Azmin Ali masih relevan? Kita cuba tanya pendapat warga Gombak

Hari demi hari, ahli politik di negara ini makin tidak digemari dalam kalangan masyarakat kita. Ia seakan-akan pandemik ni berjaya menunjukkan sisi yang agak negatif ahli politik kepada kita semua, tak kisah daripada kerajaan mahupun pembangkang. Tapi tidak adil untuk mengatakan semuanya tak bagus, betul tak?

Pilihan Raya Umum (PRU) seakan-akan jalan penyelesaiannya, tapi yang menjadi penghalang adalah pandemik pula. Kalau betul-betul PRU dibuat dalam masa terdekat ni, siapa yang korang akan pilih? Adakah orang yang lama atau pun yang baru?

Kali ni kita nak cuba tanya kepada warga Gombak berkenaan wakil rakyat mereka, iaitu Mohamed Azmin Ali, seorang yang infamously dikenali dalam negara kita. Tipu lah kalau korang tak kenal langsung dia ni kan. Jadi kalau mengikut persepsi orang Gombak, adakah dia masih relevan?

Seorang yang agak terkenal dalam kalangan netizen

Sampai kan Dato’ Sri Najib pun share. Imej dari MYKMU.NET

Untuk pengetahuan korang, Azmin Ali sekarang sedang menyandang tugas sebagai ahli Parlimen Gombak dan juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa. Dia juga sekarang memegang jawatan dalam kerajaan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kalau kita sebut pasal MITI, confirm ramai sakit hati. Ini disebabkan, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni semua syarikat perlu mohon surat daripada MITI kalau nak buka bisnes mereka. Tapi MITI yang diketuai oleh Azmin ibarat meluluskan semua sekali dan memberi naratif yang semua syarikat adalah essential walaupun sebahagian besarnya tak pun.

Tapi adakah betul dia ada campur tangan dalam keputusan bagi memberi kebenaran kepada sesuatu syarikat tu untuk dibuka semasa PKP? Mungkin ye mungkin tidak. Tapi yang pasti dia adalah kepalanya, sebab tu ramai serang dia dekat media sosial.

Kena saman pula dah. Imej dari The Star

Baru-baru ni pun nama Azmin naik lagi lepas dia dikatakan gagal membatalkan saman yang difailkan oleh 10 orang pengundi dari kawasan parlimennya. Saman apa pula ni? Pada 27 November lepas, sekumpulan pengundi di Gombak telah memfailkan saman terhadap Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari (hubungan antara pemegang amanah dan penerima manfaat).

Ini disebabkan dia terlibat dengan ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan selepas tu Perikatan Nasional (PN) pula mengambil alih tampuk pimpinan tertinggi. Dalam pada itu, tidak lupa juga yang dia memenangi kerusi Gombak di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berada di bawah PH.

Dari situ, beberapa pengundi di Gombak telah memberikan pandangan jujur dorang tentang Azmin Ali sebagai wakil rakyat mereka. Tolak tepi mereka yang nak saman tu sebab dah terang-terang dorang tu memang tak suka dengan Azmin.

Mungkin lah. Imej dari imgflip

“Kalau kita tengok kepada rakyat yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka melihat Azmin ni sebagai pengkhianat lah. Dia khianat mandat rakyat, kemungkinan tagline tu masih ada pada Azmin (sehinnga kini),” kata Ismail Hashim kepada SOSCILI, Pensyarah Senior UNISEL.

Ismail juga menambah yang Azmin kemungkinan tidak ada sokongan yang cukup untuk bertanding pada PRU akan datang, ini disebabkan track record yang tak berapa cantik iaitu sinonim dengan gelaran ‘pengkhianat’. Disebabkan itu, dia agak tidak selamat di Gombak ketika ini.

“Sekarang, adakah Azmin yakin dia nak kekal bertanding pada PRU akan datang? Kalau betul dia masih nak bertanding dan dalam masa sama tiada sokongan di Gombak, dia kena mencari kawasan lain untuk bertanding lah,” kata Ismail lagi.

Sekarang ni pun, rakyat yang menentukan sebab zaman sekarang media bukan macam dulu-dulu dah. Segala info kita boleh dapat dengan hanya membuka smartphone je, lagi-lagi di media sosial di mana rakyat sendiri boleh menilai tindak-tanduk Azmin.

Dulu selalu turun padang tapi sekarang dah tak nampak langsung

Zaman-zaman Azmin masih digemari. Imej dari Berita Harian

Kita tak boleh nafikan masa Azmin zaman PKR dulu ramai gila yang sokong dia, ini mungkin disebabkan sifat dia yang selalu cuba untuk turun padang lebih-lebih lagi di Gombak. Ye lah kan, dulu pun dia menjawat jawatan Menteri Besar Selangor juga. So, nak tak nak pun dia tetap kena turun sebab tu tanggungjawab dia.

Tapi sekarang ni agak berbeza, mungkin dia ada kerja lain yang perlu dilakukan sebagai Menteri dalam kerajaan? Ini disebabkan sekarang memang agak susah untuk nampak dia turun padang (di kawasan Gombak), lain pula yang jadi apabila Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) sekarang pula lebih banyak menunjukkan muka di Gombak berbanding wakil rakyatnya sendiri.

Mungkin ada yang akan cakap ini hanyalah tuduhan semata-mata, tapi sebenarnya tidak. Perkara ini disokong oleh kenyataan pengundi dari Gombak sendiri yang duduk di kawasan tu sejak sekian lama.

“Masa Azmin Ali zaman PKR pegang Gombak, agak bagus sebenarnya. Tapi sekarang ni tak nampak sangat lah, kalau nak tengok perubahan pun setakat dari lanskap dan hardscape (pembaharuan imej bandar) sikit je lah. Tak berapa pasti kalau nak cakap dia relevan lagi ke tidak, sebab dulu selalu nampak dia turun padang untuk kawasan Gombak, sekarang macam tak nampak sangat,” kata Amirul Arif kepada SOSCILI, penduduk Gombak sejak sekian lama.

Pedih tak? Imej dari imgflip

Tapi macam biasa lah, takkan nak nilai kerja Azmin berdasarkan berapa banyak kali dia turun padang je kan? Tapi bukan tu je isu dia sekarang, ada juga isu-isu lain yang Gombak tengah hadap. Suka diingatkan yang kes COVID-19 di Gombak adalah antara yang terbesar di Selangor tau! Jadi patut ke orang seperti Azmin kekal dekat Gombak ni?

“Kalau boleh saya nak tengok orang lain lah yang terajui Gombak, dulu mungkin Azmin relevan tapi sekarang macam tak sangat. Dalam masa sama, saya pun tak tahu kalau bagi orang baru tu bagus ke tak. Takut tak boleh pakai juga je nanti,” kata Arif lagi.

Seorang lagi pengundi Gombak mempunyai pendapat yang sama dengan Amirul Arif. Kerana jika korang sendiri yang lahir dan membesar di Gombak, korang sendiri boleh nilai pembangunan kawasan tu yang berlaku di depan mata sejak sekian lama.

Kawasan Masjid di Batu 6 Gombak sebelum pembangunan. Imej dari Facebook

“Saya takkan undi dia. Selama ni saya hidup dalam kawasan yang sentiasa ingin melawan kerajaan sejak kecil lagi, ada juga yang sampai borak politik macam nak bergaduh kat kedai mamak. Itu benda biasa kat Gombak, cuma sekarang ni memang berbeza sikit sebab orang keliling yang dulu sokong Azmin ni ibarat dah menyampah sangat dengan dia,” kata Mohammad Kamal kepada SOSCILI, penduduk Gombak.

Kalau nak difikirkan, Selangor dan Gombak ni dikira kubu kuat pembangkang sejak dulu lagi. Tapi dalam masa yang sama penduduk di Gombak selalunya balance dalam memilih orang yang akan menerajui kawasan mereka. Senang cerita, kalau tak buat kerja, bila-bila masa je individu tersebut boleh ditukar.

Masih relevan dalam politik, cuma kena kerja kuat sikit

Dato’ Sri Anwar Ibrahim marah apa tu? Imej dari The Third Force

Mungkin bagi pengundi-pengundi muda, Azmin Ali langsung tak relevan bagi kawasan Gombak. Tapi ada juga yang mempunyai pendapat yang berbeza tentang perkara tu. Walaupun Azmin dilihat sebagai tidak kompeten lagi dalam kerjanya, tapi sejujurnya dia masih lagi boleh bersaing dalam arena politik.

Ini kerana, Azmin Ali sendiri sudah 3 penggal memenangi PRU bagi kawasan Gombak. Dah 13 tahun dia pegang Gombak ni tau! Jadi, tak mustahil masih ramai yang masih menyayangi Azmin terutamanya golongan yang lebih tua atau dalam bahasa lainnya otai masih menyokong dia lah.

Kitorang juga ada mengambil pendapat seorang pengundi Gombak yang juga sedang berkecimpung dalam politik, mungkin dia akan menjadi salah  seorang yang akan lawan Azmin pada PRU akan datang? Tidak mustahil kan.

“Saudara Azmin Ali ni dia ada satu ciri-ciri wakil rakyat yang luar biasa, luar biasa yang lebih kepada orang kayangan. Sebelum terjadinya langkah sheraton semua tu, orang tak kisah sangat dengan apa yang Azmin ni buat. Lepas terjadi langkah Sheraton tu yang problem sikit,” kata Syazmir Hariz Noorazalan kepada SOSCILI, Ketua Komunikasi AMANAH Gombak.

Rasa-rasa? Imej dari imgflip

Sebelum ni pun, Azmin disokong teguh oleh pengundi Gombak disebabkan pelbagai cerita-cerita politik dia yang memang hangat! Antaranya seperti naratif Reformasi, Keadilan dan juga perjuangan untuk melawan kerajaan seperti sokongan Azmin terhadap BERSIH. Semua tu sedikit sebanyak memberi kesan yang positif terhadap sokongan kepadanya.

“Cuma apabila dia bercampur dengan perkara yang agak ekstrem (Langkah Sheraton, kerajaan pintu belakang), dari situ kedudukan dia agak goyah sikit. Kalau kita tengok dari segi undang-undang, memang no problem lompat parti tu. Tapi kalau kita tengok dari segi moral, tu adalah satu perkara yang tak cantik,” kata Syazmir lagi.

Tapi dalam masa yang sama, dia masih dikira relevan dalam politik. Ini disebabkan sejarah Azmin yang menyebabkan dia mempunyai pengaruh tersendiri dalam arena politik negara, dah nama pun ahli politik senior kan. So, tak terkejut pun kalau masih lagi ramai fikir yang dia mempunyai kredibiliti dalam memimpin.

Bersih anyone? Imej dari Flickr

 “Secara peribadi, dari segi politik dia masih relevan tetapi dia perlu kerja kuat (untuk dapatkan sokongan kembali). Ini kerana moralnya sudah terjejas akibat dari langkah ekstrem yang dia buat. Pengundi dia masih ada, mungkin masih ramai lagi. Sebab dia dah jadi wakil rakyat dari 2008 sampai sekarang, takkan lah tak ada golongan-golongan lama yang sayangkan dia,” tambah Syazmir.

Mungkin ada yang fikir, macam mana nak jadi bagi suara kita didengari? Ini adalah jalan penyelesaiannya…

Orang muda harus pantas mendaftar mengundi!

Korang dah daftar ke? Imej dari Facebook

Sekarang ni, perkara yang perlu difokuskan adalah untuk orang-orang muda di Gombak mula mendaftar mengundi. Ramai sebenarnya yang mengeluh dengan apa yang dibuat oleh Azmin dan seangkatannya, tapi kalau hanya pandai berkata-kata dan tiada action tak boleh juga kan. Jadi, daftar lah mengundi tu ye.

Harap-harap ada sinar harapan untuk Gombak dan juga Malaysia, dah 2 tahun kita hadap pandemik dan juga ketidakstabilan politik dalam negara. Tak kira siapa pun yang korang pilih, jangan pilih hanya berdasarkan parti politik. Pilih lah yang betul-betul boleh buat kerja dan takkan LOMPAT PARTI!