Disambar langsuir sebab bersiul dalam hutan? 9 lagi hantu Malaysia yang menyeramkan

Masa korang kecik-kecik dulu, selalu je ditakutkan dengan cerita-cerita hantu kalau korang nakal, kan? Bila balik kampung berkumpul dengan sepupu-sepapat pun mesti keluar cerita hantu, nak masuk asrama pun keluar lagi cerita hantu. Tapi, dah berapa lama sebenarnya kepercayaan ni wujud dalam masyarakat kita?

Setakat ni, kisah paling awal dicatatkan adalah pada tahun 1849 daripada Abdullah Munsyi, bapa persuratan Melayu melalui karyanya, Abdullah Abdul Kadir Munsyi: Hikayat Abdullah menerangkan tentang perihal orang Melayu dan beberapa hantu.

Selain tu, ada sebuah lagi buku penulisan catatan Sir Frank Swettenham yang terbit sejak 1884, yang bertajuk Malay Sketches, atau Perihal Orang Melayu. Salah satu ayat Frank Swettenham tu mengatakan betapa orang Melayu itu,

“Pengikut (Nabi) Muhammad dan percaya kepada takdir, tetapi dia juga percaya kepada tahyul.”

1. Sebuah mukim di Perak yang dapat nama daripada Hantu Bota

Cuma ilustrasi artis saja. Imej dari kisahseram.com

Mungkin ada sesetengah daripada korang tak pernah dengar pasal Hantu Bota, iaitu sejenis gergasi besar yang hidup dalam tanah, dan selalunya menyembunyikan diri dalam gua di dalam tanah. Cerita ini tidak dapat ditentukan kesahihannya kerana ianya hanyalah cerita rakyat yang diperturunkan dari generasi ke generasi melalui penceritaan lisan sahaja.

Asal usul Hantu Bota tak dapat dikenal pasti, tapi pernah disebut dalam hikayat Abdullah Munsyi sebagai makhluk yang menyerupai manusia, cumanya tubuh badannya jauh lebih besar dan lebih tinggi, macam gergasi. Raksasa Bota ni juga ada gigi taring atau siung, dan suka makan makanan dalam tanah, dan cuma makan daging manusia atau haiwan sekali-sekala je, tu pun bila dia keluar dari tempat persembunyiannya.

Bota dikatakan tinggal di Sungai Perak, dan sebab tu jugalah nama Bota digunakan sebagai nama sebuah kawasan di Perak. Bota juga adalah sebuah mukim di tepi Sungai Perak, dan terbahagi kepada 2 kawasan utama iaitu Bota Kanan dan Bota Kiri. Kawasan kaki kanan Bota yang memijak kawasan kanan Sungai Perak dinamakan Bota Kanan, manakala kawasan kaki kiri Bota yang memijak kawasan kiri Sungai Perak dinamakan Bota Kiri.

Tak tahu la wujud lagi ke tak Bota ni. Imej dari sosioantromythtnl.blogspot.my

Sebuah tempat berdekatan Sungai Perak juga dipanggil Ekor Bota sempena ekor Bota yang panjang sehingga ke kawasan itu. Hantu Bota amat besar hingga dikatakan jarak antara kaki kanan dan kaki kiri Bota lebih panjang daripada lebar Sungai Perak.

2. Pontianak, berasal daripada perempuan mati anak

Salah satu gambar yang pernah viral belasan tahun yang lepas. Imej dari bloghantuku

Mustahil la mana-mana orang Melayu Malaysia tak pernah dengar pasal hantu pontianak, yang boleh dikatakan hantu paling popular dalam kepercayaan masyarakat Melayu di sini. Pontianak ni juga wujud dalam kepercayaan rakyat Indonesia yang panggil Kuntilanak, manakala Thailand dengan panggilan Nang Nak.

Walaupun ramai yang tak pernah nampak, tapi pelbagai gambaran tentang hantu ni diberikan, iaitu karakternya digambarkan sebagai wanita berkulit pucat yang mempunyai rambut hitam panjang, mata merah, dan berbaju putih. Asal-usulnya pula adalah daripada seorang perempuan yang mati melahirkan anak. Nama tu dipercayai dapat daripada  perempuan + mati + anak.

Pontianak dalam masyarakat melayu adalah jelmaan dari seorang perempuan yang meninggal dunia sebab mati dibunuh masa tengah mengandung. Jadi, pontianak ni berdendam dengan mengganggu manusia. Disebabkan dia la hantu paling popular dalam Alam Melayu, banyak pengarah filem Malaysia yang buat cerita:

Filem pontianak di Malaysia. Imej dari

Walaupun ditakuti sebab rupanya yang menakutkan, pontianak juga sebenarnya boleh jadi cantik. Ada sebuah mitos mengatakan, kalau ada mana-mana lelaki berjaya paku pontianak kat tengkuknya, pontianak tu boleh berubah jadi perempuan cantik. Syaratnya, paku yang ada kat tengkuk perempuan tu tak boleh dicabut atau dia akan bertukar jadi pontianak balik.

3. Langsuir, boleh bertukar jadi wanita cantik untuk menggoda lelaki

Langsuir ni hampir sama dengan pontianak sebab sama-sama suka mengilai, dan ada rambut yang panjang. Menurut rujukan yang dijumpai, pontianak selalunya ada kat darat je, manakala langsuir pula suka bertenggek atas pokok. Pontianak juga selalunya pegang batu nisan seakan bayi (puan mati anak), manakala langsuir pula tak suka bawak barang, berat katanya.

Kalau berada dalam hutan, kita dinasihatkan supaya tak bersiul atau melaung dengan kuat, sebab takut disambar langsuir. Kalau ditangkap, habislah sebab makhluk halus ni dikatakan akan merasuk dan menghisap darah mangsa perlahan-lahan sampailah mangsanya meninggal dunia.

Selain tu, langsuir juga dikatakan boleh menyerupai wanita cantik dan berkebolehan dalam menggoda lelaki. Apabila sampai di tempat sunyi, langsuir akan berubah wajah ke bentuk asalnya.

Zaman 50-an, teknik editing macam ni dah kira cukup power la ni. Imej dari giphy

Selain daripada hobinya yang suka mengganggu orang terutama sekali lelaki, langsuir juga ada makanan feveret, iaitu insang ikan yang masih berdarah, yang selalunya dicuri daripada bubu yang dipasang manusia. Sebab tu jugalah langsuir dikatakan suka tinggal di tepi-tepi sungai yang sangat convenience.

Langsuir juga mempunyai persamaan dengan hantu Indonesia iaitu Sundel Bolong. Bezanya, Sundel Bolong ni asalnya seorang perempuan yang mati masa melahirkan anak, dan bayi tu kemudiannya keluar daripada belakang badannya. Sebab tu la Sundel Bolong tu berlubang di belakang, makan apa-apa pun bocor.

https://www.youtube.com/watch?v=WtUT6hsEUs0

4. Lebam secara tiba-tiba, polong yang disalahkan

Pernah tak masa korang tengah mandi, tiba-tiba je korang perasan ada tanda lebam pada badan? Tapi bila fikir-fikir balik, korang takde la buat aktiviti sukan ekstrim, atau terlanggar mana-mana bucu meja atau tunggul kayu sebelum tu. Kalau refer dekat orang tua-tua, mesti diorang kata kena gigit dengan hantu polong.

Betul ke ni polong buat? Imej daro inmalay.com

Menurut kepercayaan orang Melayu, polong dihasilkan dengan meletakkan darah orang yang mati dibunuh ke dalam botol bermulut panjang. Botol tu kemudiannya akan dipuja dan jampi serapah akan dibacakan dalam tempoh masa tertentu, yang biasanya dalam tujuh hingga dua minggu sampailah ada bunyi yang keluar daripada dalam botol.

Pemuja polong tu pula kena hiris jarinya sampai berdarah, dan masukkan dalam botol untuk bagi polong tu makan. Bila dah bagi makan tu la, polong tu kena ikut kata tuannya. Tapi, rupa sebenar polong tak dapat dipastikan macam mana.

Ni bukan Polong, ni Pok Long. Imej dari pinterest

Bila tuannya ditimpa kesusahan, polong tu akan dikeluarkan untuk membalas dendam bagi pihak tuannya. Sesiapa yang dipercayai mati akibat polong ni akan mempunyai bukan saja kesan lebam, tapi juga ada darah yang keluar dari mulut mangsa.

5. Pocong, asal dari mayat yang tak tenang sebab banyak kerja tak siap

Walaupun ejaannya hampir sama, tapi Polong dan Pocong bukanlah hantu yang sama berdasarkan bentuk, karakter dan tujuan kewujudannya.

Awal tahun baru ni, ada pocong yang ditangkap pihak polis di Alor Setar, Kedah yang mengganggu budak-budak balik mengaji. Pocong tu dikatakan dah mengganggu orang budak-budak selama beberapa kali, dan akhirnya tersalah langkah bila polis datang. Dendanya, diorang kena lompat tanpa henti depan polis dan dirakam oleh beberapa netizen. Perkara tu dalam masa yang sama dah menyebabkan kesesakan lalu lintas di tempat kejadian.

Pocong dikatakan berasal dari mayat yang tak tenteram sebab banyak benda yang dia tak buat masa hidupnya. Jadi, dia bangkit dari kubur untuk minta tali bungkusannya dibuka. Jadi, dia muncul untuk meminta maaf dengan muncul semula sebagai pocong. Tapi, ada juga yang kata  hantu pocong berasal daripada jin yang menyerupai bentuk pocong, untuk menakut-nakutkan seseorang oleh dukun atau pengamal ilmu hitam.

Masyarakat Cina pun ada sejenis hantu yang melompat macam hantu pocong ni juga, dinamakan Jiangshi. Ia dikatakan sejenis makhluk yang tidak dapat ditemui dalam cerita rakyat China. Walaupun nama Cinanya sering diterjemahkan sebagai ‘vampire melompat/zombie/ hantu Cina’,sebab ia adalah sebuah ‘mayat kaku’. Makhluk-makhluk ini boleh dikenal pasti oleh pakaian mereka – seragam seorang pegawai Dinasti Qing.

6. Penanggal, badan terpisah daripada kepala

Kisah penanggal ni pulak, boleh tahan juga seramnya. Kalau pontianak, langsuir dan hantu-hantu lain merupakan spesies hantu yang berasal daripada manusia yang nak balas dendam dengan menakut-nakutkan orang, penanggal ni pula merupakan manusia yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan, macam orang minyak yang kita pernah tulis minggu lepas.

Klik untuk baca pasal orang minyak. Imej dari Soscili.my

Penanggal, atau penanggalan adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh seseorang. Ia bertujuan memelihara harta dan memudaratkan musuh. Hantu penanggalan dikatakan membolehkan tuannya mampu menjelma sebagai sejenis makhluk berkepala dengan urat perut terburai, terbang mencari mangsa. Tapi, penanggal cuma boleh muncul pada waktu malam, dan mesti balik sebelum matahari terbit.

Imej penanggal ni la paling seram setakat ni. Imej dari bonikacak.com

Hantu penanggalan dipercayai diberi makan darah daripada ibu yang mengandung, atau baru melahirkan anak. Sebab tu la dia akan terbang ke rumah yang dikenal pasti mempunyai wanita yang baru bersalin dan kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa tak sedarkan diri.

Disebabkan nak elakkan diri daripada gangguan penanggal ni, daun berduri macam  mengkuang diletakkan di bawah rumah, terutama sekali kalau ada perempuan yang baru bersalin. Sebabnya, Penanggalan takut menghampiri rumah yang berduri kerana bimbangkan tali perut mereka tersangkut pada duri tersebut.

Selain tu juga, kalau terserempak dengan penanggalan, jangan berada di bawah penanggal tu sebab darah yang menitik dari tali perut hantu tu berbisa, dan akan menyebabkan kudis kepada sesiapa saja yang terkena.

Bila Penanggalan balik rumah, dia akan rendamkan urat perut dalam tempayan yang berisi cuka untuk mengecutkan perut sebelum masuk kembali kedalam badan asalnya. Salah satu cara yang dikatakan paling berkesan untuk kenal pasti pemilik Penanggalan adalah dengan memusingkan jasad tanpa kepala yang ditinggalkan ketika mereka keluar mencari mangsa. Sebabnya bila dia balik, kepalanya akan bercantum secara songsang dengan jasad asal.

Imej dari pmly.blogspot

7. Hantu Raya yang boleh menyerupai pembelanya

Pernah dengar cerita orang dah mati tiba-tiba muncul kat rumah dia? Atau tengah kerjakan kebun, atau apa-apa je aktiviti yang dia selalu buat masa dia hidup? Lembaga ni dikatakan hantu raya, dan mempunyai keupayaan menjelma sebagai manusia biasa atau haiwan lain, dan biasanya akan menjelma sebagai tuannya.

Hantu raya ni takde kena dengan mana-mana Raya Aidilfitri, Raya Qurban, Raya Cina, atau Deepavali. Imej dari PRU14

Hantu Raya dikatakan dikawal oleh pemiliknya supaya boleh buat pelbagai jenis kerja berat, dan boleh tengok-tengokkan harta dan tempat tinggal. Selain tu, Hantu Raya juga digunakan untuk mengganggu orang yang tak disukai tuannya.

Hantu Raya yang dipelihara tu pula perlu diberi makan macam mana yang dipersetujui. Contoh menu utama diorang adalah telur, ayam panggang, dan pulut kuning. Hantu Raya ni antara belaan yang kuat rebel, sebab kalau tak diberi makan, ia akan serang tuan sendiri.

Hantu Raya ni juga perlu diwarisi, dan kalau tak sempat diturunkan kepada waris, tuannya akan jadi bangkai bernyawa. Tubuhnya mati dan berbau busuk, tetapi apabila hendak dikebumikan, ia akan bangkit seperti hidup. Kalau diberi makan pula, dia akan makan dengan lahap.

8. Sekali dongak untuk tengok rupa Hantu Galah, selama-lamanya akan terdongak

Menurut Encyclopedia of Demons in World Religions and Cultures oleh Theresa Bane,Hantu Galah pula merupakan hantu yang paling tinggi, sesuai dengan namanya. Tahap ketinggiannya tu dikatakan sampai mencecah awan, dan tak digalakkan mendongak semata-mata nak tengok. Sebabnya, sekali kita mendongak, kepala kita akan terdongak buat selama-lamanya, kata orang tua-tua.

Katanya hantu galah. Tak pastilah. Imej dari paranormal.blogspot

Hantu galah dikatakan tak berbahaya pun, sebab dia cuma suka mengusik, dan takkan serang orang, kecuali yang lalu bawah kaki dia dengan mengepit mangsanya. Tu pun untuk tujuan bergurau je.

Tapi bagi sesiapa yang tak nak kena kacau pulak, selain baca doa pendinding, kita digalakkan supaya meniarap supaya hantu galah yang tinggi tu tak boleh nampak mangsanya.

9. Pencuri kecil yang hijau, toyol

Toyol pula adalah sejenis hantu yang berbentuk macam budak kecil, dan berwarna hijau. Kerjanya pula mencuri duit dan barang berharga daripada rumah orang. Toyol dikatakan mampu menyelip dalam mana-mana bilik berkunci, dan mampu mencari wang tunai yang disorokkan di mana sahaja, termasuklah dicelah-celah Al-Quran sekalipun.

Orang tua-tua kata kalau tak nak duit dicuri toyol, kena pelihara ikan puyu dalam akarium atau tabur biji kacang hijau dekat rumah supaya dia akan leka dan tak sempat mencuri duit dari mangsanya.

Tapi memandangkan zaman dah maju, mungkin dia lebih prefer video game macam PS4. Imej dari iluminasi

Di Indonesia pula, diorang terkenal dengan Jenglot, iaitu sejenis mahluk misteri berbentuk seakan-akan manusia kecil yang berambut panjang, berkuku dan bergigi tajam. Terdapat juga makhluk Jenglot yang berbentuk separuh manusia dan separuh haiwan seperti ular, buaya, dan sebagainya.

Dr MAZA sendiri pernah dapat ‘hadiah’ ni, tapi dia hantar ke universiti untuk tujuan kajian. Imej dari FB Dr MAZA

10. Pengundi Hantu, hanya muncul lima kali setahun!

Hantu yang terakhir ni mungkin kurang popular berbanding hantu-hantu yang lain. Sebabnya, diorang ni dipercayai hanya muncul setiap lima tahun sekali, iaitu pada hari buang undi dan hanya disedari selepas pengumuman pilihanraya yang berlaku.

Undi hantu . Imej dari blogspot

Menurut SPR, pengundi hantu adalah istilah politik kepada pengundi yang datang untuk membuang undi di tempat mengundi dengan menggunakan Kad Pengenalan palsu atas nama pengundi lain yang berdaftar dalam daftar pemilih SPR.

Malah, ada juga yang menggunakan alamat rumah yang entah siapa-siapa tah dia ambik, dan bila diperiksa, alamat rumah tu digunakan lebih daripada 20 orang, dan pemilik sebenar tak tahu pun pasal hal ni.

Kalau hantu-hantu lain boleh dihalau, atau diletakkan dalam botol yang kemudiannya dicampak dalam sungai, pengundi hantu ni pula boleh dihukum atas kesalahan penipuan dan penyamaran di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Malah, pengundi hantu ni juga boleh dihukum penjara tidak kurang 2 tahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Manusia pun ramai je perangai macam hantu, ye? Imej dari twitter