Krisis politik Perlis: Raja Perlis tak mahu lantik orang yang hanya jadi ‘puppet’

Kalau ada negeri yang cepat bentuk kerajaan lepas je PRU-14, nampaknya Perlis tak termasuk dalam senarai tu. Setelah hampir dua minggu kita habis PRU-14, barulah Menteri Besar Perlis dilantik, dan orang yang dilantik tu adalah Azlan Man. Maknanya, ni kali kedua Azlan dilantik sebagai MB untuk negeri Indera Kayangan tu.

Tapi tak sampai setengah hari dari angkat sumpah sebagai Menteri Besar, secara tiba-tiba kita dikejutkan dengan pemecatan Azlan dari UMNO. Keputusan tu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Sebelum angkat sumpah MB wakil BN, lepas angkat sumpah jadi MB Bebas. Imej dari Berita Harian.

“Pemecatan itu sudah dimaklumkan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Presiden UMNO dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.” – Dipetik dari Harian Metro.

Shahidan dalam satu kenyataan ada kata yang Azlan sekarang jadi MB bebas. Dengan perkembangan terbaru ni, maka bermulalah krisis politik kat Perlis. Sebelum kita cerita lebih lanjut, mungkin lebih baik kita tengok dari mana mulanya krisis ni.

BN sebelum ni cadangkan adik Shahidan Kassim jadi MB Perlis

Ismail Kassim (baju putih) berkempen untuk abang dia. Imej dari Malay Mail.

Dalam PRU-14 lepas, BN dah menang 10 kerusi dari 15 kerusi DUN Perlis. Dengan majoriti ni, maka BN dah diberikan mandat untuk mentadbir Perlis. Bila dah dibagi mandat ni, maka tugas kedua adalah pilih calon yang sesuai untuk jadi Menteri Besar.

Dalam satu kenyataan, BN Perlis dah mencadangkan ADUN Tambun Tulang Datuk Ismail Kassim sebagai calon menteri besar yang baharu. Kalau korang nak tahu, Ismail Kassim ni juga adalah adik kepada Shahidan Kassim (Pengerusi UMNO Perlis). Shahidan jugak kata yang adiknya tu dah dapat sokongan penuh dari ADUN-ADUN BN Perlis. Dalam masa sama, dia juga kata yang Ismail boleh jadi pemimpin yang baik.

Jangan main-main dengan Perlis, kedai mamak pun tak banyak tau. Imej dari Kamusbergerak.blogspot

Tapi nampaknya, pelantikan tu taklah mudah sebab yang ada kuasa untuk melantik MB ni adalah Raja Perlis – Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Sebenarnya, sehari sebelum Shahidan umumkan nama Ismail tu, Raja Perlis ada bertitah yang baginda perlukan masa untuk bagi perkenan calon Menteri Besar. Sebabnya, baginda tak kenal nama yang diserahkan tu.

“Susulan itu, 10 wakil rakyat BN termasuk Azlan dan Ismail dititah menghadap Raja Perlis pada Rabu lalu, difahamkan bagi memudahkan Raja Perlis mengenali lebih dekat semua wakil rakyat.” – Dipetik dari Berita Harian.

Raja Perlis takut lantik calon MB yang hanya mungkin akan jadi boneka

Raja Perlis waktu majlis pelancaran SUKMA 2014. Imej dari Astro Awani.

Setelah ada beberapa pertemuan, termasuklah pertemuan pemangku Pengerusi BN – Zahid Hamidi dengan Raja Perlis. Kita dimaklumkan yang Azlan Man terpilih sebagai MB Perlis sekali lagi. Dikhabarkan, Azlan memang disenangi Raja Perlis dan selalu berada di sisi Raja Perlis dalam setiap majlis yang ada.

“Malah, apabila berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, ketika sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ‘hilang’, Azlan satu-satunya wakil rakyat BN bersama baginda di Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri 5, di Masjid Alwi, di sini pada 13 Mei lalu.” – Dipetik dari Berita Harian.

Tapi nampaknya walaupun dah dapat perkenan dari Raja Perlis, Azlan dah ditolak sepenuhnya oleh 9 ADUN BN Perlis. Buktinya, tak ada seorang pun yang datang ke majlis istiadat pelantikan, sampai membuatkan Raja Perlis murka. Baginda juga rasa kecewa, sebab jemputan dah pun dihantar dua hari sebelum majlis istiadat.

“Sekarang mereka berada di Kuala Lumpur, semalam mereka pergi menaiki kapal terbang.. ini berdasarkan laporan yang saya terima.” – Dipetik dari Berita Harian.

Imej dari builtinperl

Menurut baginda, sehingga malam tadi baginda masih lagi memikirkan siapa yang bakal jadi Menteri Besar sebab ada dua nama dalam fikiran baginda. Yang satu, pernah jadi MB sebelum ni dan baginda mahukan dia teruskan pembangunan yang dirancang untuk kepentingan rakyat. Yang satu lagi pula, ada hubung kait dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis.

“… apabila saya berjumpa semua wakil rakyat BN, mereka ini lebih patuh (kepada kepimpinan UMNO) yang di negeri daripada (kepimpinan) yang di pusat. Ia seperti ada grip (pegangan) lain.. saya bimbang takut salah pilih Datuk Ismail Kassim… saya takut pilih Menteri Besar yang akan menjadi ‘puppet’ (boneka).” – Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perlis. Dipetik dari Berita Harian.

Dalam reaksi terbaru, Shahidan ada memohon supaya Raja Perlis tak campur tangan dalam pentadbiran negeri dan mintak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya campur tangan dalam pelantikan menteri besar itu.

Tak boleh bla betul. Imej dari FB Zulhilmi Daud.

“Katanya, Azlan Man dilantik tanpa surat perlantikan dari BN dan tindakan melantik seseorang yang tidak dapat sokongan majoriti sebagai menteri besar adalah tidak beretika dalam perlembagaan.” – Dipetik dari Malaysiakini.

Jadi apa nasib Azlan Man sekarang?

Kalau nak diikutkan, Azlan sekarang ni masih lagi MB Perlis yang sah sebab dia dah dilantik oleh Raja Perlis. Cumannya, ada masalah sebab Azlan sekarang ni tak dapat sokongan majoriti ADUN BN yang sebulat suara menolak Azlan.

“…sekiranya beliau tidak dapat kepercayaan atau confidence dari majoriti DUN, beliau boleh diketepikan dari jawatan Menteri Besar dan haruslah ada pengganti yang mendapat kepercayaan.” – Dr Hazmi Rusli, Pakar Undang-Undang USIM. Katanya kepada SOSCILI.

Azlan Man dengan Datuk Seri Najib yang tengah pegang Harum Manis. Imej dari The Star.

Menurut Dr Hazmi lagi, secara praktisnya, perlu ada undi tak percaya oleh ADUN-ADUN Perlis kalau nak Azlan diketepikan. Dan lepas tu, BN kena kemukakan calon lain kepada Raja Perlis untuk diperkenankan.

Kedudukan kewangan Perlis semakin merudum setiap tahun

Memang pening tengok krisis macam ni berlaku. Tapi, itu semua tak boleh memadamkan rekod kewangan Perlis yang sentiasa rugi setiap tahun. Laporan Audit Ketua Negara pada tahun 2016 dah menyatakan yang kedudukan kewangan negeri Perlis kurang memuaskan.

Mana taknya, hasil kutipan negeri RM109.93 juta tapi perbelanjaan pulak RM 196.96 juta. Kiranya perbelanjaan lagi banyak dari hasil. Maka, terjadilah defisit. Masalahnya, bukan tahun 2016 je yang defisit. Tengok bawah ni…

Tiap tahun menurun ke bawah nak pergi mana tu? Imej dari Laporan Audit Negeri Perlis 2015.

Ini membuktikan yang Perlis perlu dibangunkan dari sudut ekonomi semula. Disebabkan parti BN yang membentuk kerajaan, manifesto yang mereka tawarkan sebelum PRU14 perlu disusun dan dilaksanakan untuk rakyat Perlis. Walau apa pun krisis yang berlaku sekarang, rakyat jualah yang akan menerima baik buruknya.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.