Kemanusiaan

7 fakta mengejutkan tentang obesiti kanak-kanak di Msia

Obesiti kanak-kanak bukan sahaja merupakan masalah yang meruncing di Malaysia, tapi juga di seluruh dunia. Disebabkan itulah kelab bola Barcelona dan Beko, syarikat peralatan elektronik rumah telah melancarkan kempen bagi memberi kesedaran tentang isu kanak-kanak obesiti di dunia.

Mereka berjaya mengumpul €1,000,000 hanya dalam masa 11 hari dan memberikan duit tersebut kepada UNICEF untuk mereka membantu keluarga dan sekolah yang mempunyai masalah obesiti. Dengan menggunakan #EatLikeAPro korang boleh upload gambar di Instagram serta status di Twitter untuk berkongsi dengan orang ramai tentang tabiat pemakanan korang yang sihat. Cubalah mana tahu nanti Messi like gambar korang ke?

Pique pun ada sekali. Imej dari kempen Eat Like A Pro.

Kalau nak tahu, 5.5 juta rakyat Malaysia mengalami obesiti dan 38% daripada mereka adalah kanak-kanak. Jadi apakah faktor kanak-kanak Malaysia ni mengalami obesiti? Adakah mereka ini dari golongan yang berada? Kanak-kanak lelaki ke perempuan yang ramai obesiti ni? Mari SOSCILI nak habaq mai kat hangpa.

1. Kanak-kanak perempuan lebih ramai yang obesiti berbanding kanak-kanak lelaki!

Cara mudah untuk tahu kita obesiti ke tak adalah dengan mengetahui nilai indeks jisim badan (BMI) korang. Korang akan masuk dalam kategori obesiti kalau BMI korang 30 dan ke atas. Cuba kira pakai kalkulator kat bawah ni.

Klik imej ni untuk kira BMI korang. Imej dari bmicalculatorusa

Kalau kita cakap pasal makan, mesti kita sinonimkan dengan lelaki sebab kaum ni yang selalunya kuat makan. Tapi bagi sekolah di Malaysia, sebenarnya perempuan lebih ramai yang obesiti berbanding lelaki! Kajian juga mendapati dari segi bangsa, perempuan berbangsa India lebih ramai yang mengalami obesiti dan bagi lelaki pula adalah dari kaum Cina.

Faktor perbezaan jantina ini boleh dikaitkan dengan kanak-kanak perempuan yang kurang bersukan di sekolah dan juga di rumah. Malah pertandingan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) juga lebih cenderung untuk kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan. Malah stereotaip kanak-kanak perempuan yang gemar bersukan adalah tomboi meminimakan peluang untuk mereka ini bersukan.

Banyak duit, banyaklah makan betul tak? Jadi golongan kanak-kanak yang obesiti ni mestilah merupakan golongan berada dan tinggal di kawasan bandar. Tapi sebenarnya tidak juga sebab…

2. Kanak-kanak obesiti ramai datangnya dari keluarga miskin!

Jangan ingat anak-anak Tan Sri je yang lebih berat badan. Imej dari Laporan Unicef.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pernah datang buat kaji selidik di kawasan rumah kos rendah di Lembah Klang, dan didapati purata kanak-kanak obesiti di situ adalah hampir 6 kali ganda (23%) lebih tinggi dari purata di Kuala Lumpur (4%). Kenapa macam tu pula?

Ini kerana makanan dan bahan mentah yang dibeli oleh golongan berada adalah berkualiti tinggi dan seimbang nutrisinya. Manakala bagi keluarga miskin ni, mereka hanya mampu untuk membeli makanan murah yang kurang atau sifar khasiat. Mereka tak pentingkan keseimbangan diet, cukup asalkan perut kenyang. Tak percaya tengoklah Bersamamu sedih huuuu.

Tak cukup dengan itu, kanak-kanak miskin di Malaysia juga mempunyai masalah terbantut tumbesaran kerana pemakanan mereka yang tak cukup khasiat ini. Malah di Kelantan, peratus kanak-kanak di sana yang terbantut adalah lebih tinggi (20.7%) dari Ghana (18.8%). Padahal kita punya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 6 kali ganda lebih banyak berbanding negara Ghana!

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Imej dari Imgflip.

Berbalik pada isu obesiti ni, kalau nak elak mestilah kita kena kurangkan berapa kali kita makan kan? Jadi tak payah la kita sarapan, makan tengah hari terus. Betul tak?

3. Kanak-kanak yang tidak bersarapan lebih cenderung untuk mengalami obesiti!

Bukan sahaja kanak-kanak malah yang dewasa pun selalu skip sarapan pagi sebab nak tunggu makan tengah hari saja. Lepas tu, untuk tebus kalori yang kita ‘terlepas’ masa sarapan tadi, kita makan apa? Nasi tambah lauk ikan keli goreng, telur masin, pucuk paku masak lemak dan air milo ais ikat tepi. Tapi kira okay la kan sebab kalori yang kita ambil ni kira sekali dengan yang tak sarapan tadi?

Fakta: Lepas tulis artikel ni, kami terus ke Kampung Baru untuk makan nasi campur. Imej dari Asha.

Sebenarnya, tidak bersarapan pagi akan merendahkan metabolisme badan korang yang akan menyukarkan badan korang untuk membakar lemak. Sama juga dengan apabila korang makan malam terlampau lewat, iaitu selepas 3 jam sebelum tidur. Jadi ini akan menyumbang kepada berat badan berlebihan. Selain itu, konsentrasi kanak-kanak dalam kelas juga akan menurun sekiranya mereka tidak bersarapan.

Sebab tu banyak syarikat seperti MILO menganjurkan kempen untuk memberi kesedaran tentang pentingnya sarapan pagi ni. Menurut mereka, bersekolah ni menggunakan sama kalori dengan berenang 50 pusingan! Tapi sarapan pun jangan la over, senang cerita, pastikan pengambilan kalori kanak-kanak tu tidak melebihi 1700 kcal sehari dan nutrisinya seimbang.

Pakar nutrisi juga mencadangkan kita pecahkan amalan makan 3 kali sehari ni kepada 6 kali sehari, dengan portion yang lebih kecil. Ini adalah untuk menaikkan kadar metabolisme badan dan mengurangkan rasa lapar yang amat di antara waktu makan. Bagi yang bersekolah asrama penuh (SBP) tu, inilah sebabnya dewan makan korang hidang makan 6 kali sehari. Tapi risau juga lah, setiap tahun mesti ada kes keracunan makanan di sekolah berasrama.

Baru-baru ni pun 31 orang pelajar MRSM Taiping keracunan makanan. Imej dari Utusan.

Tapi sarapan pagi ni di rumah dan mak ayah boleh kawal nak hidang apa. Kalau kat sekolah boleh jamin ke anak-anak diorang makan makanan yang sihat?

4. Penjaja luar sekolah antara punca kanak-kanak obesiti

Siapa tak suka snek? Ianya murah, cepat dan mengalas perut kita sementara nak tunggu waktu makan betul. Tapi snek ni juga tinggi dengan garam, pengawet, gula serta pelbagai lagi bahan yang boleh menyumbang kepada obesiti. Dan lagi bahayanya, kanak-kanak kini mudah mendapatinya betul-betul di luar pagar sekolah.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Noor Rezan binti Bapoo Hashim juga pernah menyatakan kerisauan beliau dengan peningkatan penjualan makanan rapu atau junk food dalam bahasa omputeh.

Camne diorang buat untung jual RM1 ek? Imej dari Sinar.

“Semasa saya pernah menjadi guru besar dahulu, saya haramkan kantin menjual makanan ringan dan pelajar pun dilarang membawanya ke sekolah. Tapi tamat sekolah, mereka terus membelinya di luar sekolah.” -kata Datuk Noor Rezan di Utusan.

Bukan tak ambil tindakan, malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri dah serik saman penjaja ni RM300 tapi mereka masih degil. Datuk Ibrahim Yusoff, Timbalan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL berkata,

“DBKL telah melarang peniaga-peniaga kecil daripada berniaga di kawasan luar sekolah, jika ingkar, barangan niaga akan disita dan dikenakan kompaun sebanyak RM300 namun selepas disita, dua atau tiga hari kemudian mereka akan datang berniaga semula.

Bukan DBKL tidak bertindak tegas tetapi peniaga ini yang degil meneruskan jualan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Amboi tak makan saman. Imej dari Selangor Kini.

Malah sekarang kita tengok dekat kantin sekolah sendiri banyak jual makanan ringan seperti kentang goreng dan nugget. Ini kerana mereka juga sedar menjual makanan rapu ni menguntungkan kerana kosnya yang sangat rendah. Pihak kementerian ada mengeluarkan Buku Pengurusan Kantin Sekolah 2017, tapi pihak pentadbiran sekolah macam tak amalkan apa yang disuruh dalam buku tu.

Tapi boleh jadi ke obesiti ni sebenarnya boleh diwarisi seperti penyakit kanser dan kencing manis?

5. Hampir 70% kanak-kanak Malaysia yang obesiti juga mempunyai mak ayah yang obesiti!

Memang dari sudut biologi, kita akan mewarisi genetik kedua ibu bapa kita dari segi rupa, jenis darah malah berat badan pun sama! Statistik menunjukkan daripada jumlah kanak-kanak obesiti di Malaysia, 70% daripada mereka juga mempunyai mak ayah yang mengalami obesiti.

Imej dari Iluminasi.

Tapi bukan dari aspek genetik sahaja, gaya pemakanan ibu bapa juga sangat mempengaruhi anak mereka. Sekiranya mereka sukakan makanan berminyak dan berlemak, semestinya mereka juga akan menghidang makanan itu kepada anak mereka. Lagi parah sekiranya ibu bapa sibuk bekerja sehingga sering memesan makanan segera untuk anak kerana tiada masa untuk memasak.

Mak ayah yang ‘kiasu’ juga menjadi isu apabila mereka lebih mementingkan keputusan akademik anak mereka berbanding perkara yang lain. Jadi masa riadah petang ditukarkan menjadi sesi tuisyen. Selain itu, sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu memanjakan anak mereka dengan teknologi seperti tablet dan telefon pintar juga menyebabkan mereka lebih gemar bermain dalam rumah berbanding luar rumah.

VICE juga pernah membuat dokumentari mengenai peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Kuwait. Didapati faktor terbesarnya adalah kerana budaya family outing di Kuwait adalah untuk lepak di restoran makanan segera. Kalau nak tahu, industri makanan segera di sana lebih besar daripada Amerika! Domino’s Pizza di Kuwait juga mendedahkan secara purata, satu keluarga akan memesan piza mereka sebanyak 4 kali seminggu!

Makdunaldz. Imej dari The Voice of Nation.

Ada banyak implikasi buruk obesiti ni malah ia boleh menyebabkan kegagalan jantung! Tapi itu implikasi fizikal. Kanak-kanak obesiti juga sering mengalami gangguan emosi akibat…

6. Kanak-kanak obesiti sering dibuli sehingga ada yang nak bunuh diri!

Walaupun Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) menunjukkan penurunan kes buli pada tahun 2017, kita tidak boleh berbangga kerana ianya masih wujud. Malah bentuk baru buli sekarang adalah buli siber di mana pembuli tak perlu menunjukkan diri untuk membuli, hanya pos komen tak baik di Instagram pun dah cukup.

Mereka yang mengalami obesiti juga tidak terkecuali menjadi mangsa buli kerana fizikal mereka yang berbadan besar. Mereka disamakan dengan haiwan berbadan besar seperti badak, gajah dan sebagainya. Tak cukup diejek, ada juga yang sampai dibelasah oleh pembuli. Pengacara terkenal, Sherry Alhadad pernah mendedahkan yang dia selalu dibuli di sekolah kerana berbadan besar, malah pernah diterajang sehingga jatuh ke dalam longkang.

Dah kurus sikit dah Sherry ni kan? Imej dari Media Hiburan.

Awal tahun ni juga viral dengan kisah seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Singapura yang menulis nota bunuh diri yang dijumpai oleh ibunya ketika mengemas rumah. Dalam notanya, dia menulis betapa gembiranya dia kalau dapat menikam diri sendiri dengan sebilah pisau.

”Saya terfikir kenapa ibu melahirkan saya dengan rupa sebegini. Pendek, gemuk, dan hodoh. Dia tak suka lihat saya menangis setiap masa.

Alangkah bagusnya rasa itu ketika saya dapat sebilah pisau dan berjaya tikam diri saya. Tiada lagi buli. Tiada lagi kerja sekolah. Saya akan bunuh diri pada suatu hari nanti.” – tulis kanak-kanak tersebut dalam nota bunuh dirinya.

Sesungguhnya lidah itu lebih tajam dari pedang. So jaga percakapan korang gais. Imej dari World of Buzz.

Tapi hujung pangkalnya, siapa yang patut dipersalahkan untuk masalah kanak-kanak obesiti ni? Atau mereka hanya memberi alasan menyalahkan pihak lain dan tidak mempunyai disiplin untuk push diri sendiri supaya berdiet dan bersenam?

Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih

Kita kena ambil kira yang kanak-kanak ni masih belum matang lagi dan tidak boleh membezakan antara baik dan buruk dengan jelas. Oleh itu, adalah peranan kita bersama untuk sama-sama membantu menyedarkan kanak-kanak tentang bahayanya obesiti ni. Ibu bapa terutamanya harus menyemaikan hidup gaya yang sihat serta besederhana dalam pemakanan. Bukan tak boleh pergi McDonald’s, sekali sekala tu okay saja.

Dari segi kerajaan, kita tak boleh komen banyak sebab kerajaan ni masih baru. Namun kerajaan terdahulu juga pernah bercadang nak hantar pakar nutrisi ke sekolah untuk atasi obesiti, tapi macam tak dengar cerita pun? Yang selalu dengar, suku-suku-separuh tu jelah.

Contoh Model Pinggan Sihat Suku Suku Separuh. Imej dari tanya dietitian.

Apa-apa pun, mari lah kita sama-sama #EatLikeAPro dan menjadikan Malaysia antara negara yang paling ramai kanak-kanaknya cergas dan cerdas!

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend