Indonesia ada gempa bumi dan tsunami. Kenapa Malaysia sentiasa terselamat?

UPDATE 18/3/2019: Dua gempa Bumi yang berskala 5.8 dan 5.2 skala ritcher dah menimpa Lombok Timur, Indonesia baru-baru ni. Apa yang menyedihkan, dua warga Malaysia disahkan terbunuh dalam kejadian ini, manakala enam warga Malaysia lagi masihi hilang. Sebelum ni…

UPDATE 24/12/2018: Kejadian tsunami dah pun menimpa di Anyer, Indonesia. Kejadian ni dah menyebabkan kematian seramai 222 orang. Sebelum ni negara jiran kita ditimpa beberapa siri gempa bumi di Lombok yang turut mengorbankan ramai rakyatnya.

Kali ni SOSCILI nak ajak pembaca memahami kenapa Indonesia sering ditimpa bencana seperti ini. Apa-apa pun, sama-samalah kita mendoakan semoga semua operasi menyelamat berjalan dengan lancar.


Bila cikgu tanya, negara kita ada dekat garisan mana? Hanya yang bijak akan sebut garisan Khatulistiwa. Tapi itu bukanlah jawapan yang tepat. Kedudukan negara kita hanya berhampiran garisan Khatulistiwa (bukan tepat-tepat dalam garisan tu). Posisi inilah yang mempengaruhi ciri-ciri iklim unik Malaysia iaitu panas, lembap serta curahan hujan lebat sepanjang tahun dengan suhu tahunan kira-kira 27 C.

Ini negara-negara yang ditakdirkan betul-betul kat garisan Khatulisitwa. Imej dari Wolrd Atlas.

Negara jiran kita, Indonesia antara yang terletak betul-betul di garisan Khatulistiwa. Selain nasi sebagai makanan asasi yang sama, musim negara kita dan Indonesia juga adalah sama. Cuma yang menjadi tanda tanya adalah kekerapan gempa bumi dan letusan gunung berapi serta tsunami yang banyak berlaku di Indonesia sekalipun kita berjiran sebelah-sebelah.

 

Sebelum bincang lagi jauh, jom kita fahami secara mudah macam mana gempa bumi ni boleh berlaku.

Permukaan bumi kita ni bukanlah rata sahaja, ianya bercantum umpama puzzle

Imej dari Pinterest & Slide Share Shinning014.

Bumi yang kita sayangi ada empat lapisan utama iaitu teras dalam, teras luar, mantel dan kerak. Kalau dperincikan lagi dengan lebih dekat. Kerak dan bahagian paling atas mantel iaitu Litosphere (tengok gambar atas) dah membentuk kulit nipis di permukaan bumi kita. Tapi kulit ni bukanlah sekeping macam tu je, ia bersambung-sambung antara satu dengan yang lain macam puzzle. Kepingan-kepingan puzzle ni lah yang pakar kaji bumi dok sebut sebagai plat tektonik.

Inilah puzzle di Bumi kita. Imej dari Gaia3dblog.

Kita bentangkan plat-plat tektonik yang ada dalam bentuk karpet…

Puzzle ni nampak tenang dari atas, tapi bawahnya hanya Maha Pencipta yang tahu. Garisan-garisan tu dipanggil sempadan plat. Imej dari The Dialogue.

Plat-plat tektonik ni sebenarnya mempunyai ketebalan 5 km dan berada 60-75 km atas mantel Bumi. Bila berada rapat dengan mantel bumi yang berhaba tinggi, maka akan sentiasa berlaku perolakan (macam ombak) pada plat tektonik. Jadinnya, plat tektonik akan bergerak beberapa cm setiap tahun tanpa kita sedari. Pergerakan ni akan berlaku pertembungan antara plat di sempadan plat yang ada.

Plat-plat ni akan terus bergerak atau berolak hingga bertemu dengan plat lain. Contoh mudah, kita ambil dua keping biskut. Kedua-kedua keping biskut ni ditolak menuju satu sama lain secara mendatar dan perlahan. Sampai satu tahap, kedua-dua kepingan biskut akan pecah dan hancur. Bayangkan biskut tu adalah plat tektonik tadi, mana tak gempanya bila hancur. Bawah ni contoh macam mana plat bertemu plat.

Mana yang tak faham contoh biskut tadi, boleh tengok macam mana plat boleh pecah dan berlaku gempa bumi macam kat bawah ni.

Walaupun ada batuan yang pecah pada plat tektonik yang berlanggar, ia akan terus bergerak sampailah dia tersangkut dekat plat yang lain. Dan tunggu masa untuk gempa sekali lagi ditempat lain pula.

Negara berjiran, tapi Indonesia selalu kena gempa bumi dan jadi punca tsunami

Kalau tengok perbincangan awal tadi sampai bab gempa bumi, nampaknya Malaysia dan Indonesia sentiasa ada persamaan. Makan dan musim terbukti sama, dan dalam bab plat tektonik, nampaknya kita dan Indonesia berada dalam plat Eurasian yang sama. Tapi kenapa Indonesia lagi banyak gempa bumi dan letusan gunung berapi berbanding Malaysia.

Walaupun Malaysia dan Indonesia ada dalam plat Eurasian, tapi nampaknya Indonesia berada dalam Lingkaran Api Pasifik atau Pacific Ring of Fire. Di sinilah garisan-garisan sempadan plat tektonik paling aktif bertemu dan bergerak sepanjang tahun.

Walaupun tak rupa cincin. Imej dari Geology In.

Di sinilah 90% gempa bumi kat dunia ni berlaku serta di situ juga adanya 75% gunung berapi yang aktif. Kalau dalam nombor, ada 452 gunung berapi yang terbentang dari hujung benua Amerika Selatan (yang ada hutan Amazon tu) membawa ke pantai Amerika Utara (yang ada Donald Trump tu). Tak berhenti kat situ, ia bersambung ke Jepun dan berakhir di New Zealand.

Maka, Indonesia adalah antara negara yang terletak dalam lingkaran ni. Para pengkaji mengakui bawah struktur dan lantai lautan Indonesia ni sangat kompleks dan rumit. Memang pertembungan plat tektonik banyak terjadi di bawah situ. Ianya berakhir dengan gempa bumi dan tsunami.

Banda Acheh selepas gempa dan tsunami. Imej dari Mymoen.

Sebagai contoh, gempa bumi di Banda Aceh pada 26 Disember 2004 berlaku disebabkan Plat India tergelincir di bawah Plat Burma secara tiba-tiba. Bencana ni juga menghasilkan tsunami yang sangat menakutkan. Ada beberapa lagi contoh gempa yang berlaku di Indonesia, cumanya kami kembali kepada bencana gempa bumi yang berlaku di Lombok ini. Adakah ia akan jadi macam yang berlaku di Banda Aceh? Apakah selepas gempa bumi Lombok ini akan berlaku tsunami?

Dalam sejarah gempa bumi di kawasan berdekatan Lombok, lepasnya tsunami

Kawasan berdekatan Lombok yang pernah terkena gempa bumi. Imej dari The Conversation.

Dari gambar di atas, kawasan berdekatan Lombok sebelum ni pernah mengalami gempa bumi. Jadi, gempa bumi Lombok dikatakan terkait dengan kawasan ni. Paling terdekat yang pernah terjadi adalah pada tahun 2009 di Pulau Sumbawa dengan 6.7 skala ritcher.

Gempa bumi Lombok  berlaku dipercayai kerana plat tektonik Australia bergerak atas plat kepulauan Indonesia yang membawa ke Selatan Lombok. Jadi, bukan setakat Lombok sahaja, Bali juga berisiko untuk mengalami gempa bumi dan mana-mana kawasan ke arah utara. Satu lagi jangkaan para pengkaji, akan beraku tsunami tak lama lagi.

Sebab contoh memang ada pada tahun 1992. Kawasan berdekatan Lombok iaitu Pulau Flores pernah mengalami gempa bumi berkekuatan 7.9 skala ritcher. Bencana ini dah membawa kepada tsunami yang menghentam kampung-kampung di persisir pantai kawasan itu yang membunuh 2,000 orang. Gempa-gempa bumi lain di kawasan berdekatan yang pernah berlaku pada abad ke-19 juga menghasilkan tsunami selepas gempa bumi.

Gempa bumi di Bali berdekatan Lombok. Imej dari Daily Express.

Itulah antara kajian mengenai gempa bumi dan tsunami yang  berlaku di sekitar Indonesia. Jadi, kita teruskan perbincangan pasal negara kita pula. Kenapa tak berapa nak kena gempa bumi ni?

Jika Indonesia sebagai punca, adakah Malaysia akan sentiasa selamat?

(Subtopik ini banyak merujuk temubual antara wartawan Mingguan Malaysia dengan Profesor Madya Mustaffa Kamal Shuib, pensyarah Jabatan Geologi Universiti Malaya)

Malaysia walaupun sebelah Indonesia, tapi kedudukan kita agak terkedalam dan sedikit luar dari Lingkaran Api Pasifik. Jadinya, kita terlindung dari bencana alam macam gempa bumi dan letusan gunung berapi. Kita patut bersyukur sebab negara kita juga berada di luar kawasan angin taufan yang menjauhkan kita dari bencana taufan puting beliung.

Namun, ada berita menyatakan Malaysia dah pun termasuk dalam senarai negara Lingkaran Api Pasifik. Namun, tiada penerangan lanjut dan terperinci mengenainya.

Imej dari Political Gags.

Apa yang paling penting. kena berjaga-jaga juga sebab kita berjiran dengan negara-negara yang ada dalam lingkaran tu. Tekanan yang dihasilkan dari negara jiran pasti juga bagi kesan kat kita juga. Cumanya, tekanan yang datang dari lingkaran agak sukar untuk menembusi Malaysia. Kalau berlaku gegaran pun mungkin hanya berskala 3.5 magnitud di Semenanjung Malaysia dan itulah yang paling besar.

Pada tahun 2004, kejadian gempa bumi yang berlaku di Acheh menyebabkan berlakunya tekanan terhadap semenanjung. Gempa bumi di Acheh pada tahun 2007 yang cukup besar dah menyebabkan tekanan itu terkumpul di Semenanjung. Lepas terkumpul, ianya dilepas sedikit demi sedikit yang menyebabkan gegaran-gegaran kecil di Semenanjung. Selain gempa Acheh, gelinciran plat Sunda, Sumatera, Indonesia juga penyebab berlaku gegaran kecil di negara kita.

Malaysia dalam plat Eurasian, tapi kalau perincikan lagi, kita terletak dalam plat Sunda. Imej dari SRC.

“Pada pandangan saya, lebih baik tekanan ini dikeluarkan dengan gegaran yang berskala kecil kerana sekiranya tekanan ini terhimpun dan hanya dikeluarkan dengan satu kejadian gempa, maka satu gempa bumi berskala besar akan terhasil dan ini akan membahayakan kita.”- Profesor Madya Mustaffa Kamal Shuib, petikan dari Utusan.

Sekalipun kesan gempa negara jiran boleh terkesan kepada kita, tapi perlu diingat mengenai beberapa siri gempa bumi di negara kita yang puncanya dari dalam negara sendiri. Contoh yang terbaik adalah apa yang berlaku di Ranau, Sabah. Gempa yang terjadi datangnya dari pusat gegaran betul-betul berada bawah Gunung Kinabalu dengan kedalaman 10 km.

Menurut Prof. Madya Mustaffa Kamal lagi, kat Sabah memang ada tiga zon merah (aktif) iaitu di zon tengah, Sandakan dan Semporna. Selain tu juga, ada zon hitam yang merupakan kawasan yang tak lagi aktif. Untuk berlaku gempa lagi di Ranau agak sukar sebab kejadian macam ni hanya berlaku sekali dalam masa 25 tahun. Maksudnya, tenaga yang disimpan Gunung Kinabalu akan keluar lepas 25 tahun. Dalam masa terdekat ni takkan berlaku lagi, gegaran susulan ini pula semakin lama semakin berkurang.

Kesan gempa bumi di Ranau. Imej dari Astro Awani.

Sejak 1960-an, Sabah dah kena hampir 80 kali kejadian gempa kecil terutamanya di Lahad Datau. Tapi, ini taklah menunjukkan Sabah je yang berisiko kena gempa. Sebabnya, ada beberapa gempa yang pernah berlaku secara tiba-tiba di Semenanjung walaupun negara jiran tak gempa.

Kes ni boleh dirujuk pada kejadian gempa di Janda Baik, Pahang (November 2007), Jerantut, Pahang (Mac 2009), Manjung, Perak (29 April 2009) dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan (November 2009). Kesemua kejadian ni berpunca dari pusat gegaran yang ada di Semenanjung sendiri. Tapi kita bernasib baik sebab gegaran-gegaran ni adalah kurang dari 3.5 magnitud yang dikategorikan sebagai lemah. Gegaran selemah ini takkan menyebabkan kerosakan bangunan atau rumah.

Selesai berbincang pasal punca dan kebarangkalian gempa bumi di Malaysia, ada sesuatu yang korang kena tahu bahawa Malaysia ada gunung berapi. Biar betul?

Malaysia ada kawah-kawah gunung berapi, tetapi tidak meletus seperti di Indonesia?

Mangsa letusan gunung berapi di Indonesia. Imej dari The Atlantic.

Menurut para pengkaji, tak semua pertembungan plat tektonik akan mendatangkan gempa bumi dan tsunami. Ada je sempadan plat yang berlanggar dan menolak batuan ke atas lalu terhenti pada satu titik pertembungan. Kejadian ni akan membentuk kawasan pergunungan. Kalau korang nak tahu, Gunung Himalaya terbentuk dari perlanggaran plat Indo-Australia dan Eurasian.

Kalau gunung untuk hiking semua sukalah kan sebab boleh selfie kat puncak. Tapi, macam mana pulak dengan gunung berapi? Kenapa dia boleh meletus tiba-tiba macam yang berlaku di Gunung Merapi, Indonesia tahun 2018 ni? Sampai memuntahkan abu dan blok lava setinggi 5,500 meter ke udara.

Selain gempa bumi, tsunami dan pembentukan gunung, plat tektonik kalau berlanggar akan mengeluarkan isi perut bumi macam magma. Ianya akan meletus keluar melalui retak-retak yang ada pada permukaan gunung ni tadi.

Imej dari BBC.

Persoalannya sekarang, kalau Indonesia ada gunung berapi, takkan Malaysia tak ada? Hanya orang yang pakar macam Prof Madya Mustaffa Kamal akan cakap ada. Antara kawasan tersebut adalah Kuantan (paling muda dan terakhir meletus di negara ni), Segamat, Gerik dan Gua Musang di Semenanjung. Kawasan-kawasan ni tadi ada terkandung batuan volkanik hasil letusan suatu masa dahulu. Manakala di Sabah, ada kesan-kesan gunung berapi di Semporna dan Tawau. Di Tawau, masih kekal ada kawah gunung berapi tetapi ianya dah terlalu lama tidak aktif.

“Memang benar terdapat beberapa kawasan di Malaysia pernah mempunyai gunung berapi tetapi letusan itu berlaku ratusan juta tahun lalu. Justeru, apa yang tinggal hari ini adalah sisa gunung berapi yang telah lama mati.”- Prof Madya Mustaffa Kamal, petikan dari Utusan.

Gunung berapi di Malaysia ni tak lagi aktif kerana proses hakisan dan enapan yang memakan masa jutaan tahun hingga menyebabkan kawah gunung berapi tu tak lagi kelihatan. Jadi, janganlah kita risau sangat.

Setiap rakyat Malaysia perlu ada ilmu keselamatan bencana

Memang terbukti yang Malaysia negara yang terselamat dari Lingkaran Api Pasifik yang aktif dengan pergerakan plat yang menyebabkan gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi. Namun, bagi pakar, ada dua benda yang perlu dijadikan pengajaran selepas beberapa kejadian di negara jiran. Pertamanya, tsunami dari gempa besar Acheh yang sampai ke Malaysia hingga menyebabkan tanah jerlus di kawasan Semenanjung. Keduanya adalah gegaran bawah tanah yang bagi kesan kepada struktur bangunan.

Ini buat-buat gempa namanya

Maka, setiap dari kita wajib untuk tahu ilmu-ilmu keselamatan ketika bencana dan selepas bencana. Bila kita belajar dan faham ilmu ni, barulah tahu kat mana nak berlindung. Nak buat apa kalau masa bencana ada atas jalan raya dan sebagainya. Barulah rakyat Malaysia menjadi rakyat yang ilmu lengkap di dada.

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT