur dari jawatan tu lepas terjadinya peristiwa hitam 13 Mei 1969. Tun Razak kemudiannya menjadi Presiden UMNO dan sekali lagi jawatan presiden tak dicabar. Tapi bila sampai ke Tun Hussein Onn, kedudukan presiden nampaknya dicabar semula.

2. Tun Hussein dicabar tokoh veteran UMNO – Sulaiman Palestin

Selepas Tun Razak meninggal dunia, jawatan Presiden UMNO dipangku oleh Hussein Onn selaku timbalan presiden parti masa tu. Tapi untuk jadi presiden, belum tentu mudah sebab pemegang jawatan tu dipilih oleh ahli-ahli parti.

Jadinya, bila sampai tahun 1978, pemilihan parti pun bermula. Pemilihan yang pada mulanya agak tenang bertukar panas, bila tiba-tiba Hussein Onn dicabar oleh seorang tokoh UMNO. Orang yang mencabarnya tu adalah bekas Ketua Penerangan UMNO, iaitu Ustaz Haji Sulaiman Ahmad atau ‘Sulaiman Palestin’ (allahyarham).

Hussein Onn, isteri (Tun Suhailah) dan Tun Siti Hasmah. Imej dari warisanpermaisuri.blogspot

Keputusan Sulaiman tu dah mengejutkan ramai pihak, sebab itulah kali kedua jawatan presiden dicabar dalam masa lebih 30 tahun. Dikatakan, Sulaiman dapat gelaran ‘Palestin’ tu sebab dia selalu bagi pidato yang berapi-api pasal isu Palestin.

Sulaiman masa tu dah tarik perhatian ramai pihak, bila dia kata kalau dia menang – dia tak akan jadi Perdana Menteri, tapi akan serahkan pada parti untuk tentukan siapa yang layak jadi Perdana Menteri.

“Para pemerhati politik pada ketika itu berpendapat Sulaiman Palestin bersama-sama Khir Johari dan Senu Abdul Rahman, sebagai orang-orang lama yang masih bercita-cita besar untuk mencapai sesuatu yang masih terpendam dalam hati masing-masing.

Mereka inilah golongan yang dikatakan cuba membawa kembali Tunku Abdul Rahman masuk kembali ke dalam parti sekurang-kurangnya dilantik sebagai penasihat.” – Dipetik dari jurnal terbitan UTHM.

Senu Abdul Rahman (kiri) dan Tunku Abdul Rahman . Imej dari Utusan Malaysia.

Tapi ada juga yang kaitkan Sulaiman dengan Dr Mahathir, untuk menekan Hussein masa tu.

“Selepas Harun (Dato’ Harun Idris – bekas MB Selangor) dipenjarakan kerana kesalahan rasuah, muncul pula Sulaiman Palestin yang menentang Hussein sebagai Presiden UMNO. Sulaiman yang dikatakan proksi Dr. Mahathir dikatakan diminta untuk membuat gerakan beliau terhadap Hussein.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Walaupun macam tu, Sulaiman nampaknya kalah dalam pemilihan tu dengan hanya dapat 250 undi, berbanding dengan Hussein yang dapat 898 undi. Sulaiman dalam reaksinya ada kata keputusan untuk dia bertanding tu sebenarnya nak lahirkan satu kesedaran bahawa satu pembangkang yang sihat perlu diwujudkan dalam parti.

Dato’ Onn ketika menemui Saddam Hussein pada tahun 1977. Imej dari my1foto.penerangan.gov

Anak Sulaiman Palestin – Raihan Sulaiman juga pernah jadi tumpuan media apabila dia mencabar Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita UMNO. Raihan kemudianya jadi Ketua Wiranita PERKASA. Beliau meninggal dunia pada 11 Mei 2015.

Khairudin Abu Hassan juga adalah anak saudara kepada Sulaiman Palestin. Imej dari The Malaysian Insider.

3. Pertembungan paling epik – Mahathir VS Ku Li

Dalam beberapa perebutan jawatan Presiden UMNO, boleh dikatakan pertembungan antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh (Ku Li) adalah yang paling epik. Pertembungan ni jadi dalam pemilihan parti 1987. Masa ni jugaklah munculnya Team A (sokong Dr Mahathir) dan Team B (sokong Ku Li).

Sebelum itu, Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri dah pun bertindak meletakkan jawatan pada Februari 1986. Satu salinan surat juga dah diedarkan kepada semua Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO, yang seolah-olah kata peletakan jawatannya itu akibat dari tekanan dan tomahan Dr Mahathir.

“Tak dengar~~~” – Kata Dr Mahathir. Imej dari malaysianaccess.com

“Krisis dan perebutan jawatan Presiden UMNO antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh pada awalnya dilihat sebagai pertembungan peribadi tetapi kemudian bertukar menjadi krisis kepimpinan yang rumit apabila ada usaha untuk menjatuhkan serta menggulingkan kepimpinan Dr. Mahathir.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Kesannya, pada pemilihan parti 1987, Musa dah berkerjasama dengan Ku Li menentang Dr Mahathir. Ku Li merebut jawatan presiden daripada Dr Mahathir, manakala Musa berentap dengan Ghafar Baba untuk jawatan timbalan presiden. Antara yang masuk Team A masa tu adalah Anwar Ibrahim dan yang masuk Team B pulak Rais Yatim dan Pak Lah.

Dari kiri – Dr Mahathir, Ku Li, Hussein & Ghafar Baba. Imej dari sayaptempur.com.

“Team A dipimpin oleh Dr. Mahathir yang mencerminkan kumpulan yang mendukung nasionalisme Melayu liberal, manakala team B pula dipimpin oleh Tengku Razaleigh yang mendukong nasionalisme Melayu konservatif.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Akhirnya, pertembungan ni menyaksikan Dr Mahathir mendapat 761 undi, manakala Ku Li pulak mendapat 718 undi. Dr Mahathir cuma menang dengan majoriti 43 undi. Keputusan ni dah beri tamparan hebat terhadap kepimpinan Dr Mahathir, apabila ia membuktikan hampir separuh perwakilan menolaknya.

Dr Mahathir & Ghafar Baba meraikan kemenangan. Imej dari Utusan Malaysia.

Hal ni sebenarnya berbeza dengan apa yang jadi masa Tun Hussein dicabar Sulaiman Palestin, sebab masa tu boleh dikatakan sokongan besar masih lagi kepada Hussein.

Tapi, krisis ni masih lagi belum selesai bila penyokong Team B – dikenali sebagai Kumpulan 11, buat pulak permohonan di mahkamah supaya pemilihan parti tu diisytiharkan sebagai tak sah.

Mahkamah kemudiannya bukan je isytiharkan pemilihan tu sah, tapi dengan UMNO sekali sebagai pertubuhan haram. Disebabkan perkara ni, Dr Mahathir lepas tu buat UMNO (baru) dan Ku Li pulak buat parti Semangat 46 (S46).

Ku Li bersalam dengan Dr Mahathir lepas kalah dalam pemilihan. Imej dari Utusan Malaysia.

“Dr Mahathir…serta merta menubuhkan UMNO Baru yang pendaftarannya diluluskan pada 17 Februari 1988 iaitu kira-kira dua minggu selepas UMNO diharamkan dan dengan sendirinya Tengku Razaleigh dan penyokong-penyokongnya tersingkir seperti ahli-ahli UMNO yang lain kecuali mereka yang memohon untuk menjadi ahli UMNO Baru.” – Dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir.

Tapi hayat S46 tak lama, bila parti tu dibubarkan pada tahun 1996. Pemimpin S46, seperti Ku Li, Rais Yatim, Ibrahim Ali dan sebagainya kemudiannya masuk balik UMNO yang dipimpin oleh Dr Mahathir.

Antara pemimpin S46 – Ku Li, Rais Yatim & Shabery Cheek. Imej dari Utusan Malaysia.

Pertembungan Zahid, Khairy dan Ku Li, siapa yang akan menang?

Setelah sekian lama jawatan Presiden UMNO tak dicabar, nampaknya pasca PRU-14 ni kita akan nampak balik pertembungan ni berlaku. Walaupun dah disahkan lima calon akan berebut jawatan ni, tapi perhatian mata mestilah tertumpu kepada tiga nama, iaitu – Zahid Hamidi, Khairy dan Ku Li.

Bukti pemilihan UMNO kali ni meriah. Imej dari Sinar Harian.

Para penganalisis politik, nampaknya agak sukar nak bagi ramalan siapa yang akan menang dalam pemilihan kali ni. Menurut Prof Madya Dr Azeem Fazwan dari USM, Khairy dan Zahid ada pertalian dengan kerajaan sebelum ni (jawatan kabinet), dan agak sukar untuk diorang ni tonjolkan pembaharuan sebab kerajaan sebelum ni dah gagal.

“Sebaliknya Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, walaupun hanya seorang Ahli Parlimen dan dan Ketua UMNO Gua Musang, beliau mempunyai lebih kredibiliti dengan pengalaman sebagai Naib Presiden UMNO.” – Katanya kepada Harian Metro.

Ku Li & Zahid. Imej dari mole.my

Tapi Khairy pun ada kelebihan sebagai pembawa suara yang lebih muda berbanding dengan dua calon tadi. Bagaimanapun, masih ada penganalisis yang nampak Khairy dalam hal ni terlalu gopoh dan sukar untuk dia menang.

Tentang Zahid pulak, ada yang menarik apabila akhbar Sin Chew Daily meramalkannya akan menang dalam pemilihan kali ni. Ramalan tu dibuat berdasarkan keputusan pemilihan tiga sayap UMNO sebelum ni (Pemuda, Wanita & Puteri).

Hai air hikmat. Siapakah yang akan jadi Presiden UMNO? Imej dari Giphy.

“Khairul Azwan adalah orang kanan Khairy Jamaluddin. Kekalahannya sudah pasti tidak akan memihak kepada bekas Ketua Pemuda itu untuk bertanding kerusi presiden…

Rata-rata ketua bahagian yang ada pada hari ini adalah penyokong kuat kepada pucuk pimpinan parti sekarang. Ahmad Zahid akan memperoleh sokongan kuat daripada ketua-ketua bahagian ini.” – Petikan dari Sin Chew Daily, tersiar juga di Sinar Harian.

Tapi pokok pangkalnya, walau sesiapapun yang menang sebagai Presiden UMNO, individu tu akan menggalas tugas besar menuju lima tahun yang mendatang. Dengan kerapuhan BN, dan budaya politik baru, UMNO perlu mencari jalan terbaik memulihkan kembali imej parti.

Masa depan UMNO masih lagi kabur. Imej asal dari New Straits Times.

Setelah lebih 60 tahun menjadi parti pemerintah, kini UMNO dah menjadi pembangkang. Dengan sejarah yang panjang, UMNO perlu bangkit menjadi pembangkang yang kuat. Pembangkang yang kuat mencerminkan keadilan dan penyuburan demokrasi.

“Kita harus melakukan penambahbaikan selari dengan cabaran dalam menghadapi kerenah pengundi di zaman teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT). Tawan kembali hati orang muda kerana cabaran besar menanti kita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).” – Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Wanita UMNO. Dipetik dari Berita Harian.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.