Ini cara HIBURAN Hari Raya Aidilfitri pada zaman Rasulullah SAW

UPDATE 22 Mei 2020: Suasana hari raya tahun ini (2020) agak berlainan akibat penularan wabak Covid-19. Diharapkan semua pihak menjaga jarak sosial masing-masing dan bersederhana dalam berhari raya.

[Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 24 Jun 2017]

_____________________________

1 Syawal adalah tarikh kegembiraan untuk semua. Bila dah sampai hari raya ni, maka banyaklah persiapan yang  dah dibuat. Mungkin ada di antara kita yang berada dalam perjalanan pulang ke kampung atau memang dah sampai di kampung pun sekarang ni.

Sebenarnya, kita memang pun dituntut untuk bergembira di hari raya kerana sambutan raya itu sendiri merupakan hari kemenangan dan kesyukuran kepada kita yang berjaya menahan lapar, dahaga dan hawa nafsu.

Maksud aidilfitri itu juga adalah kembali kepada fitrah. Maknanya, umat Islam perlu kembali bersatu dan mengelakkan sebarang sengketa di antara satu sama lain. Semoga dengan kehadiran bulan Syawal ini, dapat mendidik diri kita semua dengan kebaikan dan jiwa yang suci bersih.

Hati-hati di jalan raya, ada mata yang memerhati. Ime dari blog.omy.sg

Bila sampai musim Syawal juga, akan ada persoalan-persoalan yang selalunya timbul di kalangan masyarakat. Contoh macam mana sambutan raya yang sebetulnya, apakah hukum puasa enam dan pelbagai lagi persoalan lain. Oleh itu, mungkin kita boleh mula dulu dengan…

1. Ada ulama yang memakruhkan puasa enam?

Mungkin ada di antara kita yang dah merancang untuk berpuasa enam pada bulan Syawal ini. Ye lah kan, siapa tak nak pahala puasa setahun. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” – Riwayat Muslim.

Berdasarkan hadis tersebut, jelas menunjukkan puasa enam di bulan Syawal adalah disunatkan kepada umat Muhammad SAW. Ada juga ulama yang menghuraikan rahsia hadis ini dengan mengaitkannya bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan digandakan kepada 10 kali ganda.

Jadinya, puasa 30 hari di bulan Ramadhan, dapat ganjaran 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pulak dapat ganjaran 60 hari. Makanya, kalau dicampurkan jadilah 360 hari atau setahun.

Mana ada raya sebulan! Imej dari bitrebels.com

Tapi kenapa pula ada ulama yang memakruhkan amalan ini? Malah ulama yang memakruhkannya adalah imam besar iaitu Imam Malik (Mazhab Maliki). Hujah yang dikemukan oleh Imam Malik adalah:

“Malik berpendapat mengenai puasa enam hari selepas Idil Fitri bahawa beliau tidak pernah melihat ilmuwan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut. Tidak sampai kepadanya apa-apa riwayat daripada ulama salaf mengenai hal itu.” – Al-Muwatta’.

Dalam hal ini, Imam Malik berpendapat yang puasa enam adalah makruh disebabkan beliau tak nampak para ilmuwan di Madinah masa itu mengamalkannya dan beliau juga bimbang kalau orang jahil anggap puasa enam itu wajib.

Walaupun begitu, Imam Nawawi (ulama Mazhab Syafie) menganggap puasa enam itu memang disunatkan.

“Apabila sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun.” – Imam Nawawi.

Oleh itu, tak salah untuk kita buat puasa enam kerana ia telah pun disebut di dalam hadis yang sahih. Tapi lepas tu muncul pula persoalan, adakah boleh kita menggabungkan puasa enam dan puasa ganti? Dalam hal ini, telah berlaku khilaf dikalangan para ulama, antara pendapat tersebut adalah tak boleh kerana kita kena melihat pada hadis itu sendiri.

Hadis itu menyebut ‘sesiapa yang berpuasa Ramadan’, maknanya sempurna puasa Ramadannya dan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia dapat pahala seperti berpuasa setahun.

Ada juga kes di mana Aisyah r.a melewatkan puasa puasa qadhanya, dan ia boleh dijadikan hujah bahawa Aisyah r.a mengasingkan puasa qadha dan puasa Syawal (enam). Klik imej untuk lebih lanjut.

Walaupun begitu, ada juga ulama yang membolehkan perkara ini. Tapi bagi mereka pahala yang akan kita dapat kurang sedikit dari kita berpuasa secara berasingan. Antara hujah mereka adalah ia dikaitkan dengan pahala solat sunat tahiyatul masjid.

“Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha pada bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus mengerjakan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam..” – Dr Abu Anas Madani, Penyelia Pondok Sungai Durian, Kuala Krai.

Walaupun begitu, menurut Dr Abu Anas Madani setelah dikaji, pandangan ulama ini tak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan Sunnah. Oleh itu, cara yang terbaik adalah memisahkan puasa ganti dan puasa enam, kerana dengan cara itu kita akan lebih yakin dan selamat.

“Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.” – Dr Abu Anas Madani. 

Ok…faham.

2. Rasulullah SAW dan Aisyah r.a berhibur di hari raya

Mungkin amalan yang selalu dilakukan oleh orang Melayu adalah menziarahi kubur di pagi raya. Sebenarnya, amalan ni tak berapa sesuai dengan erti sebenar kenapa Hari Raya Aidilfitri disambut. Seperti mana yang kita tahu, hari raya disambut untuk meraikan kemenangan dan merupakan hari untuk bergembira. Perkara ini diceritakan oleh Ummu Atiyyah:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin.” – Riwayat al-Bukhari.

Selain itu, Rasulullah juga tak larang kita dari berhibur di hari raya, asalkan hiburan tu tak menyalahi syariat. Seperti mana yang disebut dalam hadis yang diceritakan oleh isteri Nabi, Aisyah r.a:

“Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakar masuk ke rumahnya (rumah Aisyah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu’ath (peperanga antara Aus dan Khazraj).

___

Abu Bakar berkata ‘Suara syaitan’ (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda; ‘Biarkan mereka wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguhnya hari ini adalah hari raya kita’.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Suasana solat sunat Aidilfitri di Masjid Feroz Shah Kotla, India. Imej dari mynewshub.cc

Selain itu, ada juga kisah di mana Nabi dan Aisyah menonton persembahan bersama-sama ketika hari raya. Diceritakan juga oleh Aisyah r.a bahawa:

“Pada hari raya, orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta atau baginda yang berkata; ‘Apakah engkau ingin menontonnya?’ Jawabku; ‘Ya’.

___

Lalu baginda menjadikan aku berada di belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata; ‘Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)’. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: ‘Sudah cukupkah (jemukah)?’. Jawabku; ‘Ya’. Kata baginda; ‘Kalau begitu, pergilah’.” – Riwayat al-Bukhari.

Dari apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ini, ia menjadi bukti bahawa Islam bukanlah agama yang mengongkong umatnya. Malah Islam adalah agama yang luas dan sederhana dalam setiap perkara. Dalam waktu yang sama, ia juga menunjukkan hari raya bukanlah hari untuk kita bersedih, sebaliknya hari untuk kita bergembira.

Tak salah untuk kita menziarahi kubur masa hari raya, cuma ia kurang sesuai dengan suasana. Imej dari cari.com.my

Walaupun begitu, tidaklah salah untuk kita menziarahi kubur di hari raya. Bukankah menziarahi kubur itu, membuatkan kita ingat kepada akhirat? Malah, hukum menziarahi kubur itu juga adalah sunat, tapi nabi tidak mengkhususkan supaya ia kena dilakukan pada hari raya.

“Jika kita tidak mengatakan bahawa menziarahi kubur itu khusus pada hari raya, itu dibolehkan. Tapi mungkin disebabkan kita berkerja di KL dan kubur ibu berada di kampung, di Pulau Pinang (contohnya) dan kita hanya balik ketika tibanya hari raya dan ketika itulah kita diberikan kesempatan menziarahinya…Maka ianya tidak salah.” – Dato’ Dr Danial Zainal Abidin, pendakwah bebas.

3. Ucapkan tahniah dan mendoakan antara satu sama lain

Mungkin suasana paling meriah dan menggembirakan bila sambut Hari Raya Aidilfitri adalah ketika di pagi raya. Masa ni lah kita akan bangun pagi dan bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri. Golongan wanita pula mungkin sibuk menyiapkan juadah-juadah yang akan dihidangkan kepada para tetamu dan ahli keluarga.

Tapi sebenarnya, masa di pagi raya ini juga kita boleh buat pahala dengan melakukan perkara-perkara sunat. Antara amalan-amalan tersebut adalah mandi sunat hari raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. Hal ini diriwayat oleh Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatta’.

“Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”

Imam Nawawi dan para ulama juga sepakat mengatakan bahawa sunat melakukan mandi tersebut. Amalan sunnah kedua pula adalah makan dahulu sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya. Perkara ini dilakukan oleh Rasulullah SAW, seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, katanya…

“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.”- Hadis riwayat Bukhari.s

Amalkan sunnah di hari raya. Imej asal dari salamisimon1.blogspot

Perkara seterusnya adalah kita disuruh untuk bertakbir dengan membesarkan dan mengagungkan Allah SWT. Selain itu, kita juga digalakkan untuk memakai pakaian yang terbaik, cantik dan baru ketika hari raya. Ini kerana, perkara ini dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Daripada Jabir ra. katanya: “Nabi saw mempunyai satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” –Sahih Ibnu Khuzaimah.

Bagaimanapun, pakaian yang dipakai tu mestilah sesuai, sopan dan mengikut kemampuan diri. Janganlah sebab nak terlalu bergaya – sampai kita membazir dan menyusahkan diri sendiri. Dalam pada itu, diriwayatkan juga Rasulullah SAW mengucapkan ucapan tahniah bila tibanya hari raya.

Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan ‘taqabbalallahu minna wa mingkum’ (Semoga Allah menerima amalan dari kami dan kamu).” – Ibnu Hajar berkata riwayat ini Hasan. [Fath al-Bari: 2/446].

Kita jugak digalakkan bermaaf-maafan di hari raya. Imej dari cheekylulu.wordpress

4. Betul ke tak payah solat Jumaat kalau hari raya jatuh pada hari Jumaat?

Pada tahun 2015, kita pernah menyambut hari raya ketika di hari Jumaat. Seperti mana selalu, lelaki muslim diwajibkan untuk menunaikan solat jumaat, jika tak ada sebarang keuzuran. Tapi, bila hari raya disambut pada hari jumaat, muncul dakwaan yang kata tak wajib solat jumaat lagi, sebab pagi tu kita dah tunaikan solat sunat hari raya. Betul ke dakwaan tu?

Dalam hal ini, para ulama empat mazhab mempunyai pendapat-pendapat yang berbeza. Antara pendapat tersebut adalah:

  1. Mazhab Hanafi – Solat Jumaat wajib ditunaikan. Solat sunat hari raya tidak menggugurkan kewajiban solat Jumaat.
  2. Mazhab Maliki – Solat Jumaat wajib ditunaikan. Solat sunat hari raya tidak menggugurkan kewajiban solat Jumaat.
  3. Mazhab Syafie – Wajib solat Jumaat untuk penduduk kampung yang bermastautin dan gugur tuntutan itu untuk penduduk dari kampung yang berlainan (orang yang jauh dari masjid).
  4. Mazhab Hanbali – Tak wajib solat Jumaat sama ada untuk penduduk tetap atau tak. Kewajiban solat Jumaat gugur selepas mendirikan solat sunat hari raya tapi wajib solat zohor.
Boleh kena denda dan penjara tau. Imej dari BH Online.

Untuk yang mengatakan tak wajib solat Jumaat, hadis yang dirujuk adalah:

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” – Riwayat Abu Daud, Ahmad & Ibn Majah.

Oleh itu, berdasarkan hadis di atas, seseorang itu dibagi pilihan sama ada nak tunaikan solat Jumaat lepas solat hari raya atau tak. Tapi dengan syarat wajib tunaikan solat zohor. Selain tu, ada juga pendapat ulama yang kata zohor pun tak wajib dilaksanakan. Ini kerana, Nabi Muhammad SAW tak pun sebut perkara ni dan sifat hari Jumaat tu sendiri yang diwajibkan solat Jumaat. Antara ulama yang berpendapat sebegini adalah Imam Syed Sabiq.

Walaupun begitu, disebabkan majoriti masyarakat Malaysia memegang Mazhab Syafie maka adalah baik untuk kita mengikut mazhab ini. Keizinan hanya diberikan oleh Mazhab Syafie kepada orang yang jauh dari masjid, sebab tak nak menyusahkan mereka untuk pergi ke masjid dua kali dan terpaksa menempuh perjalanan yang panjang. Tapi…

“Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah. Satu lagi yang perlu diperhatikan ialah, masyarakat yang tidak mengetahui hukum dan dalil dalam masalah ini akan memandang serong dan pelik jika ada sekumpulan kaum lelaki yang tidak pergi menunaikan solat Jumaat, ini akan menimbulkan kecelaruan dan salah faham.” –Dr. Abu Anas Madani, Penyelia Pondok Sungai Durian, Kuala Krai.

Nak pergi ke tak….

Kerana itu jugalah, pihak Mufti Wilayah Persekutuan ada memberikan cadangan kepada imam-imam yang bertugas di masjid ketika hari raya. Antara cadangan itu adalah para imam kena memendekkan khutbah yang disampaikan.

“…khutbah fungsinya memberi nasihat dan peringatan sedangkan di waktu pagi ketika solat Hari Raya sudah dikhutbahkan dengan panjang lebar. Justeru, meringkaskan khutbah akan menenangkan jiwa para jemaah solat Jumaat seperti mana yang dimaklumi pada Hari Raya masing-masing mempunyai banyak agenda ziarah menziarahi dan menerima tetamu. Ini juga menandakan kefaqihan seseorang imam.” – Dato’ Dr Zulkifli al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan.

5. Kes Kongsi Raya yang pernah jadi kontroversi

Pada tahun 2006, kita menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 24 Oktober dan Deepavali pula disambut pada 21 Oktober. Ni maknanya, perayaan Deepavali disambut tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Setahun sebelum tu, kita sambut hari raya lagi dekat dengan Deepavali, iaitu selang dua hari je.

Disebabkan perkara ni, maka muncullah istilah macamDeepa Raya dan Kongsi Raya. Dan perkara tu dah membuatkan banyak sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Deepavali yang diadakan bersama dengan membawa istilah – istilah tersebut. Walaupun begitu, muncul kontroversi bila Jawatankuasa Kerja Muzakarah Ulama 2006 minta supaya amalan Kongsi Raya ni dikaji semula.

“Pengerusi Jawatankuasa Kerja Muzakarah Ulama 2006, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata kajian semula itu perlu kerana Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa meraikan perayaan agama lain merosakkan akidah dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Happy Deepa Raya!! Imej dari penangtalk.com

Perkara ini juga, disokong oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Disebabkan perkara ni, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Rais Yatim ada minta jawatankuasa tersebut kemukakan bukti yang Kongsi Raya dapat merosakkan akidah. Tak lama lepas tu, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) keluarkan kenyataan yang kerajaan akan tetap jalankan sambutan Kongsi Raya.

“Semua acara ini bersifat sosial. Ia bukanlah perayaan agama tetapi acara sosial tanpa sebarang upacara keagamaan…Tidak ada ritual agama dalam acara-acara ini. Ia bukan program yang boleh melemahkan dan merosakkan kepercayaan dan akidah kita.” Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun), Perdana Menteri. Dipetik dari The Star.

Akidah Umat Perlu Dibersihkan – Tan Sri Harussani. Imej dari usahmadawang.blogspot

Jadinya, isu ni selepas tu mula senyap dan takde sebarang kontroversi lagi. Mungkin di masa akan datang, bila kita akan ada sambutan perayaan agama lain dan sambutan hari raya dalam satu minggu yang sama, isu-isu macam ni akan muncul kembali.

Bersederhanalah dalam menyambut hari raya

Akhirnyam, kita diseru untuk menjaga adab dan mengekalkan sikap rasional dalam menyambut hari raya – sesuai dengan apa yang diajar di bulan Ramadan iaitu tentang erti kesabaran dan kesyukuran. Ini kerana, Allah juga ada menyifatkan orang yang membazir ini sebagai bersaudara dengan syaitan.

“Sesungguhnya orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” – Surah al-Isra’ : 27.

Jangan tersasul pulak bila bayar zakat fitrah nanti. Imej dari malaysianreview.com

Oleh itu, marilah kita hidupkan Syawal ini dengan memuji kebesaran Allah seperti bertakbir, bertahmid, berdoa dan berzikir. Jalanilah Syawal ini sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Semoga Syawal kali ini menjadi lebih bermakna dari yang sebelumnya. Dengan itu, kami dari SOSCILI mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI serta MAAF ZAHIR DAN BATIN!!

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.