Jenayah & Undang-undang

Pasukan STAFOC, STAGG dan STING bawah PDRM bakal dibubarkan?

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Kerajaan dah tukar beberapa benda termasuklah dari GST kepada SST dan pertukaran beberapa agensi kerajaan macam Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kepada APAD. Sekarang pula, polis juga akan ada perubahan.

Dilaporkan yang Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berdepan dengan gegaran ‘8.5 skala Richter’ pada Julai ini dengan membuang beberapa ketua termasuk Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. Nampaknya, sumber tak diketahui bagitahu Straits Times yang kerajaan baru nak membersihkan organisasi itu.

Bila berita pasal pembubaran tersebar. Inilah bacaan gegaran di jabatan polis.

Sumber tu turut menamakan tiga jabatan khas dalam PDRM ini dijangka akan ditutup kerana disyaki terlibat dengan rasuah dan melindungi penjenayah yang sepatutnya ditangkap. Jabatan itu adalah STAFOC, STAGG dan STING. Pada masa sama, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dah menafikan dakwaan ini.

Mesti ada antara kita yang pernah dengar nama ni tapi tak berapa tahu fungsinya sebelum ni. Hari ni, kita akan terangkan benda-benda ni semua.

1) STAFOC: Pasukan khas yang menyiasat kes-kes pembunuhan terkenal

Nama penuh STAFOC ni adalah Special Task Force on Organised Crimes. Jabatan ini ditubuhkan pada tahun 2014 oleh Menteri Dalam Negeri waktu tu, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi. Secara umumnya ia akan memerangi organisasi jenayah, gengsterism, perjudian, pelacuran dan penyeludupan manusia. Walaupun STAFOC adalah jabatan yang berdiri sendiri, ia akan menerima arahan dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) bawah PDRM.

Pasukan ni ada 400 pegawai yang diketuai oleh Senior Asisten Komisioner (SAC), Dato’ Razarudin Bin Hussain. Sebahagian dari pegawai ini pernah terlibat dalam operasi Lahad Datu. Insiden tu menyaksikan 200 pegawai taktikal khas dah dihantar ke Sabah. Sementara pegawai-pegawai ini di Sabah, negeri lain ditinggalkan tanpa sebarang kepakaran.

Antara pasukan yang mempertahankan Lahad Datu. Imej dari FMT.

Oleh sebab jabatan ini ditubuhkan untuk melawan organisasi jenayah, ia banyak terlibat dengan sebahagian besar kes-kes yang popular. Satu daripadanya apabila STAFOC dah terlibat dengan penyiasatan  Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Kevin Morais pada tahun 2015. Kalau korang ingat lagi, Kevin Morais dah dibunuh dan mayatnya dijumpai dalam tong yang penuh dengan simen. Pihak risikan di STAFOC menemui mayatnya berdasarkan kenyataan oleh orang keenam yang disoal siasat.

Kevin Morais dalam kenangan.

Pada tahun 2017, STAFOC juga dah terlibat dengan siasatan berprofil tinggi melibatkan abang saudara Pemimpin Tertinggi Korea Utara, Kim Jong-Nam yang diserang oleh dua wanita di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA2). Selain menyiasat kes tertentu, STAFOC juga ditugaskan untuk memastikan keselamatan di tempat kejadian jenayah dan mayat.

2) STAGG: Pasukan khas untuk menahan Datuk yang terlibat dengan gejala gengster

Pasukan elit yang lain di bawah CID adalah Special Task Force on Anti-Vice, Gambling and Gangsterism (STAGG). Sama juga macam STAFOC, STAGG dilancarkan pada tahun 2014 oleh Menteri Dalam Negeri sebelum ni. Zahid Hamidi menjelaskan yang dia menubuhkan jabatan ini untuk mencegah kebocoran maklumat operasi di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Ibu Pejabat Polis Negeri (IPK) dan stesen polis.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Jadi, kami menubuhkan pasukan elit yang terdiri dari 200 orang, terlatih dan terpilih antara yang terbaik dari yang terbaik dan bukan melalui IPD atau IPK.”- Zahid Hamidi, petikan dari FMT.

STAGG Beratur bukan sekadar beratur. Tapi, penuh helah dan strategi. Imej dari Utusan.

Selain tu, jabatan ni juga ditugaskan untuk mensasarkan kumpulan antarabangsa dan tempatan (kumpulan gangster) dan sindiket perjudian. STAGG takkan sasarkan ‘ikan bilis’ tetapi ‘jerung besar‘ dalam sindiket ini.

STAGG akan menyerang mereka tanpa amaran. Kami yakin bahawa hari-hari untuk jerung besar ini tak akan lama dengan pembentukan skuad ini.”- Zahid Hamidi, petikan dari NST.

Satu daripada kes yang berjaya diselesaikan STAGG adalah apabila 5 VIP (Datuk) yang terlibat dalam politik ditangkap melalui Ops Cantas Khas. Dilaporkan yang seorang daripadanya adalah ketua Geng 24 di Pulau Pinang. Datuk ni tadi ada kaitan dengan pembunuhan Ong Teik Kwong yang dah ditembak oleh pengawalnya sendiri. Empat orang lagi Datuk adalah ahli Geng 360 Devan, satu cabang dari kumpulan Geng 36. Empat orang VIP ini dilaporkan mempunyai kedudukan yang rendah dalam parti politik tetapi posisi yang baik dalam organisasi geng tersebut.

Seorang lagi Datuk yang juga salah seorang ketua Double Seven (77) turut ditahan, untuk membantu siasatan dalam satu kes jenayah di Chenderiang, Perak.

Bila yang ditangkap semuanya berpangkat Datuk. Imej dari The Sun Daily.

Selain memburu gengster dan Datuk yang terlibat dengan kumpulan gengster, STAGG juga berjaya membongkar tempat persembunyian pusat perjudian dan GRO.

Dalam operasi di Ipoh, STAGG mengambil masa tujuh jam bermula dari tengah malam dan menjumpai bilik rahsia bawah tanah sebagai tempat persembunyian bagi 38 wanita dari China dan Vietnam. Dengan bantuan pihak bomba, mereka mengambil masa 4 jam untuk mengeluarkan wanita dari bilik yang berpintukan besi dengan sistem hidraulik.

Premis ni dah diserbu sekurang-kurangnya tujuh kali sebelumnya tapi ini pertama kali STAGG melakukan serbuan ke atas mereka yang menyorok di bilik berkunci bawah tanah itu.

Inilah antara tugasan bomba yang ramai tak tahu. Imej dari The Sun Daily.

Dalam masa tiga bulan penubuhannya, STAGG melakukan 105 serbuan dan pada tahun 2017, ia melakukan lebih dari 18,541 serbuan dan merampas 90,139 mesin judi.

3) STING: Perisikan taktikal yang melawan ketua-ketua sindiket dadah

Bukan Sting yang ni. Imej dari The Sun Daily.

Bukan macam STAFOC dan STAGG, Special Tactical Intelligence Narcotics Group (STING) adalah satu pasukan elit yang menerima arahan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (NCID) dalam PDRM. Jabatan ini dibentuk pada Januari 2014 dan diketuai oleh SAC Dato’ Roslan Bin Wahid.

Tujuan utama penubuhan jabatan ini adalah untuk memburu ketua sindiket dadah dan melawan aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa dan tempatan sama ada melalui laut atau pun darat. Menurut IGP sebelum ni, Tan Sri Khalid Abu Bakar, STING membantu NCID untuk melawan dengan lebih lagi jenayah berkaitan dadah dan penyalahgunaan dadah.

“(Ianya) bukan sahaja meningkatkan penguatkuasaan, tapi jaringan perisikan kita yang menjadi lebih efisyen dan kerjasama dengan rakan sejawat dari luar negara menjadi lebih baik.”- Tan Sri Khalid, petikan dari NST.

Statistik menunjukkan jumlah dadah yang dirampas pada tahun 2015 hampir dua kali ganda lebih banyak dari tahun sebelum ini. Walau macam mana pun, statistik ini tak mendedahkan nilai dadah yang dirampas, yang mana dipercayai berjumlah ratusan juta ringgit.

Pasukan STING bersama barangan yang dirampas. Imej dari The Sun Daily.

Bercakap mengenai jutaan ringgit, STING pernah merampas lebih RM3 juta dari seorang Iran yang juga merupakan ketua sindiket dadah! Serbuan pada 2014 ini menyaksikan orang Iran yang tak habis PhD ini ditahan bersama dengan enam orang Iran yang lain serta empat orang Malaysia yang menyertainya. Bukan setakat tu je, sindiket ni tadi juga bekerja dengan ahli Geng 04.

STING juga menjalankan Ops Sarang untuk beberapa fasa. Pada fasa ketiga operasi, STING memberkas 173 penyalahguna dadah dengan merampas 167g heroin, 5g marijuana, 112 pil yaba dan wang tunai RM 2,000. Dilaporkan jumlah dadah yang dirampas dalam serbuan ini bernilai RM 7,220.

Jadi, macam mana idea untuk membubarkan jabatan-jabatan ini boleh timbul?

Sebenarnya, jabatan-jabatan ini dibentuk untuk beberapa tujuan dan nampaknya kerja-kerja yang mereka buat ini macam menyelesaikan kes, menahan penjenayah dan merampas barangan haram. Walaupun begitu, sebahagian pihak masih tak berapa yakin dengan PDRM dan jabatan-jabatan ini.

Ada yang tak yakin. Tapi, masih ada yang akan terus memberi aduan dan kepercayaan. Imej dari FB PDRM.

Nampaknya, ada beberapa waktu di mana kerja-kerja jabatan ini bercampur aduk. Sebagai contoh, apabila pegawai STAFOC tersilap tahan seorang doktor yang mereka ingat adalah perompak. Doktor ini ditahan, disoal siasat dan hanya dilepaskan selepas bapanya yang juga seorang polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di Kuala Lumpur menyelamatkannya.

Bukan itu je, laporan sebelum ni menyatakan yang kerajaan baru mahu membubarkan jabatan-jabatan ini disebabkan rasuah. Malangnya, ini mungkin bukti yang sah untuk mengiyakan tindakan kerajaan ni apabila dua orang pegawai STAGG ditahan reman kerana terlibat dengan rasuah. Mereka ditahan dalam keadaan kat tangan mereka ada RM 341,000 dan penahanan ini membawa kepada penyitaan lebih banyak wang tunai dan kereta mewah di kondominium suspek dan pejabat STAGG.

Pada tahun 2014, Menteri Dalam Negeri menyediakan RM9 juta bagi STING untuk meningkatkan peralatan mereka dengan membeli kereta seperti BMW dan Porsche untuk mengejar pengedar dadah, membeli pakaian seragam dan peralatan khas untuk jenayah narkotik. Kalau nak diikutkan, Ketua NCID, Datuk Noor Rashid mendakwa mereka memerlukan lagi RM1 juta untuk membeli alat komunikasi penyiasatan bagi pasukan itu.

Ini mungkin sebab kenapa orang Malaysia kurang yakin dengan PDRM dan jika jabatan ini dibubarkan pada masa akan datang, orang Malaysia takkan panik.

Kalau korang perasan, ketiga-tiga jabatan ini dibentuk pada tahun 2014. Sebelum jabatan-jabatan ni ada, ada juga satu special branch bawah CID yang dipanggil D9 atau pun Special Investigation Division yang mempunyai fungsi yang lebih kurang sama.

Pasukan D9 berdiri penuh setia dan bersiap sedia. Imej dari Pilihan Raya Kini.

D9 dibentuk pada tahun 1970 kerana muncul gejala gengsterism dalam kalangan orang Cina dan wujudnya Geng 360. Antara kejayaan terawal D9 apabila ia berjaya menangkap Robin Hood Malaysia (Botak Chin) pada tahun 1976 oleh unit Magnificient Twelve (M12) walaupun hanya dilengkapi dengan senjata lama.

Kami juga dah semak statistik kadar jenayah Malaysia keluaran data.gov.my dari tahun 1980 sampai 2016. Apabila dibandingkan dengan indeks kadar jenayah, statistik menunjukkan yang ianya makin menurun dari tahun 2010 sampai 2016. Tapi, kami serahkan kepada korang semua sama ada kadar jenayah boleh dipercayai atau tidak. Lagi pun, ramai yang rasa skeptikal dengan kadar jenayah di Malaysia ini.

Apa-apa pun berita, Menteri Dalam Negeri dah menafikan laporan mengenai pembubaran jabatan-jabatan ini. Lepas ni, kita akan tengok lebih banyak aksi dan sumbangan STAFOC, STAGG dan STING!

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend