9 kes mahkamah yang Rafizi hadapi. Kami check satu persatu kebenarannya

(Artikel ini diinspirasikan dari artikel versi BI, CILISOS)

Baru-baru ni, Rafizi Ramli diarahkan oleh mahkamah untuk membayar sejumlah RM300, 000 kepada National Feedlot Corporation (NFC), satu syarikat yang dikatakan ladangnya punyalah luas, lembu seciput je. Korang mesti ingatkan, Naib Presiden PKR (juga MP Pandan) ni pernah buat pendedahan serta mendakwa syarikat ni mengggunakan pinjaman dari kerajaan untuk beli hartanah di KL Ecocity.

Tapi satu kenyataan dalam pendedahan tu nampaknya telah disahkan oleh mahkamah sebagai memfitnah (defamatory). Jadi dia kena bayar ganti rugi kepada NFC. Benda ni ada dijelaskan dalam Facebook dia pada 27 Julai.

“Kalau tak, mereka akan mengancam dengan memulakan prosiding bankrupt terhadap saya. Rayuan saya terhadap keputusan tersebut hanya akan didengari pada Oktober 2017 dan kalau tak bernasib baik saya terpaksa akur” – Petikan dari FB Rafizi Ramli.

Memang ramai yang puji dia sebab banyak dedahkan skandal-skandal besar (macam skandal MARA di Australia, penyelewangan kewangan Tabung Haji dan skandal pelaburan 1MDB).  Kerja-kerja melawan rasuah di negara kita ni memang sangat berisiko.Contohnya orang tu akan disiasat sebab apa buat laporan tu. Kalau silap hari bulan dia akan bermalam dibalik jeriji besi (bahasa mudah: lokap). Tapi apa yang paling berisiko adalah jika ada tuntuan mahkamah seperti yang dikatakan Rafizi.

“Untuk setiap pendedahan besar yang kami buat, akan datang sekurang-kurangnya satu tuntutan mahkamah. Itulah sebab kenapa sekarang saya sedang menghadapi 12 kes jenayah dan sivil yang sedang berjalan” – Petikan dari FB Rafizi Ramli.

Ladang seluas mata memandang. Ini je lembu yang ada. Imej dari informasi Penternakan.

12 kot! Kalau setahun kira tiap bulan lah ye. Sebenarnya laman web kembar kami, CILISOS berjaya menghubungi pejabat Rafizi. Diorang bagi satu dokumen berbentuk excel sheet untuk semua kes yang diorang hadap. Untuk NFC sahaja, ada 2 tuntutan mahkamah (termasuk yang kat atas ni) dan satu caj jenayah. Kami dari SOSCILI akan senaraikan 9 tuntutan mahkamah yang sedang Rafizi hadapi sekarang:

1. Disaman sebab menuduh Naib Ketua Pemuda UMNO membeli harta MARA di Australia

Senyuman manis Naib Ketua Pemuda UMNO. Imej dari The Star

KES: Saman Sivil (Fitnah)

SIAPA YANG DAKWA: Khairul Azwan bin Harun

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan cakap Rafizi dakwa dia terlibat dengan perjanjian pembelian hartanah di Australia melibatkan syarikat milik penuh MARA, Thrushcross Land Holdings Limited . Syarikat tu juga dikatakan pernah terlibat dengan pembocoran duit sejumlah RM63 juta! Kalau nak tahu lebih lanjut pasal kes ni kami pernah cover dulu, baca kat sini. Khairul telah mengadakan sidang media untuk menafikannya dan minta Rafizi buat permohonan maaf. Dia turut kenakan saman terhadap Rafizi.

BETUL KE TAK: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin menafikan kenyataan Rafizi sebab ianya tak masuk akal dan perlukan bukti. waktu di mahkamah, Nantha Balan selaku Hakim yang mengendalikan perbicaraan ni cakap kenyataan Rafizi tu tak bawa maksud pun yang Khairul Azwan terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tapi,

“Kenyataan itu bagi Hakim Nantha Balan adalah  komen yang menuntut penjelasan daripada Khairul Azwan berhubung transaksi tersebut.” – Petikan dari Utusan.

APA CERITA SEKARANG: Kes ditamatkan. Apa yang mengejutkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak tuntutan mahkamah tersebut dan mengarahkan Khairul untuk mebayar ganti rugi RM73, 000 kepada Rafizi (ni termasuklah RM23, 000 duit yang digunakan Rafizi untuk mendapatkan dokumen transaksi berkaitan dari Australia).

Aku saman kau. Aku kena bayar. Dari Giphy.

2. Disaman oleh Zahid Hamidi sebab tuduh dia terlibat dengan pembelian tanah yang meragukan

Tersenyum dia bersama peguamnya. Imej dari The Sun Daily.

KES: Saman Sivil (Fitnah)

SIAPA YANG BUAT LAPORAN: Ahmad Zahid Hamidi

Kejadian ni berlaku ketika Zahid Hamidi memegang jawatan Menteri Pertahanan pada tahun 2013. Dia telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Rafizi sebab memfitnah dia melalui tulisan blog yang mengaitkannya dengan perjanjian tanah bersama Deepak Jaikishan (ahli perniagaan). Zahid juga mengatakan tulisan blog tu bermaksud mengatakan yang dia telah menyelewengkan duit rakyat. Terutamanya duit dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang digunakan untuk membeli 80.94 hektar tanah di Klang, Selangor.

BETUL KE TAK: Deepak Jaikishan minta Zahid Hamidi tarik balik saman terhadap Rafizi. Sebabnya Zahid Hamidi tak terlibat langsung dengan apa yang ditulis oleh Rafizi.

 “Zahid tidak mempunyai kaitan dalam memberi arahan seperti yang didakwa dalam artikel tersebut. Arahan itu dikeluarkan oleh ‘pihak lain’, bukan Zahid,” – Deepak Jaikishan, petikan dari Sinar Harian.

APA CERITA SEKARANG: Tuntutan mahkamah ditarik balik. Zahid Hamidi menarik balik tuntutan mahkamah terhadap Rafizi. Rafizi telah bersetuju dengan Zahid yang dia tak terlibat dengan perjanjian tu.

3. Disaman sebab mendakwa Najib merompak wang negara dengan membeli cincin Rosmah

Rosmah pernah saman Rafizi. Imej dari Free Malaysia Today.

KES: Saman Sivil (Fitnah)

SIAPA YANG BUAT LAPORAN: PM Najib Razak dan isteri tercinta Datin Seri Rosmah

PM dan isteri telah memfailkan saman terhadap Rafizi apabila dia mengeluarkan kenyataan dalam bentuk gurauan berkaitan cincin berlian Rosmah ketika berucap mengenai subsidi minyak. Mereka mendakwa yang Rafizi cakap wang simpanan kerajaan hasil dari pengurangan subsidi minyak kepada rakyat telah dicuri dan digunakan untuk membeli cincin Rosmah yang berharga RM20 juta. Tapi Rafizi mempertahankan kenyataan dia tu sebab ia dikatakan fakta. Walau macam mana pun, dia tetap berisiko untuk membayar ganti rugi.

BETUL KE TAK: Jadi kenalah tanya Datin Rosmah sendiri kan. Dalam ucapannya, dia bersumpah yang cincin tu memang tak ada ditangannya. Dia mengakui yang cincin tu masuk ke negara ni, tapi hanyalah sebagai pameran untuk orang yang ada duit. Dalam laporan lain, cincin tu telah dibawa masuk selama tiga hari untuk dilihat oleh bakal besannya yang ada di Malaysia waktu tu.

“Dia (besan) kenal orang tu sebab dia good customer (pelanggan yang baik) jadi dialah yang tengok dan cincin tu terpaksa di alamatkan ke Seri Perdana.” – Datin Rosmah Mansor, petikan dari Sinar Harian.

 

Ni cara nak buat pameran untuk diri sendiri. Dari Giphy.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham ada simpan cetakan dokumen dari skrin komputer sebagai bukti pembelian cincin tu. Pihak Malaysiakini pulak pernah cuba dapatkan respon dari Airoceanic Express Sdn Bhd yang dikatakan agen bagi urusniaga tu. Tapi diorang tak nak keluarkan apa-apa kenyataan.

APA CERITA SEKARANG: Kes masih diteruskan. Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Ogos untuk pengurusan kes tersebut.

4. Disaman tentera kerana mendakwa duit pesara tentera dibayar lewat dari sepatutnya

Jasa mereka perlu dikenang. Imej dari LTAT.

KES: Saman Sivil (Fitnah)

SIAPA YANG BUAT LAPORAN: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memfailkan saman terhadap Rafizi atas dakwaannya mengenai bayaran pencen kepada pesara tentera yang lewat sebab tak ada duit. Pihak LTAT mengatakan kenyataan fitnah yang ditulis di blog dan Facebooknya itu kemudiannya menyebabkan Malaysiakini mengeluarkan kenyataan fitnah yang lain.

Mula-mula pihak LTAT minta Rafizi menarik balik kenyataan tu dan buat permohonan maaf. Tapi nampaknya dia tak memenuhi permintaan tu. Jadinya Rafizi telah merisikokan dirinya untuk sebarang bayaran ganti rugi.

BETUL KE TAK:  Rafizi waktu dedahkan benda ni, dia keluarkan sekali 110 senarai nama bekas tentera yang dikatakan tak dapat lagi bayaran tu. Dia cakap bayaran tu lewat sebab LTAT ada masalah kewangan yang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB.  Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (Pengerusi LTAT) bagi respon dengan mengatakan dari 110 senarai nama yang Rafizi dedahkan tu, 70 nama yang dah terima bayaran. Pihak LTAT ada bagi respon kepada Free Malaysia Today dengan satu lampiran macam di bawah ni.

70 orang dah dapat k.Imej dari Free Malaysia Today.

APA CERITA SEKARANG: Kes masih diteruskan. Mahkamah Tinggi telah menetapkan 11 Oktober dan 18-20 Disember untuk mendengar perbicaraan.

5. Disaman kerana mendakwa ahli-ahli UMNO baling bom di gereja

Kesan bom di gereja. Imej dari NBCnews

KES: Jenayah, Seksyen 504 Kod Jenayah

SIAPA YANG BUAT LAPORAN: Kerajaan Malaysia

Pada 26 Januari 2016, Rafizi telah didakwa kerana cuba menimbulkan provokasi serta mencetuskan huru-hara (Seksyen 504 Kod Jenayah). Dia mendakwa yang UMNO Selangor adalah dalang disebalik serangan bom molokov di sebuah gereja.

Selepas tu, Rafizi telah membuat rayuan yang mana dia dibebaskan sebab UMNO Selangor selaku pendakwa gagal bagi bukti. Lagi pun tak ada huru-hara sebab tak ada apa-apa yang berlaku. Kalau Rafizi didapati bersalah dia boleh dipenjarakan selama 2 tahun.

BETUL KE TAK: Rafizi ada buat satu kenyataan yang mana disiarkan di portal The Edge Financial Daily. Kenyataan tu mengatakan UMNO Selangor adalah dalang kepada letupan bom molokov di sebuah gereja.  Kenyataan tu dilaporkan boleh timbulkan huru-hara dalam negara. Bila ditanya bagaimana boleh cetuskan huru-hara, Mohd. Halim (Ketua UMNO Bahagian) mengatakan,

Dakwaan bahawa Umno Selangor menjadi dalang boleh menyebabkan pihak agama Kristian membalas dengan tindakan sama bagi memuaskan hati pihak itu. – Petikan dari Sinar Harian.

Pope love you. Dari Giphy.

APA CERITA SEKARANG: Kes masih belum selesai. Masih menunggu keputusan Peguam Negara.

6. Tabung Haji buat laporan polis sebab didakwa mengalami kerugian

Betapa sibuknya Tabung Haji ni. Imej dari Malaysiakini.

KES: Jenayah (Seksyen 499 Kod Jenayah)

SIAPA YANG BUAT LAPORAN: Kerajaan Malaysia

Pada Februari 2016, Rafizi teleh mendedahkan dokumen-dokumen yang bercanggah dengan penafian Lembaga Tabung Haji. Tabung Haji didakwa telah menyediakan wang jaminan berjumlah hampir RM1 bilion untuk syarikat bersekutu TH iaitu TH Heavy Engineering (THHE) yang dikatakan tengah rugi. Jadi, Tabung Haji telah menyerahkan laporan polis yang mana menyebabkan polis membuat soal siasat terhadap Rafizi. Itu je. Tak ada sebarang tangkapan.

BETUL KE TAK: TH Heavy Engineering Bhd (THHE) adalah syarikat bersekutu Tabung Haji yang terlibat dalam industri minyak dan gas. Tabung Haji ni pula adalah pemegang saham terbesar dalam syarikat ni. Tapi diorang nafikan yang kerugian ni wujud sebab,

TH memahami sepenuhnya pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri itu. – Petikan dari Berita Harian.

APA CERITA SEKARANG:  Kes masih diteruskan. Apa yang menariknya, walaupun Rafizi disoal siasat. Tapi, CEO THHE telah didakwa terlibat dengan rasuah yang mana Rafizi cakap itulah bukti dakwaannya dulu. Sampai sekarang, Rafizi masih mendedahkan pelbagai skandal berkaitan Tabung Haji macam pulangan untung yang rendah pada tahun 2016.

7. Mendakwa yang mahkamah syariah ada ambil rasuah lagi banyak dari mahkamah sivil

Nak kena Rafizi ni. Imej dari NST.

KES: Jenayah (Seksyen 499 Kod Jenayah)

SIAPA YANG DAKWA: Kerajaan Malaysia

Mahkamah syariah menyerahkan laporan polis sebagai respon kepada penghinaan yang dilakukan Rafizi Ramli kepada Institusi Syariah. Dia mendakwa yang kes menerima duit rasuah di mahkamah Syariah adalah lebih tinggi berbanding mahkamah sivil. Jadi diorang nak Rafizi minta maaf , kalau tak, tindakan undang-undang akan dikenakan.

BETUL KE TAK: Ketua Hakim Syarie (Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan), Mahammad Ibrahim yang merupakan salah seorang yang membuat laporan polis mengatakan,

‘‘Sehingga kini, hanya satu sahaja kes rasuah melibatkan hakim syarie yang telah didakwa dan disa­bitkan kesalahan, justeru kenyataan Rafizi merupakan satu fitnah dan penghinaan kepada institusi kehakiman syariah serta hakim-hakimnya.” – Petikan dari Utusan.

Jadi ianya bercanggah dengan apa yang Rafizi sebut yang diorang punya kes rasuah lagi tinggi dari mahkamah sivil.  Jadi kenyataan yang dikeluarkan tu akan buat orang ramai pandang rendah martabat mahkamah syariah.

APA CERITA SEKARANG: Masih dalam siasatan. Ketua Polis Kuala Terengganu mengesahkan yang kes ni akan disiasat di bawah Seksyen 499 Kod Jenayah. Jika didapati bersalah, Rafizi boleh dikenakan hukuman penjara hingga 2 tahun atau denda.

8. Didenda kerana menganjurkan himpunan Blackout 505 tanpa kebenaran DBKL

Hitam itu menawan di himpunan Blackout. Imej dari Malaysiakini.

KES: Jenayah (Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman)

SIAPA YANG DAKWA: Kerajaan Malaysia

Tamat sahaja PRU ke-13, Pakatan Rakyat telah menganjurkan Himpunan Blackout 505 di Padang Merbok untuk menyatakan bantahan terhadap penipuan yang berlaku sepanjang pilihan raya. Lebih 50 000 orang awam turut serta. Tapi, tindakan telah diambil kepada mereka yang terlibat antaranya Rafizi Ramli, Anthony Loke (MP Seremban) dan Syed Azman Syed Ahmad (ADUN Batu Burok).

BETUL KE TAK: Rafizi sebagai salah seorang penganjur himpunan gagal buktikan yang diorang ada minta persetujuan DBKL. Selain tu, diorang juga gagal maklumkan 10 hari sebelum perhimpunan kepada pegawai polis daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad yang diorang guna Padang Merbok ni.

APA CERITA SEKARANG: Mereka mengaku bersalah dibawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman sebab tak dapat kebenaran DBKL (pemilik Padang Merbok) untuk berhimpun. Mereka di denda RM1, 950 dan ianya telah dibayar.

9. Didakwa kerana membocorkan satu muka surat berkaitan Laporan Audit 1MDB

Lepas didakwa. Kena bercakap dengan media. Imej dari Video The Star.

KES: Jenayah di bawah Akta Rahsia Rasmi

SIAPA YANG BUAT LAPORAN: Kerajaan Malaysia

Pada April 2016, Rafizi telah didakwa atas dua kesalahan dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Pertamanya, sebab memiliki muka surat 98 Laporan Audit 1MDB. Keduanya, sebab dia dedahkan kepada umum. Atas dua sebab ni lah dia bakal dihukum penjara selama 18 bulan oleh mahkamah

Selepas tu, dia meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Agung PKR. Dia turut berisiko kehilangan kerusi Parlimen Pandan yang diwakilinya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan (Artikel 48). Kalau didapati bersalah, dia tak dibenarkan menjadi ahli parlimen selama 5 tahun sebab dipenjara lebih dari setahun. Tapi menurut Gobind Singh (Peguam Rafizi), dia masih boleh terus menjadi ahli Parlimen jika buat rayuan kes di mahkamah.

BETUL KE TAK: Pada tahun 2016, telah berlangsung pembentangan Laporan Akhir Audit 1MDB di Parlimen oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang. Sebelum tu, laporan ni telah diletakkan sebagai dokumen rahsia (Akta Rahsia Rasmi 1972) sebab dikatakan ada kebocoran maklumat sebelum ni. Kemuncaknya terjadi pada Mac 2016 bila Rafizi dedahkan dekat sidang media di Lobi Parlimen pasal salah satu muka surat Laporan Audit tu. Sepatutnya, Rafizi tak boleh memiliki dokumen laporan tu tanpa kebenaran serta tak dibenarkan tunjuk pada umum.

APA CERITA SEKARANG: Kes masih diteruskan. Rafizi tak masuk penjara walaupun sehari sebab dia buat rayuan untuk kes ni. Jadi Mahkamah Tinggi tetapkan 9 Ogos sebagai tarikh sebutan kes.

Rafizi konsisten buat pendedahan rasuah mana-mana agensi, kerajaan dan parti politik

Kalau ikutkan senarai atas ni, Rafizi banyak di saman sebab cuba medakwa beberapa salah laku berkaitan rasuah dan salah guna kuasa. Kebanyakkanya berkaitan kerajaan Malaysia dan agensi-agensi kerajaan.  Apa yang mengejutkan, dia turut cuba mendedahkan  kes rasuah berkaitan kerajaan yang diterajui partinya sendiri.

Kalau korang nak tahu, Rafizi pernah buat laporan terhadap SPRM mengenai rasuah wang oleh seorang wanita dalam kerajaan negeri Selangor. Laporan tu juga melibatkan orang partinya sendiri. Selain tu juga, dia pernah membuat pendedahan mengenai duit 1MDB yang mengalir ke akaun peribadi Najib kemudian masuk ke akaun beberapa tokoh politik. Antara yang didedahkan adalah mengenai Datuk Dr Nasharudin Mat Isa (bekas Timbalan Presiden PAS) yang juga ada dapat duit tu. Sumber maklumatnya, dia akui dapat dari bekas pegawai terkanan SPRM.

Nasharudin dikatakan terima duit rasuah. Imej dari Free Malaysia Today.

Walaupun banyak pendedahan yang dibuat, ada beberapa pendedahan yang dia buat ditangkis dengan fakta oleh kerajaan sendiri seperti isu MRT. Jadi kita rakyat bolehlah nampak ada ‘check and balance’. Tapi ramai juga tak puas hati sebab Rafizi seolah-olah macam nak naikkan nama dia je.

Rafizi dikenali sebagai ahli politik muda yang berkeinginan untuk menaikkan namanya sendiri dengan mendedahkan pelbagai dakwaan dan cuba mencipta impak. – Petikan dari NST.

Walau macam mana pun, Rafizi adalah orang sangat konsisten melakukan pendedahan yang kita tak tahu. Dan ianya adalah kerana…

“Saya tak berniat nak jadi pembongkar rahsia (whistle blower). Tapi, saya adalah akauntan terlatih” – Rafizi Ramli

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT