Dulu Anwar buat laporan Qazaf, kini Azmin. Ini penerangan QAZAF yang korang tak tau

Isu video seks yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali dan Setiuasaha Sulit Kanan, Timbalan Menteri Industri Utama, Haziq Aziz dah pun menjadi buah mulut kebanyakan kita. Selain membincangkan kesahihan video tersebut, ramai yang tak perasan bahawa Setiausaha Politik Azmin Ali, Hilman Idham dah pun membuat laporan Qazaf berkaitan video tu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Pantang ada peluang nak buat iklan. Imej dari Adabi

Jadi, kali ni kami dari SOSCILI nak bincangkan sikit apa itu tuduhan liwat dan apa kaitannya dengan Qazaf?

Tuduhan liwat perlu bawa empat orang saksi juga?

Menurut pendapat mazhab Syafie, tenggelamnya faraj (alat sulit) dalam faraj (alat sulit) termasuk dalam perbuatan liwat.

Di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 ada peruntukan berkenaan liwat. Seksyen 25 memperuntukkan ‘mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan’. Kalau disabitkan kesalahan, pesalah tersebut boleh;

  1. Didenda tak melebihi lima ribu ringgit
  2. Atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun
  3. Atau disebat tak melebihi enam sebatan
  4. Atau mana-mana kombinasi hukuman di atas
Cuba teka, sebatan sivil atau syari’e? Imej dari Utusan

Untuk mereka yang membuat tuduhan liwat pulak, ia mesti dibuktikan dengan membawa empat orang saksi lelaki yang mana saksi tu hendaklah orang yang adil, tidak buta dan tidak fasik. Empat orang saksi tu juga perlu melihat sejelas-jelasnya perbuatan tersebut.

Atau pun ia boleh disabitkan bersalah jika orang yang dituduh membuat pengakuan ikrar. Kalau macam kes ni ada rakaman video, ia hanyalah penolong kepada bukti. Jadi, kalau tak ada empat saksi dan pengakuan ikrar, maka perkara ni dijatuhkan bawah kesalahan Qazaf mengikut beberapa pendapat ilmuwan

Ada pendapat mengatakan tuduhan liwat sama tahap dengan tuduhan zina

Qazaf ni bermaksud tuduhan berzina pada tempat celaan dan mengaibkan. Sebahagian ulama’ pula mendefinisikan qazaf sebagai menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab.

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa hukuman bagi peliwat adalah sama seperti hukuman zina. Jadi, direjam kalau dia seorang yang dah berkahwin, manakala dirotan serta dibuang negeri kalau dia belum berkahwin. Maka, tuduh orang berliwat sama dengan tuduh orang berzina iaitu Qazaf.

Qazaf termasuk dalam hudud, klik gambar untuk baca lebih lanjut

Lepas dah tau maksud Qazaf ni, kita kena tahu juga apa hukum perbuatan ni. Para ilmuwan dah menyatakan bahawa adalah haram ke atas seorang muslim untuk menuduh saudara se-Islamnya dengan tuduhan melakukan perbuatan yang keji. Sama ada tuduhan tu benar atau dusta dari pihaknya. Sekali pun, tuduhan tu benar, seseorang tu dah membuka perkara yang tersembunyi dan mencemarkan maruah.

Kes-kes laporan Qazaf berkaitan tuduhan liwat yang melibatkan ahli politik

Isu laporan Qazaf ni sebenarnya pernah berlaku dulu sebelum kes video yang sedang hangat diperkatakan ni. Sewaktu hangat isu liwat yang didakwa melibatkan Anwar Ibrahim dan pembantu peribadinya, Saiful Bukhari. Ada beberapa kali laporan Qazaf dibuat.

Pihak Anwar Ibrahim dah pun membuat laporan Qazaf terhadap Saiful Bukhari kerana gagal membawa empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh (Anwar). Namun, Mahkamah Rayuan Syariah telah menolak permohonan Qazaf itu kerana panel hakim mendapati Anwar gagal mengemukakan bukti pendakwaan. Bukan takat tu je, ada laporan Qazaf seterusnya dibuat.

Mereka bertembung kembali dalam PRK PD hari tu. Imej dari mole.my

Pada 17 Februari 2015, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan kes liwat Anwar dalam satu program dialog terbuka di Kelana Jaya, Petaling Jaya. Dia didakwa menuduh Anwar melakukan liwat dengan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari.

Maka, Anwar Ibrahim dah membuat laporan Qazaf di bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui isterinya, Wan Azizah Wan Ismail. Selepas beberapa ketika, Mahkamah Syariah Tinggi dah menolak permohonan Anwar untuk meneruskan prosiding Qazaf terhadap Shafee Abdullah.

Shafee Abdullah yang mengetuai barisan pendakwaan sewaktu kes liwat Anwar Ibrahim. Imej dari Malay Mail

Menurut Hakim Syarie ketika tu, Mohamed Fouzi Mokhtar mengatakan bahawa keputusan tu diambil kerana mendapati mahkamah tu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut. Ini kerana liwat tidak termasuk dalam kesalahan Qazaf dalam Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

“Perkataan ‘zina’ yang disebut di dalam peruntukan itu (Seksyen 36) telah ditafsirkan sebagai persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah sahaja tanpa memasukkan perbuatan liwat di dalamnya.“- Petikan dari Astro Awani

Tuduhan liwat termasuk dalam Qazaf adalah berbeza ikut negeri di Malaysia

Kalau kita tengok, beberapa kes Qazaf di atas, semuanya ditolak untuk diteruskan di Mahkamah Syariah. Ini kerana Mahkamah Syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Selangor tak memasukkan tuduhan liwat di bawah kesalahan Qazaf. Menurut pakar syarie, akta atau enakmen berkenaan hanya menafsirkan zina sebagai hubungan kelamin antara lelaki dan wanita sahaja.

Banyak benda yang kita kena selesaikan. Imej dari INFO cari

Selain Selangor dan Wilayah Persekutuan, ada beberapa negeri lagi yang tidak memasukkan tuduhan liwat sebagai kesalahan Qazaf dalam enakmen jenayah syariah masing-masing termasuk Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.  Manakala, beberapa negeri seperti Kedah dan Pahang jelas meletakkan dalam enakmen mereka bahawa liwat termasuk dalam kesalahan Qazaf.

“Seksyen 37 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang mendefinisikan qazaf sebagai “mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina atau liwat tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu””- Dr Kamarul Zaman Yusoff, petikan dari Harakah Daily.

“Seksyen 50 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang 2013 yang meletakkannya dalam peruntukan umum berbunyi “mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan maksiat tanpa bukti mengikut Hukum Syarak atau iqrar orang yang dituduh itu”.”- Dr Kamarul Zaman Yusoff, petikan dari Harakah Daily

Kes liwat ni banyak berlaku dalam kalangan rakyat kita. Imej dari Astro Awani

Ini terbukti bahawa terdapat ketidakseragaman yang jelas dalam bab Qazaf mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan). Jadi apa yang perlu kerajaan buat sekarang?

Idea kerajaan menyeragamkan undang-undang jenayah syariah seluruh negeri perlu diterima baik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mujahid Yusof Rawa dah mengumumkan bahawa kerajaan tak lama lagi akan menghadap Majlis Raja-raja. Ini adalah berhubung dengan cadangan untuk menyeragamkan undang-undang kesalahan jenayah syariah antara negeri-negeri.

Pendekatan Dr Mujahid yang menjadi perdebatan semua rakyat Malaysia. Imej dari The Star

Selain tu, kerajaan juga akan mengadakan pertemuan dengan semua menteri besar dan ketua menteri untuk menjelaskan mengenai cadangan tu agar ia dilaksanakan pada tahun sasaran iaitu 2020.

“Bagi mencapai hasrat dan agenda tersebut melalui Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah meluluskan cadangan penyeragaman undang-undang kesalahan jenayah Syariah negeri-negeri seluruh Malaysia.

Ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memperkasakan Mahkamah Syariah.”- Dr Mujahid Yusof Rawa, petikan dari FB-nya

 

 

 

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT