Politik Antarabangsa

Kalau bukan Palestin, negara Israel mungkin akan dibina di atas 4 negara ini!

Konflik Palestin-Israel masih terus dibincangkan sampai sekarang. Pelan Damai yang diumumkan Donald Trump bersama Benjamin Netanyahu (PM Israel) nampaknya ditolak ramai pihak termasuklah Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Malaysia sama sekali tidak menerima Pelan Damai ini berdasarkan kenyataan Pejabat Perdana Menteri. Ini kerana Palestin dah lama menderita di atas tindakan Israel yang banyak menyalahi undang-undang.

Mungkin ramai yang tak tahu bahawa sebelum Palestin dipilih untuk didirikan Negara Yahudi. Ada beberapa kawasan di dunia ini yang dicadangkan untuk membina Negara Yahudi. Empat daripadanya akan kami ceritakan dalam artikel ni.

1) Sebuah kawasan tanah tinggi di Uganda, sesuai cuacanya dengan orang Eropah

Pada tahun 1896, wartawan Yahudi-Austria Theodor Herzl menerbitkan risalah politik yang berpengaruh yang dipanggil ‘Negara Yahudi’. Ia berpendapat bahawa penubuhan negara Yahudi adalah satu-satunya cara untuk melindungi orang-orang Yahudi daripada anti-Semitisme.

Herzl menjadi pemimpin Zionisme, mengadakan Kongres Zionis pertama di Switzerland pada tahun 1897. Apabila Herzl memulakan usahanya untuk menubuhkan tanah air untuk orang-orang Yahudi, dia mencari sokongan dari kuasa-kuasa besar untuk membantu mencapai matlamatnya.

Pada tahun 1903, Theodor Herzl dah bertemu dengan Joseph Chamberlain, Setiausaha Kolonial British serta beberapa pegawai tertinggi lain. Mereka bersetuju untuk menyelesaikan masalah penempatan Yahudi dengan memilih kawasan Afrika Timur.

Pada 26 Ogos 1903, di Kongres Zionis Ke-6 di Basel, Herzl mencadangkan Program British Uganda atau Skim Uganda. Ia akan dijadikan tempat perlindungan sementara orang Yahudi yang berada dalam keadaan bahaya di Rusia. Kawasan yang ditawarkan itu adalah 5,000 kilometer persegi (13,000 km2) di Dataran Tinggi Mau (kini di kawasan Kenya).

Suasana Kongres Zionis. Imej dari Forward

Cadangan ini telah mendapat undian sebanyak 295 berbalas 178. Jadinya, satu suruhanjaya penyiasatan dah dibentuk untuk memeriksa wilayah yang dicadangkan.

Delegasi seramai tiga orang telah dihantar untuk memeriksa kawasan dataran tinggi itu. Pada mulanya, kawasan tanah tinggi ini mempunyai iklim yang sederhana di mana sesuai untuk orang Eropah. Tetapi ada beberapa masalah iaitu ada kawasan di sana yang berbahaya dipenuhi dengan singa dan makhluk lain. Selain itu, terdapat kaum Maasai (orang separuh Nomad) di sana yang tidak boleh dipengaruhi untuk menerima orang Eropah.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Setalah berlaku percanggahan pendapat di antara ahli-ahli gerakan Zionis. Akhirnya, Skim Uganda ini ditolak di Kongres Zionis Ketujuh pada tahun 1905.

2) Dakwaan bahawa Empayar Maharaja Jepun pernah nak sediakan satu kawasan untuk Yahudi

Ada sedikit bukti yang menunjukkan Jepun pernah memikirkan untuk menubuhkan satu rantau autonomi untuk orang Yahudi. Pada tahun 1979, sebuah buku bertajuk The Fugu Plan telah ditulis oleh Rabbi Marvin Tokayer dan Mary Swartz.

Pelan Fugu ni diberikan nama oleh mereka merujuk kepada memorandum pada tahun 1930-an. Di mana Empayar Maharaja Jepun ketika itu mencadangkan penempatan buat pelarian Yahudi yang menyelamatkan diri dari kerajaan Nazi.

Kalau korang nak tahu, Fugu ni diambil dari nama ikan buntal di Jepun yang sangat beracun jika tidak dimasak dengan betul. Kenyataan berkaitan perancangan ini dibuat oleh Kapten Koreshige Inuzuka dan ia dibincangkan buat pertama kalinya pada tahun 1934. Ia kemudian dipertahankan pada tahun 1938 serta mendapat sokongan tokoh-tokoh Jepun waktu tu.

Namun, perancangan ini gagal kerana Jepun menandatangani Perjanjian Tripartite di antara Jerman, Itali dan negara itu pada tahun 1940. Jerman waktu itu memang dikenali sebagai anti-Yahudi.

Suasana ketika Perjanjian Tripartite berlangsung. Imej dari Weebly

Tapi nampaknya, seorang profesor dari Universiti Hebrew Jerusalem mengatakan bahawa dakwaan Tokayer dan Swartz ini diambil dari sudut yang tak berapa tepat. Dalam erti kata lain – Jepun tak pernah ada perancangan untuk bentuk rantau autonomi Yahudi. Kenyataan ini disokong oleh Kiyoko Inuzuka yang merupakan isteri kepada Kapten Koreshige Inuzuka sendiri.

3) Perancangan Nazi Jerman untuk memindahkan Yahudi ke Madagascar hampir menjadi

Pelan ini muncul apabila pemerintah Reich Ketiga Nazi Jerman ingin memaksa supaya penduduk Yahudi di Eropah untuk berpindah ke Pulau Madagascar. Sebab itu ia dipanggil Pelan Madagascar.

Kalau nak diikutkan, konsep memindahkan orang Yahudi ni banyak kali dah dicadangkan oleh pemimpin Eropah termasuk dari British, Perancis dan Poland. Konsep ni secara umumnya memindahkan atau penghijrahan besar-besaran semua orang Yahudi ke Afrika atau kawasan koloni lain.

Perancangan ini semakin serius dan mula berjalan padan Jun 1940 apabila Jerman ketika itu hampir menguasai semua jajahan Perancis. Kemudiannya, perjanjian damai dengan Great Britain akan menjadikan angkatan laut British bakal digunakan untuk proses pemindahan ini.

Apabila mendapat kelulusan Adolf Hitler, Adolf Eichmann mengeluarkan satu memorandum pada 15 Ogos 1940 yang mengarahkan penempatan semula sejuta orang Yahudi setiap tahun dalam tempoh empat tahun ke pulau itu. Pulau Madagascar kemudiannya diletakkan sebagai Negara Polis di bawah pemerintahan Schutzstaffel (SS). Sebuah organisasi separa tentera bawah kendalian Adolf Hitler dan Parti Nazi.

Inilah askar. Schutzstaffel. Imej dari 3rdreichflags

Pelan ini akhirnya tidak pernah menjadi apabila Jerman gagal mengalahkan British dalam Pertempuran Britain pada tahun 1940.

4) Kerajaan Itali cuba untuk pindahkan semua orang Yahudi di kawasan sekitar Tasik Tana

Kerajaan Itali dibawah pemerintahan Mussolini telah pun menjajah Ethiopia pada tahun 1935. Dengan semangat anti-semitisme dalam ideologi kerajaan, ia telah membawa kepada beberapa perancangan untuk memindahkan orang Yahudi yang berada di Eropah.

Sewaktu kerajaan Itali di bawah pemerintahan Mussolini, mereka membuat satu tawaran untuk menyelesaikan penempatan Yahudi di Eropah dan Palestin dengan memindahkan mereka ke kawasan Afrika Timur yang berada dibawah jajahan Itali.

Bagi Mussolini, masalah universal Yahudi ini hanya boleh diselesaikan melalui satu cara – iaitu menempatkan mereka di suatu kawasan di dunia ini tetapi bukan di Palestin. Dia percaya salah satu kawasan di Ethiopia adalah paling ideal kerana terdapat golongan Yahudi asal di sana yang mampu menarik Yahudi dari Eropah.

Mereka akan ditempatkan bersama komuniti Beta Israel (Yahudi Ethiopia). Wilayah ini akan berada dibawah pemerintahan sendiri namun berada di dalam kawasan Empayar Itali. Namun, ada laporan lain mengatakan tempat yang ditawarkan adalah sekitar Tasik Tana.

Ethiopia sangat cantik. Imej dari Dreamstime

“Dianggarkan bahawa Ethiopia boleh menampung kira-kira lebih 5,000,000 orang. Di rantau Tasik Tana sahaja mempunyai keluasan wilayah kira-kira 50,000 batu persegi yang hampir tidak didiami.

Tanah ini dipercayai sesuai untuk tumbuh gandum, kopi dan banyak buah-buahan dan bijirin tropika.”- Petikan dari Centro Primo Levi New York

Namun, pelan Mussolini tidak pernah dilaksanakan. Ini kerana beberapa sebab termasuk pembebasan Ethiopia dari penjajahan Itali.

Tak semua setuju bahawa orang Yahudi perlu ada negara sendiri

Berdasarkan semua sejarah ini, tak dapat dinafikan bahawa penubuhan negara Israel ini mempunyai sejarah yang kompleks. Tak semua Yahudi setuju mengenai idea orang Yahudi perlu ada negara sendiri termasuklah kumpulan Naturei Karta (Yahudi Ortodoks).

Idea ni pun hanya muncul apabila seorang wartawan, Theoder Herzl yang menulis manifesto “Der Judenstaat” (Negara Yahudi). Ditekankan di dalam manifesto itu bahawa orang Yahudi boleh bina negara di mana sahaja mereka mahu tetapi lebih utama ia dibina di atas Tanah yang mempunyai sejarah berkaitan.

Ngorat baru tahu!

Maka, akhirnya, tanah Palestin adalah pilihan yang paling utama sehinggalah ia terbina sekarang. Kita semua tak pasti, apakah pengakhiran konflik Palestin-Israel ini. Jika Israel tak dibina di Palestin, korang rasa kat mana negara tu akan dibina?

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend