Datuk & isteri hidup mewah? Ini cara-cara macam mana “Macau Scam” beroperasi

Beberapa hari lepas, Malaysia dikejutkan dengan satu isu penipuan Macau atau lebih dikenali sebagai Macau Scam di mana lima orang individu telah ditangkap oleh SPRM kerana disyaki terlibat dalam Macau Scam dan pengubahan wang haram di Malaysia.

Berdasarkan kajian, individu-individu yang ditangkap merupakan seorang individu popular bernama Dato’ Addy Kana dan isterinya Datin Sri Alyaa Syuhaila. (Korang boleh lihat di sini betapa mewahnya mereka hidup). Mereka juga didakwa se­ring berparti bersama beberapa selebriti popular.

Dalam pada itu, mereka yang terlibat dengan jenayah Macau Scam sebenarnya mempunyai kesinambungan dengan kes Shuib dan isterinya Siti Sarah. Kalau korang nak tahu, ada individu yang terlibat dengan Macau Scam telah membuka tiga cawangan Bubblebee dan itu sebab kenapa Shuib dan isterinya telah dipanggil oleh SPRM kerana isu pengubahan wang haram.

Mesti korang tertanya kan bagaimana mereka yang kuat kencing guna Macau Scam ini boleh kaya raya mengalahkan jutawan? Jadi, mari kami bongkarkan cara-cara orang Macau Scams tipu duit orang.

1. Cabutan bertuah: Dihiasi dengan gambar awek seksi

Hati-hati kaum lelaki jangan terpedaya sekali klik terus merana. Imej dari Imgflip.

Pernah tak korang dapat satu mesej atau panggilan dari orang tidak dikenali menyatakan bahawa yang korang telah memenangi hadiah cabutan bertuah padahal masuk apa-apa peraduan pun tidak. Ye benar, ini merupakan salah satu cara yang digunakan oleh individu Macau Scam, mereka akan suruh bayar cukai atau wang insuran terlebih dahulu sebelum terima hadiah cabutan bertuah itu.

Bukan itu sahaja, korang mesti perasan dalam laman web yang kita selalu buka akan ada iklan menangi cabutan bertuah” atau “anda memenangi cabutan bertuah“. Kalau korang klik iklan itu, ia akan menghubungkan kepada pautan WhatsApp dan mereka akan suruh isi data peribadi korang. Sebenarnya ramai dah yang kena dengan iklan-iklan sebegini.

Terdapat satu kes di mana seorang pelajar kolej swasta yang berusia 20 tahun telah mengalami kerugian sebanyak RM 39,987 . Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, pelajar itu dikatakan menerima mesej yang menyatakan dia telah terpilih untuk memenangi cabutan bertuah sebanyak RM8,888. Pelajar itu membuka mesej itu lalu mengisi data peribadinya bahkan dia tidak sengaja memberi data akaun bank miliknya.

“Mangsa tidak sedar dia telah mendedahkan maklumat tersebut kepada ahli sindiket tersebut. Dia turut menerima beberapa siri nombor transaction authorization code (TAC) dan telah menyerahkannya kepada suspek.” – Noorzainy Mohd Noor, Asisten Komisioner, dipetik dari Sinar Harian.

2. Menyamar sebagai Pegawai Polis: Kadangkala mengaku Agensi Kerajaan

Kalau jumpa individu Macau Scam ni kasi lempang je! Imej dari Imgflip.

Dalam banyak-banyak panggilan, panggilan apa selain bill telefon dan syarikat telco yang menjengkelkan? Jawapannya ialah panggilan dari penipu yang mengaku dirinya Pegawai Polis atau Pegawai Mahkamah dan ini cara individu Macau Scam buat kerja. Kalau korang nak tahu penipu ini akan menelefon mangsanya lalu menyatakan bahawa mereka dari balai polis dan cakap yang korang terlibat dalam jenayah seperti ah long, pengedaran dadah dan sebagainya.

Jadi, mereka akan suruh korang memindahkan duit dalam jumlah yang banyak ke dalam akaun bank yang diberi. Katanya duit yang dipindahkan supaya akaun mangsa tidak dibekukan oleh pihak berkuasa. Sebenarnya, kaedah ini banyak kali kantoi dan kalau cari dekat YouTube banyak video orang kenekan penipu yang mengaku pihak polis ni. (haa meh layan jap satu video di sini, serius berdekah).

3. Menyamar Pegawai Bank: Mula-mula pihak Maybank lepastu pihak CIMB pula

kesian yang single tak dapat panggilan dari penipu mesti dapat mesej dari MKN dan KKM sahaja. Imej dari Imgflip.

Kadangkala kita akan menerima panggilan dari pihak bank menyatakan tentang pengaktifan akaun kita atau iklan tetapi korang juga perlu berhati-hati kerana kadangkala panggilan ini boleh menjadi salah satu kaedah individu Macau Scam.

Mereka akan mengaku sebagai pihak bank dan menyatakan bahawa mangsa gagal membuat bayaran kad kredit. Mangsa kemudiannya diarah untuk menghubungi seseorang, kononnya pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan akaun dibeku. Mangsa akan disuruh untuk membuat pemindahan wang ke dalam akaun diberikan, kadangkala mereka minta mangsa berikan data akaun bank yang menyebabkan semua duit dalam akaun bank mangsa lesap.

4. Meminta wang tebusan: Menipu dengan berkata anak mangsa diculik

Haa kantoi chor kalau penipu tu call bujang ke anak dara ke en. Imej dari Imgflip.

Ini merupakan salah satu taktik yang digunakan oleh majoriti individu “Macau Scam”  kerana ramai orang sudah terkena. Mereka akan membuat panggilan dengan mengaku dirinya penculik dan kata yang mereka telah menculik anak mangsa dan perlu memindahkan wang dengan segera jika mahu anak mangsa selamat. Kadangkala mereka lebih licik kerana mereka juga akan kata anak saudara mangsa telah diculik.

Mungkin nampak kelakar tapi sebenarnya ramai yang sudah terkena kerana penipu ini akan bercakap dalam nada yang memaksa. Hal ini menyebabkan ramai orang akan terus memindahkan wang tanpa berfikir panjang kerana memikirkan keselamatan anak atau anak saudara tetapi sebenarnya tiada apa-apa pun berlaku kepada anak atau anak saudara.

Kaedah yang perlu diambil tahu supaya tidak terjebak dengan Macau Scam

haa kalau dah tahu macam mana taktik mereka mesti susah kita nak kena tipu. Imej dari Giphy.

Jadi, korang semua sudah tahu bagaimana kaedah atau taktik yang digunakan oleh majoriti individu “Macau Scam” ini. Sebenarnya banyak kes-kes yang berlaku tidak mengira usia kerana kadangkala mereka yang tua pun boleh kena tipu. Oleh itu, mari kami senaraikan langkah-langkah yang perlu diambil jika ada penipu yang cuba nak menipu korang:

  1. Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan hela-helah yang diberikan oleh penipu.
  2. Jika benar panggilan yang korang terima itu dari penipu, korang boleh kenakan mereka balik dengan memberikan data peribadi yang salah.
  3. Jangan berikan sebarang data peribadi seperti akaun bank, nombor IC, atau nama penuh kepada penipu.
  4. Jangan telefon semula nombor penipu itu, cuba dapatkan pengesahan dari mana-mana syarikat yang terlibat.
  5. Layari portal rasmi BNM untuk mendapatkan informasi dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan atau dalam talian.

Justifikasinya, jika korang sudah tahu semua langkah-langkah ini, kebarangkalian untuk korang kena tipu dengan individu “Macau Scam” amat sukar. Bukan itu sahaja, kes “Macau Scam” atau berkait rapat dengannya dapat dibendung dengan secepat mungkin.