Tragedi Helikopter Nuri yang terhempas akibat ditembak oleh pengganas komunis

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan tragedi helikopter terhempas di Taman Melawati, Ampang. Dipercayai dua helikopter itu bertembung di udara sebelum terhempas pada pukul 11 pagi, melibatkan empat orang mangsa. Dua daripadanya terselamat, manakala dua mangsa lagi maut.

Apabila tragedi ini berlaku, sebenarnya ia mengingatkan kita kembali kepada satu peristiwa yang menimpa Helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri. Peliknya, helikopter jenis ini telah banyak kali terhempas sejak 1969 lagi.  Tapi untuk kali ni, kami ingin kongsikan satu tragedi berdarah yang berlaku pada helikopter itu akibat pengganas komunis.

Inilah Helikopter Nuri, kalau korang tak tahulah. Imej dari NST.

Pengganas komunis membuat serangan di Kem Gubir

Angkatan tentera semasa Ops Gubir berlaku. Imej dari M Update.

Diberi nama Ops Gubir kerana terdapat markas pengganas komunis di Gubir, Kedah semasa berlakunya Darurat. Tempat ini menjadi saksi berlakunya peristiwa tragis dan sejarah hitam kepada kita, lebih-lebih lagi bagi anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Ini kerana, ia susulan daripada pertempuran dan serang hendap yang dilancarkan oleh pengganas komunis. Peristiwa Gubir yang berlaku pada 26 April 1976 ini telah dilaksanakan oleh sepasukan anggota keselamatan yang dinamakan sebagai “Operasi Kota“.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil keputusan untuk melancarkan serangan balas terhadap pengganas komunis di sebuah kawasan yang disyaki tempat kubu kuat mereka. Pengganas komunis yang dianggarkan seramai 400 anggota itu, juga disyaki telah memasang hampir 3,600 jerangkap samar di kawasan sekitarnya. Namun, pihak ATM hanya menghantar 60 anggota sahaja, sehingga ia mencetuskan situasi yang amat membimbangkan dan kemudiannya menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.

Berani eh pengganas komunis mencabar tentera kita. Imej dari giphy.

Taktik yang digunakan untuk menyerang kemaraan pengganas komunis adalah dengan menggunakan helikopter pada waktu malam kerana perkampungan tersebut dipercayai dikawal ketat oleh pihak pengganas, selain dengan ribuan jerangkap samar.

Semasa operasi ini berlaku, malangnya ia telah mengorbankan 11 anggota tentera, apabila…

Helikopter pembawa bekalan peluru ditembak pengganas komunis

Perajurit dengan Helikopter Nuri pada 1976. Imej dari Abang Just Sebarkan.

Bagaimanapun, sebuah helikopter Nuri yang membawa bekalan peluru, bahan letupan dan 11 anggota tentera untuk membantu misi terhempas akibat ditembak oleh pengganas komunis pada pukul 10.00 hingga 10.30 pagi di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir. Mereka dikatakan dalam perjalanan ke pos-pos tentera di perbatasan Malaysia-Thailand. Namun, bekalan peluru dan bahan dapat dihantar kemudiannya walaupun dengan jumlah yang tidak sama.

Antara 11 anggota tentera yang terlibat dalam tragedi Helikopter Nuri terhempas itu ialah:

  1. Major Haris Rejab.
  2. Kapten (U) Mustapha Kamal bin Mohamad Shafie.
  3.  Kapten (U) Choo Yeok Boo.
  4. Kapten Sulaiman bin Abdullah.
  5. Leftenan Ibrahim bin Zakaria.
  6. Leftenan (Udara) Wan Munsiff Wan Salim.
  7. Leftenan (Udara) Chung Ming Teck.
  8. Sarjan (Udara) Leong Yee Heong.
  9. Sarjan Khamis bin Dolmat.
  10. Koperal Kamarulzaman Zakaria.
  11. Lans Koperal Suandi bin Saim.

Berdasarkan pengalaman T14040 Ssjn.(B) Yusof Bin Abu X Skuadron Rejimen Gerak Khas (RGK), selepas mendapat maklumat daripada anggota tentera di kem musuh yang telah ditinggalkan, mereka mendapat tahu sebuah helikopter yang membawa bekalan perang dan penumpang telah ditembak oleh pengganas komunis. Dia kemudiannya terpaksa berpatah balik ke Kem Gubir.

Setelah lebih setengah jam berlalu dan helikopter tersebut masih lagi tidak sampai ke Kem Gubir dan terputus hubungan, satu pasukan terdiri daripada empat anggota dan Yusof sendiri telah diarahkan untuk membuat tinjauan, dan melakukan operasi menyelamat.

Antara mangsa yang terlibat dalam trgaedi ini. Imej dari Malaysia Military Power.

Mereka telah diterbangkan menaiki sebuah Helikopter Nuri lain untuk tugasan itu dan tidak berapa lama kemudian, kelihatan kepulan asap hitam di udara semasa menghampiri kawasan tersebut dan jelas kelihatan sebuah Helikopter Nuri sedang terbakar. Lalu mereka menghantar maklumat ke Kem Gubir mengenai situasi yang berlaku.

“Kami telah menemui satu mayat mangsa yang masih sempurna tersandar di banir pokok dan satu mayat magsa lagi di tempat duduk pilot sebelah kanan separuh terbakar. Sementara mangsa mangsa yang lain berada didalam pesawat yang sedang terbakar dengan maraknya itu.” – Ssjn.(B) Yusof Bin Abu, petikan dari Malaysia Military Power.

Yusof selepas itu didatangi dengan lima anggota tentera lain yang diketuai oleh Sarjan Hussin dan mereka bermalam di tempat kejadian serta membuat siasatan pada hari esoknya. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat keadaan mayat yang sungguh ngeri dan menyayat hati, ada antara mayat mangsa yang telah terputus tangan, kaki malah ada juga yang telah terpisah kepala dari tubuh.

“Mana mana anggota yang terpisah dan terputus itu kami masukkan kedalam satu beg dan mana yang masih elok lagi keadaannya kami asingkan satu persatu. Lebih kurang pukul sebelas setengah semuanya telah selesai dan kami semua telah dinaikkan dengan winching ke helikopter yang datang menjemput kami.

____

Saya dan Sgn. Hussin adalah yang terakhir naik dan tiada sesiapa lagi yang tinggal dan tiada juga lain lain pasukan yang datang untuk membantu kami.” – Ssjn.(B) Yusof Bin Abu, petikan dari Malaysia Military Power.

Sarjan (B) Haris Dan terselamat dari hujan badai peluru komunis

Sarjan (B) Haris Dan memegang beberapa kepingan gambar semasa beliau menjadi tentera. Imej dari Utusan Malaysia.

Sebenarnya pengalaman bertempur dengan pengganas komunis dan tragedi Helikopter Nuri itu memberikan kesan yang mendalam buat bekas perajurit negara kita, Sarjan (B) Haris Dan. Ini kerana, beliau juga terlibat dalam serangan hendap itu, tetapi menaiki helikopter yang lain. Pada waktu itu beliau berumur 27 tahun dan tidak pernah sesekali pun melupakan peristiwa ketika helikopter yang membawanya bersama anggota X Skuadron Rejimen Gerak Khas (RGK) dihujani peluru di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

“Kami berada di Gubir sudah lama, seingat saya sudah dua hingga ke tiga minggu ditugaskan membersihkan kawasan berkenaan daripada ancaman komunis.

____

Hari berkenaan (diserang komunis) adalah hari terakhir kami di sana sebelum pulang ke Kem Sungai Udang, Melaka. Segalanya berjalan lancar ketika helikopter mendarat untuk mengambil kami sebelum tiba-tiba ditembak.” – Sarjan (B) Haris Dan, petikan dari Harian Metro.

Tabik hormat buat beliau. Imej dari Photo AC.

Haris Dan yang berkhidmat selama 18 tahun bersama ATM mengakui peristiwa itu masih segar dalam ingatannya dalam mengenangkan kekejaman komunis walaupun sudah 42 tahun berlalu.

“Alhamdulillah kami semua selamat, nyawa kami bagaikan di hujung tanduk, tembakan bertalu-talu itu boleh menyebabkan helikopter terhempas sekiranya tembakan mengenai juruterbang.

____

Walaupun kami terselamat, ada anggota keselamatan lain maut pada hari yang sama apabila helikopter dinaiki mereka terhempas akibat ditembak komunis” – Sarjan (B) Haris Dan, petikan dari Harian Metro.

Jadi, tragedi helikopter terhempas ini sebenarnya telah berlaku banyak kali terutamanya di Malaysia yang telah mengorbankan ramai orang termasuk orang ternama. Hmmmm…mungkin kami boleh huraikan tragedi helikopter lain lepas ni yang mungkin korang tak tahu?