5 fakta MENARIK mengenai Tok Mat sebagai pemimpin UMNO yang ramai tak tahu

Lima hari yang lepas, tersebar gambar Datuk Seri Mohamad Hasan, atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat dilihat bersama beberapa ahli UMNO yang lain berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Imej dari Malaysia Gazette

Disebabkan gambar tu, ada desas-desus yang mengatakan Tok Mat akan menyertai Bersatu sebagaimana bekas ahli UMNO yang lain. Ia kemudiannya disahkan oleh Tun Mahathir sendiri, yang kata Tok Mat berjumpa dengannya dan menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti.

Tapi nampaknya Tok Mat nafikan apa yang Tun M cakap, dan menegaskan yang dia takkan lompat parti. Mana taknya, kes lompat parti ni juga bukanlah satu perkara yang pelik pun sekarang di mana ramai ahli UMNO masuk BERSATU, menyebabkan beberapa ahli UMNO (dan bukan UMNO) mula meragui kepimpinan Zahid Hamidi. Perkara ni kemudian memaksa Zahid untuk menyerah kuasa kepada pemangkunya, tak lain tak bukan adalah Tok Mat.

Selain daripada dipilih melaluinya rankingnya sebagai pemangku, ada beberapa perkara menarik tentang tokoh ni.

1. Mempunyai latar belakang perbankan sebelum terjun ke bidang politik

Bagi yang tak familiar sangat dengan politik, at least mesti korang dengar juga nama Tok Mat Hasan beberapa tahun kebelakangan ni. Mana taknya, ramai yang memuji Menteri Besar Negeri Sembilan ke-10 ni disebabkan pentadbirannya yang baik, dan sedikit sebanyak memajukan Negeri Sembilan.

Asalnya, Tok Mat Hassan berlatar belakangkan perbankan di mana dia pernah bekerja sebagai Penolong Pengurus Malayan Banking Berhad di cawangan Petaling Jaya. Dia juga menjawat jawatan sebagai Pengurus di Public Bank Berhad, Pengurus Perbankan Korporat di Arab Malaysian Merchant Bank Berhad, dan Pengarah Urusan di Bank Bumiputra Berhad (London) sehingga tahun 1992.

Tok Mat Hasan waktu muda. Imej dari justread

Dia juga pernah memegang beberapa jawatan lain sebagai ahli lembaga pengarah di Khazanah Nasional Berhad, Litar Antarabangsa Sepang F1 Malaysia, Pengerusi FIMA Malaysia Berhad, dan Penasihat Mercedes Benz Asia Pte Ltd bagi rantau Asia Tenggara.

Pada tahun 1999, Tok Mat kemudiannya berkecimpung dalam bidang politik di mana dia bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 di DUN Rantau menggantikan adiknya, Dato Abdul Ghani yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Rantau. Selain adiknya, Dato Azman Hasan, abang sulungnya juga merupakan bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Pada tahun 2004 pula, dia masih berjaya mengekalkan kerusi Rantau dengan kelebihan 6,199 undi mengatasi calon Keadilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard. Kejayaan besarnya dalam parti ni jugalah menyebabkan dia dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan menggantikan penyandang sebelumnya, Tan Sri Isa Abdul Samad. Apa yang membuatkan dia kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama lebih 10 tahun adalah…

2. Ketegasannya dalam pentadbiran membuatkan EXCO UMNO bekerja keras untuk rakyat

Setelah pelantikannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan masuk penggal kedua, Tok Mat Hasan perasan dengan rentak politik negara yang baginya perlu diperbaiki. Jadinya, dia buat sesuatu yang agak drastik, iaitu dengan menetapkan tempoh perkhidmatan Exco selama dua tahun saja pada semua anggota Exco yang dilantik, berbanding masa sebenar iaitu empat hingga lima tahun.

Senyum, senyum juga. Bila kerja memang tegas. Imej dari The Malaysian Insight

Alasannya, penetapan tempoh tersebut merupakan satu mesej kepada semua Exco yang mereka perlu bekerja keras demi memastikan mandat yang diberi tak disia-siakan. Kalau dalam masa dua tahun tu mereka tak perform, jadi mereka akan digantikan dengan mana-mana ADUN yang mampu bekerja.

Amaran tu juga termasuklah wakil dari MCA dan Kongres India Malaysia (MIC) di peringkat negeri. Ketegasannya tu juga membuatkan Exco bukan saja bekerja keras, malah lebih berdisiplin sehinggakan pada tahun 2010, akhirnya tiada rombakan Exco pun yang dibuat.

Kerja keras mereka juga nampaknya berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi membanggakan saban tahun dengan KDNK pada tahun 2011 dan 2012 mencatat 5.2% dan 6.2%. Semasa penggal 2013 hingga 2018 ini juga, Negeri Sembilan terus mencatat prestasi ekonomi yang membanggakan. Sementara hutang negeri kepada Kerajaan Persekutuan pula rendah dan terkawal iaitu RM254 juta dan menjadi satu-satunya negeri yang membayar hutang secara tunai kepada Kerajaan Persekutuan.

3. Pernah jadi pemain bola sepak Negeri Sembilan, dan kemudiannya diharamkan sampai sekarang

Dalam ketegasannya tu, ada cerita lucu yang pernah terjadi pada 40 tahun yang lalu. Bagi peminat bola sepak tempatan, mesti korang tahu yang Tok Mat adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sebelum digantikan dengan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri pada September lepas.

Tapi korang tahu tak yang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ni juga satu masa dulu juga pernah bermain untuk kelab pasukannya, NS Malays?

Tok Mat Hassan semasa mewakili pasukannya, NS Malays pada 1977. Imej dari Berita Harian

Tapi ada satu insiden pada tahun 1977 yang membuatkan dia bukan saja tak dapat bermain dalam kelabnya, malah diharamkan terus daripada  bermain seumur hidup!

Masa hari kejadian, Tok Mat ditugaskan sebagai pemain pertahanan, di mana dia perlu mengawal pemain kebangsaan, G. Torairaju yang ketika itu dikenali sebagai pemain yang cukup handal. Mungkin darah muda pada masa tu, dia pun bermain sampai mengasari Torairaju, yang kemudiannya menyebabkan dia dilayangkan kad kuning.

Bengang dengan amaran kad kuning tersebut, dia seakan-akan mencurahkan minyak ke api dia kemudiannya bertindak lebih kasar dengan bukan saja membantah, malah menendang bola sehingga terkena pengadil yang menyebabkan dia kemudiannya dilayangkan pula kad merah.

Bukan kejadian asal. Gif dari tenor

Berang dengan keputusan pengadil, dia dengan beraninya merampas kad dari tangan pengadil, membalingnya dan menyebabkan kad tersebut tersangkut di atas pokok.

Bila Tok Mat ditanya pasal kes tu, dia menjawab dengan penuh redha:

“Saya masih digantung. Walaupun saya dah jadi presiden, saya masih digantung. Ada usaha tujuh atau lapan tahun dahulu bawah usul Ahli Majlis (PBNS) untuk menamatkan pergantungan tersebut, tapi saya kata tak perlu lagi lah.

Saya memang salah pun. Memang saya harus dibuang padang dan digantung seumur hidup,” – Dato Seri Mohamad Hasan, dipetik dari Astro Awani.

Selain daripada pernah sepasukan dengan Allahyarham Mokhtar Dahari dalam Sukan SEA 1979 di Jakarta, Torairaju kini merupakan jurulatih Melaka United Soccer Association – MUSA. Imej dari FB MUSA

4. Menang tanpa bertanding PRU lepas, tapi nampaknya kena bertanding balik dalam PRK

Kalau korang ingat lagi pada musim PRU yang lepas, Tok Mat nampaknya menang tanpa bertanding apabila calon PKR, Dr S Streram, gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau. Kes tu dipertikaikan juga sebab Dr S Streram, pencadang dan penyokongnya tak dibenarkan masuk hanya sebab dia takde pas calon dan juga pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Hold my beer sirap”. Imej dari Utusan

Tak puas hati dengan perkara tu, Streram kemudiannya memfailkan petisyen di mahkamah  terhadap Tok Mat pada 23 Mei lepas, dan dinamakan sebagai responden pertama. Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) masing-masing pula sebagai responden kedua dan ketiga.

Cakap pasal SPR, banyak perkara yang meragukan pasal mereka dalam PRU yang lepas. Mana taknya, masa malam PRU Mei lepas, punyalah lambat nak inform keputusan pilihanraya.

Dah pukul 2 pagi pun boleh buat alasan macam ni masa malam PRU14

Malah sebelum pilihanraya lagi SPR sesuka hati ubah sempadan mengundi, umumkan tarikh mengundi yang macam tak masuk akal, yang akhirnya menyebabkan mereka disiasat. Disebabkan banyak keraguan yang berlaku, akhirnya SPR digantikan pula dengan ahli yang baru lepas kemenangan Pakatan Harapan. Untuk lebih ketelusan pada pilihan raya kecil lepas PRU, SPR melantik pula enam organisasi pemantau untuk PRK Sungai Kandis supaya tak berlaku penipuan.

Berbalik kepada kes menang tanpa bertanding tu, Tok Mat bagaimanapun memfailkan bantahan awal pada 25 Jun lepas untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Streram tu.

Tapi akhirnya Hakim Datuk Azimah Omar memutuskan PRK bagi DUN Rantau yang dimenanginya perlu diadakan serta-merta selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen, Dr S Streram dan peguam responden. Jadinya, mahkamah mengisytiharkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau adalah tak sah dan batal. Bagaimanapun, Tok Mat masih ADUN Rantau sementara menunggu keputusan rayuan.

Jadinya, boleh ke Tok Mat menang untuk PRK Rantau kali ni? Dengan kemenangan Pakatan Harapan selama empat kali berturut-turut dalam PRK Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, dan juga Port Dickson pada tahun ni…

5. Prestasi lebih cemerlang berbanding ahli UMNO yang lain

Persoalannya, mampukah Pakatan Harapan menang sekali lagi untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau? Atau mampukah Tok Mat mengekalkannya? 

Hmm, mana lagi kuat?

Kedua-dua pihak sama ada UMNO atau Pakatan Harapan ada kebarangkalian yang tinggi. Sebab menurut penganalisis politik, tak mudah sebenarnya untuk menumbangkan Tok Mat Hasan. Nak pula dia dikenali sebagai satu figur yang kuat bukan saja bagi penduduk negerinya, dikatakan mampu memberi impak kebangkitan UMNO yang semakin nyawa-nyawa ikan ni.

Malah kepercayaan yang diletakkan ke atasnya adalah disebabkan rekod bersih, cemerlang dan juga kredibeliti dan tak terpalit dengan tuduhan rasuah dan penyelewengan semasa pentadbirannya berbanding beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang lain. Perkara ni yang membuatkan dia mempunyai penyokong sendiri yang sedar dengan aura dan kekuatan yang ada pada dirinya untuk membawa pembaharuan dalam UMNO.

Perkara yang sama juga menyebabkan Zahid Hamidi akhirnya memberikan ruang dan peluang kepada Tok Mat Hasan,

“Jika benar saya menjadi punca utama (kepada lompat parti), maka keputusan yang saya lakukan adalah kaedah sebaik-baiknya untuk saya berikan kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas presiden.

“Ini tentunya sesuai dengan semangat dalam perlembagaan Umno sendiri bahawa jika presiden tidak mendapat ‘hidayah’, maka kaedah terbaik (adalah) berikan kepercayaan pada timbalan presiden untuk jalankan tugas presiden,” – Zahid Hamidi, dipetik dari MalaysiaKini.

Berdepan dengan 45 pertuduhan, lebih tinggi berbanding Najib Razak. Klik untuk baca pasal Akal Budi yang lebih mengelirukan berbanding jantina Nur Sajat.

Pembangkang perlu ada figura yang kuat

Suka atau tak, Tok Mat memang diakui sebagai figur pembangkang yang kuat dan disegani. Malah ini sebenarnya yang diperlukan oleh UMNO untuk rakyat buat masa ni di mana rakyat ada pilihan untuk menentukan apa yang baik untuk negara melalui pilihanraya.

Mungkin terlalu banyak kali ‘check and balances’ disebut-sebut pada tahun ni, tapi realitinya, inilah yang diperlukan dalam politik yang sihat. Ia diperlukan supaya kerajaan tak mudah terlampau berpuas hati dengan keputusan mereka yang kadang kala nampak macam terlampau membuta tuli dan tak memikirkan rakyat, berlainan dengan apa yang diperjuangkan mereka sebelum ni.

Lagipun, tempoh ‘honeymoon’ Pakatan Harapan dah tamat dan ini lah masanya mereka berkhidmat untuk rakyat. Pilihan rakyat untuk mengubah kerajaan sebenarnya adalah amanah rakyat untuk pemimpin supaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik dan terkehadapan walaupun dengan pelbagai masalah yang pernah melanda.

Jadi dengan wujudnya pembangkang yang kuat, adakah kita akan nampak persaingan merebut hati rakyat untuk PRU ke-15?