Sheikh Ahmad Yassin: Lelaki lumpuh yang digeruni Israel

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 18 Feb 2018*

Pada Disember lepas kita dikejutkan dengan pengumuman Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang boleh kita anggap sebagai memecah tradisi polisi sebelum ni. Katanya pemimpin sebelum ni tak berani nak buat jadi dia dengan beraninya buat. Dan akibatnya hampir seluruh alam marah dengan tindakan Trump.

Lantas, protes besar-besaran telah di lancarkan hampir di seluruh dunia termasuk di Malaysia sendiri. Kita sendiri dapat rasa pencabulan ni harus kita perjuangkan bersama demi menjadikan Palestin sebuah negara merdeka. Tapi tahukah kita perjuangan pembebasan ni dah lama wujud di Palestin sedangkan kita masih belum lahir lagi masa tu. Perjuangan yang di pelopori oleh seorang lelaki lumpuh. Ya! Berjuang hanya di atas kerusi roda.

Sheikh Ahmad Yassin. Imej dari nizarazu.com

Beliau adalah Sheikh Ahmad Yassin atau nama sebenarnya Sheikh Ahmed Ismail Hassan Yassin. Dilahirkan pada 22 Jun 1937 di pinggir Al-Mijdal, selatan Semenanjung Gaza (kini di gelar Ashqelon salah sebuah wilayah Israel). Dia adalah seorang anak yatim yang dah kehilangan bapanya masa umur lima tahun. Jadinya, dibesarkan oleh ibunya hinggalah pada tahun 1948 di mana keluarganya diusir dan pindah ke kem pelarian akibat penjajahan pertama pengganas Yahudi. Peristiwa ni dikenali dalam sejarah sebagai Hari Nakba.

(Nota: Selain daripada link yang diberikan, cerita ni banyak merujuk buku bertajuk Syeikh Ahmad Yassin: Palestin dan Hamas tulisan Al-Ghazali terbitan PTS Publications)

Terlantar selama 45 hari serta patah tengkuk ketika masih remaja

Sheikh Ahmad lahir sebagai seorang yang normal macam orang lain tapi pada tahun 1952 masa tu dia berumur 16 tahun, ketika dia dan kawan-kawannya buat aktiviti sukan di tepi pantai dia telah mengalami kecederaan. Kejadian tu menyebabkan dia mengalami patah tengkuk dan telah terlantar di hospital selama 45 hari di hospital Gaza. Kecederaan tu melibatkan tulang belakang dan merosakkan saraf tunjangnya. Kecederaan ini di panggil quadriplegia atau kelumpuhan anggota badan.

Siapa yang tak sedih, muda-muda dah lumpuh

Walaupun dia lumpuh tapi itu tak menghalangnya untuk cemerlang dalam pendidikan. Dia berjaya menamatkan pengajian peringkat menengah kemudian mendapat tawaran belajar di Universiti Ain Shams Kaherah pada tahun 1964.

Masa kat Mesir, dia dah mula cintakan pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Kat  sinilah dia banyak bergaul rapat dengan kepimpinan Ikhwanul Muslimin. Dan atas sebab itu dia ditahan buat kali pertama pada tahun 1966 oleh pihak Mesir sebab sertai pertubuhan ni. Dan dia telah di usir keluar dari Mesir secara paksa.

Logo Ikhwan Muslimin. Imej dari abunuha,wordpress.com

Dia sudah ditawarkan menjadi guru bahasa Arab apabila balik ke Gaza. Dia juga dapat kepercayaan dari masyarakat untuk jadi Khatib solat Jumaat. Orang sekitar tahu yang dia ni tinggi ilmunya dan pernah bergaul dengan orang-orang hebat di Mesir. Jadi sebab itu lah diorang nampak dia ada ketokohan untuk memimpin masyarakat.

Katanya rakyat Palestin tak boleh terus bergantung kepada negara Arab

“Kita wajib mengabdikan diri bagi mengembalikan semula maruah agama yang tercalar. Kita perlu berusaha sedaya mungkin bagi mengambil alih bumi Palestin yang dicabar oleh Zionis.” – Sheikh Ahmad Yassin, dipetik dari buku Sheikh Ahmad Yassin: Palestin & Hamas oleh Al Ghazali.

Peranannya makin lama makin ketara, nama dia dah disebut-sebut oleh orang-orang muda sebab lantangnya suara dia di mimbar masjid dengan seruan kebangkitan. Paling ketara masa tercetusnya Perang Enam Hari atau Perang Arab-Israel pada 5 Jun 1967 .

Perang Enam Hari 1967 Arab-Israel Imej dari okezone.com

“Rakyat Palestin tidak boleh terus-terusan meminta belas atau bergantung pada negara Arab bagi membebaskan Masjid Al-Aqsa. Masa depan Palestin berada dalam telapak tangan kita sendiri.”- Sheikh Ahmed Yassin, dipetik dari novel Sheikh Ahmad Yassin: Palestin & Hamas oleh Al Ghazali.

Dia mengutuk sekeras-kerasnya Perang Enam Hari ni. Perang yang dimenangi oleh Israel ni dah mengakibatkan banyak kerugian bagi pihak negara Arab. Begitu juga, pada rakyat Palestin sendiri. Satu mesej jelas dari Israel kepada negara Arab bahawa Israel bukanlah calang-calang untuk dilawan.

“Hanya kita sahaja yang dapat membebaskan negara ini daripada penjajahan rejim Zionis. Tiada jalan lain ke arah kemerdekaan Palestin melainkan jihad.”- Sheikh Ahmad Yassin.

Perang Enam Hari ni buatkan ramai lagi rakyat Palestin jadi pelarian, sebab dalam perang tu Israel dah tawan Jalur Gaza, Semenanjung Sinai, Tebing Barat di Sungai Jordan (termasuk Jerusalem Timur), dan Bukit Golan. Jadinya kawasan wilayah Israel bertambah tiga kali ganda.

Mengasaskan pertubuhan untuk bantu pelarian Palestin

Daripada seruan atas mimbar yang dah mula didengari Israel sampailah dia dah ada pertubuhan sendiri atas rasa tanggungjawab. Dia telah tubuhkan Mujamma Al Islam pada tahun 1973 bagi membantu pelarian Palestin dari segi kabajikan dan juga sebagai pusat kegiatan belia.

Sheikh Ahmad dalam bulatan merah. Imej dari buletinonline.net

Pada tahun 1983, Israel dapat rasa ada sesuatu yang tak kena disebalik pertubuhan-pertubuhan kebajikan orang Palestin ni. Mula-mula dulu diorang ingat cuma Fatah dan Ikhwan Muslimin saja yang berupaya nak buat ancaman pada Israel, tapi, kali ni diorang dah dapat kesan pertubuhan dia ni dah nampak macam ekstremis sikit.

Dan akhirnya Pasukan Keselamatan Israel (IDF) buat serbuan ke kawasan penempatan Palestin di Gaza dan diorang jumpa senjata api. Ini menjadikan dia sebagai sasaran utama. Diorang tuduh dia sebagai dalang dalam merancang siri serangan kat orang Israel. Dia ditangkap dan didakwa di mahkamah Israel dan dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun.

Kerana mendengar orang Palestin mati setiap hari, HAMAS ditubuhkan

Selepas 11 bulan di penjara dia dibebaskan hasil perjanjian pertukaran tahanan Palestin dengan tentera Israel. Dia pulang ke Gaza dengan disambut oleh rakyat Palestin sebagai wira. Tak lama lepas tu pada tahun 1987 berlaku satu kejadian yang telah mengubah situasi antara Israel dan Palestin. Seorang pelampau Yahudi telah melanggar orang awam Palestin dan menyebabkan 4 orang terbunuh dekat kem Jabaliya Genting Gaza. Peristiwa ni telah mencetuskan apa yang dipanggil sebagai Intifada Pertama!

Intifada Pertama Imej dari Malek Hussin Twiter

Seluruh Palestin jadi huru-hara masa tu. Hampir setiap hari dia dengar berita kematian orang Palestin ditangan rejim Zionis sejak rusuhan dilancarkan. Dia rasa inilah masa yang sesuai untuk menuju jihad kebangkitan, bukan sekadar jihad menumpahkan darah tapi jihad dari setiap sudut pemikiran, politik dan menuju Palestin merdeka. Lalu dia dan Dr Aziz Al-Rantisi telah menubuhkan HAMAS singkatan untuk Harakat al-Muqawama al-Islamiyya, atau Gerakan Pembela Islam.

Logo HAMAS. Imej dari wikipedia.

Dia telah dipilih menjadi pengasas dan pemimpin spiritual HAMAS. Kemunculan HAMAS memang sesuai sangat masa tu. HAMAS yang berasal daripada dakwah Ikhwan Muslimin tak lari daripada dasar kefahaman Islam yang syumul sebagai dasar perjuangan diorang.

Sokongan Rakyat Terhadap Hamas. Imej dari RT.com

HAMAS juga dah bawa beberapa ideologi antaranya:

  1. HAMAS adalah pertubuhan kebangsaan yang bercirikan Islam dan jihad sebagai dasarnya.
  2. HAMAS percaya, usaha pembebasan Palestin tidak akan berjaya tanpa penyertaan umat Islam sedunia dan kaum Arab secara keseluruhannya.
  3. HAMAS meyakini yang peperangan dengan rejim Zionis Israel adalah  peperangan tamadun yang bertunjangkan akidah Islam.
  4. HAMAS sentiasa berusaha mengekalkan identiti sebagai gerakan kebangsaan yang memperjuangkan kemerdekaan berdasarkan prinsip-prinsip yang syumul.
  5. HAMAS mengiktiraf hak kebebasan beragama. Maka bagi HAMAS, kaum Kristian di Palestin adalah saudara senegara mereka.
  6. HAMAS berpegang pada prinsip hanya jihad jalan yang paling efektif bagi membebaskan bumi Palestin, bukan sekadar perang tapi meliputi bidang politik, ekonomi dan pendidikan.
Kehadiran HAMAS ni disambut baik oleh rakyat, HAMAS dah berjaya membangkitkan semangat rakyat Palestin supaya bangun dan menentang Zionis. Jadi pemerintah Israel dah mula buka mata. Diorang tak sangka pengaruh lelaki lumpuh ni sangat kuat. Perjuangan rakyat Palestin ni bukan omong kosong saja.
Dalam satu siri serangan pejuang HAMAS, diorang dapat masuk dalam kawasan musuh dan dapat bunuh beberapa orang komando Israel. Dan atas alasan tu Israel sekali lagi tangkap dia dengan menyerbu rumahnya.

Orang paling ‘wanted’, tapi dibebaskan sendiri oleh Benjamin Natanyahu, Presiden Israel

Penjara ni bukan lah tempat yang asing bagi pejuang. Itulah harga yang di bayar oleh seorang pejuang. Dia dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh, menculik dan menyerang tentera Zionis. Macam mana orang yang lumpuh nak buat semua tu? Tapi itu lah perangai Zionis.

Kalau takut dengan risiko usah bicara tentang perjuangan!

Masa dalam tahanan, dia mendakwa yang dia didera sehingga telinganya hampir pekak, buta sebelah kanan dan mata kiri pula kabur. Dia juga mengalami jangkitan paru-paru dan pendarahan dalam abdomen. Tapi pada tahun 1997, dia dibebaskan dari penjara Israel sebagai pertukaran ke atas pembebasan ejen Mossad Israel yang ditawan oleh kerajaan Jordan.

Peristiwa pembebasan dia ni boleh dianggap bersejarah sebab orang yang paling ”wanted” oleh Israel ni telah dibebaskan oleh Benjamin Natanyahu, Presiden Israel masa tu. Selepas dibebaskan, dia diterbangkan ke hospital Jordan untuk dirawat. Yasser Arafat pun ada datang melawat.

Yasser Arafat melawat Sheikh Ahmad. Imej dari asshiqepakistan.wordpress.com

Tak lama lepas tu dia pun pulang ke Gaza. Tanah air yang sangat dia cintai. Ketika ditanya mengapa dia tak nak berbaring masa dihantar naik kapal terbang dari Jordan ke Gaza, jawabnya,

“Saya mahu melihat tanah kelahiran saya dari udara, saya mahu melihat bukit-bukau dan pokok-pokok. Saya mahu melihat sendiri Masjid Al Aqsa”- Sheikh Ahmad ketika ditemubual oleh wartawan.

Dia akhirnya dibebaskan. Dapat pulang semula ke Gaza dan terus berbakti walaupun dah terlalu uzur. Banyak masa dia hanya di katil untuk dirawat tapi dia tetap tak tinggal rutin dia sejak dulu iaitu berjemaah di masjid dan menyampaikan kuliah.

Sheikh Ahmad sering mendapat rawatan sebab terlalu uzur. Imej dari UPI.com

Tiga butir roket menyerangnya ketika diatas kerusi roda

Pagi Isnin 22 Mac 2004 tak macam hari-hari biasa. Kaki langit Palestin pagi tu bergegar dengan luncuran jet pejuang F-16 yang berlegar di sekitar masjid tempat dia dan anaknya nak tuju. Malam tu isterinya dah larang ke masjid untuk solat subuh nanti tapi tak diendahkan.

Rutin harian Sheikh Ahmad dan anaknya berjemaah di masjid. Imej dari sahabatalaqsa.com

 “Kenapa kamu suruh saya solat di rumah? Hanya kerana pesawat dan helikopter itu? Kalau memang saya harus mati syahid malam ini, malam inilah yang saya tunggu-tunggu seumur hidup saya. Insya Allah, saya akan mati syahid malam ini…”- Sheikh Ahmad Yassin, katanya malam sebelum kejadian.

Selesai solat subuh ramai jemaah yang keluar, diorang bakar tayar untuk mengaburi jet-jet pejuang Israel dari mensasarkannya. Lima minit sebelum kejadian, anaknya, Abdul Ghani yang terselamat daripada serangan itu berbisik kepada bapanya, “Ayah, di luar kedengaran bunyi helikopter yang ingin memburumu.”

“Biarkanlah. Aku juga sedang menunggu.”-Sheikh Ahmad menjawab dengan tenang.

Sheikh Ahmad menjual syahid lalu Allah membelinya. Sebanyak tiga butir roket jenis Hellfire telah membedil lelaki lumpuh yang berkerusi roda oleh Helikopter tempur AH-64 Apache milik Israel. Dia syahid pada umur 67 tahun.

Hancur kerusi roda nya. Imej dari Buletinonline.net

Pembunuhannya diarahkan oleh kerajaan Israel pimpinan Ariel Sharon

Hari tu, enam orang termasuk dua pengawal dan seorang anak lelakinya terkorban manakala 17 yang lain cedera. Media Israel sahkan pembunuhan ni memang diarahkan oleh kerajaan Israel yang dipimpin Ariel Sharon masa tu. Serangan tu jadi pembunuhan berprofil tinggi Israel ke atas pemimpin Palestin dalam tempoh 16 tahun.

Seluruh rakyat Palestin berkabung. Air mata mengalir dari pencinta jihad sampailah kanak-kanak, golongan kaya, marhaen, dan semua rakyat dari seluruh Gaza hingga ke serata pelusuk dunia.

As Syahid Sheikh Ahmad Yassin. Imej dari Buletinonline.net

“Bumi Palestin adalah milik umat Islam yang secara paksa telah dirampas oleh Zionis Israel dan hanya boleh direbut kembali dengan kekuatan. Ia adalah tanah wakaf yang tidak sama sekali boleh diserahkan walaupun hanya seinci.”- Sheikh Ahmad Yassin. Dipetik dari surat terakhir pada pemimpin arab tapi tak dapat diserahkan sebab Beliau dah gugur Syahid.

Tak perlu berperang kat sana, sumbangan kemanusiaan lebih penting

Ketokohan As Syahid Sheikh Ahmad Yassin memang tak ada galang ganti. Pengorbanannya dalam perjuangan pembebasan memang perlu kita serap sebagai inspirasi dalam apa jua benda yang kita buat. Walaupun As Syahid telah gugur tapi percayalah roh perjuangannya tetap hidup. Makin ramai yang akan bangkit.

“Pintu jihad terbuka bagi rakyat Palestin untuk berjuang tanpa mengira tempat atau masa, dengan apa cara sekalipun”.-Dr Abdul Aziz Al-Rantisi, yang mengantikan jawatan Sheikh Ahmad. Namun beliau sendiri terbunuh dalam serangan bom oleh Israel pada 17 April tahun yang sama.

Ikutkan situasi semasa, rakyat Palestin masih perlukan bantuan dari kita. Banyak NGO di negara kita ni mohon sumbangan untuk bantuan kemanusian kepada rakyat Palestin. Tak semestinya kita kena tolong berperang kat sana untuk menyatakan jihad kita tapi menyumbang dan berdoa juga dapat membantu mereka.