Atlet Israel tak boleh masuk Malaysia, tapi hubungan perdagangan kita kata sebaliknya?

Pemilik pasport Malaysia sedia tahu yang rakyat Israel tak boleh masuk Malaysia. Sebabnya, kita tak pernah iktiraf mereka sebagai sebuah negara, dan kita sendiri tak digalakkan ke Israel (tapi ada je kes rakyat Malaysia ke sana untuk sebab-sebab tertentu).

Klik untuk baca pasal pengalaman rakyat Malaysia masuk Israel.

Tahun lepas, benda ni pernah jadi isu bila ada delegasi Israel yang berjaya ‘lepas’ masuk ke Malaysia untuk ke World Urban Forum yang ke-9 (WUF9), iaitu Program Penyelesaian Manusia PBB, aka UN-Habitat bersama 25,000 orang daripada 85 negara yang lain. Perkara tu nampaknya menjadi konflik kecil di Malaysia. Dan baru-baru ni pula, nampaknya kerajaan Malaysia sekali lagi dengan tegasnya memutuskan untuk tak membawa masuk atlet Israel masuk ke negara ni untuk bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak.

Imej dari Utusan

Ni bukanlah kali pertama sebenarnya ada percubaan untuk rakyat Israel berjaya masuk Malaysia, di mana satu masa dulu ada sebuah pasukan kriket Israel mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa di sini pada tahun 1997, dan wartawan Gideon Levy membuat lawatan diatas jemputan Mahathir.

Ada yang boleh masuk Malaysia, dan ada yang tak. Perkara ni membuatkan kitorang terfikir…  apa sebenarnya status hubungan antara Israel dan Malaysia?

Malaysia dah jadi rakan kongsi perdagangan terbesar Israel selama lebih dari lima tahun ?

Dua tahun lepas masa Amerika umumkan yang mereka nak pindahkan kedutaan mereka di Israel, iaitu dari Tel Aviv ke Jerusalem, ribuan rakyat Malaysia berarak di Kedutaan AS di KL untuk membantah keputusan tu. Malah PM masa tu, Najib Razak pun menegaskan komitmen Malaysia terhadap Palestin dan mengutuk keputusan AS semasa Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Disember. Selain daripada hubungan diplomatik, perkara ni merupakan dasar kita  dengan Israel di mana Malaysia menjadi salah satu daripada 36 negara di dunia yang tak mengiktiraf Israel sama sekali.

In case korang lupa perasaan rakyat Malaysia terhadap Israel. Imej dari atimes

Yang menariknya, menteri luar negara Israel yang pertama, Moshe Sharett pernah melawat KL pada Oktober 1956 di mana dia hampir-hampir buka kedutaan Israel di sini selepas kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman pada masa tu je nampaknya “mengalu-alukan” idea yang sama. Apabila Malaya merdeka dan kemudiannya memohon untuk menyertai PBB pada tahun 1957, Israel sebenarnya salah satu negara yang mengundi untuk memihak dan menerima permohonan kita untuk menjadi ahli.

Walau bagaimanapun, selama bertahun-tahun dan meskipun pelbagai percubaan oleh diplomat Israel yang lain untuk mewujudkan hubungan, Malaysia nampaknya bersependapat dengan kumpulan pro-Arab yang menentang pengiktirafan Israel kerana isu Palestin.

Dan sebab tu jugalah kenapa ada kenyataan ‘pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel’.

Kita tak iktiraf Israel sebagai Israel, in case korang terlepas pandang dan baca laju kat atas

Walaupun antara Malaysia dan Israel takde hubungan diplomatik, nampaknya berbeza pula bila sebenarnya, kita ada hubungan ekonomi dengan Israel. Walaupun ada larangan yang dikenakan ke atas perdagangan dengan Israel sejak tahun 1974, Malaysia sebenarnya menjadi antara RAKAN PERDAGANGAN TERTINGGI dengan Israel selama ni. Nak lebih spesifik lagi, dilaporkan pada tahun 2014 bahawa jumlah perdagangan antara Malaysia dan Israel berada pada USD1.529 BILION pada tahun 2013 (bersamaan dengan RM5.068 BILION pada masa tu), yang hampir dua kali ganda pada tahun 2012.

Pada tahun yang sama ia dilaporkan, lima orang Ahli Parlimen menulis surat yang menanyakan kenapa rakan perdagangan Malaysia terbesar ke-15 adalah Israel? Dan dari 2010 hingga 2014, Malaysia adalah nombor 19 dalam senarai negara-negara yang mempunyai pertumbuhan eksport Israel yang paling pesat, dengan pembelian barangan Israel meningkat sebanyak 72% atau USD1.4 bilion dalam tempoh tu. Tapi disebabkan ia hampir 10 tahun yang lepas, kita cari pulak tahun terdekat yang ada pada 2017, di mana kita akhirnya jumpa sesuatu yang sangat, sangat mengejutkan.

Biar betul?

Bila tengok data yang kami dapati dari laman web Israeli Central Bureau of Statistics, kitorang dapati yang Malaysia sebenarnya merupakan antara pengimport utama produk Israel sejak enam tahun yang lalu!

Malah dari 2012-2016, Malaysia secara konsisten berada di kedudukan 20 teratas negara-negara yang Israel eksport, mengalahkan negara-negara lain yang memang ada hubungan diplomatik dengan Israel contohnya macam Kanada, Singapura, dan negara Eropah yang lain. Satu-satunya sebab kita tak memasukkan tahun-tahun terdahulu walaupun kita nombor 17 pada tahun 2010 adalah sebab kita jatuh ke tangga ke-21 pada tahun 2011, yang agak merosakkan konsistensi berada di peringkat ke-20. Jadi, bagus la, kan?

Berdasarkan angka tu, jumlah eksport Israel ke Malaysia bernilai USD760 juta pada tahun 2012, dua kali ganda kepada USD1.4 bilion pada tahun 2013, USD1.3 bilion pada tahun 2014, dan USD1.4 bilion pada tahun 2015, sebelum turun ke USD580 juta pada 2016 dan kemudian USD7 juta pada tahun 2017. Nombor-nombor ni tersedia untuk sesiapa je untuk semak balik, tapi disebabkan laman web CBS Israel macam tak boleh diakses pada pelayar biasa, jadi kitorang terpaksa menggunakan router semula VPN sebaliknya.

Reroute tu bukan susah pun, tapi bunyi je complicated. Saja, buat teruk

Mungkin ada antara korang yang sedar yang sejak tahun 2016 hingga 2017, kedudukan Malaysia sebagai salah satu pengimport utama produk Israel jatuh dari angka 20 ke 87. Begitu juga, jumlah barangan Israel yang dieksport ke Malaysia berkurangan lebih daripada 99%, dari USD1.4 bilion pada 2015 hingga USD7 juta pada tahun 2017. Kitorang tertanya-tanya, apa yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ni yang membawa kepada perubahan drastik ni? Dan nampaknya, kitorang akhirnya jumpa beberapa perkara yang menarik pasal Israel, di mana…

Negara-negara “anti-Israel” lain juga mempunyai hubungan dengan Israel?!

Walaupun eksport Israel ke Malaysia mencapai kemuncaknya dan melangkaui USD1 bilion dari tahun 2013 hingga 2015, kami menyedari penurunan tu bermula pada tahun 2016 dan jatuh merudum dua tahun lepas. Kami cuba cari sebab-sebab perkara ni berlaku dan kami perasan yang setiap tahun Israel mengeksport produknya kepada kita lebih daripada 99% daripadanya adalah dalam industri mekanikal dan elektrik.

Ia disahkan oleh laporan berita yang mengatakan  kebanyakan ledakan perdagangan antara Israel dan Malaysia adalah dari Intel, yang menghasilkan cip komputer di sana sebelum menghantarnya untuk pemasangan kedua di sini.

Kini, pada masa yang sama import barang-barang Israel mula merudum pada tahun 2016, dan kitorang mula mencari berita-berita yang berkaitan:

Yeayyyy lagi banyak perniagaan dengan Israel! Eh?

Ia mula diumumkan pada April 2016 bahawa Intel berhasrat memotong 11% daripada keseluruhan tenaga kerja globalnya dan kemudahan mereka di Pulau Pinang dan Kulim. Ia telah disahkan beberapa bulan kemudian apabila Intel mengumumkan yang mereka akan memindahkan sebahagian daripada pengeluaran mereka di Malaysia ke Vietnam untuk menjimatkan kos buruh. Ini mengakibatkan 600 kakitangan Intel di Kulim kehilangan pekerjaan manakala dianggarkan 400 lagi pekerja dibuang di Pulau Pinang.

Dan dah tentulah bila kita tengok data Israel untuk statistik eksport pada tahun 2014, Malaysia merupakan pengimport ketiga terbesar barangan mekanikal dan elektrik Israel di belakang China dan Amerika Syarikat, dengan perdagangan bernilai USD1.4 bilion. Manakala Vietnam berada di tempat ke lima dengan USD568 juta. Walau bagaimanapun, ia berubah pada tahun 2015 apabila eksport Israel ke Vietnam melonjak lebih tiga kali ganda untuk mengatasi tempat Malaysia di tempat ketiga, sebelum import kita bekurangan lagi pada 2016 mungkin disebabkan langkah Intel ke Vietnam.

Sebab kos buruh lebih rendah di Vietnam…
Dan dan tentu jugalah sejarah perdagangan kita dengan Israel baru-baru ni kurang hubungan hasil keputusan yang dibuat oleh Intel yang berpusat di AS. Namun, ini adalah satu contoh kerjasama ekonomi antara Israel dan Malaysia yang berlaku walaupun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dulu, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia tak mempunyai hubungan ekonomi dengan Israel.

Dan macam tu jugalah jawapan yang diberikan oleh negara-negara lain yang tak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Arab Saudi, yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia dilaporkan terlibat dalam perbincangan dengan Israel untuk mewujudkan hubungan ekonomi dan diplomatik.

Walaupun rundingan tu dibuat secara ‘sembunyi-sembunyi’, dan Saudi menafikan berita tu mungkin disebabkan oleh liga Arab yang memboikot Israel. Laporan mengatakan yang Saudi sedang mempertimbangkan untuk membiarkan syarikat-syarikat Israel menjalankan perniagaan di negara mereka dan memberi izin syarikat penerbangan Israel untuk menggunakan ruang udara mereka .

Imej asal dari Dreamstime.

Tapi hubungan Saudi dengan Israel bukanlah sebab mereka suka antara satu sama lain, tapi lebih kepada sebab mereka sama-sama tak suka Iran. Negara-negara jiran lain seperti Mesir dan Jordan sebenarnya mempunyai hubungan PENUH dengan Israel, walaupun Mesir adalah yang pertama menekan Malaysia untuk tak berkawan dengan Israel.

Turki, negara di mana Malaysia mempunyai perkongsian strategik bersama, tahun lepas menandatangani perjanjian dengan Israel untuk memperbaiki hubungan mereka, tujuh tahun selepas komando Israel membunuh sepuluh aktivis Turki yang cuba menyampaikan bantuan ke Palestin.

Manakala jiran terdekat kita, Indonesia pula dah membina hubungan dengan Israel dalam bidang seperti data besar dan teknologi pertanian. Perdagangan antara kedua-dua negara tu dianggarkan antara USD400-500 juta, walaupun Indonesia pun takde hubungan diplomatik dengan Israel atas alasan yang sama seperti kita berkaitan dengan Palestin. Walaupun begitu, hubungan tu secara senyap-senyap berkembang dengan bantuan pelbagai organisasi yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara keduanya.

Siapa la yang fikir nak buat poster macam ni? Imej dari Pikiran Rakyat.

Malaysia dan Israel mungkin takkan ada hubungan bersama dalam masa terdekat

Dengan serangan balas rakyat Malaysia baru-baru ni terhadap kemasukan atlet Israel ke Sarawak dan juga delegasi Israel pada tahun lepas, termasuklah hubungan perdagangan antara Israel dan Malaysia yang beralih arah ke Vietnam, tak ada alasan politik atau ekonomi untuk mengubah keadaan antara negara kita. Sehingga keadaan Israel-Palestin bertambah baik, Malaysia mungkin tak nak dikaitkan langsung dengan Israel. Nak nak pula keadaan di Palestin tak bertambah baik langsung pun baru-baru ni.

Mungkin atlet-atlet Israel rasa, patut ke Malaysia masih memboikot Israel walaupun dalam diam mempunyai hubungan ekonomi dengan mereka? Jawapannya mungkin bukan senang untuk Malaysia menukar strategi dasar luar negara di mana konflik Israel-Palestin masih berlaku. Dan Malaysia mempunyai dasar luar negara yang amat jelas terhadap Israel tak kisahlah acara sama ada bertaraf antarabangsa, sukan dan sebarang program lain. Malah ia dibincangkan kerajaan baru-baru ni,

“Sebelum pentadbiran baharu, telah ada tiga mesyuarat Kabinet yang buat keputusan penting tentang hubungan Malaysia dengan Israel.”

“Bagi keputusan dua minggu lalu, saya kiranya adalah pendirian paling tegas pernah dibuat (membabitkan hubungan Malaysia dan Israel),” – Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Malaysia.