3 salah faham mengenai hukum hudud di kalangan rakyat Malaysia

Masihkan awak semua ingat dengan perjuangan PAS ingin melaksanakan hukum hudud di Malaysia? Sampai sekarang masih menjadi tanda tanya lagi buat rakyat Malaysia, bila la mereka nak betul-betul perjuangkan hukuman tersebut.  ‘Dekat tak tercapai, jauh tak berantara’, inilah peribahasa yang sesuai untuk mereka.

Hmmm… kami nak tanya awak semua la, apa yang korang faham pasal hukum hudud ni? Semestinya, apa kita tahu sejak kecil lagi, tentang-tentang hukuman yang dikenakan la seperti hukuman berzina akan disebat 100 kali untuk belum berkahwin. Tapi tahu tak, ada banyak lagi perkara tentang hukum hudud yang ramai tak tahu antaranya…

Ehh jap-jap, kita berkenalan dengan hukum hudud dulu

Jangan terjah je mat, mungkin ada antara kita yang tak tahu lagi pasal hukum hudud ni secara mendalam. Apa kata kita berkenalan dengan hukum hudud ni dulu ye lah bak kata pepetah Melayu belah-belah zaman Parameswara, ‘tak kenal maka tak cinta’.

Pada asasnya, hudud ni salah satu cabang dari Undang-Undang Jenayah Islam/Syariah:

  1. Qisas: Hukuman balas untuk kesalahan membunuh dibalas dengan bunuh dan mencedera dibalas dengan mencedera. Tapi kalau membunuh dengan tak sengaja dan mencedera dengan tak sengaja, hukumannya adalah diyat (denda).
  2. Hudud: Hukuman berdasarkan al-Quran dan Hadis (kata-kata/perbuatan Nabi Muhammad SAW). Khas untuk kesalahan zina, minum arak, tuduh orang berzina (Qazaf), murtad (keluar dari Islam), mencuri dan merompak.
  3. Takzir: Hukuman yang tiada dalam al-Quran dan Hadis, diserahkan kepada undang-undang sedia ada dan hakim. Hukuman boleh jadi macam penjara, buang daerah/negeri dan sebagainya.

Jadi, undang – undang Islam tak terhad pada hudud saja, malah ia juga boleh menerima pakai undang-undang sedia ada. Berkenaan dengan hukuman untuk kesalahan hudud pula:

  1. Berzina: Sebat 100 kali untuk yang belum kahwin dan rejam untuk yang dah kahwin.
  2. Tuduh orang berzina (qazaf): 80 kali sebat kalau tak bawa saksi.
  3. Mencuri: Potong tangan kalau ada pengakuan atau ada 2 saksi.
  4. Merompak: Kalau membunuh masa merompak hukumannya bunuh. Merompak dengan merampas harta orang lain, hukumannya potong tangan dan kaki.
  5. Minum arak: Sebat 40 kali.
  6. Murtad: Bertindak keluar dari Islam, hukumannya bunuh.

Hukuman-hukuman hudud mungkin agak menakutkan. Namun, bukan semudah itu ye kita nak jalankan hukum hudud ni. Ada banyak perlaksanaan atau perkara yang kita semua tak tahu.

1. Orang miskin yang terpaksa mencuri tak boleh dihukum hudud

Masihkah korang kisah ibu mencuri di pasaraya kerana anak lapar & polis bantu dia? Imej dari mStar.

Seperti kita tahu, mencuri hukumnya adalah potong tangan. Tapi ada beberapa situasi atau perkara yang mengalang hukuman ini dijalankan, seperti:

  • Kecurian berlaku dalam kalangan ahli keluarga

Contoh: Isteri curi duit suami, anak curi duit emak atau adik curi abang.

  • Mencuri sebab terpaksa atau nilai barang dicuri terlalu kecil

Contoh: Seorang ibu terpaksa mencuri kerana tiada duit demi anak-anak mereka makan.

  • Mencuri harta awam (sebab nama pun awam, jadi pencuri tu ada hak la)

Contoh: Mencuri kabel eletrik, mencuri tong sampah awam, dan kabel eletrik.

  • Kecurian berlaku kerana kelalaian

Contoh: Kita lupa nak cabut kunci motor kita (siapa naik motor jangan buat macam ni ye), lepas tu ada orang lain curi motor kita.

Tambahan pula, hukuman hudud potong tangan ni kena ada pengakuan dari pesalah atau dua orang saksi. Pihak berkuasa dilarang memaksa suspek mengaku. Jika cukup bukti dan suspek tak nak mengaku, dia masih boleh lagi dihukum, tapi hukuman takzir saja.

2. Bukan semua golongan murtad boleh dihukum

Masih ingat lagi dengan kes Sajat mahu keluar Islam? Tengok video di bawah:

Berdentum sosial media lepas Sajat buat pengakuan macam ni. Ramai la masa ni mengatakan dia dah murtad, jadi hukuman bunuh patut dilakukan. Sabar semua, hukuman tu bukan terus boleh jalan, ada prosedur dan peraturannya.

Baik, dalam isu ni, kami ambil beberapa pandangan dari beberapa ulama’

Abdul Hadi Awang (mantan Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia)

Menurut Hadi Awang, hukuman mati hanya dilaksanakan kalau orang yang murtad tu mengancam keselamatan negara atau bertindak memusuhi Islam.

Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis)

Kata Dr. Maza, zaman dulu, tidak ada sempadan negara dan kesalahan murtad boleh dianggap sebagai pengkhianatan. Sebabnya seseorang yang murtad boleh pergi kepada musuh dan mendedahkan rahsia umat Islam. Sekarang, dah ada sempadan negara dan hukuman mati dah tak praktikal kata sebahagian ulama.

Dr. Taha Jabir Al-Alwani (seorang pakar dalam undang-undang Islam)

Dr Taha Jabir al-Alwani yang berkata terdapat 12 ayat dalam al-Quran yang membicarakan pasal murtad, tapi tak disebut satu pun hukuman duniawi yang patut dikenakan kepada pelaku tersebut.

Oh ye, jika seseorang itu dah murtad, kita tak boleh terus hukum bunuh saja. Sebaliknya kita kena suruh dia untuk kembali kepada Allah S.W.T dalam masa 3 hari (ada yang kata seumur hidup).

3. Tangan perotan tak boleh tinggi lebih dari ketiak

Orang minum arak, tuduh orang berzina dan berzina belum berkahwin akan dikenakan hukuman sebat. Akan tetapi, ia tak la zalim macam undang-undang sivil.

Hukuman rotan dalam hudud tak macam penjara kita tu. Ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi:

  1. Rotan yang digunakan tak terlalu berat atau terlalu ringan.
  2. Ketika sebat dilaksanakan tangan perotan tak boleh diangkat hingga nampak ketiak dan tak boleh lebih tinggi dari kepala perotan.
  3. Kalau pesalah yang akan dihukum itu sakit, maka hukuman akan ditangguhkan.
  4. Jika berlaku ketelanjuran dalam sebatan macam luka, maka pesalah boleh dapatkan pampasan.
  5. Hukuman sebat untuk kesalahan minum arak dikecualikan untuk wanita mengikut Mazhab Hanafi.

Imam Syafie (Mazhab Syafie) juga menggariskan secara spesifik bahawa bahagian muka, kemaluan, rusuk serta bahagian-bahagian lain yang boleh mendatangkan risiko adalah dilarang untuk disebat.

Imej dari Harian Metro.

Hukuman rotan dalam undang-undang sivil, perotan akan serang bahagian mana? Punggungkan. Sampaikan ada yang tak boleh nak berak akibat sakit sangat.

Perbezaan hukuman bagi mencuri dalam hukum hudud & kanun keseksaan (Akta 574)

Macam kami cakap tadi, hukuman mencuri dalam hudud ialah memotong tangan jika ada dua orang saksi, tapi ada beberapa perlaksanaan yang perlu dirujuk (boleh tengok yang sub no.1 tu). Hmmm…. tapi apa beza hukuman mencuri antara hukum hudud dan kanun keseksaan (Akta 574)? Mari kita lihat!

Sesiapa yang mencuri boleh didakwa di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan. Perbuatan ni juga boleh dihukum di bawah Seksyen 379 — seksaan bagi kesalahan mencuri (Hukuman: Penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. Kalau kali kedua, boleh dipenjara dan didenda atau sebat.

Imej dari SPRM.

Ada juga hukuman-hukuman untuk kesalahan mencuri yang spesifik, seperti:

  • Seksyen 379A, seksaan bagi kesalahan mencuri sebuah kenderaan motor: Ini kalau ada yang curi pergi curi motor atau barang-barang motor, hukumannya penjara tidak kurang dari setahun atau tidak lebih tujuh tahun, takpun boleh dikenakan denda.
  • Seksyen 380, mencuri dalam rumah kediaman: Siapa curi mana rumah, khemah, bangunan, atau tempat orang tinggal, boleh dikenakan hukuman boleh dipenjara yang boleh sampai sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda.
  • Seksyen 381, kerani atau orang gaji yang mencuri harta dalam milik tuannya: Siapa yang kerja kerani atau orang gaji yang pergi mencuri harta tuannya boleh dikenakan penjara yang boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
  • Seksyen 382, mencuri setelah dibuat persiapan bagi menyebabkan kematian atau cedera dengan tujuan hendak melakukan kesalahan itu: Siapa mencuri sambil membawa senjata atau barang yang boleh membuatkan mangsa ketakutan, cedera atau terbunuh boleh dikenakan penjara yang boleh sampai sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

*Artikel ini diambil dari member kami, AskLegal dan diolah mengikut peredaran semasa.*