Sudah selesa dalam kerajaan, PAS sudah mula bongkak?

Kalau nak sembang pasal politik Malaysia ni, dah memang bercelaru dah sebenarnya. Mana taknya, bermula dari Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu tu sampai lah ke hari ini, krisis politik negara masih tak menemui jalan penyelesaian lagi. Sampai ada yang melompat sana melompat ini (faham-faham je lah ye) hingga menjadikan kerajaan yang ada sekarang ni mempunyai majoriti yang sangat sedikit, dalam erti kata lain semua ahli parlimen (MP) boleh jadi King Maker.

Ada juga yang mengeluarkan kenyataan tak berasas seperti mengatakan arahan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong (atas nasihat Perdana Menteri) ni hanya lah salah satu cara untuk mengekalkan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin. Entah betul ke tak, itu ikut korang nak fikir macam mana. Tapi, katanya PAS dah tolak UMNO sebab nak bergabung dengan BERSATU? Betul ke?

Bermulanya perpecahan UMNO dan Bersatu

UMNO dan Bersatu. Imej dari Edisi 9

Mungkin ada yang masih ingat United Malays National Organization (UMNO) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih lagi bersama, tetapi dukacitanya (boleh jadi sukacita juga kot) UMNO sudah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu sekaligus merasmikan perpisahan antara dua parti terbesar kaum Melayu tu. Boleh dikatakan ketegangan antara UMNO dan Bersatu ni dah macam nak perang antara satu sama lain dah.

Mana taknya, dalam kerajaan PN sekarang ni UMNO yang ada majoriti dalam berbanding BERSATU dan PAS, tapi boleh pula banyak posisi atasan dalam kerajaan banyak diberi kepada orang-orang BERSATU. Memang orang-orang UMNO ni agak tak puas hati lah kan kalau macam tu jadinya. Bak kata orang, kerajaan sekarang ni ibarat ‘minoriti memerintah majoriti’. Kalau UMNO berpecah dengan Bersatu ni apa je akan jadi? Pihak yang akan mengalami kerugian paling besar adalah Bersatu sebab mereka merupakan minoriti.

Senarai ‘orang atas’ dalam kerajaan. Imej dari Berita Harian

Kalau nak tengok pada sokongan pula, memang tak boleh disangkal lagi UMNO masih mempunyai sokongan yang besar disebabkan pengaruhnya sebagai antara parti politik paling lama menapak di negara ni (ditubuhkan sebelum merdeka tu!). Tapi kalau nak cerita pasal PN ni, confirm lah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pun akan terlibat. Ada yang kata PAS perlu memilih (macam rakyat nak mengundi pula) antara UMNO atau Bersatu, sampaikan nak jadi orang tengah untuk mendamaikan kekecohan dalam PH ni pula. Tu yang sampai ‘mengamuk’ Datuk Seri Tajuddin (Ahli Parlimen Pasir Salak).

Ahli Parlimen Pasir Salak. Imej dari Malay Mail

“Dia sedap la parti dia, PAS, kita ni UMNO macam mana? Hari-hari kena ganggu gugat untuk kecilkan UMNO. PAS parti kecil, okay lah kamu. Tapi UMNO adalah parti yang besar, takkan kita nak jadi parti yang kerdil? Kita merasakan sekarang ni kita dibuat begitu rupa hendak menjadikan UMNO ini sebuah parti kecil. Sebelum dia (Tuan Ibrahim) hendak berikan saranan itu dan ini dia kena faham apa masalahnya. Kalau dia tak tau apa masalahnya apa pun dia cakap tidak akan membawa apa-apa kejayaan,” Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, petikan dari Utusan Malaysia

Entah lah dorang ni, dah nama pun krisis politik kan. Kita yang rakyat biasa ni kena lah  hadap juga walaupun ketegangan antara dorang ni tak ada kena mengena dengan kita pun, sebab tu orang cakap masa Pilihan Raya Umum ke-15 nanti kita kena undi dengan berhati-hati. Kalau tak, jadi macam kerajaan sekarang ni lah (tidak kukuh).

UMNO ada duri dalam daging, PAS pula pening memilih

Dua presiden parti politik. Imej dari Malaysia Dateline

Percaya atau tidak dalam UMNO sekarang ni pun ada duri dalam daging (tak terkejut pun) yang suka memburukkan parti itu, ada yang kata UMNO yang ada sekarang ni akan jatuh dan tidak akan bertahan jika terus diketuai oleh pimpinan mereka yang sekarang (tapi macam betul pula). Sampaikan Ku Nan pun ‘mengamuk’ juga, ramai-ramai pula nak mengamuk ni.

Ahli Parlimen Putrajaya. Imej dari Malay Mail

“Tak perlulah nak burukkan parti atau mengaibkan imej pemimpin yang ada, sebaliknya jika ‘dah ukur baju di badan’ bila tiba masanya nanti, letak nama dan bertanding dalam pemilihan. Sekarang ini, hormatilah institusi yang ada kerana mereka inilah yang mengemudi UMNO malah sanggup berlawan dan menang dalam pemilihan UMNO. Jika tak mahu kenang jasa mereka pun janganlah pula nak memburukkan organisasi dan institusi UMNO yang terbina,” Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor, petikan dari Berita Harian

Tapi kan, kalau nak diikutkan memang UMNO agak bergolak sikit pun. Sebab orang yang dalam Bersatu sekarang ni pun kebanyakannya bekas ahli UMNO (tu yang sampai digelar UMNO 2), even masa pemilihan presiden UMNO yang lepas pun terdapat situasi yang agak tegang antara calon. Sampaikan salah seorang calon masa tu tak berani berdebat depan-depan (yang tahu je tahu). Namun UMNO tetap berdiri teguh dan masih mempunyai sokongan besar undi kaum Melayu (advantage yang sangat besar).

Bagi PAS pula, mereka sekarang ni berada di tengah-tengah antara krisis UMNO dan Bersatu ni. Walaupun kuasa memilih tu berada di tangan PAS, mereka tetap akan bergelut untuk memilih mana satu yang sesuai sebab macam-macam boleh terjadi ada pilihan raya akan datang nanti. Mereka pula seakan-akan sudah selesa dalam kerajaan, disebabkan itu mereka perlu membuat pilihan yang betul supaya tak ‘terciduk’ masa hari mengundi.

Ahli Parlimen Pontian. Imej dari The Leaders Online

“Tiada sebab untuk UMNO memberi kata dua kepada PAS yang memilih (mungkin) untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN). Itu hak PAS untuk bersama Bersatu dan tiada kaitan dengan UMNO yang ingin memperkuatkan hubungan dengan PAS. Hubungan PAS dan UMNO bermula lebih awal berbanding hubungan PAS dengan Bersatu dalam PN. Antara UMNO dan PAS kita harap tak ada pertembungan tetapi antara UMNO dengan Bersatu itu kita KIV (tangguh untuk bincangkan) dulu,” Setiausaha Agung UMNO dan ahli parlimen Pontian, Ahmad Maslan, petikan dari MalaysiaKini

Walaubagaimana pun, PAS berpendirian untuk kekal konsisten memperkukuh Muafakat Nasional. Keputusan itu diambil selepas mesyuarat yang diadakan bersama UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 11 Mac lepas. Tapi pada masa yang sama mereka tetap akan pertahankan PN juga. Mungkin apa yang PAS buat sekarang ni merupakan langkah selamat lah kot, maybe dorang cuba delay kan keputusan untuk memilih. Sebab kalau awal-awal dorang perlu tolak salah satu parti kira berisiko juga lah kan, so buat masa ni kena lah playsafe dulu.

Pilihan Raya Umum ke-15 yang sukar diramal

Suasana PRU 14 pada 2018. Imej dari Berita Harian

Kemungkinan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada tahun ni agak tinggi sebab sokongan (daripada ahli-ahli parlimen) terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agak rendah. Perkara tu juga terjadi sebab PN sendiri tidak mempunyai majoriti yang kukuh untuk kekal sebagai kerajaan. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dia mempunyai majoriti kukuh dalam Parlimen.

Pada masa yang sama, UMNO dan Bersatu berdepan dengan krisis antara mereka juga. Untuk PAS, dorang masih berada di tengah-tengah dan masih tidak mahu memilih. Silap-silap ketiga-tiga parti ni tak menang pada PRU yang akan datang, bila kita tengok pembangkang, mereka ibarat lebih bersedia untuk mengharungi PRU nanti dan berbeza pula dengan tiga parti yang dikatakan mewakili orang Melayu ni.

Dr Noor Nirwandy Mat Noordin. Imej dari Harian Metro

“Keputusan UMNO menolak Bersatu akan menjejaskan formula perpaduan dan pembangunan negara yang mesti berpaksi kepada pengukuhan politik Melayu. Dominasi politik Melayu dan Islam masih relevan dalam formula perpaduan serta pembangunan negara kerana terbukti Pakatan Harapan (PH) gagal memenuhi kepentingan masyarakat Melayu dari segi dasar dan polisi sepanjang pentadbiran mereka. UMNO masih relevan dan perlu terus kekal dihormati rakyat khususnya masyarakat Melayu, tetapi keputusan terbaru parti itu berupaya memecahbelahkan UMNO serta menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO,” Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, petikan dari Berita Harian

Tak kisah lah siapa pun yang korang undi nanti, asalkan orang yang korang undi tu boleh buat kerja instead of bercuti kat New Zealand lebih sebulan tu. Rakyat yang bertanggungjawab dalam memilih wakil rakyat masing-masing, tanpa pengundi siapalah orang-orang politik ni. Tetapi apa-apa pun yang jadi masa PRU akan datang nanti, rakyat tetap jaga rakyat.