Lihat wartawan wanita Malaysia ini sanggup menyamar untuk mencari pedofil!

(Click here to read the original English article on Cilisos.)

Ada satu benda yang menakjubkan berlaku di Parlimen pada 4 April 2017 lepas, di mana Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak telah diluluskan. 

Majlis ni menyaksikan 115 ahli parlimen daripada pihak kerajaan DAN JUGA pembangkang sebulat-suara menentang jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Benda ni jarang betul berlaku, di mana wakil-wakil rakyat kita bersatu dalam menyelesaikan isu semasa tanpa mengira pegangan politik mereka.

Tapi macam mana fenomena ni mula berlaku? Siapa yang berjaya menyatukan ahli-ahli parlimen kita untuk membuat undang-undang baru? Ini merupakan kisah macam mana sebuah kumpulan kecil wartawan berjaya mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik…

Setahun yang lalu, R.AGE memulakan kempen untuk mendedahkan pedofil

Editor Ian Yee dengan team dia memegang trofi 2016 Asian Media Awards. Imej dari rage.com.my.

R.AGE, satu pasukan yang terdiri daripada 12 wartawan muda mendedikasikan diri mereka untuk membuat liputan yang mendalam dan terperinci tentang perkara-perkara yang rakyat Malaysia perlu tahu. Antara prinsip yang mereka pegang adalah untuk memberikan suara terhadap mereka yang tidak mampu, dan prinsip-prinsip inilah yang telah membuatkan mereka menang pelbagai anugerah.

 

Pada awal Jun tahun 2016, R.AGE telah memulakan kempen yang dinamakan Predator In My Phone sebagai sebuah eksperimen.

“Mulanya kami bertemu dengan polis untuk menyiasat tentang kes rogol yang melibatkan temujanji dan dadah. Tapi bila mereka berkongsi statistik, kami dapati yang aplikasi chat pada phone merupakan alat utama penjenayah ini. Dan kami terus bermula di situ.” – Ian Yee, Editor R.AGE, dipetik oleh The Star.

Aplikasi chat merupakan platform utama pemangsa seksual. Imej screengrab dari video R.AGE

Beberapa orang wartawan ditugaskan untuk menyamar sebagai remaja berumur 15 tahun di WhatsApp, Facebook, WeChat dan aplikasi chat yang lain. Tujuan eksperimen ni adalah untuk tengok berapa banyak pemangsa seks yang akan mendekati mereka. Dan jawapannya… ramai!

“Dalam tempoh setengah jam je, saya terima lebih daripada 10 mesej, dan semuanya daripada lelaki. Berdasarkan profil mereka, kebanyakannya merupakan golongan pertengahan umur, tapi yang pasti umur mereka melebihi 18 tahun ” – Clarissa Say, Wartawan R.AGE di Predator In My Phone, Episod 1

Selepas berbual dengan pemangsa tadi (melalui chat), mereka bercadang untuk berjumpa. Dalam masa yang sama, pasukan R.AGE yang lain pula set up kamera tersembunyi kat hotel, restoran, dan tempat-tempat lain (tapi salah seorang pemangsa siap minta jumpa kat rumah dia pulak!) Boleh tengok video kat sini.

Siasatan dilakukan selama 6 bulan, dan setiap operasi dirancang dengan sangat teliti untuk melindungi wartawan R.AGE. Bagi mereka bahagian yang paling trauma ialah perbualan dengan pemangsa.

Klik sini untuk liputan kami tentang Predator in My Phone ketika ia mula dilancarkan.

“Apa yang ramai orang tak tahu adalah… betapa banyak usaha dan masa yang diperlukan untuk untuk bersiap sedia. Kami kena pastikan segalanya 100% selamat. Kami perlu berjumpa dengan pemangsa tersebut di tempat awam, kami perlu memastikan tempat itu selamat, yang seluruh pasukan berada berhampiran, kami perlu memastikan sekuriti yang cukup.” – Ian, The Star.

Penyiasatan yang dijalankan ini sebenarnya telah mendapat pengetahuan polis. Ian memberitahu bahawa unit yang terlibat sebenarnya tak cukup sumber untuk buat penyiasatan mereka sendiri, sebab itulah mereka memerlukan bantuan.

Kempen Predator In My Phone berjaya membuka mata ramai rakyat Malaysia pasal kes pedofilia. Dalam masa seminggu lepas Episod 1 ditayangkan, Ian bagitahu yang pihak mereka terima pelbagai komen daripada ibu bapa yang prihatin pasal hal ni, dan tak kurang juga yang marah bila dapat tahu kes macam ni wujud kat Malaysia.

“Child sexual grooming adalah apabila seseorang membina hubungan emosi dengan kanak-kanak untuk mendapatkan kepercayaan mereka bagi penderaan seksual, eksploitasi seks atau penyeludupan manusia. Pemangsa biasanya berniat untuk mempunyai hubungan seksual dan selalunya mengekalkan hubungan secara rahsia.” – Persatuan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Kanak-kanak

Pendedahan kes-kes lain yang juga semakin memuncak, termasuklah kes Richard Huckle, pelajar MARA, dan kumpulan Whatsapp pedofilia yang didedahkan oleh Syed Azmi.

Lepas mereka dedahkan penyiasatan mereka, usaha R.AGE ni tak berhenti kat situ je…

Wartawan mereka juga cuba meyakinkan ahli Parlimen untuk menyokong rang undang-undang ini

Wartawan Star2, N. Rama Lohan menelefon ahli parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada petang Jumaat. Imej dari The Star

Bukan setakat dedahkan kes pedofilia ni je, pasukan wartawan R.AGE ni pergi mendapatkan nasihat pakar-pakar dan juga badan NGO untuk merangka cadangan untuk akta tersebut.

Screenshot daripada predator.my

Lepas tu mereka telefon ahli parlimen, cuba untuk dapatkan sokongan bagi Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

“Kami semua diberikan beberapa nombor telefon ahli Parlimen, dan kami telefon untuk tanya sama ada mereka berminat atau tak untuk berikrar menyokong Rang undang-undang Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang baru. Masa tu, pejabat kami memang meriah dengan panggilan telefon yang bertalu-talu, dah macam telethlon” – Clarissa

R.AGE juga ada buat satu platform supaya orang ramai boleh tag ahli parlimen diorang.

Screenshot daripada predator.my

Pada Oktober 2016, 34 orang ahli Parlimen telah berikrar untuk menyokong rang undang-undang terhadap child sexual grooming. Pada Februari 2017 pula, R.AGE berjaya mendapatkan sokongan daripada 62 orang ahli Parlimen.

Sebenarnya, Parlimen perlukan 111 undi untuk jadikan petisyen itu rasmi, iaitu separuh daripada 222 ahli Parlimen. Jadi, wartawan R.AGE pun minta tolong kawan-kawan mereka kat Star Media Group.

Secara keseluruhan, ada 30 orang wartawan daripada The Star, Star2, StarMetro, The Star TV dan mStar yang menawarkan diri mereka untuk mendapatkan sokongan daripada ahli Parlimen. Satu minggu lepas kempen #MPsAgainstPredators berjalan, 115 ahli Parlimen telah menyokong baik usaha tersebut.

“Tak boleh nak gambarkan perasaan ni dengan kata-kata bila kawan-kawan dari seluruh syarikat sanggup bantu kami sampai la ke garisan penamat. Kami minta mereka (sukarelawan) untuk telefon Ahli Parlimen pada malam Jumaat dan ramai daripada mereka yang sanggup luangkan seluruh hujung minggu untuk buat panggilan susulan. Dedikasi mereka sebagai wartawan ditunjukkan bukan hanya pada kerja mereka, tapi untuk sebab-sebab lain yang lebih penting. ” – Ian

Tonton video di bawah:

Komitmen yang ditunjukkan mereka lebih daripada sekadar membuat penyiasatan dan laporan, tapi juga menggerakkan ahli Parlimen untuk menyokong perjuangan ni!

Dan atas usaha mereka, mereka juga berjaya menyatukan Parlimen

Seluruh ahli Parlimen bersatu menyokong akta ini untuk kebaikan kanak-kanak Malaysia. Imej dari The Star

Di Malaysia, jarang kita tengok Ahli Parlimen kita bersetuju dengan satu-satu isu. Tapi pada 4 April, Ahli Parlimen dari pihak berlawanan dapat ketepikan perbezaan mereka dan berganding bahu menentang pemangsa seksual kanak-kanak.

“Walaupun kita mungkin ada perbezaan pendapat pasal isu-isu lain sebelum ni, tapi hari ini kita boleh sama-sama berbincang tentang masa depan dan tanggungjawab kita untuk melindungi kanak-kanak.” – MP PKR Nurul Izzah

Dalam masa yang sama, ada perkara lain yang menimbulkan kemarahan ramai pihak- Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dipetik berkata:

Ahli Parlimen Tasek Gelugor dipetik berkata yang pelaku (rogol) boleh berkahwin dengan mangsa jika mereka menyesal dengan kelakuan mereka. Screenshot daripada Free Malaysian Today.

Ucapan beliau pada masa tu pula katanya disalah ertikan oleh pihak media, dan beliau memperbetulkan kembali selang beberapa hari kemudian.

“Seorang ahli parlimen telah mencadangkan pindaan kepada rang undang-undang ini yang akan mengharamkan perkahwinan kanak-kanak di bawah umur semasa saya telah memberikan pendapat bahawa dalam keadaan tertentu, fleksibiliti semasa perlu kekal” – Datuk Shabudin Yahaya

Rang undang-undang ini kemudiannya melalui tiga lagi perbicaraan selama dua hari. Undang-undang baru ni meliputi banyak perkara selain daripada Akta Kanak-kanak 2001 yang sedia ada. Ianya untuk memastikan perlindungan yang lebih besar untuk mereka di bawah 18 tahun. Secara ringkasnya, perbuatan child-grooming dan yang berkaitan dengannya kini diharamkan. 

RUU ini juga kini melindungi SEMUA kanak-kanak Malaysia terhadap mana-mana warga tempatan atau asing, tak kira lah jenayah tu berlaku kat Malaysia atau luar negara, dan akan ditambahbaik lagi dari semasa ke semasa.

Walaupun perjalanan yang mereka lalui panjang dan berliku, tapi pasukan R.AGE dan semua yang terlibat dah buat sesuatu yang hebat dalam sejarah negara, menjadikan Malaysia lebih selamat untuk kanak-kanak kita.