Bencana

Israel intip phone pesakit COVID-19. Ini 6 cara negara lain urus wabak ini

Boleh tahan juga satu Malaysia kena bebel dengan PM Muhyiddin Yassin malam semalam, dah macam kena marah dengan abah kat rumah sebab main basikal padahal baru lepas sunat pagi tadi.

Tengok tu, jurubahasa isyarat pun macam abang korang, menganjing teruk bila korang kena marah

Seperti yang kita semua tahu, mulai hari 18 Mac 2020, Malaysia dah mula perintah berkurung Perintah Kawalan Pergerakan untuk elakkan kita terdedah dengan COVID-19 ni, dengan harapan angka positif COVID-19 akan semakin berkurangan sampai takde langsung nanti.

Tapi, masih ada lagi yang berdegil, selamba je lepak kat kedai makan dan tak patuhi arahan yang ditetapkan, sampai kerajaan terpaksa kuatkuasakan satu lagi garis panduan di mana sesiapa yang keluar boleh didenda, malah dipenjara kalau langgar perintah kerajaan.

Memandangkan ini inisiatif yang dilakukan kerajaan kita, kita tengok, macam mana pula inisiatif negara lain untuk bendung permasalahan COVID-19 ni.

1. China yang buat sanitasi ke seluruh bandar terlibat

Kes pertama berlakunya COVID_19 ni adalah di China sendiri, dengan mangsa pertama yang dikesan adalah seawal 17 November 2019. Kalau sebelum ni angka di China paling banyak, nampaknya angka tersebut semakin berkurangan.

China telah menempatkan kira-kira 56 juta orang di bawah kuarantin (rakyat Malaysia pun baru 32.6 juta) dengan harapan bila orang tak keluar rumah, pakai topeng bila keluar, akan membantu mencegah lebih banyak penyebaran virus. (Korang boleh tengok kat sini diorang buat apa kat rumah, sebab kita masih noob)

Selain perintah berkurung, mereka yang keluar rumah juga akan dibasmi kuman (disinfection) macam ni:

Angkat tangan kalau korang pernah tengok series Stargate SG1 sebab rupanya hampir sama

Tak cukup dengan tu, kerajaan China sendiri mengambil inisiatif untuk mensanitasikan seluruh bandar mereka, dengan buat spray secara besar-besaran. Malah, lif disteril/dinyahkuman sebanyak dua hingga lima kali sehari menggunakan Decon Seven, salah satu penyahkuman kuat yang dikeluarkan Amerika Syarikat.

This Disinfection Tunnel Sprays People To Ward Off The Coronavirus

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Misting mechanisms spraying disinfectants have cropped up around China to deter the coronavirus, but experts aren't so sure.

Posted by Business Insider Today on Isnin, 24 Februari 2020

 

Selain China, antara negara-negara yang melakukan sanitasi besar-besaran ni juga adalah Filipina, Iran, Lubnan, Itali, dan Georgia.

2. Korea Selatan lakukan 15,000 pemeriksaan kesihatan setiap hari, sejak Januari lagi

Selain China, antara negara yang paling awal terjejas disebabkan COVID-19 ni adalah Korea Selatan, yang berjiran dengan China. Walaupun angka keseluruhan merupakan 8,000 dengan 65 kematian dicatatkan, tapi Korea Selatan tekad untuk menurunkan angka tersebut.

Contohnya bila angka mangsa COVID-19 di Malaysia yang naik sebanyak 117  (pada 18 Mac 2020), angka di Korea Selatan pula menurun secara mendadak. Malah penurunan tu bermula seawal 3 Mac 2020, di mana kes yang dilaporkan adalah 600, dan bertambah hanya sebanyak 131 seminggu, (bukan sehari) selepas tu.

Kalau korang nak tahu, langkah pencegahan dilakukan sejak Januari lagi, apabila pegawai kesihatan Korea Selatan bertindak menjalankan sehingga 15,000 ujian setiap hari, dengan 43 buah ‘drive thru’ untuk ujian tersebut.

Malah, kira-kira 250,000 orang berjaya melakukan pemeriksaan kesihatan setiap hari (1/200 rakyat Korea Selatan) – sejak Januari. Konsep ini juga kemudiannya digunapakai di negara-negara lain macam Amerika, Kanada dan United Kingdom.

Bagi menggalakkan rakyat Korea Selatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan ni, ia dilakukan secara percuma kepada mereka yang dah ada gejala tersebut dan yang dirujuk oleh doktor, lebih-lebih lagi untuk mereka yang pernah membuat perjalanan ke China. Bagi mereka yang tak mempunyai simptom tapi nak check juga, kosnya cuma 160,000 won, atau kira-kira RM550, dan ada di beratus-ratus klinik yang menyediakan ujian tersebut.

Kalau korang nak tahu, ia dikatakan merupakan program ujian yang termahal, tapi paling teratur di dunia dengan kejayaan menurunkan jumlah wabak tersebut. Dan kesannya, kes COVID-19 di Korea Selatan jatuh mendadak dengan kecekapan kerajaan Korea Selatan yang membendung virus ni sejak awal lagi.

Salah satu sebab Korea Selatan begitu bersedia dengan masalah virus ni dan berupaya membuat pengesanan awal terhadap virus ni adalah disebabkan wabak selsema yang pernah melanda pada tahun 2009, dan juga wabak sindrom 2015 MERS [Middle East respiratory syndrome] yang berlaku pada 2015.

3) Taiwan hasilkan 10 juta topeng muka sehari!

Topeng muka di Taiwan antara yang paling murah di dunia. Imej dari Taiwan News.

Kalau nak dibandingkan dengan negara-negara Asia yang lain, Taiwan adalah antara negara yang paling kurang mencatatkan kes Covid-19. Setakat artikel ni ditulis, negara tu baru mencatatkan 100 kes dan agak mengejutkan jugalah sebab Taiwan ni bersempadan dengan China kot. Mana taknya, masa China dah mencatatkan berpuluh ribu kes Covid-19, Taiwan (pada awal Mac) cuma catatkan 45 kes je!

Sebenarnya, Taiwan dapat kawal keadaan ni sebab diorang dah ambil iktibar dengan wabak SARS yang pernah melanda negara tu suatu masa dulu. Lepas wabak SARS ni menyerang, Taiwan dah tubuhkan pusat arahan utama untuk mengawal epidemik, lebih awal dari negara-negara Asia lain. Dengan adanya pusat ni, urusan pihak berkuasa jadi lebih mudah, bila diorang boleh kumpul data, agihkan sumber dan siasat kes-kes berpotensi.

Lebih menarik, negara ni tak bergantung dengan negara luar untuk membekalkan topeng muka, sebab diorang sendiri yang menghasilkannya. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan lepas tu umumkan yang diorang minta syarikat-syarikat tempatan supaya tingkatkan penghasilan topeng muka – dari 4 juta sehari kepada 10 juta sehari! Atas permintaan kerajaan, satu pasukan pembina alat mesin membuat topeng ni dah ditubuhkan dengan kerjasama 3 institut penyelidikan.

“Kerajaan juga mengambil alih pengedaran topeng muka dari sektor swasta pada 31 Januari, memastikan tidak ada penimbunan bekalan atau eksploitasi harga, seperti yang telah terjadi di tempat-tempat lain seperti Hong Kong.” – Dipetik dari Foreign Policy.

Malah, Taiwan juga buat polisi pembelian yang mana setiap rakyat Taiwan hanya boleh membeli topeng muka ni dengan jumlah tertentu untuk orang dewasa dan kanak-kanak setiap minggu. Setiap satu pula dijual dengan harga NT5 atau RM0.70. Negara tu turut buat sistem pembelian topeng muka atas talian, jadi tak payahlah orang keluar rumah sebab nak beli topeng muka.

4) Albania buat peraturan ketat, sampai ada yang boleh digantung lesen memandu

Keadaan hospital di Albania sekarang. Imej dari Balkan Insight.

Berdasarkan maklumat dari WHO, Albania kini dah mencatatkan 59 kes Covid-19, yang boleh dikatakan agak kurang sikit jika nak dibandingkan dengan negara-negara Balkan lain. Hal ni jadi mungkin disebabkan ketegasan negara tu dalam mengawal penularan wabak Covid-19 ni.

Antaranya, negara tu dah haramkan segala perhimpunan tak kiralah sosial, politik atau budaya – samalah macam Malaysia. Tapi bahagian denda tu yang sakit, sebab sesiapa yang buat juga – diorang boleh didenda sekitar ALL 5 juta atau sekitar RM195,000.

Bukan tu je, stesen TV di sana pun kena pastikan yang rancangan bual bicara diorang tak boleh ada lebih dua orang dalam satu masa. Kalau buat juga, stesen TV tu boleh kena denda sekitar RM39,000.

“Undang-undang juga membayangkan denda untuk peniaga bagi makanan dan ubat-ubatan jika kenaikan harga tidak dapat diterima, dan larangan tiga tahun untuk pemandu kereta, sekiranya melanggar sekatan pergerakan.” – Dipetik dari Balkan Insight.

Keadaan di jalan raya di Albania lepas sekatan pergerakan dibuat. Imej dari The Atlantic.

Hospital-hospital swasta di sana turut berisiko untuk didenda sekiranya tak nak tawarkan kemudahan diorang masa diperlukan. Jadinya di sini, nampaklah kita yang kadang-kadang tu kerajaan kena juga bertegas bila berdepan situasi macam ni.

“Segala denda akan dilaksanakan secara automatik, yang bermaksud denda itu akan diambil dengan serta-merta, sama ada atau tidak suspek mencabarnya di mahkamah. Mahkamah sangat lambat di Albania dan mencabar denda itu boleh mengambil masa bertahun-tahun.” – Dipetik dari Balkan Insight.

5) Israel intip isi kandungan handphone setiap mangsa COVID-19

Panjang betul mesej yang ditulis…

Negara paling kontroversi penubuhannya iaitu Israel juga tak terlepas dari berdepan dengan wabak ini. Setakat ini negara itu mempunyai 529 kes tanpa sebarang kematian. Pendekatan negara ini juga pada mulanya sama macam negara lain.

Pelbagai peraturan dan sekatan dibuat termasuklah dihadkan perhimpunan tak lebih dari 10 orang serta tempat bersiar-siar dah hiburan ditutup. Begitu juga, restoran dan kafe ditutup dan pengangkutan awam dihentikan operasi pada waktu malam dan hujung minggu. Rakyat di sana juga disarankan duduk rumah dan keluar rumah bila perlu sahaja.

Dalam situasi yang meruncing ini, nampaknya kerajaan sementara (Interim) Israel cuba untuk mengambil satu lagi langkah drastik bagi membendung penularan wabak. Ia dipanggil sebagai langkah pengawasan siber yang dijalankan selama 30 hari. Maksudnya pihak autoriti akan akan intip atau jejak kandungan handphone mangsa dan suspek COVID-19.

“Ia akan digunakan pada penduduk awam buat kali pertama bagi membolehkan agensi keselamatan dalaman negara untuk mengesan telefon individu bagi mengenalpasti di mana pesakit koronavirus – atau suspek pembawa virus – telah dan dengan siapa mereka mereka berhubung.

Agensi Keselamatan Israel (ISA), yang juga dikenali sebagai Shin Bet, boleh mengesan individu berdasarkan nombor ID negara dan nombor telefon bimbit.” – Petikan dari CNN Business

Kiranya, ISA akan kesanlah sesiapa yang ada mesej dengan mangsa atau apa-apa tanda atau lokasi yang menunjukkan mangsa bertemu dengan sesiapa kenalannya. Namun, pihak ISA tak dibenarkan menyimpan data-data tu semua, sebaliknya menyerahkan data itu kepada Kementerian Kesihatan untuk menguruskannya.

Pelaksanaan ni dah pun diluluskan oleh pihak kerajaan Israel sekalipun terdapat penentangan dari ramai pihak yang risau dengan isu privasi dan keselamatan individu.

6) Perancis tangguhkan bayaran bil api, elektrik dan gas

Eifel Tower pun tutup tau. Imej dari BBC

Perancis adalah antara negara Eropah yang terjejas akibat wabak ini. Negara itu telah pun mencatatkan 9,134 kes dengan jumlah kematian seramai 264. Presiden Perancis, Macron dah mengisyhtiharkan perintah berkurung selama minima 15 hari untuk dipatuhi oleh rakyat negara itu.

Namun, perintah berkurung ini bukanlah tak boleh keluar langsung seperti di beberapa buah negara. Ia masih longgar tapi terhad. Cumanya, tiap kali keluar kena muat turun satu borang ni secara online dan isi sebab-sebab nak keluar. Contohnya nak pergi beli keropok super ring ke atau berjalan-jalan dengan anjing. Kalau tak bawa dan isi borang tu, seseorang tu boleh didenda sebanyak 38 Euro (RM180).

Tapi memang taklah terperap sangat sebab ada banyak aktiviti yang dibenarkan macam senarai kat bawah ni:

  • Bergerak ke atau dari tempat kerja jika kerja tu penting dan tak boleh dibuat dirumah
  • Pergi membeli makanan dan menuju ke farmasi
  • Temujanji perubatan
  • Sebab-sebab penting kekeluargaan seperti menjaga anak-anak atau orang tua tapi tak boleh buat lawatan keluarga
  • Aktiviti senaman fizikal macam jogging dan berjalan dengan anjing, tetapi mesti dibuat secara bersendirian

Selain hal-hal keluar dari rumah ni, kerajaan di sana juga dah memberi jaminan terhadap penangguhan sebarang bayaran cukai, sewa, caj sosial, bil (elektrik, air dan gas). Kalau korang sewa rumah kat sana, boleh lah tangguh untuk beberapa bulan.

Download dan tak payah pi beratur kat balai macam kat satu negara ni. Imej dari The Local Fr

Dengar seronokkan? Tapi buat masa sekarang, situasi di Perancis makin genting yang mana berkemungkinan tempoh berkurung akan dipanjangkn lagi. Ini kerana pada 18 Mac 2020, Perancis punya laporan kes kematian tiba-tiba mencanak naik dengan angka kematian seramai 89 orang dalam masa 24 jam. Memang seram habis!

Inisiatif dan kajian pada masa depan?

Mungkin bila kita dah berjaya basmi kesemua virus COVID-19 yang melanda dunia sekarang, kita patut ambik inisiatif lain dengan  tubuhkan satu badan kajian untuk bukan saja kaji virus-virus sebegini, tapi juga menggunakan pengalaman-pengalaman yang ada ni supaya kita boleh bendung permasalahan ni lebih awal lagi.

Tak dinafikan juga, usaha kerajaan sendiri juga penting untuk buat peraturan yang tak menimbulkan panik orang awam bukan saja pembelian panik. Malah arahan khas supaya bukan saja orang awam, tapi juga pelajar tak berkumpul secara panik untuk balik ke kampung masing-masing.

Sebagai rakyat pula, tak kisahlah apa pun fahaman politik, dengarlah arahan kerajaan untuk berada di rumah dan bukannnya berkumpul beramai-ramai bagi mengelakkan penularan wabak ni. Yang penting, syabas dan tahniah buat para doktor, jururawat dan pegawai kesihatan yang bertungkus-lumus bukan saja merawat, tapi juga memastikan angka ini terus turun dan mungkin terus hilang tak lama lagi.

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend