Trump henti sumbangan dana WHO. Berapa pula yang Malaysia sumbangkan?

Dalam perkembangan terbaru, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dah pun keluarkan arahan supaya sumbangan dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diberhentikan. Memetik laporan BBC, Trump buat macam tu sebab menganggap WHO salah menguruskan dan menghentikan penyebaran virus Covid-19 yang pada mulanya muncul di China. Presiden kuasa besar dunia itu juga mendakwa yang WHO bersikap berat sebelah kepada China.

“Saya mengarahkan pentadbiran saya untuk menghentikan pembiayaan seketika, sementara tinjauan dilakukan untuk menilai peranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam salah mengatur dan menghentikan penyebaran koronavirus.” – Katanya dipetik dari BBC.

Imej dari gifimgs.com

Kalau korang nak tahu, AS sebenarnya adalah penyumbang terbesar ke WHO dan tindakan Trump ni nampaknya mungkin akan mendatang masalah kepada badan dunia berkenaan. Walaupun macam tu, masih ada lagi beberapa negara lain yang menjadi penyumbang terbesar, antaranya…

China, Jepun dan Jerman juga antara penyumbang terbesar (tapi berapa yang Malaysia sumbangkan?)

Ibu pejabat WHO di Geneva, Switzerland. Imej dari Glassdoor.

Seperti mana-mana pertubuhan lain, WHO juga kena dapatkan dana untuk terus berjalan dan berfungsi. Disebabkan ia sebuah pertubuhan dunia, maka anggotanya pun dari kalangan negara-negara dunia. Buat masa sekarang WHO ada 192 negara anggota, termasuklah negara kita – Malaysia. WHO akan dapat dana dari negara-negara anggota ni.

Sebenarnya, ada dua jenis peruntukan dana yang WHO dapat iaitu melalui ‘caruman dinilai’ dan ‘caruman tambahan sukarela’. Untuk jenis yang pertama tu, negara anggota kena bayar kepada WHO dan jumlahnya dikira berdasarkan relatif kekayaan dan penduduk negara berkenaan. Jenis kedua pula, bayaran secara sukarela, maknanya kalau nak bagi lebih, lagi digalakkan.

Tapi, dari banyak negara yang jadi anggota ni – AS muncul sebagai penyumbang terbesar iaitu dengan nilai sekitar US$400 juta ke $500 juta setahun. Jumlah tu boleh dikatakan bersamaan dengan 15% bajet WHO.

Bagaimanapun, setakat 31 Mac 2020 – data WHO menunjukkan yang negara Uncle Sam tu cuma baru menyumbang US$57.9 juta. Pada asalnya, AS nak sumbang sekitar US$122.6 juta untuk awal tahun 2020 ni, tapi jumlah tu dah dikurangkan oleh pentadbiran Trump pada Februari lalu. Walaupun dengan nilai yang jauh berbeza tu, AS tetap jadi negara yang paling banyak menyumbang.

Selain AS, ada beberapa lagi negara lain yang jadi penyumbang terbesar (setakat 31 Mac 2020), seperti:

  1. China: US$28.7 juta
  2. Jepun: US$20.5 juta
  3. Jerman: US$14.6 juta
  4. United Kingdom: US$10.9 juta
  5. Perancis: US$10.6 juta

Dan kalau korang tertanya-tanya berapa yang Malaysia bagi kepada WHO, berdasarkan data pertubuhan tu – setakat 31 Mac 2020, Malaysia dah menyumbang sebanyak US$815,785 (RM3.5 juta). Manakala, kalau ikut data caruman dinilai yang perlu dibayar oleh Negara Anggota dan Anggota Bersekutu WHO 2020-2021 – Malaysia perlu sumbang sekitar US$3.3 juta atau RM14.3 juta. Nilai ni meningkat sikit dari data 2018-2019 yang memerlukan Malaysia bayar US$3 juta.

Di samping tu, ada juga organisasi-organiasasi atau badan-badan tertentu yang jadi penyumbang sukarela kepada WHO. Ini kerana, sehingga tahun 2018 dianggarkan 18% sumbangan sukarela WHO datang dari puluhan buah yayasan besar seluruh dunia.

Antaranya adalah Yayasan Bill dan Melinda Gates yang menyumbang lebih US$300 juta, Bloomberg Family Foundation (US$14.3 juta), European Commission (US$81.9 juta) dan King Salman Humanitarian Aid & Relief Center (US$11.2 juta) setakat sehingga akhir tahun 2017.

Sumbangan yayasan diorang ni sebenarnya melebihi sumbangan negara-negara lain. Imej dari CNBC.

Tapi dengan tindakan terbaru Trump ni, nampaknya WHO akan kehilangan penyumbang terbesarnya yang mungkin akan memberikan kesan buruk kepada pertubuhan kesihatan itu. Ditambah lagi apabila WHO kini memerlukan dana sekitar US$675 juta untuk menampung usaha memerangi wabak Covid-19. Tapi, ada asas ke Trump nak marah sangat dengan WHO ni?

Trump kata WHO tak adil dengan pembayar cukai AS

Ni la yang buat Trump marah: Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom bersalam dengan Presiden China, Xi Jinping pada 28 Jan lepas di Beijing. Imej dari Foreign Policy.

Seperti yang dikatakan di awal tadi, antara sebab utama kenapa Trump tak puas hati sangat dengan WHO ni adalah sebab dia anggap WHO ni berat sebelah dengan China dan gagal kawal penularan wabak. Tambahan lagi, Trump anggap yang WHO tak adil dengan pembayar cukai AS bila pertubuhan tu dituduhnya sebagai berat sebelah.

“Pembayar cukai Amerika memberikan antara US$400 juta hingga US$500 juta setahun kepada WHO. Sebaliknya, China menyumbang kira-kira $40 juta setahun, atau bahkan kurang.” – Trump, dipetik dari Axios

Dalam masa sama, WHO juga berdepan beberapa kritikan sebelum ni apabila Jawatankuasa Kecemasan pertubuhan tu masih berada dalam keadaan berbelah bagi untuk mengisytiharkan Covid-19 sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Antarabangsa (PHEIC) pada 23 Januari 2020. Dalam masa sama, tindakan pegawai tinggi WHO yang cuba mengelak dari menjawab soalan tentang Taiwan juga mengundang kritikan banyak pihak.

Ini kerana, Taiwan muncul sebagai negara yang cukup baik pengurusan wabak itu, tetapi seperti mana yang kita tahu – negara tu mempunyai masalah dengan China. Malah, ada juga di kalangan pakar perubatan yang mengkritik WHO tentang panduan pemakaian topeng muka yang dianggap mengelirukan masyarakat.

Bekas Wakil AS ke PBB, Nikki Haley nampak sokong kuat Trump dalam hal ni. Imej dari Anchorage Daily News.

Dalam masa sama, bekas Wakil AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley nampaknya senada dengan Trump dalam hal ni. Katanya, WHO bertindak lambat dalam hal ni sedangkan Taiwan lebih awal mendapati wabak itu boleh menular dari manusia ke manusia.

“Lihatlah pada garis masa… Taiwan ada memberitahu WHO: ‘Kami percaya dan mempunyai bukti ada penularan manusia ke manusia.’ Kemudian pada tarikh 14 Januari, ketua WHO Tedros berkata, ‘Kami tidak melihat bukti penyebaran manusia ke manusia.’ ” – Katanya dipetik dari Fox News.

Walaupun begitu, hakikatnya apa yang AS buat ni sebenarnya lebih banyak bawa mudarat dari kebaikan kerana…

Tindakan AS boleh mengundang bencana

Kematian akibat Covid-19 dah mencecah lebih 20 ribu di AS sekarang. Imej dari Al-Jazeera.

Mengulas hal ini, Setiausaha Agung PBB, António Guterres menempelak Trump dengan kata sekarang ni bukan masanya nak buat macam tu. Presiden Persatuan Perubatan Amerika, Patrice Harris pula berpandangan yang tindakan ni sebagai langkah berbahaya ke arah yang salah dan akan menyukarkan lagi usaha menghapuskan Covid-19.

Bagi Penyelaras Ebola global untuk Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS, Chair Leslie Dach pula, tindakan ni boleh dilihat sebagai usaha Trump cuba menuntup kegagalan pentadbirannya mengawal keadaan sedia ada.

Tapi apa yang pasti, kebimbangan sudah pasti muncul kerana selepas ini WHO mungkin tidak dapat menjalani fungsinya dengan baik akibat kekurangan dana. Seperti mana yang dikatakan oleh Pengarah Perubatan Unit Patogen Khas Universiti Boston, Dr Nahid Bhadelia…

“Memotong 15 peratus (sumbangan AS) kepada bajet WHO ketika pendemik terbesar dalam abad ini sedang berlaku adalah bencana sama sekali.” – katanya dipetik dari Axios News.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.