Kisah orang Melayu di Christmas Island, dan peristiwa lain yang berlaku pada 25 Disember

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 24 Disember 2018. 

Bila sampai je tarikh 25 Disember, maka apa yang terlintas kat kepala kita adalah cuti, sebab masa ni jugaklah Hari Krismas dirayakan. Dalam kepercayaan agama Kristian, mereka percaya yang pada tarikh inilah Christ Jesus/Nabi Isa dilahirkan. Walaupun begitu, hal ni masih lagi jadi perdebatan di kalangan ahli sejarah dan sarjana Kristian.

Tapi apa yang kita tahu, tarikh 25 Disember tetap menjadi tarikh penting di dunia ni. Sesuai dengan kedudukan agama Kristian yang merangkumi 31.4% populasi dunia. Ia juga menjadikan agama Kristian sebagai agama terbesar di dunia, yang seterusnya diikuti oleh Islam, Hindu, Buddha dan sebagainya.

Tapi gembira tu pun ada batasnya. Imej dari Giphy.

Walaupun selama ni, kita tahu yang tarikh 25 Disember sebagai hari orang bersuka ria, ada salji dan Santa Claus bagi hadiah. Tapi sebenarnya, banyak juga peristiwa-peristiwa penting yang jadi pada tarikh ini. Sama ada peristiwa yang baik, menyedihkan atau tragik. Oleh itu, SOSCILI senaraikan beberapa peristiwa yang mungkin kita semua tak berapa tahu.

1. Bersempena dengan tarikh ni, sebuah pulau dapat nama

Setiap nama tempat, jalan, kampung dan sebagainya mesti apa sejarah dan asal usulnya. Sebelum ni, kitorang pun ada tulis pasal asal-asul nama-nama tempat kat Johor. Bila baca, lawak pun ada.

Klik sini untuk baca artikel pasal asal usul nama tempat.

Tapi kali ni, kita nak cerita pasal sebuah pulau pulak. Pada tahun 1615, sebuah pulau di Lautan Hindi dah ditemui. Pulau ni terletak kiri-kira 1,400 km dari barat laut Australia dan 360 km dari Pulau Jawa. Walaupun begitu, pulau ni masih lagi tak dikenal pasti dan diberi nama.

Apa kita nak namakan pulau ni? Imej dari Giphy.

Sampailah pada tahun 1643, apabila pulau ni akhirnya dikenal pasti. Orang yang kenal pasti pulau ni pulak bernama Kapten William Mynors dari Syarikat Hindia Timur. Apa yang menariknya, bertepatan dengan tarikh 25 Disember, dia pun namakan pulau ni sebagai Pulau Krismas. Tapi masa tu, Pulau Krismas masih tak ada penempatan, sampailah pada akhir abad ke-19.

Pulau tu kemudiannya diletakkan di bawah kuasa British dan seterusnya dipajakkan kepada Christmas Island Phosphate Company Ltd untuk 99 tahun. Orang Cina, Melayu dan Sikh juga dibawa masuk untuk berkerja kat pulau ni. Kerana itulah, sampai sekarang kita masih boleh nampak komuniti Melayu kat Pulau Krismas.

Masa Perang Dunia Kedua (WW2), pulau ni dikuasi Jepun. Tapi lepas WW2, Christmas Island Phosphate Company Ltd dijual kepada kerajaan Australia dan New Zealand. Pada tahun 1958, kedaulatan pulau ni dipindahkan dari Britain kepada Australia.

Anak-anak Melayu main kompang di Pulau Krismas. Imej dari traveller.com

2. Naiknya takhta seorang Maharaja yang digelar ‘dewa hidup’ terakhir

Hampir setiap negara di dunia ini ada raja atau maharaja suatu masa dulu. Raja ni selalunya akan berkuasa mutlak dan boleh buat apa je yang dia suka. Rakyat pulak akan tetap taat dengan setiap titah perintah raja. Hal ni jadi sebab muncul kepercayaan yang seseorang raja sebagai wakil tuhan dan bertaraf dewa.

Itulah jugalah apa yang dipercayai masyarakat Jepun suatu masa dulu. Agama terbesar di negara itu adalah agama Shinto. Menurut kerpercayaan agama ni, Maharaja berasal dari ‘Kami’ (dewa-dewi). Jadinya, status seseorang Maharaja tu setaraf dengan dewa.

Amaterasu (yang korang selalu dengar dalam Naruto) adalah dewi utama dari agama Shinto dan Maharaja Jepun dipercayai berasal dari keturunannya. Imej dari akibanation.com

Pada 25 Disember 1926, Maharaja Yoshihito yang dah mangkat masa berumur 47 tahun. Jadinya, takhta Maharaja diwariskan kepada anaknya, Maharaja Hirohito. Maka, jadilah Hirohito sebagai Maharaja Jepun yang ke 124. Apa yang menarik, zaman yang Hirohito lalui agak berbeza dengan apa yang keturunannya pernah lalui.

Sebab, dibawah pemerintahannyalah Jepun jadi kuasa besar dunia masa berlakunya Perang Dunia Kedua (WW2). Menjelang tahun 1940, Jepun di bawah pemerintahannya mula bersepakat dengan Jerman dan Itali dengan membentuk ‘Axis Power’. Kemuncaknya berlakulah WW2, yang menyaksikan Jepun menguasai hampir seluruh Asia Pasifik.

Maharaja Hirohito. Imej dari History.

Tapi penguasaan ni tak lama, kerana Jepun akhirnya terpaksa menyerah kalah bila jatuhnya bom atom kat Hiroshima dan Nagasaki. Walaupun Jepun kalah, kedudukan Hirohito masih kekal, malah dikenali sebagai ‘dewa hidup’ oleh rakyat Jepun. Tapi akhirnya Hirohito terpaksa nafikan status dewanya, atas tekanan Kuasa Berikat. 

Dengan itu, Hirohito menjadi Maharaja Jepun terakhir yang ada status dewa, sebelum dia sendiri menafikannya. Hirohito akhirnya meninggal dunia pada tahun 1989 dan diganti oleh anaknya Maharaja Akihito.

Skrip yang Hirohito baca masa nafikan status dewanya. Imej dari ndl.go.jp

3. Terjadinya kebakaran hotel yang mengorbankan 163 nyawa

Sebelum ni SOSCILI ada senaraikan beberapa kes kebakaran terbesar yang pernah jadi kat Malaysia. Antaranya adalah kes letupan kilang mercun kat Sungai Buloh yang mengorbankan 26 nyawa dan kes kebakaran sekolah tahfiz yang mengorbankan 23 nyawa. Itu adalah dua kes, dari banyak kes kebakaran kat Malaysia ni.

Tapi dalam kes kebakaran hotel, ada satu kes yang mengorbankan nyawa tertinggi untuk setakat ini. Ia adalah kebakaran Hotel Daeyeonggak, Seoul, Korea Selatan pada 25 Disember 1971. Hotel yang siap dibina pada tahun 1969 ni adalah salah satu hotel mewah kat Seoul dengan mempunyai 22 tingkat dan 222 bilik.

Keadaan hotel yang terbakar. Imej dari Wikipedia.

Tapi mewah macam mana pun, ia akhirnya musnah pada Hari Krismas 1971. Dikatakan, kebakaran ni jadi selama 10 jam dan ramai mangsa tak dapat selamatkan diri. Apa yang lebih teruk, tangga yang disediakan bomba hanya boleh sampai ke tingkat lapan, dan ia dah buatkan mangsa yang selebihnya terperangkap.

Sebanyak 12 helikopter dah digerakkan dalam misi menyelamat. Tapi nampaknya, ia masih lagi tak boleh selamatkan semua orang. Sekurang-kurangnya 38 orang mati akibat terjun dari tingkap untuk menyelamatkan diri, ada juga yang terjun sambil berpautkan tilam, walaupun akhirnya dia juga terkorban.

Seorang mangsa yang terjun dengan tilam. Imej dari rebrn.com

Akhirnya, kebakaran ni dah mengorbankan 164 nyawa. Beberapa orang pegawai juga dah ditahan selepas tu atas dakwaan cuai dan pembinaan yang tak ikut spesifikasi.

4. Kematian tiga orang bintang terkenal dunia

Walaupun selalunya orang akan sambut 25 Disember sebagai hari untuk bersuka ria, terutamanya menyambut Krismas. Tapi ada juga peristiwa sedih seperti perginya orang tersayang atau tokoh yang dikagumi. Ye lah kan, ajal maut ni bukan kita yang tentukan.

Kalau bercakap pasal lagenda filem dan komedi dunia, tak terlepas kita dari menyebut Charlie Chaplin. Mungkin ada antara kita yang pernah tengok cerita Charlie Chaplin yang hitam putih dan tak ada suara tu. Apa yang kita nampak dan dengar cuma gerak ke hulu ke hilir Charlie Chaplin dengan music background dia.

“Saya suka berjalan di bawah hujan, jadinya tak ada orang boleh nampak saya menangis.” – Charlie Chaplin.

Sepanjang hidupnya, Chaplin dah arahkan lebih dari 11 buah filem, termasuklah beberapa lagi yang tak sempat disiapkan atau tak pernah disiarkan. Chaplin akhirnya meninggal dunia pada 25 Disember 1977, pada usia 88 tahun. Sumbangan Chaplin dalam dunia perfileman dunia adalah satu perkara yang tak boleh dilupakan.

Chaplin dan Gandhi. Imej dari blog.oup.com

Selain Chaplin, ada lagi beberapa bintang dunia yang meninggal dunia pada tarikh 25 Disember. Mereka adalah James Brown (pada tahun 2006) dan George Michael (pada tahun 2016). James Brown yang digelar sebagai ‘Godfather of Soul’, mungkin korang pernah dengar lagu dia ‘I Fell Good’ (1964). Lagu ni jugak tersenarai di antara 500 Lagu Terhebat Sepanjang Zaman.

George Michael pulak mestilah popular dengan bakatnya sebagai penyanyi, penulis lagu dan produser. Lagu yang paling dia yang paling popular pulak, apa lagi kalau bukan – Careless Whisper (1984). Lagu ni dah dijual 6 juta salinan kat seluruh dunia, dengan 2 juta kat Amerika Syarikat je.

Dua lagenda muzik dunia. Imej dari journalstar.com & billboard.com.

Tapi sebenarnya, ada juga kematian tragik yang menimpa pemimpin dunia pada tarikh 25 Disember. Seperti mana yang berlaku kepada…

5. Diktator Romania dan isterinya dihukum mati

Sejak awal tahun 1900-an, dunia menghadapi pelbagai peperangan, dengan menyaksikan dua peperangan besar iaitu Perang Dunia Pertama dan Kedua. Walaupun Perang Dunia Kedua dah tamat, tapi perang dingin masih lagi jadi di antara blok komunis dan blok kapitalis. Banyak juga negara yang berpecah dua macam Jerman – Jerman Barat dan Jerman Timur, Korea – Korea Selatan dan sebagainya.

Ada juga negara yang terus amalkan sistem komunis dan antaranya adalah Romania. Diringkaskan cerita, salah seorang pemimpin negara ni adalah Nicolae Ceaușescu yang memerintah dari tahun 1965 – 1989. Disebabkan sistem komunis, negara ni tak ada parti lain dan amalkan sistem satu parti yang memerintah.

Inilah dia Nicolae Ceaușescu. Imej dari biography.com

Ceaușescu ni pulak lama-lama jadi pemimpin diktator dan buat macam-macam jenis kekejaman kepada rakyat dan musuh politiknya. Tapi tu tak menjadikan punca penduduk Romania berani nak lawan kerajaan, sampailah pada tahun-tahun akhir 1980-an. Sebabnya, masa ni kuasa komunis nampaknya semakin lemah. Soviet Union yang jadi negara komunis terbesar pun mula hadapi masalah.

“Revolusi Romania bermula di bandar Timisoara pada 16 Disember, apabila pastor satu etnik Hungari berucap menentang polisi rejim. Ini kemudiannya membawa kepada protes besar-besaran dan tindakan keras oleh tentera.

____

…tentera kemudiannya sebulat suara menentang Nicolae Ceaușescu dan menyokong protes. Ceausescu dan isterinya berjaya ditangkap semasa nak melarikan diri.” – Dipetik dari Association for Diplomatic Studies and Training.

Nicolae Ceausescu dan isterinya. Imej dari romania-insider

Pada Krismas 1989, Ceausescu dan isterinya akhirnya dijatuhi hukuman mati dengan cara ditembak. 

“Saya masih gemuruh bercakap mengenai hal ini. Dua nyawa yang saya tamatkan. Ia satu perkara yang besar. Dalam perang, ia OK, tapi bila anda membunuh orang yang tak bersenjata, ia lebih menyukarkan.” – Ionel Boyeru, tentera yang jalankan hukuman mati. Dipetik dari The Guardian.

6. Soviet menjajah Afghanistan dan bermulanya kejatuhan Soviet

Bersambung dengan apa yang kita cerita tadi, lepas je Perang Dunia Kedua, blok komunis dan blok kapitalis masih lagi berperang dalam perang dingin. Blok komunis yang diketuai Soviet Union akan cuba sedaya upaya nak atasi blok kapitalis yang diketua Amerika Syarikat. Begitu jugak dengan Amerika yang akan cari apa jalan sekalipun untuk jatuhkan Soviet.

Salah satu cara nak tunjuk kuasa adalah diorang akan kuasa sesebuah negara lain. Sebagai contoh, Afghanistan. Pada 25 Disember 1979, Soviet mula masuk campur dalam urusan Afghanistan sebagai sokongan kepada kerajaan komunis di negara tu yang menghadapi pemberontakan gerila muslim-anti-komunis.

Helikopter terhempas masa Perang Afghan-Soviet. Imej dari businessinsider.com

Disebabkan perkara ni, maka jadilah Perang Afghanistan-Soviet selama 10 tahun. Dalam perang ni ramai pihak yang bagi sokongan kepada kumpulan pemberontak, antaranya adalah dari Iran, Pakistan, China dan Amerika Syarikat. Akhirnya, perang ini tamat selepas bermulanya kejatuhan Soviet.

Berkenaan dengan kejatuhan Soviet sebagai satu kuasa besar dunia, ia berkait rapat dengan sistem negara itu sendiri. Selepas Mikhail Gorbachev menjadi presiden negara itu, dia cuba untuk mereformasikan sistem yang sedia ada. Antaranya adalah dia cuba jadikan Soviet sebagai sebuah negara yang amalkan sistem komunis-kapitalis, macam yang jadi kat China.

“Reagan (Presiden Amerika Syarikat) tidak hanya menyerang Soviet melalui perbelanjaan ketenteraan, dia juga menyerang ekonomi mereka. Amerika Syarikat mengasingkan Soviet dari ekonomi dunia dan merendahka harga minyak ke peringkat yang paling bawah. Tanpa hasil minyak yang dapat membantu ekonomi mereka, Soviet mula runtuh.” – Dipetik Norwich University.

Sorang ada kuku, sorang lagi ada duit. Imej dari investwithalex.com

Dalam waktu sama, gerakan nasionalis juga mula bangkit di kalangan wilayah-wilayah Soviet. Mereka ni mula tuntut untuk berkerajaan sendiri. Makanya, Soviet tak dapat lagi kawal kebangkitan ini. Kejatuhan Soviet ini akhirnya diikuti dengan peletakkan jawatan Mikhail Gorbachev sebagai presiden pada 25 Disember 1991.

“Apabila kuasa Gorbachev hilang, Yeltsin (seterusnya Presiden Rusia) mengambil alih Kremlin dan menggantikan bendera Soviet dengan bendera Rusia. Selepas 70 tahun kewujudannya, persengketaan antara Soviet Union – Amerika Syarikat dalam perang dingin akhirnya tamat.” – Dipetik dari History.

Mikhail Gorbachev. Imej dari The Times.

Tarikh 25 Disember, bukan sekadar Hari Krismas

Macam apa yang terjadi kepada Soviet Union, siapa sangka satu empayar yang besar macam tu akhirnya boleh runtuh. Begitu juga dengan berita perginya penghibur lagenda dunia Charlie Chaplin.

Walaupun begitu, selain dari peristiwa-peristiwa yang dah diceritakan tadi. Banyak lagi peristiwa-peristiwa penting yang jadi pada 25 Disember. Antaranya ialah…

  1. 25 Disember 1642 – Ahli fizik dunia, Isaac Newton dilahirkan.
  2. 25 Disember 1965 – Presiden Amerika Lyndon B. Johnson arahkan supaya operasi mengebom di Vietnam Utara dihentikan. Dengan harapan akan adanya rundingan damai.
  3. 25 Disember 1977 – Perdana Menteri Israel dan Presiden Mesir Anwar Sadat berjumpa kat Mesir. Hal ni jadi titik mula hubungan Mesir dan Israel.
  4. 25 Disember 2012 – Sebuah pesawat tentera terhempas di Selatan Kazakhstan. Insiden ni mengorbankan 27 nyawa.
  5. 25 Disember 2016 –  Sebuah pesawat tentera Rusia terhempas di Laut Hitam dan membunuh 92 orang.
Anwar Sadat bersalam dengan dengan Menachem Begin (Perdana Menteri Israel). Imej dari timesofisrael.com

Berdasarkan apa yang kita tahu ni, jelas yang setiap waktu dan ketika ada je peristiwa dan perkara yang berlaku. Tak kiralah perkara tu best ataupun tak. Sebabnya, hidup ni tak dapat dijangka. Oleh itu, jomlah kita hidup dengan harapan yang penuh bermakna dalam menghadapi kehidupan yang tak dijangka ini.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.