Pendidikan & Kesihatan

Rekod menunjukkan orang Melayu paling ramai anti-vaksin kerana….

Setiap orang dah tentu impikan kehidupan yang sentiasa sihat sepanjang hayat tanpa mengidap sebarang penyakit yang berbahaya. Macam-macam vitamin dan makanan tambahan lain yang ada kat iklan-iklan tu semua kita sebat sebab kita percaya benda-benda macam tu boleh kekalkan kesihatan kita.

Sebenarnya, dari kecik kita dah didedahkan dengan cara penjagaan kesihatan yang baik.Mak ayah kita jaga kita punyalah elok sampai nyamuk pun tak bagi hinggap. Macam tu lah jugak yang diaorang harapkan untuk kita. Tapi bila dah kenal dunia banyak pulak anasir-anasir yang sampaikan ‘ilmu’ yang memudaratkan. Antaranya kes anti-vaksin ni lah.

Polio kembali menyerang lepas 19 tahun Filipina ‘merdeka’

Awal tahun hari tu, Malaysia digemparkan dengan kes penyakit Difteria yang melibatkan kanak-kanak kat negara kita disebabkan diaorang tak ambik suntikan imunisasi. Penyakit tersebut merebak kat diaorang lepas diaorang ada berhubung dengan kanak-kanak lain yang mati disebabkan menghidap penyakit yang sama.

Mangsa-mangsa polio. Imej dari ZME Science

Dan, disebabkan penyakit tersebut yang rawatan pencegahannya adalah suntikan vaksin dan imunisasi, ia telah melibatkan enam kes dan satu kes kematian ditemui disebabkan diaorang yang tak dapatkan suntikan vaksin menyebabkan penyakit tu senang merebak.

“Penyakit difteria, demam campak, beguk, pertussis dan rubella boleh dicegah melalui imunisasi. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada jangkitan kuman malah mendedahkan komuniti kepada jangkitan yang sama,” – Sahruddin Jamal, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, sumber dari FMT. 

Dan sekarang ni nampaknya penyakit tu macam dah bersih dari rekod kita. Namun begitu, baru-baru ni kita dikejutkan dengan penyakit polio yang dah mula menular semula kat Filipina. Kira-kira lebih kurang 19 tahun negara tersebut sebenarnya dah ‘merdeka’ daripada penyakit mengerikan tu. Tapi sekarang ni ia berlaku semula.

Ia berlaku disebabkan terdapat beberapa golongan yang menolak vaksin kat Filipina (anti-vaksin) yang menyebabkan penyakit tu datang semula. Dan Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) sendiri yang sahkan Filipina dah dijangkiti penyakit tu dengan kes pertama polivirus disahkan pada 16 September 2019 lepas. Ia dikesan lepas ada budak 3 tahun yang menghidap virus tu.

Selain tu, DOH jugak sahkan yang sumber laluan air dan takungan kumbahan kat Manila dah dicemari dengan virus Polio (Poliovirus) ni. Dan virus tu sebenarnya mudah dijangkiti oleh bayi yang baru lahir dan tak lebih daripada dua bulan sebab diaorang merupakan golongan yang belum terima vaksin polio ni lagi.

Disebabkan wabak yang tiba-tiba datang tanpa diundang tu, UNICEF bekerjasama dengan WHO dan DOH jugak untuk perangi wabak ni dengan merancang untuk mengadakan program imunisasi besar-besaran yang melibatkan kanak-kanak bawah lima tahun. Dan untuk mengawal wabak ni daripada terus merebak, sebenarnya seramai lebih 95% kanak-kanak kat seluruh dunia perlu divaksinkan.

Orang yang lumpuh sebab polio terpaksa guna mesin tu untuk bernafas. Imej dari FB Amirul Azmeer Asmadi

“Ia sangat membimbangkan yang poliovirus telah muncul semula di Filipina selepas hampir dua dekad. Wabak itu perlukan tindakan segara untuk melindungi daripada lebih ramai kanak-kanak yang terdedah untuk dijangkiti.

Ia mengingatkan kita tentang pentingnya meningkatkan perlindungan melalui imunisasi kepada 95% kanak-kanak untuk menghentikan penularan virus polio di Filipina.

“Vaksinasi merupakan satu-satunya perlindungan terbaik terhadap polio yang memberi kesan kepada kanak-kanak berumur di bawah 5 tahun. Selagi ada seorang kanak-kanak yang dijangkiti wabak tersebut, kanak-kanak di seluruh negara berisiko untuk berjangkit.” – Oyun Dendevnorov, wakil UNICEF Filipina, sumber dari WHO.

Dulu, Malaysia pernah dijangkiti wabak ni tapi Malaysia dah bebas dari polio sejak tahun 1992 yang hanya melibatkan dua kes. Itu pun sebab mak ayah budak tu taknak vaksinkan anak diaorang. Tapi, kat sekitar dunia masih ada beberapa negara yang aktif menyebarkan virus polio (wild polio virus (WPV)) iaitu kat Afghanistan, Pakistan dan Nigeria.

Penularan wabak polio melalui rekod WHO. Imej dari Twitter @michelzaffran

Sebenarnya, kalau kat seluruh dunia masih ada beberapa negara yang aktif dengan virus tu, negara lain pun berisiko untuk dijangkiti. Dan Malaysia pun tak terkecuali terkena jangkitan tu walaupun dah diisytihar bebas polio.

Sebelum merebaknya wabak polio baru-baru ni, penularan wabak measles ataupun campak jugak ada berlaku kat sekitar dunia yang disebabkan gerakan antivaksin ni lah. Ekoran itu, ia dah melibatkan 23,563 orang dijangkiti dan 338 kes kematian direkod. Dan Malaysia pun tak ketinggalan dengan adanya 1,934 kes dan 6 kematian. (Mujur Malaysia masih aman. Hehe).

Pada masa yang sama, Filipina masih tak bebas lagi dari wabak measles tu yang dah menjangkiti lima negeri kat sana – Metro Manila, Central Luzon, Calabarzon, Western Visayas, and Central Visayas. Dan kes jangkitan tu meningkat daripada 2,428 pada 2017 ke 18,407 pada 2018 disebabkan kekecohan mengenai kontroversi Dengvaxia. Jadi semua pakat taknak vaksin.

Sebelum tu, lepas Filipina dijangkiti measles, kerajaan sana buat program imunisasi besar-besaran untuk kurangkan jangkitan tu. Dan sehingga April, diaorang laporkan yang dah takde lagi jangkitan tersebut. Tapi wabak tu masih ada je lagi, cuma dah berjaya dikawal dengan adanya program imunisasi tu.

Jangan risau, lepas kena vaksin takkan jadi macam ni… GIF dari Giphy

Dengvaxia – vaksin denggi yang menyebabkan kematian

Sebelum ni, sebanyak 93% populasi masyarakat Filipina memang percaya dan ambik vaksin sehingga tahun 2015, tapi peratusan tu menurun start tahun 2018 kepada hanya 21% disebabkan ketakutan vaksin yang menjadi kontroversi hangat iaitu vaksin Dengvaxia. Dan bermula dari situ lah, ramai masyarakat Filipina menjurus kepada bersikap anti-vaksin sampailah wabak polio ni dah tersebar.

Vaksin Dengvaxia ni dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal kat Perancis, Sanofi Pasteur yang diaorang dah menghabiskan masa lebih 20 tahun untuk buat vaksin tu dan kos pelaburannya menelan belanja sehingga AS$2 bilion (lebih kurang RM8.3 bilion).

Pada asalnya, vaksin Dengvaxia ni boleh mengelakkan virus denggi. Tapi keadaan jadi teruk dan majoriti orang Filipina tolak semua vaksin disebabkan vaksin Dengvaxia ni dah menyebabkan kematian kanak-kanak kat sana.

Antara kanak-kanak yang terkorban disebabkan Dengvaxia. Imej dari Business World

Vaksin ni dihasilkan sebab nak bantuk kanak-kanak kat US yang selalu dilanda masalah denggi. Tapi bila vaksin tu digunakan kat Filipina, terdapat seramai 355 nyawa terkorban disebabkan suntikan vaksin tu. Dan disebabkan suntikan vaksin tu jugak, ia menyebabkan penerima vaksin tu berisiko untuk menghidap sindrom kebocoran plasma yang melibatkan komplikasi dalam saluran darah yang membocorkan cecair kuning dalam aliran darah tu. Dan daripada sindrom tu, ia menjadi punca kepada kes kematian ekoran suntikan tu.

Walaubagaimanapun, bila disiasat, sebenarnya vaksin tu bukanlah menyebabkan kematian sebab takde bukti daripada pihak hospital yang mengatakan komplikasi kematian tu berpunca daripada Dengvaxia. Dan sekarang ni vaksin tu dah diluluskan penggunaannya oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

“Kami akan menyiasat dengan teliti bagi mempertanggungjawabkan mereka berhubung penipuan kesihatan awam yang memalukan ini yang telah merisikokan ratusan ribu nyawa muda,” – Rodrigo Duterte, Jurucakap Presiden Filipina, sumber dari Utusan Borneo.

Pesakit Small Pox yang tak ambik vaksin dan graf penurunan Small Pox lepas vaksin diwajibkan. Imej dari FB Amirul Azmeer Asmadi

Disebabkan kontroversi tu lah ramai masyarakat Filipina dan kat seluruh dunia ada yang berpandangan vaksin ni sebenarnya tak bagus. Dan sehingga tahun ni, terdapat 8,400 kanak-kanak yang dijangkiti penyakit berjangkit yang mudah merebak disebabkan diaorang tak ambik vaksin yang dah diwajibkan tu, dan 130 orang dah mati. 

Penyakit berjangkit yang menular kat Filipina disebabkan golongan antivaksin yang takut dengan kontroversi vaksin ni, ia menyebabkan peratusan penyakit berjangkit kat sana meningkat sehingga 1000% berbanding sebelum ni. Sampai negara diaorang diisytihar darurat!

Disebabkan kes tu, Presiden Filipina dah buat kempen vaksin dan mewajibkan semua mak ayah yang ada anak kecik, hantar anak diaorang pergi ambik vaksin.

“Tiada kalau, tiada tapi, tiada syarat. Anda cuma perlu membawa anak dan percaya kepada vaksin. Ia mampu menyelamatkan mereka. Itu adalah satu-satunya penyelesaian pada wabak ini,” – Francisco Duque III, Setiausaha Kesihatan Filipina, sumber dari BH Online. 

Diaorang akan diberikan vaksin dengan cara macam ni. Imej dari phil star

Mengikut rekod dan laporan kesihatan dunia, walaupun sekarang ni negara dah maju, melalui nisbah 1 dalam 5 orang kanak-kanak sedunia gagal untuk dapatkan suntikan imunisasi secara rutin yang dah ditetapkan. Dan dalam laporan kesihatan jugak mengatakan yang lebih kurang seramai 1.5 juta orang kanak-kanak mati setiap tahun disebabkan penularan penyakit berjangkit disebabkan diaorang tak ambik suntikan vaksin dan imunisasi.

Melayu golongan teramai yang tolak vaksin

Walaupun sebenarnya suntikan vaksin dan imunisasi ni bukanlah jaminan buat kanak-kanak bebas sepenuhnya daripada jangkitan penyakit berbahaya, tapi sekurang-kurangnya diaorang dah ada perlindungan yang mampu mengelakkan daripada terkena jangkitan tu.

Dan disebabkan kes vaksin ni lah jugak, timbulnya kes kematian orang asli Kg Kuala Koh, Gua Musang hari tu. Bila dikaji, diaorang dijangkiti wabak measles (campak) disebabkan cara kehidupan diaorang yang berpindah randah dan kurangnya zat makanan dalam kehidupan harian diaorang. Tapi tu disebabkan diaorang tak terdedah dengan kemudahan perubatan ni. Tapi anti-vaksin yang lain tu macam mana pulak. Hmm.

Perbezaan kanak-kanak menghidap penyakit campak (small pox) antara yang divaksin (kanan) dan tak (kiri). Imej dari Pro Parenting

Kebanyakan orang yang tak percaya vaksin ni diaorang terpengaruh dengan mitos yang mengatakan vaksin ni tak halal dan menyebabkan autisme. Tapi sebenarnya vaksin ni lah yang dah menyelamatakan jutaan nyawa dan orang yang terima vaksin ni kalau dia terkena wabak penyakit berjangkit, kesannya takdelah seteruk orang yang tak ambik vaksin. (Macam gambar kat atas tu).

Dulu, kitaorang dah pernah buat artikel pasal vaksin ni, korang boleh klik sini dan sini untuk baca. Disebabkan kesedaran vaksin kat Malaysia pun tak menyeluruh, pada tahun 2016 penyakit yang berpunca daripada vaksin ni meningkat 154 kali ganda sampai ia melibatkan kematian. 

Disebabkan bermacam kepercayaan orang yang bersifat anti-vaksin ni, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam ada keluarkan fatwa yang mengatakan pengambilan vaksin adalah harus untuk kesihatan semua orang. Walaupun begitu, masih ada lagi segelintir pihak yang tak percaya mengenai hal ni dan tetap dengan pendirian diaorang.

Apa yang disuruh tu cubalah dengar (hehe). Imej dari SOSCILI

“Justeru, menjadi tanda tanya apakah sebenarnya motif penolakan imunisasi ini oleh golongan berkenaan,” – Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, sumber dari BH Online.

Dan dalam rekod ada menunjukkan yang kat Malaysia ni, golongan berbangsa Melayu adalah golongan tertinggi yang bersifat anti-vaksin sehingga menjejaskan kesihatan secara global. Dan sekarang ni golongan tersebut makin ramai kat Malaysia. 

“Alasan yang biasa diberi golongan ini ialah terpengaruh dengan pembacaan di media sosial yang mengatakan vaksin berbahaya, selain ada yang mahu berubat dengan perubatan alternatif.

“Selain itu, ada yang ragu-ragu dengan kandungan vaksin itu sendiri sama ada halal atau tidak, malahan ada yang mengaitkan vaksin sebagai agenda yahudi,” – Dr Zainal Fitri Zakaria, Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Setapak, sumber dari BH Online. 

Nak tangan bersih ke nak tangan yang berbulu? Imej dari Manila Buletin

Penyakit berbahaya boleh dielak hanya dengan vaksin ?

Memandangkan sekarang ni macam-macam penyakit berbahaya dan penyakit berjangkit dah mula merebak, ia boleh dielakkan dengan langkah pencegahan awal iaitu melalui suntikan vaksin dan imunisasi untuk kuatkan antibodi kita. Kalau korang tengok iklan Lifebuoy ke Dettol ke, kan korang perasan ada belon yang lindungi korang tu. Haa sama jugaklah macam kita yang dah ambik vaksin tu.

Walaupun badan kita menghasilkan antibodi sendiri, sebenarnya vaksin ni sebagai antigen tambahan yang membantu badan kita untuk tak mudah dijangkiti penyakit terutamanya buat kanak-kanak yang sistem imunisasi diaorang masih belum matang lagi. Jadi, sebab tu lah suntikan tu penting untuk elak daripada terkena jangkitan penyakit berbahaya!

“Imunisasi bukan sahaja melindungi diri mereka, malah memberi imuniti atau kekebalan dalam kelompok sosial.” – Dr Norashikin Mohd Ranai, Pakar Kanak-Kanak dan pensyarah Klinikal di Fakulti Perubatan UiTM, sumber dari Harian Metro. 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend