Amerika Syarikat ditutup?! Bolehkah benda ni jadi kat Malaysia?

Selalu kita dengar ada kedai atau syarikat yang ditutup sebab diorang tak cukup kewangan atau bahasa mudahnya, bankrap. Bila sesebuah syarikat tu gulung tikar, yang sedih pekerja-pekerja dioranglah, sebab akan kehilangan kerja macam tu je. Penyebab penutupan benda-benda korporat macam ni pulak selalunya dikaitkan dengan masalah tadbir urus, atau keadaan ekonomi yang tak stabil.

Kalau kitorang kata – sesebuah negara tu pun boleh ‘tutup’, korang percaya tak? Baru-baru ni kerajaan yang kelihatan paling power di dunia, Amerika Syarikat tutup kerajaan diorang. Lebih menarik – penutupan Amerika Syarikat kali ni merupakan penutupan yang terpanjang dalam sejarah penutupan kerajaan diorang.

Sorry, negara kitorang ditutup hari ni. Imej dari Giphy

Mesti ada yang tertanya-tanya, kat Malaysia boleh ke jadi macam ni? Sebelum kitorang jawab soalan tu, meh tengok dulu apa sebenarnya jadi kat Amerika Syarikat…

Kerajaan Amerika Syarikat ditutup sebab peruntukan bajet tak dipersetujui

Macam pelik gila bila kita dengar yang kerajaan ditutupkan? Kerajaan di Amerika Syarkat (AS) ditutup sebab perbelanjaan tak diluluskan oleh Kongress AS. Kat AS Kongress ni badan perundangan (legislatif) – macam Parlimen kat Malaysia. Tapi kat AS menarik sikit, Kongress kali ni dipegang oleh parti politik yang berbeza dengan kerajaan (White House).

Presiden AS yang popular tu, Donald Trumph datang dari parti Republican dan KongressAS dikuasai oleh Democrats. Macam tulah agaknya sistem kat AS nak pastikan pemusatan kuasa tak berlaku dan ada semak imbang berlaku kat negara diorang. Takdelah kerajaan tu akan terlalu berkuasa – untuk suka-suka hati buat apa je yang diorang nak.

Thanks Trumph kata kitorang betul. Imej dari Giphy

So bila Kongres tak luluskan bajet, kerajaan AS takde duit nak bayar gaji kakitangan awam. December lalu, Presiden AS, Donald Trump mintak dana sebanyak USD5.7 bilion untuk bina tembok kat sempadan Mexico macam yang dia dah janjikan dalam kempen Presiden hari tu. Benda ni tidak dipersetujui oleh pihak Kongres kerana bagi diorang fikir ianya satu pembaziran.

Tapi yang macam yang dah boleh diramalkan, Trump tetap degil dan mahu teruskan pembinaan tembok ni dan Kongres pulak tetap berkeras untuk tidak meluluskannya. Maka apa yang terjadi adalah bajet untuk kerajaan tidak diluluskan dan kerajaan terpaksa ‘ditutup’ kerana tiada dana. Government shutdown kali ni merupakan yang terpanjang dalam sejarah AS.

Ni antara protes yang dilakukan oleh penduduk AS. Imej dari CNBC

Geng-geng yang paling terkesan dengan penutupan kerajaan ni adalah – penjawat awam. Macam yang kitorang dah kata tadi, lebih daripada 380,000 pekerja daripada 9 agensi kerajaan tak kerja sebab kerajaan takde duit nak bayar gaji. Dan ada lebih kurang 420,000 pekerja dipaksa bekerja tanpa gaji.

Beberapa bentuk bantuan kerajaan pulak berkemungkinan tak akan diteruskan jika penutupan kerajaan ni berterusan. Contohnya bantuan kupon makanan (food stamps) hanya mampu bertahan sehingga bulan Februari. Selagi takde yang nak mengalah, nampaknya selagi tu lah kerajaan AS ni akan ditutup. Akibat daripada dua kumpulan parti politik yang gaduh, siapa yang sengsara? Rakyat jugak.

Imej dari Giphy

Disebabkan kerajaan AS dah tutup, Trump bagi burger je kat tetamu dia

Biasanya kalau sesiapa berpeluang untuk lawat White House – dah sah-sahlah tetamu akan jangkakan dapat makanan yang lazat-lazat. Tapi berbeza dengan benda yang berlaku baru-baru ni, Trumph selamber badak bagi tetamu dia makan hamburger. Burger MacDonald dan Wendy pulak tu. Kalu korang nak tahu, makanan segera macam ni kira makanan bajet kat AS. Dekat bandar macam KL pun, kalau nak jimat pergi je makan kat restoran makanan segera.

Pasukan bola sepak Amerika Clemson University datang lawat Trump untuk raikan kejuaraan diorang. Tapi oleh sebab kerajaan AS tengah tutup, pekerja kat White House pun kuranglah. Bila kurang tak dapatlah diorang sediakan makanan yang sedap-sedap memandangkan tetamu yang datang tu nak dekat 100 orang.

https://twitter.com/hunterw/status/1084954858254405633?ref_src=twsrc%5Etfw%7Ctwcamp%5Etweetembed%7Ctwterm%5E1084954858254405633&ref_url=https%3A%2F%2Fwww.theguardian.com%2Fus-news%2F2019%2Fjan%2F14%2Fdonald-trump-orders-fast-food-white-house-clemson-football

Trump kata dia bayar burger-burger yang ada malam tu, dan sempat kata benda macam ni jadi sebab democrats tak nak berunding tentang bajet untuk bina tembok kat sempadan AS-Mexico. Jurucakap White House kata – kalau ada mana-mana atlet yang kecewa malam tu,diorang patut salahkan geng-geng demokrats sebab jadi punca kerajaan AS terpaksa ditutup.

Bila Trump ditanya tentang makanan yang mana dia suka, Wendy atau MacDonald, dia selamber je jawab;

“Jika ia dari Amerika, saya suka. Ini semua barangan Amerika. Tidak kira apa yang kita lakukan, tidak ada apa-apa yang yang lebih baik daripada itu kan?” – Donald Trumph, dipetik dari The Guardian

Meh kita tengok beza sistem politik kat Malaysia dan AS

Sebelum sembang panjang tentang benda ni – korang kena tahu tentang pengasingan kuasa  politik di kebanyakan negara demokrasi. Ada tiga elemenbadan legislatif (badan perundangan), badan eksekutif (pentadbir berdasarkan undang-undang) dan yang last adalah badan kehakiman (pelaksana undang-undang).

Meh kita tengok macam mana sistem politik kat AS dulu. Di AS – Presiden AS akan ketuai badan eksekutif. Untuk badan legislatif pulak – diorang ada dua; ‘Senate’ dan ‘House of representative’. Untuk bahagian kehakiman pulak, diorang macam kita jugak – ada mahkamah persekutuan dan mahkamah rendah untuk laksanakan undang-undang.

Pembahagian kuasa kat AS. Imej dari ourgoverningprinciples

Di Malaysia lebih kurang sama je dengan AS – cumanya ketua eksekutif di Malaysia adalah Perdana Menteri. Tak dilupakan jugak, kita ada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk terlibat dalam beberapa perkara, contohnya; buka dan tangguh Parlimen, perkenan rang undang-undang dan jalankan kuasa perundangan mengikut nasihat Kabinet.

Okay, tahniah sebab baca sistem politik 101. Di Malaysia untuk perundangan – kita ada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. So, mana-mana dewan boleh mulakan rang undang-undang, cuma Dewan Negara tak boleh mulakan undang-undang yang libatkan hal-hal fiskal atau kewangan.

Imej dari Slideshare

Korang kena tahu juga, ada perbezaan yang besar dari segi sistem politik AS (Sistem Presiden) dan Malaysia (Sistem Parlimen);

Beza utama di antara dua sistem ni adalah, untuk Sistem Presiden – pemimpin utama eksekutif (Presiden) dipilih secara langsung oleh rakyat. Ketua eksekutif dalam sistem Parlimen pulak (Perdana Menteri) dipilih secara langsung dari kumpulan legislatif. Dalam sistem Presiden, lebih susah nak buat undang-undang, terutama jika Presiden mempunyai ‘pembawakan politik’ yang berbeza daripada badan perundangan. Team legislatif ni pulak tak boleh buat apa-apa untuk ancam kedudukan presiden.

Hmmm…nak pilih yang mana ni? Imej dari Giphy

Dalam sistem Parlimen, kalau Parlimen tak suka dengan Perdana Menteri, diorang boleh buat undi tidak percaya dan ganti PM. Benda ni jadikan pemimpin eksekutif tunduk pada Parlimen. Secara mudahnya macam ni, kalau korang percaya bahawa kerajaan harus ada lebih banyak semak dan imbang, maka sistem Presiden lebih baik. Kalau korang percaya kerajaan patutnya ada kuasa untuk buat undang-undang dengan cepat, maka sistem Parlimen lagi baik.

Boleh ke kerajaan Malaysia tutup kedai macam AS?!

Daripada sistem yang kitorang dah jelaskan, mesti korang perasan yang dekat Malaysia ni secara umumnya kerajaan tak boleh tutup kedai – sebab kuasa legislatif ni terletak kat tangan Parlimen, terutamanya Dewan Rakyat. Kita ada je Dewan Negara untuk semak dan imbang, tapi kalau rang undang-undang tu tak lepas pun, rang undang-undang tu masih boleh dibawa kepada YDPA untuk perkenan.

Rang undang-undang tu cuma boleh ditangguh je untuk dilaksanakan, kalau tak lepas kat Dewan Negara.

Imej dari Giphy

Contohnya bila Dewan Negara ambik keputusan untuk tolak rang undang-undang untuk mansuhkan Akta Berita Palsu. So, bila Dewan Negara tolak rang undang-undang ni, proses untuk laksanakan undang-undang tu akan makin lambat. Sebab tu Hanipa Maidin kata;

“Bagi kami, ia bukanlah perkara yang perlu disegerakan, namun sudah tentu kami mahu ia dipercepatkan. Jika mereka hendak menangguh-nangguhkannya, terpulanglah kepada mereka. Saya cuma hendak menyampaikan mesej kepada Senator Barisan Nasional bahawa rakyat sedang memerhati,” – Mohamed Hanipa Maidin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dipetik dari FMT

Ahli politik gaduh memanjang, rakyat jugak yang dapat kesannya

Pergaduhan di antara dua parti politik ni benda yang biasa berlaku kat mana-mana negara demokrasi. Tak payah pergi jauh-jauh, tengok je kat Malaysia – punyalah selalu orang gaduh pasal politik. Cuma kalau orang biasa gaduh, takdelah kesan yang besar sangat, paling-paling saling block-memblock kat media sosial.

Cuma bila yang gaduh geng-geng yang ada kuasa putuskan nasib rakyat, akhirnya rakyat jugak yang susah. Contohnya kat AS – oleh sebab geng republican dan democrats ni gaduh, penjawat awam yang hadapi masalah tak dapat gaji. So patutnya ahli politik ni dibagi mandat untuk settlekan masalah rakyat, ni rakyat pulak yang bermasalah sebab diorang.

Arghhh…asyik nak gaduh je! Imej dari Giphy

Kitorang harap cepatlah AS ni bukak kedai balik, dan syukur gak kat Malaysia keadaan macam ni hampir mustahil untuk berlaku. Kita cuma pernah gantung Parlimen sebab darurat je, itu pun sebab peristiwa Rusuhan Kaum 1969. Syukurlah takde drama-drama macam ni kat Malaysia, kalau tak mesti ramai dah mengamuk…

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka