Tempoh banduan kat penjara Brazil ni DIKURANGKAN ikut berapa buku dibaca?

Bila cakap pasal membaca, sementara cuti sekolah dah nak start ni, mak ayah bolehlah bawak anak korang pergi George Town Literary Festival (GTLF) yang akan bermula 21 November nanti untuk pupuk minat membaca kat anak-anak korang. Festival tu menumpukan pada aspek literasi dan sastera yang menampilkan penulis seluruh dunia dan merupakan festival sastera terbesar kat dunia.

Sengaja kami sebut pasal literasi, sastera dengan membaca ni sebab korang tahu tak ada banduan kat satu negara ni berjaya kurangkan tempoh tahanan diaorang dengan membaca?

Banduan yang pegang kunci penjara tapi takde seorang pun yang larikan diri

Pintu masuk penjara APAC. Imej dari AVSI Foundation

Kat penjara, kita familiar dengan hukuman yang dikenakan sebab kesalahan tertentu. Dan untuk bebas daripada tempoh penjara yang dikenakan tu, banduan kena lalui hukuman ke atas kesalahan diaorang sebelum diaorang dibebaskan. Kalau nak kurangkan tempoh hukuman penjara yang dikenakan tu, mestilah kena lalui prosedur mahkamah dan prosedur tertentu lain.

Tapi, lain pulak sistem hukuman penjara kat satu tempat ni. Kat penjara tu, dia memang amat pentingkan nilai kemanusiaan dan ilmu untuk semua banduan kat situ. Ia jugak sebagai salah satu cara untuk membuatkan banduan penjara Brazil kat Association for Protection and Assistance to Convicts (APAC) sibuk dan mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat.

Umumnya, kita selalu dengar tentang rusuhan yang selalu berlaku kat penjara Brazil ni memandangkan Brazil mempunyai populasi penjara keempat terbesar kat dunia. Dengan dipenuhi banyak kes jenayah kat sekitar Brazil.

Kebanyakan penjara Brazil dipenuhi dengan kes kesesakan dan rusuhan yang merupakan perkara biasa kat sana. Imej dari BBC

Tapi sistem penjara APAC ni sebenarnya lain daripada seluruh hukuman penjara kat dunia. Penjara APAC ni terbahagi kepada penjara lelaki dan perempuan yang berasingan. APAC ni ditubuhkan pada tahun 1972 oleh sekumpulan orang Katolik untuk menyediakan alternatif kemanusiaan ke dalam sistem penjara. Dan sekarang ni sistem sama dah diaplikasikan kat 49 penjara di Brazil, dan mempunyai beberapa cawangan di Costa Rica, Chile dan Ecuador.

Sistem yang diaorang gunakan adalah untuk pulihkan tahanan dan banduan yang mesti tunjukkan penyesalan dan perubahan berdasarkan hukuman yang diberikan. Dan hukuman yang diberikan sebenarnya lagi murah dan berpatutan untuk dijalankan. Ia jugak dilaporkan potensi tahanan untuk buat jenayah semula adalah lebih rendah, dan dicipta untuk memberikan manfaat pada seluruh komuniti dalam skala yang lebih luas.

“Seseorang akan meninggalkan penjara dengan mempunyai pengetahuan yang lebih luas dan boleh meluaskan misinya di seluruh dunia,” – Andre Kehdi, peguam di Sao Paulo, sumber dari The Telegraph. 

Banduan-banduan kat penjara APAC. Imej dari South World

Dekat penjara tu, banduan bebas nak pakai pakaian diaorang sendiri dan dipanggil dengan nama betul bukanlah kod penjara. Maksudnya tak perlulah pakai uniform penjara yang berwarna-warni tu. Diaorang jugak dibenarkan untuk sediakan makanan diaorang sendiri malah bertanggungjawab terhadap isu keselamatan.

Dan dekat penjara APAC ni, diaorang takde pengawal keselamatan yang mengawal ketat penjara tu dengan menggunakan apa-apa senjata, dan bekas banduan sendiri yang pegang kunci tirai besi tu. Kat sini kita boleh nampak betapa jujurnya diaorang. Cuma pengawai penjara tu ada perhatikan diaorang. Tahanan kat sana pun sangat berdisiplin, takde pun cubaan untuk larikan diri.

“Saya tak pernah terfikir untuk larikan diri. Tempoh tahanan saya hampir berakhir dan ia setimpal dengan jenayah yang saya lakukan. Mereka menaruh kepercayaan kepada saya dan meletakkan tanggungjawab untuk saya menjaga pintu penjara ni.

Langkah seterusnya ialah pelepasan bersyarat, di mana mereka membenarkan saya keluar seminggu sekali. Saya mempunyai keluarga untuk difikirkan jadi saya tidak akan menjejaskan mereka.” – Da Oliveria, tahanan APAC, sumber dari The Guardian. 

Diaorang tak perlu susah payah macam ni untuk dapatkan kunci penjara. GIF dari Giphy

Dalam penjara tu jugak takde siapa pun yang dibenarkan tinggal di dalam sel penjara kecuali diaorang sakit ataupun dihukum. Bila diaorang melakukan percubaan untuk melarikan diri, diaorang akan dikembalikan kepada sistem hukuman asal yang berat dan ketat. Jadi, sebab tu diaorang ikut je sistem yang digunakan kat penjara tu. Dan sistem yang digunakan tu sekurang-kurangnya memberikan manfaat kat diaorang lepas bebas dari penjara.

Diaorang boleh jadi macam ni semula kalau tak ikut sistem yang diberikan. Imej dari BBC

Banduan kena baca buku untuk keluar dari penjara

Dalam penjara APAC ni, sistem kemanusiaan yang digunakan adalah dengan meletakkan ilmu sebagai kayu aras untuk kurangkan hukuman. Tapi macam mana pulak tu? Okay, kat situ, tahanan boleh kurangkan tempoh hukuman penjara diaorang dengan membaca bahan bacaan dalam bentuk sastera, falsafah, karya klasik, sains ataupun buku merangkumi isu semasa.

Diaorang dikehendaki untuk baca satu buku dan kemudian buat laporan dan reviu buku tu. Dan kena ikut format tertentu yang dah ditetapkan. Diaorang diberikan masa sehingga empat minggu untuk habiskan buku yang dibaca. Lepas tu diaorang kena buat reviu, dan kalau reviu tu okay, tempoh penjara akan dikurangkan sebanyak empat hari untuk satu buku. Walaubagaimanapun, diaorang kena pastikan reviu tu …

“Menggunakan perenggan dan format yang betul, bebas dari kesalahan tatabahasa, menggunakan margin dan tulisan hendaklah bersesuaian yang boleh dibaca,” – Notis penjara, sumber dari Huffpost. 

Semua banduan kat situ dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang lebih luas daripada masyarakat kat luar sana. Imej dari Twitter @MehmedAezhad

Kalau diaorang berjaya habiskan baca 92 buah buku, hukuman penjara akan dikurangkan dalam tempoh setahun. Kat penjara APAC, diaorang percaya yang pendidikan diri adalah keutamaan dan bererti ia mampu membebaskan diri. Walaupun ada banduan yang buat jenayah dan kesalahan yang teruk pun, tapi bila dia ada kat sana, diaorang akan rasa selamat, tenang dan berfikiran terbuka.

Sistem ni dinamakan “Redemption through Reading”. Para banduan kat sana diajar untuk membangunkan diri dan membuat aktiviti yang boleh menyumbang kepada masyarakat luar. Diaorang dilatih untuk menghasilkan barang kraftangan dan ia dipasarkan di luar contohnya macam sabun, roti untuk pelajar sekolah dan bahan-bahan plastik untuk perusahaan kereta.

Kat sana, diaorang memang menekankan aspek pendidikan diri, takde hukuman yang berat dikenakan kalau diaorang berjaya dan berdisiplin dalam mengikuti sistem yang dah ditetapkan tu. Diaorang percaya yang pendidikan diri tu sangat penting, dan ia merupakan simbol yang sangat bermakna bagi pembebasan diri sendiri. Jadinya, bila banduan tu dah dibebaskan, diaorang ni terisilah dengan ilmu pengetahuan yang mendalam dan jugak bersifat terbuka serta berfikiran lebih luas tentang isu semasa.

“Ilmu aku dah penuh di dada” – Si Polan berbaju oren. GIF dari Giphy

Kita semua tahu yang kalau seseorang tu dah dikategorikan sebagai bekas banduan, diaorang akan mengalami situasi yang susah untuk dapatkan pekerjaan semula. Tapi, situasi tu bukan untuk bekas banduan kat APAC ni. Kat APAC, ada satu skim khas untuk banduan iaitu “terapi buruh” (labor therapy) yang menyediakan kerja berbayar dan kelengkapan asas pun disediakan sekali.

Walaupun dalam undang-undang Brazil dah ditetapkan yang semua banduan berhak untuk bekerja dan pihak berkuasa dikehendaki menyediakan peluang pekerjaan tu, tapi rata-rata penjara kat sana hanya menyediakan pekerjaan untuk seorang daripada lima orang banduan. Dan hasilnya, ramai yang bersaing nak masuk dalam penjara APAC ni. Tapi ia bukanlah semudah ABC.

“Semua yang saya pelajari adalah dari dalam penjara ini. Apabila saya sampai di sini saya tidak mempunyai pekerjaan dan sekarang saya sudah mempunyai pekerjaan. Jadi terima kasih untuk itu,” – Elton dos Santos, banduan APAC, sumber dari America.cgtn.

Kebanyakan banduan habiskan masa buat reviu kat perpustakaan. Imej dari South World

Banduan penjara APAC ni jugak bukanlah dimasukkan secara rawak. Banduan daripada penjara biasa yang memohon pemindahan ke salah satu daripada 51 cawangan APAC ni mestilah ditapis oleh pihak berkuasa. Dan hakim kena nilai dulu kesalahan dan hukuman diaorang.

Sebelum masuk APAC, diaorang mestilah dipastikan dah bersih daripada sebarang sabitan kesalahan lepas. Maksudnya dah dihukum terlebih dahululah. Dan lepas tu, diaorang kena diinterviu oleh pihak pengurus penjara APAC untuk menilai yang diaorang ni sesuai ke tak masuk APAC.

“Rata-rata di Brazil, kira-kira 90% daripada bekas banduan akan melakukan jenayah lain selepas dibebaskan. Tetapi di dalam penjara APAC, puratanya kira-kira 20% bekas banduan yang melakukan jenayah lain. Dan kos untuk setiap banduan di sini hanyalah kira-kira satu pertiga daripada kos purata di penjara yang biasa,”

Penjara APAC, Brazil mempraktikkan metodologi alternatif penahanan dan pemulihan, memanfaatkan hukuman dan mempersiapkan pesalah untuk memasuki ke dalam masyarakat semula,” – Aliton Oliveira Silva, warden penjara APAC, sumber dari America.cgtn. 

Diaorang jugak dilatih untuk hasilkan sesuatu untuk dipasarkan ke luar. Imej dari AVSI USA

Reviu buku yang dihasilkan banduan dapat pasaran yang lebih meluas

Laporan dan reviu yang dibuat menerusi buku yang dibaca tu bukanlah hanya ceritakan sinopsis buku tu macam program NILAM yang kita pernah buat waktu kat sekolah dulu. Laporan yang diaorang hasilkan tu mestilah mengikuti format yang ditetapkan, lepas tu akan dihantar ke Court of Criminal Enforcement (Mahkamah Penguatkuasaan Jenayah) untuk pihak mahkamah tentukan sama ada tempoh tahanan akan dikurangkan atau tak.

Kebanyakan banduan kat sana tak biasa dan tak suka membaca. Diaorang jugak datang dari latar belakang yang tak pentingkan ilmu pengetahuan dan aspek pembacaan ni dianggap tak penting. Diaorang dapat minat tu bila diaorang dikenalkan dengan sistem baru tu. Dan diaorang membaca untuk buat diri diaorang rasa sibuk dan untuk lupakan masalah diaorang.

“Saya membaca untuk mencari pengetahuan, untuk mencari pengalaman, untuk lihat pada perubahan diri.” – Nilson de Souza Junior, banduan yang dapat pengurang 20 hari tempoh tahanan, sumber dari Marcomm News. 

Contoh reviu banduan yang diterbitkan dan dipasarkan. Imej dari Branding.news

Berdasarkan kajian daripada Reading Portraits Brazil dan Ibope, purata buku yang dibaca oleh masyarakat Brazil hanyalah kurang dari empat buku setahun dan 30% daripada rakyat Brazil tak pernah beli buku. Tapi kajian mendedahkan yang 70% daripada banduan kat APAC, membaca sebanyak 36 buah buku setahun dan sembilan kali ganda daripada masyarakat Brazil!

Dan kebanyakan ulasan, kritikan dan reviu yang diaorang hasilkan berjaya dipasarkan secara meluas dan digunakan dalam pelbagai bentuk komunikasi penerbitan. Contohnya macam iklan dalam majalah, poster, muat naik dalam pelbagai rangkaian sosial dan media sosial, pengiklanan radio dan penanda buku. Dan reviu yang diaorang hasilkan ni sebenarnya lebih baik daripada kebanyakannya yang berada di pasaran.

“Pengucapan saya mungkin tidak dapat diterima oleh masyarakat. Tapi apa yang saya tulis, saya sumbangkan kepada seluruh generasi.” – banduan APAC, sumber dari The Prison Reviews Documentary. 

Malaysia akan jadi Negara Membaca pada 2030

“Amalan membaca masih belum diterapkan sebagai satu budaya walaupun kadar literasi rakyat Malaysia adalah 94.64%,” – Nafisah Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), sumber dari FMT.

Memang betullah pepatah mengatakan Membaca Jambatan Ilmu dan menerusi aktiviti pembacaan ni ia mampu berikan kita informasi dan pengetahuan yang meluas. Memandangkan trend pembacaan rakyat Malaysia belum lagi mencapai sasaran dengan purata 15 hingga 20 buah buku setahun, KPM mensasarkan untuk jadikan tahun 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan yang merupakan usaha ke arah Malaysia sebagai Negara Membaca.

Ia bertujuan untuk membentuk masyarakat yang berilmu bertaraf dunia dengan tumpuan membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan. Dan sistem yang digunakan dalam penjara APAC ni sebenarnya dapat menyedarkan orang yang menerusi pengetahuan yang diperolehi, ia sebenarnya mampu membebaskan diri kita dari zaman lampau.

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)