- 1.9KShare sekarang!
- Email12
- Facebook1.9K
- Share
Nama Allahyarham Adenan Satem bukanlah satu nama yang janggal dalam dunia politik. Nak pula bila Dayang Nurfaizah membuat persembahan tribute khas lagu Lelaki Teragung pada AJL 31 untuk Allahyarham beberapa minggu selepas pemergiannya.
Bagi rakyat Sarawak khususnya, Allahyarham Adenan Satem merupakan satu figur yang amat menyenangkan. Pemergiannya secara mengejut sangat menyedihkan mereka di mana berpusu-pusu ratusan rakyat Sarawak datang ke pusat perubatan dan rumahnya bagi memberikan penghormatan terakhir mereka kepada tokoh yang banyak membangunkan negeri Sarawak.
Perkara ni membuatkan kita terfikir… bilakah kali terakhir kita dengar pemergian seorang ahli politik ditangisi rakyatnya? Di sini, kami singkap balik apa yang membuatkan Allahyarham Adenan Satem begitu istimewa di mata rakyat Sarawak.
1. Memperkenalkan 55 DASAR hanya dalam masa DUA tahun
Tan Sri Pehin Sri Haji Adenan bin Satem atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Nan dah lama mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik. Dia memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang pernah ditandinginya sejak 1979.
Disebabkan kepercayaan ni, Allahyarham kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-5 pada 28 Februari 2014, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang melepaskan jawatan tu dan menamakan Allahyarham sebagai pengganti.
Dalam masa yang sama, Adenan memegang jawatan sebagai Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, yang merupakan sebahagian daripada pakatan Barisan Nasional.
Bagi yang tak tahu, Sarawak menjadi sokongan deposit tetap untuk BN pun salah satunya sebab Allahyarham. Laporan The Borneo Post menunjukkan tahap keyakinan penduduk Sarawak terhadap Adenan Satem meningkat daripada 75% ke 81% sebelum Pilihan Raya Negeri berlangsung lagi. Malah dengan kepercayaan yang diberi tak membuatnya lupa diri, malah lebih bekerja keras bagi memastikan Sarawak terus maju.
Dalam masa dua tahu kepimpinannya saja, dia berjaya memperkenalkan 55 dasar baharu, yang membuktikan beliau amat memahami kehendak rakyat negeri yang mahukan perubahan dan kemajuan.
Antara perkara yang berjaya dilakukannya untuk rakyat Sarawak adalah dengan pemansuhan tol di seluruh Sarawak yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2016, menjadikan Sarawak negeri bebas tol pertama di Malaysia walaupun konsesi dijadual tamat pada 30 September 2036.– antara janji yang berjaya ditunaikannya.
Malah, dia juga berjaya membuat pengurangan tarif elektrik untuk keperluan domestik dan industri di Sarawak, memansuhkan cukai tanah bagi pertanian dan kediaman, serta menurunkan cukai taksiran yang sedikit sebanyak berjaya mengurangkan beban sara hidup rakyatnya.
2. Berikrar menolak nepotisme
Untuk menunjukkan ketelusan dan kejujuran mereka dalam menguruskan kerajaan yang lebih baik, Allahyarham tak gentar bila dia sendiri meminta untuk menandatangani ikrar integriti korporat.
“Kita mengambil pendirian tegas berkenaan bagi memastikan Sarawak ditadbir urus secara ikhlas, jujur dan amanah demi masa depan negeri serta rakyat,” – Tok Nan, dipetik dari Berita Harian, 2015.
Perkara ni dilakukan untuk memerangi amalan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah bersama barisan anggota kabinet negeri Sarawak yang lain, dengan janji di mana dia menolak nepotisme dan kronisme dengan takkan memberi kontrak awam kepada ahli keluarganya. Dengan ini, Kerajaan Negeri Sarawak menjadi kerajaan negeri pertama menandatangani Ikrar Integriti.
“Dia mengurus negeri dengan adil dan saksama, dan melindungi autonomi dan rakyat di sini…
Dia menetapkan visi pembangunannya untuk setiap rakyat Sarawak, tanpa mengira kaum dan agama dan bekerjasama dengan rakyat Sarawak yang harmoni. Dia seorang pemimpin yang patut dihormati daripada kita semua” – Chieng Buong Toon, Timbalan Presiden SUPP II.
3. Memperjuangkan hak negeri sehingga digelar ‘Bapa Autonomi Sarawak’
Antara karisma yang ada pada Tok Nan sendiri adalah keberaniannya menuntut penyerahan semula kuasa autonomi kepada Sarawak dari kerajaan persekutuan, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Korang jangan tak tahu pula yang sekitar akhir tahun 1980-an dan 1990-an, Allahyarham merupakan juara dalam perdebatan mengenai Tanah Adat di Sarawak. Disebabkan perkara ni juga, Allahyarham Adenan disifatkan sebagai ‘Bapa Autonomi Sarawak’.
Kuasa autonomi tersebut termasuklah sumber asli, perundangan dan pendidikan sosial sejak mengambil alih kepimpinan negeri tu seperti dasar pendidikan dan sebagainya dikembalikan kepada Sarawak. Semuanya dilakukan bagi manfaat rakyat dan negeri Sarawak sendiri,
i) Sumber Asli: Menuntut royalti minyak rakyat Sarawak daripada kerajaan persekutuan – Oktober 2015
Selain tu, dia juga membuat tuntutan ke atas jumlah royalti hasil petroleum untuk dinaikkan sebanyak 20 peratus daripada cuma lima peratus sebelum ini.
“Ini siapa punya minyak, …siapa punya gas. Ini hasil bumi Sarawak. Justeru, ini adalah hak kita yang seharusnya dituntut dan diperjuangkan untuk masa depan Anak Sarawak.
Saya juga meminta daripada perdana menteri supaya syarikat dari Sarawak diberi peluang untuk turut serta dalam projek petroleum dan gas,” – Tok Nan,
ii) Pendidikan: Mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan biasiswa Yayasan Sarawak terbuka kepada semua kaum – November 2016
Kalau sebelum ni permohonan biasiswa dengan Yayasan Sarawak terbuka kepada kaum Bumiputera je, nampaknya Allahyarham mula membuka peluang bagi semua kaum juga sebab tak guna sebenarnya untuk menyekat kaum lain untuk sambung belajar. Malah, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak 10 juta untuk biasiswa bagi rakyat Sarawak yang melanjutkan pelajaran.
Faham dengan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa global, dia juga terus mempertahankan dasar Kerajaan Negeri menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Sarawak.
“Kita tak mahu graduan pada hari ini tidak berdaya saing dalam sektor pekerjaan hanya kerana bermasalah tidak fasih berbahasa Inggeris,” – Tok Nan, mempertahankan dasar Kerajaan Negeri menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua negeri Sarawak.
Allahyarham juga memperuntukkan geran untuk pendidikan Cina, mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan membenarkan pelajarnya memohon pinjaman dan biasiswa dari kerajaan negeri, disamping meneruskan bantuan kewangan kepada sekolah Cina.
Pengumuman Adenan mengenai peruntukan RM3 juta kepada sekolah-sekolah bebas Cina dan pengiktirafan UEC ni dilaporkan sangat meluas dalam akhbar Cina yang turut memujinya.
iv) Perundangan: Hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963
“Sumbangannya kepada Sarawak ialah beliau telah menyedarkan rakyat di negeri itu tentang hak mereka yang perlu disuarakan, sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963,” – Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Pensyarah di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya.
Hak Sarawak tersebut adalah mengenai kedudukan kedua-dua negara sebagai rakan kongsi yang sama, dan bukannya di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan, pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memulihkan ketetapan pra-1976. Malah, dia juga menyeru supaya Sabah melakukan perkara yang sama
Disebabkan tu juga, Sarawak mempunyai tarikh kemerdekaan tersendiri pada 22 Julai setiap tahun selepas dituntut Allahyarham pada tahun 2016.
4. Memberi bantuan tanpa mengira fahaman politik
Berbeza fahaman politik tak menjadi satu masalah buat mereka di Sarawak untuk saling bantu-membantu sebagai satu rumpun. Malah tak kiralah dari mana-mana parti politik pun, Allahyarham merupakan seorang yang sangat dihormati kerana dasar kemanusiaannya yang tinggi.
Contohnya masa Jun 2014, Allahyarham sendiri pernah meminta bantuan melalui Barisan Nasional untuk menghulurkan bantuan RM1 juta kepada Ahli Parlimen Sibu dari parti DAP, mendiang Wong Ho Leng untuk menampung kos rawatan barah otak. Walaupun merupakan saingan politik, perkara tu tak menjadi ukuran langsung buatnya.
“Allahyarham juga adalah Bapa Perpaduan Negeri Sarawak. Beliau telah menyatukan seluruh rakyat Sarawak sehingga pembangkang turut bersetuju dengan sikap dan dasar yang dibawanya.” – Dr Awang Azman Awang Pawi, Pensyarah di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya Profesor Madya
5. Menolak kaum ‘lain-lain’, malah mengiktiraf mereka sebagai kaum asal
Berdarah Melayu campuran Melanau, Tok Nan sangat mementingkan keharmonian antara semua kaum di negerinya.
“Ini Sarawak punya olang, bisi Melayu, bisi orang Cina, bisi orang Dayak, bisi orang Bidayuh, duduk sama, minum sama, makan sama, carik amoi pun sama.” – Tok Nan, dipetik dari Press Reader
(Terjemahan: Orang Sarawak ini ada orang Melayu, Cina, Dayak, Bidayuh, duduk sama, minum sama, makan sama, cari gadis pun sama)
Ia bukan cakap kosong je sebab Allahyarham Tok Nan juga berjaya membentuk kabinet yang terdiri daripada semua etnik, meliputi etnik Iban, Melayu, Melanau, Bidayuh, Cina dan orang Ulu. Tegasnya,
“Sarawak tidak boleh menjadi sebuah kerajaan tanpa adanya Melayu, Iban, Cina, Bidayuh atau Orang Ulu.”
Malah dia juga berjaya memansuhkan penggunaan kategori ‘lain-lain‘ dalam borang rasmi kerajaan Sarawak dan menggantikannya dengan suku kaum Bumiputera Sarawak, seperti Dayak, Iban dan Bidayuh.
Untuk mengekalkan keistimewaan ni, dia juga mengisytiharkan polisi keharmonian negeri Sarawak pada tahun 2015, bagi mengingatkan rakyat Sarawak untuk menjaga kesatuan kaum dan menghormati agama lain yang menjadi tunjang keamanan Sarawak.
Perkara ni turut diakui oleh ketua gereja Sarawak,
“Beliau meninggalkan kepada kita legasi saling hormat menghormati dan kehidupan harmoni antara kita.
“Sebagai salah seorang ketua agama di Sarawak, saya komited untuk meneruskannya demi rakyat Sarawak,” – Simon Poh Hoon Seng, Uskup Agung Keuskupan Agung Roman Katolik Kuching
Berbeza pendapat dengan ahli politik dari Semenanjung, dia melihat latar belakang rakyat Sarawak yang berbilang kaum sebagai satu kekuatan, peluang dan bukannya satu halangan untuk terus memajukan sesebuah negara.
Dan disebabkan tu jugalah, Allahyarham lebih memfokuskan parti politik tempatan dan menyekat pemimpin politik dari Semenanjung dari masuk ke Sarawak sebab ditakuti boleh menjejaskan hubungan harmoni antara kaum di Sarawak. Malah, dia beranggapan yang parti politik luar Sarawak mungkin tak faham, dan takmampu menentukan masa depan Sarawak terutama untuk kepentingan rakyatnya. Dan sebab tu jugalah,
“Sarawak tidak memerlukan campur tangan orang luar untuk menentukan hala tuju dan masa depannya dan orang luar tidak perlu datang ke negeri ini untuk menimbulkan kekacauan”
“Kita lebih mengetahui apa yang terbaik buat negeri ini. Saya juga dapat persetujuan UMNO untuk tidak masuk ke Sarawak dan jika parti itu tidak masuk, begitu juga parti-parti lain dari Semenanjung seperti DAP, PKR dan PAS,” – Tok Nan, dipetik dari Utusan Malaysia 2016.
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan budi
Walaupun dua tahun pemergiannya hari ini, nampaknya rakyat Sarawak masih lagi mengingatinya. Contohnya tahun lepas apabila rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama menyalakan lilin, atau candlelight vigil sempena memperingati pemergian lelaki teragung tersebut, di perkarangan Tebingan Sungai Kuching, di Sibu, Padungan, Miri, Bintulu, Sarikei, Sri Aman dan juga Johor.
Malah masa kitorang tengok Facebook Tok Nan pun, tengok je la macam mana rakyat Sarawak masih aktif meninggalkan beberapa post yang nampak sangat merindukan Allahyarham.
Sejujurnya, banyak yang boleh kita pelajari daripada cara pimpinan Tok Nan mentadbir negeri Sarawak dalam menyebarkan keharmonian budaya, membanteras rasuah termasuk mengutuk ekstremisme keagamaan dan perkauman yang mampu mengganggu gugat bumi kenyalang tersebut. Seorang pemimpin yang berwibawa dan berani demi toleransi, keharmonian dan kesederhanaan macam apa yang kita boleh tengok di Sarawak sekarang.
“Saya melihat dasar-dasar yang ditetapkan Tok Nan menjadi landasan kukuh dalam menjadikan kita, rakyat Sarawak,” – Datuk Richard Wee, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching.
- 1.9KShare sekarang!
- Email12
- Facebook1.9K
- Share