Pesawah tangguh tanam padi: Adakah Malaysia akan alami kekurangan beras?

(This article is translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Betul kata Amy Mat Piah, “Pantang anak petani moden mengundur kalah!”, kita mesti pernah dengar sebutir nasi ibarat setitik peluh petani kan, maksudnya ialah betapa besar dan hebatnya jasa petani kepada Malaysia dalam menghasilkan sumber utama. Disebalik kerja keras mereka itu, terdapat satu masalah yang dihadapi oleh mereka.

Ternyata, para petani padi di Kedah dan Perlis mungkin akan menangguhkan jadual penanaman padi mereka yang biasa pada tahun ini. Oleh itu, sekumpulan petani padi di bawah sebuah NGO yang dipanggil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) telah menghantar memorandum kepada kerajaan untuk menyuarakan isu mereka mengenai perkara ini. Jadi, adakah sumber padi berkurang? Mari kami huraikan isu ini.

Kelewatan jadual penanaman padi sebenarnya banyak kali berlaku

Jadual penanaman ditetapkan oleh agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA). Dalam masa setahun, agensi-agensi ini menetapkan dua jadual untuk dua musim penanaman padi.

Patutnya petani ni dah mula menanam padi tapi tidak boleh. Imej dari MADA.

Jelas sekali jadual itu penting kerana proses penanaman padi boleh memakan masa hingga 6 bulan sebelum proses penuaian. Biasanya, petani akan membuat pesanan mereka antara tiga hingga enam bulan sebelum mereka mula menanam untuk memberi masa kepada pembekal untuk menghasilkan benih.

Sementara menunggu benih, petani akan menyiapkan sawah untuk menanam benih. Mereka akan membanjiri, membajak, menimbun dan meratakan ladang sebelum menanam benih di sawah. Anda boleh menonton video di bawah ini untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai bagaimana penanaman padi dilaksanakan.

Selain itu, jadual penanaman bergantung pada cuaca seperti ketika hujan untuk mengumpulkan air di pusat tadahan air atau musim angin monsun untuk elak petani dari kerugian. Agensi kerajaan seperti MADA dan KADA selalu mengingatkan para petani untuk mengikuti jadual terutama untuk mengelakkan pembaziran air kerana sistem pengairan sentiasa membekalkan air ke ladang walaupun tidak ada benih yang ditanam.

“Para petani sering diingatkan untuk mengikut jadual waktu yang ditetapkan ini kerana ia berpandukan bekalan air yang disalurkan di pusat tadahan.” – Abdul Rashid Yob, Exco PeSAWAH, dipetik dari Malaysiakini.

Namun, ada beberapa kali di mana petani benar-benar melewatkan jadualnya. Pada tahun 2012, para petani menangguhkan jadual penanaman kerana mereka perlu mengeringkan sawah sebelum menanam benih baru. Pada musim pertama tahun 2019, petani juga terpaksa menunda penanaman padi kerana keadaan cuaca.

Pada tahun 2020, kebanyakan petani turut tidak ada pilihan selain menangguhkan jadual penanaman. Menurut Exco PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, sebilangan petani mendakwa bahawa benih yang dijual kepada mereka oleh pembekal harganya mahal dan kebanyakan mereka kata benih tersebut sudah habis.

“Namun majoriti petani dari fasa 1 hingga fasa 2 masih tidak dapat memulakan tanaman kerana bekalan benih yang diinginkan oleh petani tiada dalam pasaran.” – Abdul Rashid Yob, Exco PeSAWAH, dipetik dari Malaysiakini.

Beliau juga berkata bahawa sebilangan petani dikenakan bayaran maksimum RM60 sedangkan harga subsidi sepatutnya hanya RM28. Malah, mereka juga dibekalkan dengan benih padi berkualiti rendah yang melambatkan penanaman padi. PeSAWAH sebenarnya sudah hantar memo kepada Kerajaan, tapi dibiarkan begitu sahaja, terikat namun tak bertali.

Kerajaan meluluskan tender RM165 juta kepada syarikat yang tak berpengalaman

Bila dikaji, kami pun jumpalah senarai pembekal benih yang ada di Malaysia ni. Senarai tu ada dalam kajian dari Khazanah Research Institute (KRI).

Senarai pembekal benih padi. Imej dari KRI.

Tapi pada tahun 2012, ada syarikat-syarikat dalam senarai di atas ni telah dipertikaikan apabila diberikan tender untuk membekalkan benih padi kepada petani selama dua tahun (2013 hingga 2014). Pertikaian tu timbul bila ada pihak dakwa – Kementerian Kewangan memberikan tender bernilai RM165 juta kepada pelbagai syarikat, walaupun mereka dianggap tak memenuhi syarat untuk pembekalan itu.

Keseluruhan proses meluluskan projek agak tidak boleh dipercayai sejak awal. Projek tersebut telah diluluskan walaupun beberapa dokumen tidak lengkap, sementara beberapa syarikat yang meminta tender tidak dapat memenuhi kriteria seperti menghadiri taklimat yang diperlukan. Sebilangan daripada mereka gagal membuat penilaian kewangan.

Walaupun mereka memenuhi kriteria penilaian teknikal, jawatankuasa penilaian teknikal tidak terlalu berminat dengan syarikat-syarikat ini kerana mereka tidak mempunyai pengalaman dalam menghasilkan benih padi di bawah Kementerian Pertanian.

Kesian kepada para petani. Imej dari Meme Creator.

Selain itu, sebilangan syarikat ini bahkan tidak cuba menyembunyikan fakta ini. Pengurus Haji Md Nor bin Haji Abd Rahman (M) Sdn Bhd (HMN) ketika itu, Mansor Md Nor, mengakui bahawa syarikatnya dan syarikat lain yang diberikan tender, tidak memenuhi kriteria.

Menurut Mansor Md Nor, perkara tu sebenarnya tidak menjadi masalah kerana sekurang-kurangnya syarikatnya berjaya menolong petani memperbaiki ladang mereka mengikut kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Beliau mungkin betul mempertimbangkan bagaimana syarikat-syarikat ini masih menjadi pembekal benih padi sekarang.

Namun, ketidakcekapan syarikat-syarikat ini mungkin bukan satu-satunya masalah yang dimiliki oleh petani. Ini kerana mereka juga mencurigai terdapat penyalahgunaan kuasa oleh beberapa pihak yang sengaja mengenakan wang tambahan kepada petani untuk satu kilogram benih padi.

“Ditambah pula dengan andaian kami bahawa berlaku salah guna kuasa oleh pihak berwajib yang mengambil komisen terhadap benih yang diluluskan. Pihak pengeluar benih saban tahun menuntut subsidi sebanyak RM20 bagi setiap bag 20kg benih.” – Abdul Rashid Yob, Exco PeSAWAH, dipetik dari Malaysiakini.

Aik jenama ni pun ada haha. Imej dari Songmart.

Malah, ada kemungkinan yang pembekal membekalkan benih padi yang tidak ada sijil, dan sebab itulah kualitinya rendah. Walaupun tak salah menjual benih ini, tapi petani yang membelinya nanti tidak akan dapat subsidi. Benih-benih ini juga tidak dapat dibandingkan dengan benih diiktiraf yang lebih murah dan berkualiti tinggi.

Inilah sebabnya mengapa MADA mendesak para petani untuk selalu membeli benih yang dijual oleh tiga pembekal utama di Kedah dan Perlis, iaitu Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn. Bhd. (MADACorp.), Pertama Padi Sdn. Bhd. Dan KB Seri Merbok Sdn. Bhd.

MADA sebagai penyelamat sumber beras di Malaysia

Kalau korang nak tahu, 70% padi yang kita makan ditanam sebenarnya di bawah MADA dan KADA yang terletak di lokasi di bawah:

Kawasan simpan padi di Malaysia. Imej dari KL Heong.

Sekarang, korang mungkin tertanya-tanya adakah kita dapat memperoleh cukup beras dalam masa terdekat memandangkan masalah yang dihadapi oleh para petani sekarang. Jangan risau, MADA datang menyelamatkan kita. Hal ini kerana MADA mendakwa bahawa benih padi mashih cukup untuk petani. Malah, mereka kata benih padi lebih banyak daripada cukup.

“Berdasarkan kepada pembentangan oleh ketiga-tiga pengeluar, didapati jumlah pengeluaran Benih Padi dijangka mencukupi iaitu sebanyak 14,517 metrik tan, melebihi keperluan untuk kegunaan di Kawasan Muda iaitu sebanyak 14,096 metrik tan.” – petikan dari Harakah Daily

MADA juga mendesak Kementerian Pertanian untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memanipulasi harga benih padi.

Selain MADA, para petani juga memberikan beberapa cadangan untuk mengelakkan perkara yang sama berulang, antaranya:

  • Memperkenalkan harga siling untuk benih padi.
  • Membenarkan petani menyimpan benih padi yang mereka tuai sehingga mereka tidak perlu selalu bergantung pada pembekal.
  • Memberi lesen kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk membekalkan benih padi kepada petani.

Namun, setakat ini tidak ada berita lebih lanjut mengenai respons kerajaan terhadap memorandum petani. Oleh itu, selagi Kerajaan tidak melakukan sesuatu, selagi itulah para petani akan membeli benih pada yang berkualiti rendah bahkan boleh kacau periuk nasi mereka.