Azwan Ali bertanding pada PRU14? Ada 6 lagi calon menarik yang korang kena tahu!

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Dah macam-macam gimik yang kita dengar sejak tarikh pilihan raya tahun ni diumumkan. Daripada rakyat bersatu balik mengundi dengan kempen #CarpoolGE14, drama-drama pilihan raya, dan yang paling penting sebelum pilihan raya, mestilah pada 28 April ni, iaitu Hari Penamaan Calon. Pada hari itu la setiap parti politik akan mengumumkan calon-calon daripada parti diorang. 

Tapi sebelum tarikh tu pun, dah ada parti politik yang mendedahkan pencalonan ahli dari parti diorang macam MahathirNajibMuhyiddin, dan tak kurang juga wajah-wajah baru yang masih muda dan bersemangat, dan pilihan raya tahun ni juga dijangka antara yang paling sengit pernah berlaku.

Infinity war beberapa penjuru. Imej dari Soscili.

Selain daripada calon-calon lama dan baru tu, ada juga beberapa calon yang… korang boleh judge sendirilah…

1. Azwan Ali, aka Diva AA in da house

Siapa yang tak kenal Diva AA, aka Azwan Ali, yang juga adik kepada Azmin Ali ni? Dari dulu sampai sekarang, dia ni tak habis-habis terpalit dengan pelbagai kontroversi dari dalam industri hiburan, salah faham dengan adik-beradik dia, dan banyak kali juga bash peminat dia di media sosial.

Tapi baru je semalam, Azwan Ali, mengesahkan yang dia akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk menentang abangnya yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=51&v=yK72T4xvjVE

Azwan Ali yang nampaknya dah tak sebulu dengan abang dia sejak beberapa tahun kebelakangan ni juga pernah buat gimik di mana dia datang ke Perhimpunan Agung UMNO pada Disember tahun lepas dengan musuh abang dia sendiri, iaitu Jamal Yunos.

Selfie stick tu penting. Kalau kena bash, hempuk je kepala #haterzzz #pencacai. Imej dari twitter Berita Harian

Sebelum ni dia pernah minta izin pada PM Najib Razak untuk bertanding Parlimen Bukit Antarabangsa pada PRU-14 ni, dan kalau terpilih, dia akan puasa selama 6 bulan. Tapi semalam nampaknya Azwan Ali mengumumkan yang dia akan bertanding sebagai calon bebas dengan menggunakan logo… PISANG. 

Ada bran ke #haterz? Klik untuk dengar manifesto Diva AA. Imej dari youtube mkini

Tapi beberapa hari lepas tu, dia kemudiannya tukar logo kepada gajah.

2. Raja Bomoh yang nak cari MH370

Populariti Raja Bomoh mula mencanak naik apabila dia buat gimik naik atas permaidani sihir, bawak teropong menggunakan buluh dan kelapa, cuba untuk mencari pesawat MH370 yang hilang. Malah, dia ada juga buat ritual bersama-sama pengikutnya di beberapa lokasi bagi beberapa tujuan termasuk ‘melindungi’ Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara.

Selain tu, dia juga pernah jangkakan yang Pakatan Rakyat akan menang pada PRU yang lepas, iaitu pada tahun 2013. Tapi sekarang ni nampaklah yang dia sebenarnya nak bertanding dalam pilihan raya tahun ni sebagai calon bebas.

Raja Bomoh mengumumkan beliau akan bertanding dalam PRU14 pada sidang akhbar. Imej dari Malay Mail

Dalam ramai-ramai orang, dia nampaknya nak bertanding menentang Timbalan PM, Zahid Hamidi di Bagan Datuk, Perak. Sebagai seorang penduduk Bagan Datuk, dia percaya yang dia mempunyai kira-kira 25,000 penyokong, terutama sekali pelajar silatnya. Yep, Raja Bomoh, atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin, adalah Presiden Seni Silat Gayung Ghaib. Tapi dia berjanji untuk tak menggunakan ‘magiknya’ semasa tempoh berkempen. ?

Kalaulah Raja Bomoh menang, agak-agaknya dia boleh jadi Ahli Parlimen yang baik ke? Katanya, dia akan menubuhkan lebih banyak sekolah tahfiz dan pusat persilatan di Bagan Datuk untuk anak muda supaya diorang semua tu tak terikut dengan aktiviti-aktiviti tak bermoral. Kalau dia dipilih sebagai Ahli Parlimen, dia juga berjanji untuk bagi gaji Ahli Parlimennya kepada rakyat kawasannya, termasuklah RM800 kepada ibu tunggal dan RM 1,500 kepada golongan kurang upaya, setiap bulan.

“Kenapa pula saya perlukan gaji? Saya seorang ahli perniagaan dan saya buat semua ni bukan sebab duit. Saya angkat dua biji kelapa je dan semua orang kenal saya. Saya tak perlukan duit, saya cuma nak berkhidmat untuk masyarakat” – Raja Bomoh, dipetik dari  Malay Mail

Imej dari Says.com

3. Bekas ratu cantik dari Sabah

Siapa kata arena politik kita penuh dengan muka yang membosankan? Pertamanya, kita ada KJ dari BN, Nurul Izzah yang ayu dari PKR, malah Dyana Sofya dari DAP, dan sekarang ni pulak, ada sorang lagi ahli politik yang juga bekas ratu cantik, iaitu Jo-Anna Sue Henley Rampas yang bakal bertanding atas tiket Parti Warisan. 

Imej dari mysabah.com dan pictaram.com

Dia merupakan lulusan undang-undang yang bakal bertanding di Kiulu, sebuah daerah di Sabah yang kurang dikenali menentang penyandang BN, Datuk Joniston Bangkuai. Apa yang menariknya, Jo-Anna dia bukan ratu cantik biasa-biasa je tapi bekas Unduk Ngadau, ratu cantik yang berprofil tinggi di Sabah. Dia juga merupakan bekas penyanyi, model dan juga pelatih peribadi. Tapi, apa yang menarik minatnya untuk bertanding di Kiulu? Sebagai calon untuk Parti Warisan Sabah, tanah dan infrastruktur asas adalah antara isu utama yang ditekan oleh parti untuk kawasan luar bandar ini.

“Saya pada mulanya dengar tentang Warisan dari pekerja yang sedang membaiki rumah saya. Saya kaji lagi tentang mereka dan fikir, mungkin saya patut menyertai parti politik ni. Kemudiannya saya diberitahu yang mereka sedang mencari ikon remaja untuk Gen Y dan Z di Sabah dan mahu memberikan saya peluang. Saya fikir ia adalah platform yang tepat untuk saya. “- Jo-Anna, yang dipetik di Malay Mail

Calon Kiulu dan bekas ratu cantik, Jo-Anna bercakap kepada penduduk kampung. Imej FMT

Jo-Anna memang berasal dari keluarga ahli politik pak ciknya, Louis Rampas adalah ADUN Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum Joniston Bangkuai mengambil alih. Ibunya pula adalah calon untuk Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) pada tahun 1994, manakala datuknya pula adalah keturunan asli yang membuka kawasan Kiulu.

Korang rasa, dia boleh Rampas tak kerusi Kiulu?

4. Cucu bekas komunis Melayu popular

Jamaliah Jamaluddin (kanan), pembantu khas Yeo Bee Yin (kiri), semasa Raya tahun lepas. Imej dari Malay Mail

Kita semua kenal dengan nama Shamsiah Fakeh, sebagai pejuang gerila sayap kiri, seorang feminis dan salah seorang ahli politik perempuan terawal di Malaysia. Shamsiah hidup dalam buangan ke China, dan tak dibenarkan kembali ke Malaysia. Tapi pada tahun 1989, ketika partinya (Parti Komunis Melayu, PKM) menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan, ia membuka pintu untuk Shamsiah dan suaminya, Ibrahim Mohamad, juga ahli parti, untuk kembali ke Malaysia.

Klik untuk baca pasal Shamsiah Fakeh. Imej dari Soscili

Nampaknya, takde sorang pun antara ketiga-tiga anak lelakinya yang ikut jejak langkah ibu bapa diorang dalam bidang politik… sampailah kepada cucunya! Jamaliah Jamaluddin, iaitu pembantu khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Damansara Utama, Yeo Bee Yin, dikatakan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama.

Jamaliah menyertai beberapa calon muda lain yang akan dilantik oleh DAP di Selangor – dia dan Michelle Ng dan Lim Yi Wei digelar ‘Tony’s Angels’, merujuk kepada Tony Pua, sebab diorang dilatih Tony Pua untuk jawatan tu dan memperkenalkan diorang pada event-event sebelumnya.

5. Ahli berumur 23 tahun yang pandai… mengurut?

Nik Abdul Afiq adalah ahli pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM). Imej dari FMT

Nik Abdul Afiq, anggota pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), hanya berumur 23 tahun. Tapi, umur bukanlah penghalang kepada cita-cita politiknya sebab PM Najib Razak dulu pun hanya berumur 23 tahun masa ayahnya, allahyarham Tun Abdul Razak meninggal secara mengejut tahun 1976, meninggalkan kerusi Parlimen kosong. Najib menjadi Ahli Parlimen termuda dalam sejarah Malaysia. Manakala Nik Nazmi Nik Ahmad berada di tempat kedua apabila dia memenangi kerusi DUN Seri Setia ketika berusia 26 tahun.

Jadi, apa yang menarik tentang dia? Nik adalah tukang urut dari Kelantan, menurut laporan Berita Daily. Dia juga merupakan calon muda PSM ketika pelantikannya diputuskan pada awal Oktober tahun lepas. Walaupun pihaknya akan menentang gergasi BN dan PH, dia rasa sentimen di kalangan penduduk Semenyih adalah letih dengan pemerintah yang memerintah. Nik sedang berjuang untuk isu-isu akar umbi, iaitu pemberhentian, kemiskinan dan hal-hal berkaitan tanah.

“Para belia pada hari ini tak mampu menampung rumah mereka sendiri. Mereka mengalami kesukaran mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian. Yuran pendidikan mahal di universiti swasta tempatan menyebabkan belia di sana menanggung beban perlu membawa hutang berjumlah puluhan ribu pada masa mereka bergraduasi. “- Nik, Ahli Pemuda PSM, dipetik pada FMT

6. Perempuan bertudung dalam DAP

Awek Cun DAP yang berkempen di Felda Mempaga, Pahang. Imej dari NST

Kalau sebut DAP je, mesti teringat calon-calonnya yang kebanyakannya Cina, kecuali Dyana Sofya dan Zairil Khir Johari. Tapi, macam mana pulak kalau kita kata pencalonan terbaru ni ada seorang perempuan yang bertudung? Rare kan? Dialah, Young Syefura Othman (memang nama sebenar). Malah lawannya untuk kerusi Ketari pun kata yang diorang rasa janggal bila tengok seorang calon wanita Melayu yang mewakili DAP.

Segalanya bermula masa dia hantar borang permohonan kepada Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, yang kemudiannya tweet gambar diorang dalam twitter, dan poof! Viral! Penerbitan parti Roketkini melabelkan dia sebagai ‘awek cun’. Sebelum menyertai politik, Rara (nama panggilannya) sendiri dah cukup terkenal dan mempunyai kira-kira 5,000 pengikut di Instagram dan 7,000 di Twitter, dan gambarnya diedarkan secara meluas semasa Bersih 3.0, dan dari situ dia dapat nama panggilan ‘Puteri Bersih’.

Macam Dyana Sofya kena, Rara juga dipanggil pengkhianat bangsa dan anti-Melayu sebab dia pilih masuk partinya sekarang ni. Tapi, dia lebih percayakan yang semua orang patut dapat hak sama rata tanpa mengira bangsa.

“Saya menyertai DAP kerana ia bersandar pada persamaan untuk semua. Parti itu menerima sesiapa sahaja tanpa mengira kaum atau agama mereka. Sesiapa yang menuduh orang lain sebagai rasis kena tengok diri sendiri terlebih dahulu. Macam mana DAP ni rasis sedangkan mereka menerima sesiapa saja tanpa mengira kaum? Mereka cuba menjadikan parti mereka lebih kepada untuk rakyat Malaysia”-  Rara, dipetik dari The Star

7. Selebriti internet, ‘Listen Listen Listen’ yang pernah viral satu ketika dulu

Bawani (kiri) menghadap presiden Suara Wanita 1Malaysia dalam forum yang menjadikannya selebriti. Imej dari Vulcan Post

Whoa, yang ni old skool sikit gaisss. Korang ingat tak kes Listen Listen Listen? Kalau korang tak ingat, perempuan ni, K.S. Bawani, seorang pelajar undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) yang secara tak sengaja jadi selebriti internet masa video dia viral pada tahun 2013.

Masa forum universiti awam tu dia berdiri dan menyatakan pendirian dia bercakap pasal Bersih, pendidikan percuma, dan tiba-tiba Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen, mencelah dan kata “listen, listen, listen” lebih kurang 10 kali. Dia sambung lagi dan kata, ” Ni program kita, kita bagi kebenaran untuk bercakap” dan “Bila saya cakap, awak dengar”, dan bagitahu Bawani kalau dia tak suka, boleh keluar dan tinggalkan negara ni.

Sekejap je masa berlalu, kan? Bawani sekarang ni dah semakin matang, dan bersedia untuk lawan MCA dan DAP untuk kerusi di Malim Nawar, Perak atas tiket PSM yang disertainya sejak tahun 2012. Sebenarnya dia memang patut jadi calon pun sebab dia adalah seorang peguam dan juga ahli PSM.
Bawani sebenarnya dapat peluang untuk bertanding dalam PRU13, tapi terpaksa tolak sebab nak bagi tumpuan kepada ijazah undang-undangnya. Dia dipanggil ke Bar pada 2016. Apa yang menarik minat Bawani kepada undang-undang menurut ibunya, ialah apabila dia melihat ramai yang bergelut tanpa bantuan undang-undang semasa dia di PSM. : ‘)

Nampaknya kita ada ramai calon yang menarik pada PRU ke 14 ni

Bekas ratu cantik, cucu pejuang komunis, raja segala bomoh, selebriti internet, selebirit calon bebas adalah antara calon-calon yang sangat menarik yang bakal bertanding dalam PRU ke-14, tahun ni. Tapi, ada lagi sebenarnya. Macam mana dengan suami ‘Mona Fandey’? Wuuuuuuttttt?

Pelakon filem seram tempatan, Dukun. Imej dari Star2

Korang semua mesti dah tengok filem Dukun yang pecah panggung baru-baru ni. Tak pernah tengok pun at least mesti pernah dengar dan tahu siapa pelakonnya. Kisahnya adalah pasal penyiasatan kematian seorang ahli politik di tangan seorang bomoh, berdasarkan kisah Mona Fandey yang pernah menggegarkan negara satu ketika dulu. Jadi dukun (yang dilakonkan Umie Aida, berkahwin dengan lelaki yang bertanding untuk kerusi Jasin di Melaka – tak lain tak bukan, Khairuddin Abu Hassan.

Klik untuk baca pasal Prof Snape Khairuddin. Imej dari Cilisos

Khairuddin dulunya merupakan ahli UMNO, tapi sekarang merupakan salah seorang yang paling aktif buat laporan polis pasal 1MDB, dan merupakan pengikut setia Mahathir. Dia berkempen dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk sementara waktu, tetapi berhenti untuk memberi tumpuan kepada kes-kes mahkamahnya. Sekarang, dia secara rasminya tak join mana-mana parti dan akan bertanding sebagai calon bebas dalam kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah.

Penyandangnya ialah Ahmad Hamzah dari UMNO yang mengalahkan PKR dengan 11,763 undi. Bunyi seperti cabaran untuk Khairuddin, tapi memandangkan isterinya adalah dukun … siapa tahu? ? Ada juga pemilik gym, yang juga merupakan calon kali pertama untuk PSM. Dia janji nak bagi free gym lesson kalau dipilih. Boleh la satu kawasan tu jadi abang-kakak sado je, ye tak?

Mulanya memang nampak macam calon-calon yang pakai tangkap muat je. Tapi bila kita tengok balik latar belakang, dasar yang diorang pegang, dan tengok yang diorang ni boleh buat kerja ke tak. Siapa tahu calaon-calon yang bunyi macam tak masuk akal ni la yang akan lakukan keajaiban untuk rakyat?. ¯\_(ツ)_/¯

Semoga calon yang paling layak akan menang!