- 5.0KShare sekarang!
- Email37
- Facebook5.0K
- Share
Kalau sebut je perkataan Melayu, mesti ramai akan triggered. Lebih-lebih lagi bila ada pemimpin politik sengaja permainkan isu bangsa, makin famouslah perkataan Melayu. Kalau korang masih ingat, Hang Tuah pernah kata takkan Melayu hilang di dunia. Kata-kata Tuah ni buktikan dia percaya bangsa Melayu ni akan ada kat dunia selama-lamanya. Korang percaya tak kat laksamana agung Melayu ni?
Kalau kami tanya korang tentang asal-usul orang Melayu, korang boleh jawab tak? Hmmm…kalau korang tak boleh jawab, maksudnya korang tak cukup Melayu lagi. Tak apa, hari ini SOSCILI akan beritahu korang informasi pasal Melayu yang boleh buatkan korang jadi Melayu tulen. Kalau korang ada tanjak, keris, dan baju Melayu, korang boleh pakai sambil baca artikel ni.
Maklumat yang ada kat artikel ni kami ambil daripada kajian yang bertajuk Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu: Ke arah Pencerahan yang Dinantikan ditulis oleh Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dari USM.
Seawal 645 Masihi, ahli geografi Mesir dah sebut Maleu-Kolon
Kalau korang nak tahu, perkataan Melayu ni dah lama wujud. Seorang ahli geografi Mesir yang bernama Ptolemy (90-168 masihi) pernah sebut “Maleu-Kolon” yang bermaksud Melayu Barat. Perkataan Maleu-Kolon dalam karya Ptolemy ni merujuk Tanah Melayu. Dua abad lepas tu pulak, perkataan “Malayadvipa” yang bermaksud pulau bergunung dijumpai kat kitab berbahasa Sanskrit. Pulau bergunung ni maksudnya Tanah Melayulah.
Sekitar tahun 645 Masihi, ada satu kerajaan yang dinamakan Melayu kat Jambi, Sumatera. Punyalah hebat kerajaan ni, diorang siap hantar utusan kat Empayar China masa tu. Seorang pengembara China yang pernah lawat kawasan Melayu tulis tempat tu sebagai “Ma-La-Yu”.
Nama Melayu ni semakin dikenali apabila Kerajaan Melaka terkenal dengan kemakmuran dan kekuasan diorang kat Tanah Melayu. Biar pun diorang tak guna nama kerajaan Melayu, tapi Kerajaan Melaka ni boleh beri gambaran identiti Melayu – bahasa Melayu, adat Melayu dan agama Islam.
“Orang Melayu Melaka dianggap Melayu sebenar (bukan kacukan) dan bahasa mereka dianggap bahasa Melayu sungguh (piawai).” – Kajian Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh
Daripada maklumat-maklumat kat atas, bolehlah kita simpulkan yang nama “Melayu” ni memang dah lama wujud. Sebenarnya ada pandangan yang kata nama “Melayu” ni direka, terutamanya dalam kalangan ilmuwan barat ketika menjajah negara kita dulu. Contohnya, ada yang kaitkan perkataan “Tanah Melayu” dengan William Marsden manakala perkataan “bangsa Melayu” pulak dikaitkan dengan Stamford Raffles dan Munshi Abdullah.
Sebenarnya, sebelum diorang ni lahir dah lama perkataan Melayu ni digunakan. Kalau korang nak tahu, ada orang Portugis bernama Tomé Pires (1468-1540 M) pernah guna perkataan “Terra de Tana Malaio” untuk rujuk Tanah Melayu.
Ada ilmuwan yang kata orang Melayu ni perantau dari Taiwan
Sebut je pasal asal-usul orang Melayu, mesti banyak teori yang korang pernah dengar. Banyak je teori-teori tu tak ada sumber, nasib baik tak ada orang yang kata Melayu datang dari bulan. Salah satu teori yang terkenal bila kita sembang tentang asal-usul Melayu adalah Teori Keluar dari Taiwan.
Teori ni sebut bahawa sekitar 4,000 tahun lalu rumpun manusia Austronesia atau Malayo-Polynesia, termasuklah orang Melayu seperti yang dikenali di Malaysia-Indonesia-Brunei-Singapura telah berhijrah jauh dari selatan negeri China dan lalu kat Taiwan.
Diorang berhijrah sebab tempat asal dah padat sangat dengan penduduk, dan diorang ni memang pakar dalam bidang pertanian. Memandangkan dulu Bantuan Sara Hidup (BSH) belum ada, diorang dapat survive menggunakan ilmu pertanian yang tinggi. Teori ni telah dibawakan oleh Peter Bellwood dan disokong oleh ramai ilmuwan barat.
Tapi…teori orang Melayu dari Benua Sunda patahkan hujah teori Keluar dari Taiwan
Teori Keluar dari Taiwan tadi dikatakan tak ada bukti yang kukuh, sebabnya orang kat Asia Tenggara dah lama mahir dalam ilmu pertanian dan maritim. Ada satu lagi teori yang tolak teori Keluar dari Taiwan tu, diorang yakin orang Melayu bukan berhijrah tapi memang asalnya dari Tanah Melayu. Nama teori tu Keluar dari Benua Sunda. Teori ni dipelopori oleh Dr. Stephen Oppenheimer.
Teori ni jelaskan, sekitar 16,000 tahun dulu (sebelum zaman batu berakhir) – Asia Tenggara ni merupakan satu tanah yang lebih besar dari India. Maksudnya semua negara dalam Asia Tenggara ni adalah satu tanah je, tak adanya terpisah macam sekarang. Tapi, ada satu banjir besar yang buatkan negara-negara kat Asia Tenggara ni terpisah macam sekarang.
Sebab banjir besar ni orang Melayu terpaksa berhijrah ke Taiwan, Indo-China dan Madagascar. Unsur banjir besar dalam teori ni penting sebab ia memang selari dengan perubahan iklim dan legenda banjir besar yang pernah melanda Asia Tenggara.
Teori ni membuktikan yang sebenarnya orang Melayu bukanlah pendatang, tapi memang dah menetap kat sini lebih 10,000 tahun dulu.
“Pada tahun 2009, Human Genome Organisation mememui bukti genetik yang selaras dengan teori yang dikemukakan oleh Oppenheimer. Bukti itu menyarankan bahawa sebaran kependudukan di Asia berlaku melalui kepulauan Asia Tenggara, tanpa penghijrahan dari tanah besar Asia.” – Kajian Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh
Bukti saintifik yang buktikan orang Melayu ni bukan pendatang
Selalunya ada orang yang tak percaya dengan bukti-bukti sejarah ni, sebab diorang kata sejarah boleh je dikarang oleh sesiapa yang ada kuasa. Jadi kami nak beritahu korang, teori Benua Sunda ni datang dengan bukti saintifik! Contohnya, pada 28 Mei 2008 – Universiti Oxford keluarkan satu laporan dengan tajuk “New DNA evidence overturns population migration theory in Island Southeast Asia”.
Laporan ni menegaskan yang orang kat Tanah Melayu ni memang dah berasal dari sini, proses berhijrah memang berlaku, tapi tu penghijrahan orang Melayu keluar dari Tanah Melayu sampailah ke Taiwan. Banjir besar tu mungkin boleh jadi salah satu sebab kenapa diorang berhijrah.
Lepas tu, ada satu kajian pasal genetik yang membuktikan teori Benua Sunda ni. Kalau korang nak tahu, melalui DNA korang, kita boleh ramalkan korang berasal dari mana. Ada satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2005 bertajuk Y-Chromosome Evidence of Southern Origin of the East Asian-Specific Haplogroup 03-M122. Bukan korang je tak faham, kami pun tak faham apa tajuk ni, tapi dalam tu ada kata;
“Corak ini menunjukkan bahawa penempatan pertama manusia moden di Asia Timur berlaku di tanah besar Asia Tenggara semasa Zaman Ais terakhir, bertepatan dengan ketiadaan fosil manusia di Asia timur, 50,000-100,000 tahun yang lalu.” – Kajian Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh
Bukan setakat kajian saintifik je, ada seorang pakar antropologi yang nama dia Janet Montgomery McGovern (berasal dari Taiwan) sokong teori ni. Janet kata upacara tahunan orang Anis kat Taiwan adalah untuk memperingati nenek moyang diorang yang naik perahu dari selatan (Asia Tenggara). Kalau ikut cerita orang Anis, nenek moyang diorang berasal dari pulau Lan Yu kat Taiwan.
Kat pulau Lan Yu ni ada puak Yami, nenek moyang puak Yami ni datang dengan perahu dari kepulauan Batan di utara Luzon, Filipina. Hal ni buktikan yang orang Melayu pernah berhijrah ke keluar dari Asia Tenggara.
Identiti Melayu ni ada tiga kelompok
Daripada bukti-bukti yang dikemukan dalam kajian Prof. Md. Salleh ni, kita dapat tahu yang sebenarnya orang Melayu bukan dari Taiwan. Kalau ikut kajian ni, identiti Melayu boleh dibahagikan kepada tiga kelompok.
- Kelompok 1 – Kelompok Malayo-Polynesia yang tinggal kat Tanah Melayu atau mereka yang dah berhijrah. Kumpulan ni terdiri daripada banyak kaum seperti yang kita orang dah cerita kat atas.
- Kelompok 2 – Kedua pula, Melayu di Kepulauan Melayu – termasuk di Filipina dan Melayu yang telah berhijrah ke Afrika Selatan, Sri Lanka, dan barat Australia.
- Kelompok 3 – Yang ketiga pulak adalah yang kat Malaysia ni – identiti Melayu kat Malaysia ni ditentukan oleh Perlembagaan Negara.
Seorang pakar perbandingan anatomi yang bernama Dr. Johann Friedrich Blumenbach memberi gambaran tentang fizikal orang Melayu;
“Berkulit Tawny; rambut hitam, lembut, kerinting, tebal dan berlimpah; kepala agak kecil; dahi sedikit bengkak; hidung penuh. Hidup di pulau-pulau India berhampiran Semenanjung Melaka, serta Sandwich [Hawai`i].” – Kajian Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh
Berbanggalah korang menjadi orang Melayu
Ramai je orang suka mengaku dioranglah Melayu yang paling tulen. Tapi kami boleh jamin tak banyak orang yang tahu tentang asal-usul Melayu. Diorang fikir orang Melayu ni asal-usulnya daripada kerajaan Melaka, padahal orang Melayu dah wujud berpuluh ribu tahun dulu.
Lepas tu, daripada kajian Prof. Md. Salleh ni, kita dapat tahu yang Melayu memang asal dari Tanah Melayu. Jadi kalau ada orang kata orang Melayu ni pendatang, bolehlah korang tunjukkan artikel kami ni.
“Melayu itu orang yang bijaksana, nakalnya bersulam jenaka, budi bahasanya tidak terkira, kurang ajarnya tetap santuni, jika menipu pun masih bersopan, bila mengampu bijak beralas tangan.” – Usman Awang, Sajak Melayu
- 5.0KShare sekarang!
- Email37
- Facebook5.0K
- Share