Malaysia pernah sambut Hari Raya Aidilfitri & Tahun Baru Cina secara serentak?

*Artikel ini diterbitkan pada 14 Mei 2021*

KEMASKINI: Selamat Tahun Baru Cina!(2022), kali ni kami kongsikan kisah Kongsi Raya, di mana kaum Cina dan Melayu sambut perayaan sama-sama. Teruskan membaca!

Raya dah nak dekat ni geng, korang dah siapkan belum benda yang perlu ada masa raya seperti baju raya, kuih-muih, hias rumah, cuci kamera untuk ambil gambar dan macam-macam lagi la! Tapi tu la, perkara paling sedih ialah kita tak dapat balik kampung pula disebabkan PKPB.

Sabar guys, semua orang takleh balik kampung! Imej dari giphy.

Takpe la, bagi merawat segala luka hati korang disebabkan tak balik kampung tu, mari kami imbas kembali satu peristiwa ni. Korang tahu tak? Malaysia pernah sambut Hari Raya Aidilfitri sekali dengan Tahun Baru Cina. Haa…korang jangan terkejut sebab benda ni memang berlaku ye!

Persitiwa ini berlaku apabila…

Tarikh Raya Aidilfitri & Tahun Baru Cina dalam minggu yang sama!

Wahh, meriah betul kalau dapat sambut perayaan macam ni! Imej dari Seven Pie.

Korang yang lahir tahun 1996 ke atas, mesti takkan tahu mengenai Malaysia pernah menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina secara serentak. Jangan terkejut kerana ia memang benar-benar berlaku di Malaysia

Nama untuk peristiwa ini ialah Kongsi Raya kerana pada masa tu kita dianggap berkongsi sambutan perayaan walaupun berbeza adat, budaya dan agama. Sebenarnya peristiwa ni hanya berlaku setiap 33 tahun dan tempohnya selama 3 tahun sahaja.

Antara tahun-tahun yang pernah berlakunya peristiwa ni ialah:

  • 1963-1965
  • 1996-1998
Suasana Kongsi Raya di Melaka pada 1963. Imej dari SINAR.

Selalunya Kongsi Raya ni hanya berlaku di Malaysia dan Singapura sahaja. Tujuan ia dilaksanakan untuk menghormati kepelbagaian etnik dan penerimaan perbezaan budaya antara orang Islam dan orang Cina.

Semasa perayaan berganda itu, kedua-dua kaum akan membuka rumah untuk mereka yang ingin datang beraya bagi mengeratkan lagi silaturahim. Mereka juga akan berkongsi makanan tradisional seperti Melayu kongsi makanan dengan Cina manakala Cina kongsi makanan dengan orang Melayu.

Korang yang suka berfesyen tu pun mesti akan seronok kerana pada masa ini mereka juga saling berkongsi reka bentuk baju tradisional. Contohnya, baju melayu berkolar mandarin lepastu baju lengan panjang yang mempunyai reka bentuk seperti baju Melayu dan Cina.

Punyalah meriah kita sambut Kongsi Raya ni, sampaikan keluar satu lagu khas untuk peristiwa ni je. Sambil-sambil baca artikel ni, boleh la tengok muzik video ni:

Walaupun meriah, tapi ia mendapat tentangan dari…

PAS kerana dianggap bertentangan dengan ajaran Islam

Tentangan dari bekan Timbalan Presiden PAS. Imej dari The Straits Times.

Walaupun Kongsi Raya memang disambut meriah oleh kaum Melayu dan Cina, tetapi ia mendapat bantahan dari ahli-ahli PAS. Mereka mengatakan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak boleh disambut bersama dengan perayaan lain.

Menurut bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa, ia dianggap syirik dari sudut pandangan Islam jika kita menyambut perayaan Islam dan bukan Islam secara serentak. Dia juga berkata sambutan ini boleh menjejaskan aqidah seorang muslim.

“Islam membenarkan kita berkawan dengan orang bukan Islam dan menghormati orang-orang dari agama lain. Tetapi kita tidak boleh berkompromi atas kepercayaan kita sendiri. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud bahawa orang Islam tidak boleh mengunjungi rakan mereka yang bukan beragama Islam semasa festival atau sebaliknya. Ini adalah sebahagian daripada budaya kita dan saya tidak melihat masalah. Akan tetapi biarlah sambutan tersebut dilakukan secara berasingan.” – Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden PAS, Malaysia Today.

Isu ini juga disokong oleh Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria. Beliau mahu Kerajaan mengkaji semula amalan seperti Kongsi Raya dan rumah terbuka untuk memastikan bahawa mereka tidak bertentangan dengan Islam. Lupa lak nak bagitahu, masa ni beliau ialah Ketua Jawatankuasa Kerja Persidangan Ulama 2006.

 

Nak buat macam mana? Semua orang memang suka Kongsi Raya ni tapi tak dibenarkan. Imej dari giphy.

Keputusan ulama itu mengikuti keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bahawa merayakan perayaan agama-agama lain dapat memesongkan kepercayaan umat Islam dan membawa kepada syirik.

Tan Sri Muhammad bin Haji Muhammad Taib atau nama glamornya ‘Mat Taib’ (bekas Ketua Penerangan UMNO) turut menghormati keputusan ulama tetapi beliau juga berkata mereka perlu berfikir dengan lebih mendalam.

“Kita mesti bersikap liberal. Kita adalah negara berbilang kaum, berbilang budaya dan kita (Muslim) tidak boleh menolak semua yang datang dari orang lain (bukan Islam). Islam adalah agama yang harmoni dan hebat. Kita mesti menunjukkan kekuatan dan keramahannya dan tidak terpengaruh dengan pemikiran ekstremis yang sempit. Setahu saya, apa yang penting dalam Islam adalah niat. Adalah baik dalam Islam untuk menjalin hubungan baik dengan orang lain dan saya tidak melihat apa-apa yang salah.” – Tan Sri Muhammad bin Haji Muhammad Taib, bekas Ketua Penerangan UMNO, dipetik dari Malaysia Today.

Beliau lebih bersikap terbuka dalam membahaskan isu Kongsi Raya ni. Imej dari Ibnu Hasyim.

Lepastu, semasa Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke 1/2008, semua pihak yang terlibat telah bersetuju untuk memberhentikan amalan Kongsi Raya atas alasan boleh mengelirukan umat Islam.

Kita bakal menyambut Kongsi Raya lagi pada 2029 hingga 2031

Wahhh, dah ada tarikh lagi! Imej dari morpheuse.

Sekarang sudah 2021, jadi lagi lapan tahun la kita sambut Kongsi Raya ni en (masa tu tahun 2029). Ye, kita bakal melihat peristiwa bersejarah ini sekali lagi dan kemungkinan kita bakal melihat sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina lebih meriah.

Alamak lupa lak nak bagitahu, korang tahu tak sebelum ni pun kita dikatakan pernah menyambut DeepaRaya iaitu Hari Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri. Yupp, ia juga disambut di Malaysia dan Singapura.

Akan tetapi kami sudah disebutkan di atas bahawa para ulama telah mengharamkan sambutan ini. Kita mungkin tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Kemungkinan ia akan berlaku kekhilafan di mana mungkin ada ulama mengatakan boleh disambut. Kalau korang macam mana, boleh ke hah kita sambut Kongsi Raya ni?