Orang Korea dah mengaku yang nenek moyang mereka berasal dari Nusantara, betul ke?

Era moden sekarang ini kita boleh lihat dengan jelas perbezaan antara kita semua, dari segi kaum, adat, tradisi dan sebagainya. Hmmm… tapi kan, adakah kita pernah terfikir tentang siapakah nenek moyang kita yang pertama pada zaman dahulu dan bagaimana mereka boleh datang ke tanah ini.

Kami bukan nak cerita susur alur keluarga di nusantara, tapi nak cerita mengenai penempatan orang di bahagian Timur Laut Asia (Northeast Asia). Ia dikatakan nenek moyang mereka berasal dari Asia Tenggara (Southeast Asia) atau lebih tepatnya dekat tanah melayu la, betul ke?

NOTA: Artikel ini akan melibatkan dapatan kajian termasuk Teori Evolusi dan Teori Peradaban Awal manusia

Kajian tengkorak yang membezakan spesis hominid yang berlainan

Tengkorak Hominid UChicago News
Tengkorak-tengkorak Hominid. Imej dari UChicago News

Di Hawaii, ada seorang professor, iaitu Christopher Bae yang pakar dalam bidang Paleoanthrapologi dari Universiti of Hawaii sedang giat mengkaji tengkorak manusia purba untuk mencari jawapan berkenaan  asal-usul kedatangan manusia ke tanah semenanjung Korea.

Perkara ini diambil kira dalam pelbagai cara seperti penemuan tengkorak manusia purba di China untuk dibandingkan dari segi bentuk dan DNA supaya mereka dapat membuat konklusi tentangnya.

Kalau mengikut kajian sains, spesis hominid ada tujuh jenis, iaitu:

  • Homo Heidelbergensis.
  • Homo Rudolfensis.
  • Homo Habilis.
  • Homo Floresiensis.
  • Homo Erectus.
  • Homo Neanderthalensis
  • Homo Sapiens atau lebih tepat lagi ‘manusia moden’.

Professor Christopher berkata yang spesis Homo Erectus mungkin manusia pertama yang menjejakkan kaki di Semenanjung Korea kerana penemuan tengkorak manusia purba itu banyak ditemukan di China (tanah yang paling dekat dengan Korea dan hanya dipisahkan oleh Laut Kuning (Yellow Sea)).

Korea Tanah Melayu
Imej daripada Imgflip

Ini semua hanyalah spekulasi, kerana manusia moden terikat dengan spesis Homo Sapiens dan dikatakan tengkorak yang dijumpai di Korea agak sama dengan bentuk tengkorak di Asia Tenggara (agak mind blowing kan).

Kemunculan Homo Sapiens dari Africa dan penghijrahan ke Asia Tenggara

Puak Samburu di Kenya
Puak Samburu di Kenya, Afrika Timur. Imej dari TripSavvy

Dikatakan Homo Sapiens datang daripada Afrika Timur diantara 200,000 ke 150,000 tahun yang lalu. Yang menariknya, macam mana mereka boleh sampai ke tanah Korea untuk membuat penempatan kan? Apabila dikaji, pakar telah mendapati bahawa Homo Sapiens mula meninggalkan Afrika Timur pada 60,000 tahun yang lalu dan meneruskan penghijrahan mereka ke Asia Tenggara.

Pengkaji Korea cuba untuk menjejak pergerakan Homo Sapiens ni dengan meneliti DNA mitocondrial mereka daripada Afrika Timur itu. Siapa sangka, mereka telah ditemukan dengan Perkampungan Orang Asli Batek di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang.

Dikatakan orang asli Batek ini berasal daripada suku Negrito dari Afrika, perkara itu boleh dilihat daripada struktur tubuh badan mereka yang sangat menyerupai orang Afrika.

Orang Asli Batek di Pahang. Imej dari Astro Awani

Menurut Professor Maude Phipps, Monash University, Malaysia, keturunan orang asli Batek ini adalah mereka yang berhijrah ke sini dari Afrika Timur dan memulakan penempatan mereka di Semenanjung Malaysia pada 60,000 tahun lepas.

Professor Maude Phipps daripada Monash University
Professor Maude Phipps, Monash University, Malaysia. Imej dari The Star

“Jadi mereka agak terasing daripada komuniti yang lain. Kalau ikut perbezaan, mereka merupakan yang paling hampir dengan puak Afrika yang ada pada hari ini jika kita melihat pada penampilan dan fizikal mereka. Jadi kita boleh buat konklusi bahawa mereka mungkin adalah baki-baki keturunan  Afrika yang berhijrah keluar daripada Afrika hingga ke Asia”.

Professor Maude Phipps, petikan daripada KBS WORLD TV

Jadi, kita semua ni orang Afrika juga la ye? Belum pasti lagi, itu mungkin perlukan lebih banyak kajian lagi. Sebab sekarang ni pun kita nak fokus asal-usul orang Korea pertama dahulu.

Sundaland, tanah nusantara yang besar tapi telah terpisah

Sundaland
Peta Sundaland. Imej dari Google Sites

Kenapa tiba-tiba masuk dalam artikel ni? Takpe, mari kami ceritakan. Sundaland ini ialah sebuah tanah besar yang meliputi Indo-Cina, Borneo, Sumatera dan Jawa atau dalam bahasa mudahnya, semua negara Asia Tenggara berada di dalam kontinen yang sama.

Dikatakan perkara ini terjadi kira-kira 15,000 tahun yang lalu sebelum berlakunya kenaikan paras air laut dan juga banjir besar selepas habisnya zaman ais (Ice Age). Secara kasarnya pada 14,500, 11,500 dan 7,500 tahun dahulu, terdapat kenaikan paras air laut yang mendadak sehingga terbentuknya lautan yang ada sekarang ini.

Imej daripada Imgflip.

“Kenaikan paras air laut itu sekaligus memecahkan kontinen Sundaland dan mencipta garis pantai moden yang dibahagikan kepada ‘mainland Southeast Asia’ dan selepas itu Kepulauan Sumatera, Kepulauan Borneo dan Kepulauan Jawa yang kita ada pada hari ini. Terdapat kesan yang agak besar terhadap mereka yang hidup di situ, dimana mereka yang meneruskan hidup melalui hasil hutan dan hidup di kawasan pantai akan terkena tempias yang agak dahsyat, ini semua disebabkan separuh daratan sudah hilang disebabkan laut”.

Professor Martin Richards, University of Huddersfield, petikan dari KBS WORLD TV

Jadi, kalau semua negara ASEAN bergabung, kita boleh menjadi kuasa yang sangat besar dan itu semua boleh dilihat melalui sejarah pada masa lalu.

Oleh sebab itu, kita haruslah kurangkan persengketaan bersama dengan negara-negara jiran hanya disebabkan berlainan pendapat kerana pada beribu tahun dahulu kita semua berada di atas tanah yang sama. Hidup nusantara!

Laut Kuning yang dulunya tanah besar dan berkait dengan Sundaland

Laut Kuning yang memisahkan Semenanjung Korea dan China. Imej dari Free World Map

Kaitan Sundaland dengan cerita Korea ni pula adalah, pada dasarnya, dah kalau Asia Tenggara tenggara dulu satu tanah yang besar disebabkan tiada laut yang memisahkan tu. Perkara yang sama juga terjadi pada Laut Kuning yang memisahkan Semenanjung Korea dan China.

Ia dikatakan bahawa laut kuning dahulu merupakan tanah yang besar semasa zaman ais dan pakar berpendapat bahawa kawasan itu berhubung dengan laluan ke Sundaland.

“Garis pantai yang ada di laut Kuning dalam keadaan yang agak rumit, semasa zaman ais, di mana paras air laut adalah rendah, garis pantai akan bermula berdekatan Pulau Jeju dan bersambung terus ke Selatan China, selepas itu ia akan bersambung hingga ke Sundaland”.

Dr. Lee Sanghun, Korea Institute of Ocean Science, petikan dari KBS WORLD TV
Imej daripada Imgflip

Disebabkan semua tanah besar yang bersambung, ia membuatkan pergerakan untuk pergi ke sesuatu tempat itu lebih mudah kerana tiada rintangan laut yang perlu ditempuhi pada masa itu.

Ia juga menguatkan hujah bahawa nenek moyang orang Korea ini mungkin berhijrah daripada Asia Tenggara ke Korea pada zaman ais dan para pengkaji juga sudah sebulat suara mengatakan yang penduduk Asia pertama adalah dari Asia Tenggara.

Kajian terhadap DNA yang memetakan pergerakan manusia zaman dahulu

Kajian DNA di Korea. Imej dari KBS World TV

Menurut pakar, terdapat 3 jenis kumpulan DNA yang boleh dilihat di Korea iaitu DNA Selatan (Southern DNA), DNA Utara (Northern DNA) dan DNA Hibrid (Hibrid DNA).

Dikatakan DNA Selatan boleh dijumpai di kawasan Asia Tenggara, DNA Utara pula boleh dijumpai di kawasan-kawasan sejuk di Siberia, dan DNA Hibrid pula adalah gabungan kedua-dua DNA itu.

Apabila mereka teliti, dikatakan dalam ciri-ciri genetik ‘Northeast Asians’ adalah berasal dari Asia Tenggara. Ini disokong oleh satu kajian terhadap Single Nucleotide Polymorphisms (SNP), dalam 300 bilion DNA dalam sel manusia, 1 juta daripadanya adalah unik kepada kumpulan yang spesifik atau individu dan itu lah maksud SNP.

Single Nucleotide Polymorphisms (SNP). Imej dari Natera

Dengan mengkaji SNP ini, tak mustahil untuk kita tahu bagaimana manusia zaman dulu berhijrah dari satu tempat ke satu tempat. Kajian ini juga telah menunjukkan nenek moyang orang Asia telah meninggalkan Afrika Timur kerana mereka mengembara ke India dan menetap di Asia Tenggara.

Selepas itu, sesetengah dari mereka mula berhijrah dan mengembara ke arah utara dan sampai ke Semenanjung Korea.

Daripada situ, mereka perlu membiasakan diri dengan perubahan iklim cuaca, sekaligus, akan ada perubahan genetik atau evolusi genetik yang memberi kelebihan kepada mereka untuk bertahan dalam iklim cuaca yang sejuk.

Pergerakan menerusi kajian SNP. Imej dari KBS World TV

Itulah antara bukti yang ada setakat ni, kajian SNP juga dah tunjuk pergerakan mereka macam mana. Tak peliklah orang Korea sekarang boleh tahan hidup dengan cuaca sejuk di sana, semua sebab evolusi genetik. Kira macam orang Bajau laut la, mereka pun ada evolusi genetik yang memberi kelebihan untuk bertahan dalam air selama lebih 5 minit tau.

Hargai segala perbezaan sesama kita, mungkin kita mempunyai moyang yang sama pada zaman dahulu

Kalau nak diceritakan, sebenarnya panjang lagi. Tapi sekarang memang fokus dekat orang Korea ni je, mereka sendiri pun dah mengaku yang nenek moyang mereka berasal dari Asia Tenggara dan mungkin secara tepat Malaysia.

Hal ini disebabkan, bukti yang mereka jumpa, iaitu orang Batek di Pahang. Dikatakan mereka merupakan sebagai ‘living fossil‘ yang membuktikan bahawa mereka adalah keturunan dari manusia zaman dahulu yang meninggalkan Afrika untuk ke Asia. Oh ye, tempat pertama golongan ini menetap adalah di Asia Tenggara.

Jauh betul kajian yang telah dilakukan pengkaji-pengkaji dunia ni sampaikan boleh mengetahui tentang asal-usul manusia. Mereka juga mampu untuk mengetahui tentang kewujudan Sundaland, di mana negara kita sendiri pun tidak ada informasi atau kajian intensif.

Sundaland juga ada kaitan dengan teori-teori bangsa Melayu

Ada juga fakta menarik yang ramai tak tahu mengenai orang Korea:

*Artikel ini pernah diterbitkan pada 26 Januari 2021*