Idris kata dia dapat sokongan PH, tapi kenapa Amirudin yang jadi MB Selangor?

Selepas Azmin Ali melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor, ramai yang tertanya-tanya siapa yang akan ganti Azmin. Korang tengok tak video Azmin menangis masa beri ucapan terakhir sebagai Menteri Besar? Kalau korang penyokong tegar Azmin, mesti korang menangis sekali dengar ucapan dia tu, bak kata orang dulu-dulu – keluar air mata jantan!

Kalau korang fikir langkah Kajang akan berlaku sekali lagi untuk naikkan orang baru sebagai MB Selangor, korang sedarkan korang dah tersilap? Teka-teki jawatan MB tu akhirnya terjawab apabila Amirudin Shari dilantik sebagai MB Selangor yang baru. Bagi yang pertama kali dengar nama dia, mehh kita high five! Sebab kitaorang pun tak familiar sangat dengan nama dia.

High five sikit. Takpe lepas ni kitaorang cerita dengan korang okay? Imej dari Giphy

Apa drama yang paling dramatik kat Malaysia ni? Drama Nur? Silap! Tak cukup dramatik. Jawapan kepada soalan tu ada drama politik yang lagi panjang dari sinetron Indonesia. Walaupun Amirudin dah dilantik jadi MB Selangor, masih ada pihak yang kata sebenarnya dia tak dipersetujui pun jadi MB Selangor…

Dr Idris Ahmad kata dia ada rumah RM8 juta, buat apa nak seleweng duit pelajar?

Sebelum kita pergi jauh dengan cerita MB restu tak merestui ni, kalau korang nak tahu – Pakatan Harapan hantar tiga nama kepada Sultan Selangor untuk dipilih sebagai MB Selangor. Salah seorang daripada nama yang dihantar tu – Dr Idris Ahmad. Nama Dr Idris sebenarnya popular jugak dalam kalangan ahli PKR, sebab dia dah sertai parti tu sejak 1998.

Bagi yang tak kenal lagi siapa Dr Idris, inilah wajah dia. Imej dari MG

Selepas dia dicalonkan untuk jadi MB – timbul satu isu yang buatkan nama dia jadi tak berapa baik. Dia dikatakan terlibat dengan skandal yang melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Tapi dia nafikan hal ni, katanya tuduhan tu ada orang sengaja buat sebab nak jatuhkan kredebiliti dia supaya tak dipilih jadi MB Selangor.

“Hasil semakan dengan pihak pengurusan Kolej Vision, saya difahamkan kolej ini tidak pernah ada masalah, apatah lagi salah laku berkaitan PTPTN atau Kementerian Pendidikan Tinggi sejak dibuka pada Julai 2005.” – Dr Idris, dipetik dari BH

Ini semua konspirasi! Imej dari Giphy

Dia dikaitkan dengan skandal Kolej Vision ni sebab dia adalah Ahli Lembaga Pengarah Kolej Vision dan pemegang 35% saham kolej tu. Sebab itulah dia ada potensi untuk rembat duit pelajar, tapi dia jugak persoalkan – kenapa baru sekarang isu ni timbul? Masa dia dicalonkan jadi MB Selangor pula tu. Dia percaya yang isu ni sengaja ditimbulkan supaya dia tak dipilih jadi MB Selangor.

Oleh sebab dia dah yakin sangat benda ni tak betul – dia siap buat laporan polis. Dia jugak ada beritahu media yang takde sebab dia nak seleweng duit PTPTN pelajar sebab dia ada sumber kewangan yang stabil. Dia jugak kata – harga rumah dia bernilai RM8 juta! Pergh, gempak betul rumah sampai harga RM8 juta.

“Mengapa saya memerlukan wang dari PTPTN? Saya mempunyai kedudukan kewangan yang baik, sambil mengatakan bahawa rumahnya berharga kira-kira RM8 juta.” – Dr Idris, dipetik dari MZ

Amirudin Shari – MB Selangor yang baru. Imej dari ohmychannel.com

Sebenarnya, MB Selangor sekarang ni tak direstui oleh Pakatan Harapan?

Selepas Amirudin dilantik menjadi MB Selangor baharu, Dr Idris kata sebenarnya pelantikan Amirudin tu tak direstui oleh Pakatan Harapan. Amirudin ni hanya direstui oleh Azmin Ali je, katanya. Macam kisah kahwin larilah pulak – main restu tak restu. Apa-apa pun, Dr Idris kata dia adalah calon sebenar yang direstui oleh Pakatan Harapan untuk memegang jawatan MB Selangor.

“Hanya satu nama dicadangkan iaitu nama saya. Malah, saya mendapat restu daripada semua komponen Pakatan Harapan dan surat itu telah dihantar kepada Sultan Selangor.” – Dr Idris, dipetik dari UTUSAN

Habis tu kenapa orang lain yang dilantik? Imej dari Giphy

Dr Idris jugak kata yang dia tak nak jadi gentleman lagi – sebab masa Azmin Ali nak jadi MB Selangor dulu, dia dakwa nama dia pun dicalonkan. Tapi akhirnya Azmin yang dipilih sebab masa tu PAS dan DAP lebih prefer Azmin yang ambik jawatan tu. Kali ni, Idris yakin jawatan MB Selangor sepatutnya jadi milik dia.

Tapi akhirnya dia terima hakikat yang dia tak dipilih jadi MB Selangor dan mahu terus bersikap positif. Kasihan jugak Dr Idris ni – dua kali jugak dia diberikan harapan palsu untuk jadi MB Selangor, akhirnya orang lain yang jadi MB.

“Setiap manusia mempunyai perasaan. Tetapi saya akan mengamalkan pemikiran positif bagi meneruskan kehidupan. Saya masih boleh berkhidmat di kawasan saya.” – Dr Idris, dipetik dari Suara.tv

Imej dari gifimgs.com

Wan Azizah kata bukan setakat nama Dr Idris je dicalonkan

Mesti korang tertanya-tanya apa agaknya respon pemimpin Pakatan Harapan tentang isu ni, takkan diorang duduk diam je bila nama diorang dipetik kan? Kalau korang nak tahu – Wan Azizah dah nafikan dakwaan Dr Idris, dia kata nama Idris bukanlah satu-satunya nama yang direstui oleh Pakatan Harapan.

“(Dakwaan) itu pandangan peribadi. Parti memang telah mengemukakan nama dan salah seorang adalah Menteri Besar (Amirudin). Beliau (Amirudin) telah pun mengangkat sumpah dan menjadi Menteri Besar, diteruskan dengan (pelantikan) exco kerajaan negeri Selangor.” – DS Wan Azizah, dipetik dari MG

Hahhh…dengar apa yang saya kata. Imej dari The Star

Tapi jawapan dari Wan Azizah ni tak disenangi Idris – dia kata Wan Azizah kena jawab, adakah diorang sokong Amirudin sebelum dia dilantik jadi MB atau sokong selepas dia angkat sumpah? Biasalah, parti politik kadang-kadang buat control damage kalau ada isu panas berlaku. Korang rasa macam mana?

“Kamu tanya Dr Wan Azizah tentang surat dia dulu. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah kata Amirudin dapat sokongan parti tapi bila? Sebelum atau selepas pelantikan? Itu saja komen saya.” – Dr Idris, dipetik dari FMT

Hahh…cer citerr, cuba terangkan apa yang korang maksudkan. Imej dari Giphy

Bagi MB Selangor yang baru pulak, dia nampak chill je. Dia kata dia serahkan dakwaan Dr Idris tu pada pimpinan Pakatan Harapan untuk jawab dan ambik keputusan. Dia jugak kata akan fokus pada kerja dia sebagai MB Selangor. Yalah, dengan kemenangan PH pada PRU14 ni – kebanyakan rakyat letak harapan setinggi Gunung Kinabalu kat PH.

“Saya serahkan kepada parti berhubung perkara ini. Tugas saya untuk meneruskan kecemerlangan pentadbiran kerajaan negeri.” – Amirudin, dipetik dari BHPLUS

Bro, you dah jadi MB Selangor! Imej dari KOSMO

Istana Selangor kata surat baru Wan Azizah batalkan surat yang lama

Oleh sebab isu ni melibatkan Istana Selangor, macam biasalah – mesti diorang akan keluarkan kenyataan untuk isu ni. Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Selangor – pelantikan MB Selangor yang baru ni sah mengikut perlembagaan. Wan Azizah hantar surat kat Istana Selangor pada 7 Jun 2018, dan surat tu akan batalkan surat-surat yang dihantar sebelum ni.

Dalam surat tu – Wan Azizah memang senaraikan tiga nama untuk diperkenankan Sultan Selangor. Selepas meneliti surat daripada Wan Azizah tu, akhirnya Sultan Selangor putuskan untuk melantik Amirudin sebagai MB Selangor yang baru.

Korang pernah cuba hantar surat tak? Imej dari Giphy

“Setelah diteliti dan mendapatkan pandangan daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, maka Sultan Selangor berkenan dengan pelantikan  seorang daripada calon yang disenaraikan iaitu Adun Sungai Tua sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ke-14.” – Istana Selangor, dipetik dari Sinar Harian

Istana Selangor jugak ada menegaskan yang diorang akan sentiasa betindak dengan peruntukan undang-undang dan sama sekali tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik. Sultan memang ada kuasa budi bicara dalam melantik MB seperti yang dinyatakan dalam Artikel 51 dan Artikel 53, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Antara syarat lain untuk lantik MB dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor. Klik sini kalau nak baca lebih lagi.

Kebanyakan MB Selangor tak kekal lama dan tersingkir sebab terpalit dengan kontroversi

Kalau kita teliti dan belajar dari apa yang berlaku dalam politik Selangor sejak dulu lagi, kita akan dapat nampak yang semua MB-MB Selangor ni tak akan tahan lama. Mesti akan ada isu yang dikaitkan dengan diorang, cuma bezanya isu tu kecil atau besar je.

Sebagai contoh, Datuk Harun Idris iaitu MB Selangor paling lama berkhidmat (12 tahun) akhirnya tersingkir dari kerusi MB sebab skandal rasuah. Harun kemudiannya dihukum penjara 6 tahun, sebelum dibebaskan lepas dapat pengampunan YDP Agong.

Datuk Harun (pakai songkok) dengan Muhammad Ali. Imej dari mStar.

Perkara yang hampir sama juga jadi kat Muhammad Bin Muhammad Taib (Mat Taib) yang terpaksa lepaskan jawatan MB lepas dia didakwa kat Mahkamah Australia pada tahun 1997. Itu belum masuk Tan Sri Abu Hassan Omar yang cuma pegang jawatan MB selama tiga tahun, dan kemudiaanya bersara atas alasan kesihatan.

Kalau MB-MB tadi tu semuanya dari BN, MB Selangor dari PKR pun tak terlepas dari kontroversi. Rasanya semua masih ingat dengan penyingkiran Tan Sri Khalid Ibrahim sampai buatkan Pakatan Rakyat masa tu berkonflik. PAS nakkan Khalid, tapi PKR dan DAP nakkan Wan Azizah (pada mulanya Anwar) jadi MB Selangor. Akhirnya, Azmin yang dapat jawatan MB lepas dapat perkenan dari Sultan Selangor.

Imej asal dari Utusan Malaysia.

Jawatan MB Selangor – ‘Kerusi Panas’ yang senang buat duit

Sebenarnya kontroversi nak lantik MB ni bukan jadi kat Selangor, tapi banyak juga jadi kat negeri-negeri lain. Contohnya, macam apa yang jadi di Perlis (pelantikan Azlan Man), Perak (krisis tahun 2009), Kedah (Ahmad Bashah ganti Mukhriz) dan juga isu pelantikan Ketua Menteri Sabah lepas PRU-14.

Krisis politik Perak yang turut tarik perhatian mufti. Imej dari Milenia.

Walaupun macam tu, dalam banyak-banyak jawatan MB kat Malaysia ni, boleh dikatakan yang kerusi MB Selangor dikenali sebagai ‘kerusi panas’. Sebabnya sesiapa yang dapat duduk kat kerusi ni, maka dia tak terlepas dari banyak godaan kiri dan kanan.

“Bukan panas, tetapi semua ini terpalit dengan godaan. Sangat mudah untuk buat kekayaan dan berkuasa kerana orang pandang tinggi kepada jawatan menteri besar. Gaji semua menteri besar lebih kurang sama, tetapi manisnya berbeza dan bagi Selangor sudah tentu lebih “manis”.” – Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor. Dipetik dari UTUSAN.

Tapi Sultan Selangor ada ingatkan yang kerusi ni tak akan jadi ‘panas’ kalau orang yang duduk tu ada prinsip. Dengan prinsip, seseorang tu akan dihormati dan semua perkara untuk rakyat boleh disempurnakan dengan baik.

Sultan Selangor & Azmin Ali. Imej dari The Star.

Tapi nampaknya, Azmin Ali berjaya memecahkan tradisi penyingkiran MB ni dengan naik pangkat jadi menteri kabinet. Harapan sekarang terletak di bahu Amirudin Shari sebagai MB Selangor yang baru. Semoga Amirudin dapat menjalankan tugasnya dengan baik, dan terlepas dari sebarang godaan yang datang dari kiri dan kanan.

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka