BN dah tak penting di Sabah dan Sarawak punca mereka lompat parti?

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Beberapa bulan kebelakangan ni, nasib Barisan Nasional (BN) nampaknya macam jatuh ditimpa tangga. Mana taknya, mula-mula kalah dalam pilihanraya, lepas tu ketua yang lepas dan sekarang, kedua-duanya didakwa di mahkamah dan lepas tu parti-parti besar juga nampaknya mula untuk meninggalkan parti yang satu masa dulu kuat dan megah.

Malah, antara parti yang meninggalkan BN adalah nama besar macam Gerakan, – meninggalkan tiga komponen besar yang lain iaitu UMNO, MIC dan MCA.

Nampaknya BN sekarang dah jadi… mini BN. Imej dari Big Box Asia
Dengan pelbagai drama yang berlaku dalam BN macam drama masalah keluarga pukul 7, kitorang rasa ni la masa paling baik untuk senaraikan balik apa sebenarnya yang jadi dengan gabungan pembangkang sekarang, bermula dengan…

1. Barisan Nasional akan buat penjenamaan semula

Korang mesti pernah dengar pasal kes di mana jenama-jenama besar mengalami masalah atau kontroversi besar. Macam tu juga la apa yang jadi dengan Barisan Nasional sekarang yang cuba sedaya upaya untuk kembali ke Putrajaya pada PRU15 nanti. 

Pengerusi BN, iaitu Zahid Hamidi baru-baru ni mengumumkan yang BN akan dijenamakan semula sebagai gabungan baru yang terdiri daripada parti-parti semasa bersama-sama dengan parti-parti baru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Dia menambah yang parti teras dalam Barisan yang baru masih UMNO, MCA dan MIC.

“Pada saya, ‘Pakatan 1.0’ ditubuhkan pada 1955. ‘Pakatan 2.0’ atau BN ditubuhkan pada 1974 bersama UMNO, MCA dan MIC sebagai parti teras. Sekarang pada tahun 2018, saya cadangkan ‘Pakatan 3.0’ menjadi parti macam BN.

Kita perlu berani macam apa yang Tun Abdul Razak lakukan… Pakatan dijenamakan semula sebagai Barisan Nasional. Ia diterima ramai,” – Zahid Hamidi, dipetik dari Malay Mail

Logo BN 3.0, mungkin?

Sebahagian daripada misi penyusunan dan penjenamaan semula bagi gabungan tu adalah daripada pengumuman mengejut yang dilakukan oleh Zahid, di mana setiausaha agung baru BN adalah Datuk Seri Nazri Aziz di mana tugas pertamanya ialah menjalankan penjenamaan semula.

“Ya, saya adalah setiausaha agung baru, seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Zahid. Saya diberitahu tentangnya tiga bulan lalu. Kami akan mula melibatkan parti komponen lain di Barisan dan kemudian diikuti oleh pihak lain, “- Nazri Aziz, dipetik dari Malay Mail

Ok, sekarang kita sedia maklum yang Barisan baru akan dipimpin wajah-wajah lama, tapi parti komponen lain pulak…

2. Pihak-pihak lain dan NGO mungkin akan sertai BN tak lama lagi lepas ia dijenamakan semula

Sekarang dengan angka parti komponen yang dah tinggalkan BN, Zahid nampaknya bagitahu yang dia sedang mempertimbangkan permohonan dari Kongres Muslim India (Kimma), Front Progresif India (IPF) dan Makkal Sakti.

“Segala keputusan akan dibuat secara sebulat suara. Kita akan lihat suara majoriti untuk terima mereka sebagai parti komponen,” – Zahid, dipetik dari Malaysiakini

Zahid bercakap di Perhimpunan Agung Kongres Islam India ke-41. Imej dari Berita Harian

Kimma sebenarnya dah minta nak join BN sebelum PRU14 lagi, dan diorang dah minta untuk bertanding dua kerusi parlimen dan empat kerusi negeri di bawah bendera BN. Walaupun ketiga-tiga parti India ni mesra BN, tapi nampaknya diorang tak dibenarkan masuk dalam BN sebab dapat bantahan daripada MIC.

Tapi diorang takde la sampai nak buat group cheerleader macamni.

Dalam banyak-banyak dakwaan, nampaknya dakwaan yang mengatakan PAS akan join Barisan Nasional dalam masa terdekat la yang paling menarik minat kitorang. Zahid pun pernah bagitau yang PAS antara parti yang didekati untuk membentuk BN baru ni. Parti Islamik ni nampaknya dah bekerjasama dengan UMNO masa pilihanraya kecil Sungai Kandis. Malah, diorang juga pergi Perhimpunan Agung UMNO tahun ni, dijemput sebagai tetamu. 

Tapi… bukan semua orang gembira dengan penjenamaan semula yang menambah parti lain ni…

3. MCA ugut untuk tinggalkan, atau membubarkan BN sekaligus

Hubungan MCA-UMNO nampaknya memang ada isu yang serius, macam pasangan kekasih yang bergaduh disebabkan orang ketiga. Dan orang ketiga kat sini adalah PAS.

Lebih kurang macam ni apa yang berlaku terhadap gabungan baru ni

Ketua MCA nampaknya naik menyampah dengan hubungan UMNO yang cuba untuk menawan hati PAS, malah siap kata yang diorang memang tak nak bekerjasama dengan PAS. Presiden MCA, Liow Tiong Lai pula memang berterus terang je pasal apa yang dia rasa, malah dia pernah cakap ni pada September lepas:

“BN menegakkan prinsip kesederhanaan. Jika mana-mana parti komponen, termasuk Umno, bergerak ke arah politik perkauman, agama, teokratik atau ekstremis, maka kita hanya akan mempunyai dua pilihan.

Pilihan pertama ialah menyingkirkan BN, kerana ia tidak lagi menjadi gabungan harmoni kaum. Pilihan kedua ialah menendang keluar Umno, “- Liow Tiong Lai, seperti yang dipetik dari Malaysiakini

Liow Tiong Lai. Imej dari Berita Daily

Bercakap pasal rancangan Zahid untuk menjenamakan semula dan menyusun semula BN, Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong kata rancangan Zahid tu dibuat tanpa berunding dengan MCA dalam usaha untuk turut mengajak PAS ke dalam gabungan itu. Akibatnya, Wee mengulangi kata-kata presidennya dengan mengancam untuk menamatkan hubungan MCA dengan UMNO.

Nazri sementara tu cuba untuk menenangkan situasi dengan mengatakan sebarang keputusan mengenai kemasukan PAS akan diputuskan oleh semua parti komponen dan bukan UMNO je. Tapi, kalau MCA tinggalkan atau bubarkan BN, diorang takkan jadi satu-satunya parti yang buat perkara tu tanpa sokongan UMNO. Malah, kalau kita pergi ke Borneo, kita dapati yang…

4. BN dah tak penting di Sabah dan Sarawak

Dengan kekalahan BN semasa PRU, beberapa bulan lepas tu beberapa parti di Sarawak kemudiannya bertindak menarik diri dari pakatan. Nampaknya Gabungan Parti Sarawak yang terdiri daripada semua bekas BN negeri Sarawak: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Parti komponen Barisan di Sarawak… telah membuat keputusan sebulat suara untuk meninggalkan Barisan untuk membentuk gabungan baru… yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak.

Keputusan tu dibuat selepas banyak perbincangan, renungan dan pertimbangan sewajarnya, dengan mengambil kira perkembangan politik semasa negara selepas PRU14,”- Ketua Menteri dan Presiden PBB Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari, dipetik dari The Star

Para pemimpin parti yang berpangkalan di Sarawak semasa pengumuman Gabungan Parti Sarawak. Imej dari Sarawak Voice
Kat Sabah pun, perkara yang sama berlaku (lebih kurang la). Beberapa bulan selepas PRU14, 4 parti Sabah yang bergabung dengan BN tarik diri daripada pakatan tu. 4 daripadanya adalah Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Liberal Democratic Party (LDP).

UPKO kemudiannya join Parti Warisan di Sabah dan membantu membentuk kerajaan negeri. Sementara tu, PBS dan PBRS bergabung dengan STAR dan UMNO Sabah untuk membentuk gabungan baru bagi negeri tu yang dipanggil Gabungan Bersatu Sabah.

UPDATE 12/12/2018: UMNO Sabah dilaporkan akan dibubarkan. Namun, tiada lagi pengumuman pembubarannya sehingga sekarang. Selain tu, Bung Mokhtar selaku peimpin UMNO di Sabah menafikan perkara tersebut.

Walaupun penuh dengan drama, Barisan Nasional tetap menjadi kuasa yang dikenali

Ok, kita tahu ada antara korang yang bukan peminat BN dan mungkin memilih untuk tak pedulikan apa-apa berita pasal diorang (mungkin korang tak baca pun artikel ni). Tapi BN masih kekal sebagai blok pembangkang terbesar dan utama negara, dan keputusan diorang mungkin masih mempengaruhi rakyat. Jadi, penting untuk kita perhatikan apa yang berlaku dalam pakatan tu.

Lagipun, ni kali pertama BN jadi pembangkang, dan mungkin normal la untuk diorang ambil masa untuk cari balik kekuatan diorang. Korang ingat tak macam mana Pakatan Rakyat sendiri bertungkus-lumus untuk jatuhkan BN disebabkan rasuah, dan akhirnya dipilih sebagai kerajaan? Kitorang takde la nak bet siapa yang akan menang untuk PRU15 nanti, tapi apa yang kitorang nak sampaikan adalah mungkin, mungkin perubahan ni sesuatu yang baik untuk pakatan baru ni.