Kenapa Kelantan satu-satunya negeri yang tak wartakan tanah orang Asli?

UPDATE 18/1/2019: Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, kerajaan persekutuan akan mewakili Orang Asli Temiar untuk memulakan saman ke atas kerajaan Kelantan. Saman ni adalah berkaitan kes pembalakan di Gua Musang yang telah merosakkan kawasan penempatan orang asli di sana. Ini kisah bagaimana isu pembalakan di Kelantan mendapat perhatian ramai orang…


Kejadian bermula apabila masyarakat Temiar setuju bila syarikat perladangan meminta supaya mesyuarat diadakan di situ untuk berunding dan cari jalan penyelesaian. Tapi nampaknya wakil syarikat datang dengan 50 pekerja menaiki sembilan trak pick up, dan terus keluarkan chainsaw dan musnahkan sekatan. Masyarakat Temiar tergamam sebab tak sangka perkara tu terjadi lagi.

https://www.facebook.com/kropok.lekor.79/videos/pcb.1018396974987175/1018338251659714/?type=3&theater

Sebab beberapa hari sebelum tu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa melawat tempat sekatan yang sama. Dia juga berjanji untuk membantu menyelesaikan pertikaian antara penduduk Orang Asli dan syarikat perladangan tu.

“Asas untuk tuntutan tanah adat itu tidak boleh dipertikaikan dari sudut undang-undang. Isu sekarang, kita mesti tentukan mana sempadannya dan kita mesti wartakan sempadan dengan jelas.

Kerajaan sememangnya mengiktiraf hak tanah adat Orang Asli di pedalaman Kelantan sebagaimana yang dituntut mereka sejak lapan tahun lalu.” – Sivarasa, dipetik dari Astro Awani.

____________________________________________________________________________

Apa yang korang rasa kalau orang ambik hak milik tanah korang sejak azali lagi? Kalau korang rasa kitorang tengah cakap pasal rasisme dan meniup api perkauman, korang kena baca habis sebab kali ni kitorang nak highlightkan sikit tentang orang Asli yang kurang mendapat perhatian berbanding kaum lain di negara ni.

Kebanyakan orang Asli masih menjadikan hutan sebagai tempat tinggal, menyebabkan mereka selalu dipinggirkan dek pembangunan. Ni bukannya kes kerajaan tak bagi bantuan, tapi apabila kita kejar pembangunan sampaikan penebangan hutan berlaku secara berleluasa di negara ni. 

Dah la kadar kehilangan hutan tertinggi di dunia adalah Malaysia setakat tahun 2012. Imej dari mongabay.com

Malah setakat tahun 2016 je, SUHAKAM kata ada sebanyak 80 aduan dibuat oleh Orang Asli tentang pencerobohan tanah adat yang berterusan. Maka, terjadinya perbalahan dan perebutan tanah antara kerajaan negeri dan orang Asli Temiar di Gua Musang, Kelantan.

Orang Asli buat penghadang supaya tiada pencerobohan, tapi ditahan atas tuduhan menceroboh

Orang Asli Temiar adalah satu daripada 18 kumpulan Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Sebahagian besar dari Temiar tinggal di dalam hutan simpan yang meliputi sempadan Perak, Pahang dan Kelantan. Mereka juga sangat bergantung kepada persekitaran semula jadi untuk mencari buah-buahan dan memburu haiwan.

Orang Asli Temiar di Kampung Assam, Kelantan pada tahun 1971. Imej dari Andy Hickson.

Orang Asli ni tak kacau orang pun, tapi bila orang luar dah kacau, barulah mereka bangkit. Perkara ni la yang terjadi, iaitu orang Asli Temiar terpaksa buat sekatan bila kawasan pembalakan baru yang diluluskan oleh kerajaan negeri tu dah masuk kawasan penempatan masyarakat Temiar. Perkara ni terjadi pada tahun 2016 dulu, di mana sekatan yang dibuat kemudiannya dirobohkan, dan menyebabkan seramai 54 Orang Asli Temiar ditahan.

Tapi, itu bukanlah kes pertama. Sejak tahun 2012 lagi, mereka pernah merayu kepada kerajaan supaya tak menebang hutan mereka. Tapi nampaknya tak jalan. Jadi, pelbagai sekatan dilakukan bagi menghalang aktiviti pembalakan.

Bukit yang ditarah boleh menyebabkan pelbagai masalah alam sekitar. Imej dari Malaysiakini

Ingatkan kes dah reda lepas orang Asli Temiar dilepaskan pada tahun 2016 tu. Nampaknya pada Februari tahun ni, kes terjadi lagi. Malah sejak lima bulan yang lepas, suku orang Asli ni buat sekatan di Pos Pasik, Pos Tohoi dan Pos Bihai, supaya takde orang luar yang keluar dan masuk penempatan diorang tu.

 ‘‘Kami tidak meng­halang jabatan kerajaan untuk masuk ke perkampungan Orang Asli melakukan kerja mereka, tetapi kami hanya menghalang aktiviti pem­­balakan, perlombongan dan perladangan.” – Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, dipetik dari Utusan.

Kalau sebelum ni syarikat pembalakan yang kacau, kali ni syarikat perladangan durian pula yang datang dan kata hutan yang telah dibersihkan di Pos Tohoi tu adalah untuk penanaman durian Musang King.

Tapi bukan ke untung kalau tanam durian Musang King? Hasilnya mesti lumayan, malah nak makan sendiri pun boleh. Tak, kalau tanah yang diambil tu bukan lagi jadi hak milik mereka.

Hak tanah milik orang Asli Temiar, tapi lesen pembalak adalah sah

Masalahnya sekarang, peladang dan pembalak yang nak masuk tu mempunyai lesen yang sah daripada kerajaan negeri Kelantan sendiri. Maknanya, kegiatan tu tak haram. Tapi dalam masa yang sama mereka dah menceroboh penempatan Orang Asli Temiar. Atau tanah tu sebenarnya memang milik kerajaan Kelantan?

Bila kitorang kaji, baru kita tahu yang Mahkamah Majistret Gua Musang sebelum ni putuskan yang tanah tu milik orang Asli Temiar. Manakala Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada tahun lepas memutuskan tanah seluas 9,300 hektar di Pos Belatim, Gua Musang, kekal sebagai tanah adat Orang Asli suku Temiar di tujuh kampung di situ. Maknanya, Ladang Rakyat (perbadanan kerajaan Kelantan) kena batalkan perjanjian ladang dengan syarikat pemaju.

Orang Asli Temiar, lepas mahkamah memutuskan tanah
milik mereka. Imej dari Malaysian Insight

Perkara ni dijelaskan oleh Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Azmi Badul yang menuntut kerajaan Kelantan menghentikan kegiatan pembalakan dan pembukaan kawasan perladangan berskala besar.

“Kami menuntut agar kerajaan menghentikan kegiatan pembalakan dan pembukaan perladangan berskala besar dan dalam masa yang sama…

kami mahu kerajaan patuh kepada keputusan mahkamah terhadap kes Kg Dakoh Pos Balar yang menang baru-baru ini kerana kami juga mempunyai hak yang ternyata dalam keputusan Mahkamah Majistret Gua Musang,” – Azmi Badul, Pengerusi JKOAK, dipetik dari Malaysiakini.

Perebutan ni mendapat sokongan dari seorang peguam aktivis kontroversial

Semasa penangkapan dibuat, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob mengatakan yang sekatan tu menyalahi undang-undang dan masyarakat Temiar salah sebab tak bagi laluan untuk pembalakan di hutan simpan Balah. Mereka juga mengatakan kes tu antara pihak berkuasa dan Orang Asli, dan tak ada pihak yang patut terlibat sampai siasatan selesai.

Peguam aktivis, Siti Kasim kemudiannya rasa terpanggil untuk mempertahankan nasib orang Asli Temiar yang dirasakan tertindas. Mereka yang ditahan pihak berkuasa negeri untuk siasatan lanjut, dan kemudiannya dibebaskan tak lama kemudian.

Perkara ni nampaknya menimbulkan kemarahan pembalak yang terlibat, dan juga kerajaan Kelantan kerana ada ‘orang luar’ yang berani masuk campur urusan negeri mereka. Pemuda PAS kemudiannya membuat laporan polis mendakwa Siti Kasim sebagai penghasut utama aktivis yang berjuang melawan pembalakan di kawasan mereka. 

PAS juga mendakwa Siti Kasim berpakat dengan parti politik untuk membina persepsi buruk terhadap kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS. Malah, mereka mengatakan yang Siti Kasim memusuhi kerajaan negeri tersebut dan bukan pencinta alam sekitar, apatah lagi pencinta Orang Asal. Tapi, Siti Kasim nampaknya tak peduli dengan dakwaan tu.

Malah Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Muhammad Sha’ani Abdullah pada tahun 2016 meminta pihak berkuasa Kelantan untuk selesaikan masalah antara mereka melalui rundingan.

SUHAKAM, semasa pendengaran awam mengenai hak tanah rakyat asli Malaysia. Imej dari cj.my

Malah, dia juga mengatakan yang Kelantan gagal menyelesaikan masalah dengan Temiar, dan sekatan aman yang dilakukan mereka cumalah sebuah tindak balas yang wajar.

“Langkah terakhir iaitu sekatan aman adalah cara yang wajar, dan kesahihannya hanya dapat ditentukan oleh mahkamah. Pihak berkuasa negeri dan Jabatan Perhutanan telah gagal menyelesaikan kebimbangan sah Orang Asli secara adil.

Kalau nak diikutkan, pihak berkuasa negeri harus membawa perkara itu ke meja perundingan, tanpa syarat dan/atau pengadilan mahkamah.

Pihak berkuasa negeri tidak sepatutnya mempunyai kepentingan dalam pengurusan dan pentadbiran negeri itu, kecuali demi kepentingan rakyat, apalagi kepentingan orang-orang yang tertindas seperti Orang Asli,” – Muhammad Sha’ani Abdullah dalam surat terbuka kepada Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob.

Kelantan satu-satunya negeri yang tak mewartakan tanah orang Asli

Walaupun dah bertahun-tahun ‘berperang’ dengan kerajaan negeri, orang Asli Temiar juga tak pernah berganjak daripada keputusan menuntut tanah adat mereka. Siti Kasim dalam masa yang sama mencabar kerajaan Kelantan untuk dakwa Orang Asli Temiar di mahkamah, kalau betul mereka memang salah.

“Saya cabar mereka. Beritahu itu kepada mereka. Beritahu kepada Kerajaan Kelantan supaya bawa Orang Asli ke mahkamah. Sama ada haram atau tidak, sama ada tanah itu milik kerajaan atau Orang Asli…kita tentukan di mahkamah.” – Siti Kasim, dipetik dari FMT.

Cuba cari Siti Kasim sembunyi kat mana. Imej dari Vulcan

Pada tahun 2013 dulu pun, delegasi SUHAKAM pernah terlebih dulu membentangkan penemuan Suruhanjaya Kebangsaan mengenai Tanah Adat Orang Asli. Tapi sampai sekarang,masih tiada dakwaan, malah tiada pewartaan yang ditetapkan sebagai rizab Orang Asli selaras dengan Akta Orang Asli 1954 oleh kerajaan negeri serambi Mekah itu.

Kes tu muncul pun bila baru-baru ni pun, Jabatan Kemajuan Orang Asli atau JAKOA, mengesahkan yang Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang masih belum mewartakan tanah rizab masyarakat Orang Asli, iaitu seluas 142.73 hektar.

“Ya, Kelantan masih belum mewartakan tanah rizab masyarakat Orang Asli. Kerajaan negeri seolah-olah enggan dan tidak mahu berbuat demikian,” – Pengerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Ajis Sitin, dipetik dari FMT.

Beberapa alasan diberi kerajaan Kelantan, termasuklah “tak tahu punca sebenar”?

Walaupun mahkamah dah tetapkan yang beberapa tanah hutan simpan tu merupakan tanah Temiar, tapi kerajaan negeri Kelantan bagaimanapun masih meluluskan lesen kepada pembalak dan peladang dan bagi kebenaran kepada mereka untuk menggunakan tanah tersebut.

Laporan tentang pembalakan yang terjadi di Lojing, Gua Musang. Imej dari rubberforests

Bagi yang tak tahu, sumber pendapatan utama negeri Kelantan adalah pembalakan, dan perkara ni disahkan sendiri oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

“Selain daripada Hutan Simpan Kekal (HSK), balak juga dikeluarkan daripada kawasan tanah kerajaan, tanah berimilik dan juga kawasan hutan yang dibuka untuk perladangan dan pembangunan infrastruktur.

Hasil paling tinggi ialah daripada kutipan premium tanah yang dibayar oleh pembalak bagi pengeluaran hasil hutan daripada HSK atau tanah Kerajaan.” – Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Dalam laporan Harakah Daily tahun lepas, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar ada mengatakan yang hampir kesemua tanah di Kelantan merupakan rizab Melayu berdasar Enakmen Rizab Melayu 1930 dan ia lebih awal wujud berbanding Akta Orang Asli 1954.

Dia kemudiannya menyatakan yang kawasan yang akan diwartakan tu ditentukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), dan bukannya kerajaan negeri. Padahalnya kalau nak diikutkan, sebenarnya kerajaan Negeri adalah badan tertinggi dalam hal-ehwal berkaitan pokok, perhutanan dan tanah.

Perkara tu disangkal naib pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed yang mengatakan Akta tanah rizab Melayu tak boleh digunapakai sebab pendudukan Orang Asli di tempat sekarang jauh lebih lama sebelum kewujudan akta tu.

Imej dari The Star

Tapi pada bulan Februari 2018, Timbalan MB Kelantan, Mohd Amar sekali lagi buat kenyataan membingungkan dengan mengatakan dia tak tahu punca sebenar bantahan orang Asli. Selang lima bulan selepas tu pula dia nampaknya macam menyalahkan pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan yang mengendalikan proses tu, dan mereka tak ada kuasa mutlak untuk meluluskan semuanya.

Screenshot dari Malaysiakini

Kerajaan negeri tak sepatutnya menafikan hak Orang Asli

Kalau nak diikutkan, Mahkamah Malaysia dah iktiraf, dan berulangkali menegaskan yang Orang Asli berhak mendapat hak terhadap tanah yang telah diduduki sejak beberapa generasi lagi. Malah kedudukan istimewa mereka juga dah terkandung di dalam Artikel 8(5)(c) di dalam Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi di Malaysia).

Bukan tu je, SUHAKAM sendiri pun dah bentangkan penemuan Suruhanjaya Kebangsaan pasal Tanah Adat Orang Asli. Tapi sampai sekarang, masih ada masalah pewartaan tanah orang Asli ni. Itu tak masuk lagi penerokaan hutan tak terkawal yang jadi penyebab banjir besar yang saban tahun melanda negeri tersebut selain daripada musim monsun.

Banjir kuning di Kelantan. Imej dari Berita Harian

Melalui tindakan Kerajaan Persekutuan melalui Peguam Negara, Tommy Thomas harapnya dapatlah menemui satu jawapan penting dalam isu ni.

“Walaupun perkara tanah dan perhutanan terletak di dalam bidang kuasa kerajaan negeri, negara perlu melindungi kebajikan Orang Asli Temiar,“- Tommy Thomas, petikan dari MalaysiaKini