- 33Share sekarang!
- Email8
- Facebook25
- Share
Beberapa hari lepas, kita dikejutkan dengan laporan akhbar Utusan Malaysia tentang skandal seks membabitkan golongan artis dan instafamous di negara ini. Didakwa, ada di antara mereka yang dibayar antara RM20,000 hingga RM40,000 untuk satu malam. Pelanggan mereka pula adalah dari kalangan orang kenamaan yang dilihat sanggup memberikan ‘duit segera’ kepada mereka ini.
Perkara ni terbongkar apabila salah seorang suspek Macau Scam yang disiasat SPRM dipercayai menjadi orang tengah menghubungkan kelompok selebriti dan instafamaous dengan aktiviti pelacuran kelas atasan. Ia juga menjadi punca utama gaya hidup mewah mereka yang terlibat. Bagaimanapun, SPRM tak mendedahkan sebarang nama kepada umum.
Dalam pada itu, pelakon senior, Liza Abdullah nampaknya tampil dengan kata – skandal seks membabitkan segelintir artis memang dah lama jadi, cumanya sekarang ia kembali diperkatakan.
“Dulu dah wujud pun perkara begini cuma tidak mendapat pendedahan meluas sebab kita cuma ada media arus perdana, tak seperti zaman sekarang apabila media sosial banyak mengambil alih peranan itu.” – Katanya, dipetik dari Utusan Malaysia.
Apa yang berlaku ini sebenarnya adalah salah satu sisi negatif dalam industri hiburan dan ia bukan hanya terjadi di Malaysia saja. Kalau kita masih ingat, hal yang agak sama juga pernah jadi di negara jiran kita…
Skandal pelacuran online membabitkan selebriti Indonesia
Selebriti Indonesia juga tak terlepas dari kes-kes membabitkan skandal seks, yang kemudiannya menjadi perbualan hangat di sana. Salah satunya adalah kes membabitkan bintang dangdut, Maria Eva yang muncul dalam satu rakaman video bersama seorang ahli politik. Pendedahan rakaman ini kemudiannya membuatkan Maria menarik dari masuk politik seperti mana yang dia rancang sebelum itu.
Seterusnya, sudah pasti kes melibatkan Ariel Peterpan dengan rakaman video seksnya bersama dua artis terkenal Indonesia – Luna Maya dan Cut Tari. Kes ini kemudiannya membuatkan Ariel dijatuhi hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah.
Pada sekitar tahun lalu pula, Indonesia sekali lagi digemparkan dengan kes melibatkan skandal seks selebriti, apabila pihak polis mendedahkan seramai 45 orang selebriti dan model terlibat dalam aktiviti pelacuran atas talian (online). Ia selepas pihak polis menemui gambar-gambar mereka di platform berkenaan.
Dimaklumkan juga yang bayaran mereka berdasarkan tingkat populariti artis dan model berkenaan. Antara harga yang ditawarkan adalah sekitar RM28,000/RM21,000/RM14,000 dan termurah RM7,000. Transaksi juga dilakukan secara online di mana deposit 30 peratus perlu diberikan dulu sebelum perkhidmatan seksual diberikan. Pelanggan pula kebanyakan dari golongan kenamaan yang datang dari dalam dan luar negara.
Hal ini terbongkar selepas berlakunya tangkapan terhadap dua orang selebriti negara itu – Vanessa Angel (pelakon) dan Avriellia Shaqqila (model) di sebuah hotel dekat Surabaya. Dikatakan Angel mengenakan bayaran sebanyak RM24,000 dan Shaqqila sebanyak RM7,000 untuk perkhidmatann mereka. Akibatnya, Angel dihukum penjara 5 bulan, tapi Shaqqila bebas dan hanya diambil keterangan sebagai saksi.
Skandal seks selebriti Korea yang dikaitkan dengan Jho Low
Seterusnya pula, kita akan lihat skandal seks yang pernah menggemparkan industri hiburan Korea Selatan. Pada 2016, pihak berkuasa Korea Selatan telah menyiasat penyanyi popular negara itu, Gina Jane Choi atau lebih popular sebagai G.NA atas dakwaan terlibat dalam aktiviti pelacuran. Dia dikatakan dibayar sebanyak 35 juta won (sekitar RM124 ribu) untuk memberikan perkhidmatan seksual kepada seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS). G.NA kemudiannya tampil mengakui hubungan seksual itu, tapi menafikan dirinya seorang pelacur.
Satu lagi kes yang turut menjadi isu adalah kes bunuh diri membabitkan pelakon drama Boys Over Flowers – Jang Ja Yeon. Ini kerana, nota 7 muka surat yang ditinggalkannya mengatakan yang dia dipaksa memberikan perkhidmatan seks kepada ahli politik, ahli perniagaan, penerbit akhbar dan orang-orang berpengaruh dalam industri hiburan.
Kes Jang Ja Yeon ini dibangkitkan kembali pada tahun lalu selepas terbongkarnya skandal – Burning Sun yang membabitkan beberapa orang selebriti. Kes ini melibatkan pelbagai jenayah antaranya serangan seksual, pelacuran, dadah, rakaman kamera tersembunyi, elak cukai dan rasuah di kalangan anggota polis. Burning Sun tu sebenarnya nama kelab malam yang ahli kumpulan Big Bang, Seungri ada melabur ke dalamnya.
Seungri kemudiannya dilaporkan terlibat dalam menawarkan perkhidmatan pelacur kepada pelaburnya. Perkara ni kemudiannya dikaitkan dengan pengasas YG Entertainment (agensi Seungri), Yang Hyun-Suk yang juga didakwa mengatur perkhidmatan seksual kepada pelabur asing. Antara pelabur asing tu, termasuklah Jho Low yang sampai sekarang Malaysia tak dapat cari dia di mana. Kes ini masih lagi berjalan sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, skandal ini turut melibatkan rakan baik Seungri – Jung Joon Young yang didakwa terlibat dalam kes merakam secara sembunyi dirinya melakukan hubungan seks dan kongsikan video itu di Jung Joon-young KakaoTalk chatrooms tanpa pengetahuan wanita berkenaan. Tak lama lepas tu, seorang wanita tampil mendakwa dirinya pernah dirogol oleh lima orang lelaki termasuk Joon Young dan bekas anggota F.T. Island, Choi Jong Hoon.
Apa yang pada mulanya cuma membabitkan cuma Joon Young ni seterusnya membawa kepada pendakwaan beberapa selebriti lain seperti Roy Kim dan Eddy Kim. Mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara kepada Joon Young dan 2 tahun 6 bulan kepada Jong Hoon. Dilaporkan yang Joon Young dalam proses rayuan agar hukuman penjara itu dikurangkan.
AS dan Taiwan membongkarkan aktiviti pelacuran membabitkan model dan selebriti
Pada sekitar tahun 2015, pihak berkuasa Taiwan telah bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam siasatan membabitkan aktiviti pelacuran dari rakyat negara berkenaan. Hasil siasatan mendapati – ada call girls yang diterbangkan ke China, Hong Kong, Macau, Singapura, Australia dan AS untuk memberikan perkhidmatan seksual kepada ahli perniagaan dan orang kenamaan.
“…pelanggan mereka membayar antara NT $500,000 (RM72,000) dan NT $2 juta (RM289,000), dan biasanya juga akan membayar tiket penerbangan kelas perniagaan, hotel lima bintang, makan di restoran dan perbelanjaan lain untuk pengiring semasa perjalanan mereka.” – Dipetik dari Teipei Times.
Ia juga kemudiannya menggegarkan industri hiburan apabila didakwa terdapat juga model dan selebriti yang terlibat. Hal ni bertambah panas bila Next Magazine menyenaraikan nama-nama selebriti yang dikatakan terlibat dalam aktiviti itu. Bagaimanapun, senarai nama itu tidak dapat disahkan dan ada selebriti yang mengancam untuk menyaman majalah itu kerana mengaitkan dirinya dengan skandal berkenaan.
Kes ini kemudiannya disiasat di bawah Akta Pencegahan Pemerdagangan Manusia dan beberapa orang suspek serta saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan. Ia termasuklah Johanne Liu atau dikenali sebagai “Sunflower Queen” selepas pembabitannya yang menyerlah dalam gerakan protes pelajar (Sunflower Student Movement) pada 2014.
Masuk ke kancah pelacuran selepas dijanjikan peluang berlakon dalam filem
Pada sekitar dua tahun lalu, pihak berkuasa AS telah menahan sepasang suami isteri yang didakwa mengaturkan perkhidmatan seks melibatkan pelakon dari industri filem Telugu, India. Pasangan itu didakwa telah membawa lima orang pelakon Telugu ke AS dan mengenakan bayaran antara RM1,800 ke RM10,300 untuk perkhidmatan seksual yang diberikan.
Perkara ini kemudiannya menarik perhatian industri filem Telugu apabil beberapa lagi pelakon tampil memberitahu yang mereka telah diperdaya. Bagi penulis skrip, Gautam Kashyap – hal itu sebenarnya telah biasa dalam industri, tapi selama ni tidak didedahkan kepada umum.
“Walaupun ini sudah lama terjadi, tidak ada yang ingin bersuara kerana mereka takut akan kehilangan peluang.” – katanya kepada BBC.
Pada tahun sama juga, pihak polis India telah menahan seorang pelakon Tamil, Sangeetha Balan yang didakwa menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah resort di Chennai. Sama seperti kes tadi, dia didakwa memperdaya gadis-gadis dengan menjanjikan gaji dan peluang untuk berlakon, tapi sebelum itu mereka kena masuk ke kancah pelacuran. Balan kemudiannya dimasukkan ke penjara selepas keputusan mahkamah.
Terdesak antara punca ada selebriti terlibat dalam skandal seks
Mengulas tentang apa yang dibongkarkan SPRM baru-baru ini, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, mengakui memang ada selebriti yang terlibat dalam sindiket pelacuran, tapi ia hanya membabitkan segelintir selebriti saja. Tambahnya, perkara itu mungkin jadi disebabkan peluang pekerjaan untuk artis yang agak terhad sekarang – semenjak penularan pandemik Covid-19. Sedangkan, ada golongan selebriti yang cuba mencari kemewahan secara mudah untuk dipamerkan di media sosial.
“Mereka menggunakan media sosial untuk menunjukkan kemewahan yang tidak setara dengan pendapatan mereka. Ia sekali gus menunjukkan yang mereka mungkin terbabit dengan perkara itu.” – Katanya kepada Harian Metro.
Selain itu, pakar industri hiburan UK, Rob Cooper juga pernah menyuarakan masalah tentang semakin ramai bintang realiti TV yang terlibat dalam kancah pelacuran. Antara punca utamanya adalah kerana terdesak setelah gagal mendapatkan populariti. Menurut Cooper, selalunya ia bermula dengan hadiah dan wang yang seterusnya menjadi elaun bulanan. Selepas itu, si pemberi akan menerima ‘keseronokan seksual’ apabila wanita tadi telah bergantung dengan duitnya.
“Kerja berkurangan bagi ramai bintang realiti yang gagal membina identiti individu untuk diri mereka sendiri, rancangan realiti kini telah ditayangkan selama lebih dari lima belas tahun di UK, menghasilkan ribuan bintang realiti dan tidak banyak pekerjaan untuk mereka semua.” – Katanya kepada Mirror Online.
- 33Share sekarang!
- Email8
- Facebook25
- Share