Siti Zailah: Pernah tewas jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS ke Timbalan Menteri

Sejak kebelakangan ni, antara kementerian yang selalu menimbulkan kontroversi adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Kontroversi tu bermula apabila ada pihak-pihak tertentu seperti bekas Timbalan Menteri kementerian berkenaan, Hannah Yeoh yang mendakwa Timbalan Menteri yang baru, Siti Zailah Yusof menyokong perkahwinan bawah umur.

Tak lama lepas tu, kita dikejutkan dengan poster terbitan KPWKM yang minta para isteri tiru suara Doraemon bila nak pujuk suami buat kerja rumah. Lepas dapat bantahan ramai, poster tu ditarik balik. Dan yang berbaru, muncul pula kenyataan daripada Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting yang mendakwa, Siti Zailah tak layak jadi Timbalan Menteri KPWKM.

Dakwaan tu timbul selepas Zailah dikatakan mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memberi tekanan kepada keluarga, yang akhirnya menyebabkan masalah keganasan rumah tangga. Bagaimanapun, Zailah memberi tiga tips untuk meredakan tekanan, termasuk sifat menghargai pasangan, memberi kemaafan dan ketaatan kepada agama. Tak lama lepas tu, Nicole tampil memohon maaf dan kata – kecamannya tu jadi sebab dia terlalu cepat membuat penilaian yang datang dari sumber satu pihak.

Kenyataan Nicole sebelum minta maaf dan tarik balik. Imej dari Malaysiakini.

Jadi apa yang boleh disimpulkan adalah dari beberapa kes yang dibangkitkan ni – boleh dikatakan ada isu dikaitkan terus dengan Zailah yang memegang jawatan Timbalan Menteri KPWKM sekarang. Maka dengan itu, mungkin ada baiknya untuk kita kenal siapa dia Zailah ni dan bagaimana perjalanan politiknya.

Pernah tewas sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS

Ketika berucap di Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Kelantan. Imej dari FB- Dewan Muslimat PAS Pengkalan Chepa.

Memulakan pendidikan tingginya di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM), Siti Zailah yang lahir pada 12 Oktober 1963 pernah berkhidmat sebagai Pegawai Dakwah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan dan Timbalan Pengelola Dakwah Halaqa Peringkat Negeri Kelantan. Ketika menjawat jawatan itu, boleh dikatakan Zailah mengendalikan lebih kurang 2,700 pegawai dakwah di seluruh negeri Kelantan.

Dalam bidang politik pula, ibu kepada 10 orang anak ni dah terbabit dengan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1986 lagi, sebelum dilantik sebagai Senator di Dewan Negara sebanyak dua kali iaitu dari tahun 2000 hingga 2006. Pada PRU-2008, Zailah dah diberikan kepercayaan bertanding di Parlimen Rantau Panjang dan menang. Kerusi tu kemudiannya tetap dipegang oleh Zailah pada PRU-2013 dan PRU-2018.

Menjelang tahun 2011, kedudukan politik Zailah dalam PAS semakin kukuh bila dia berjaya menewaskan Nuridah Salleh sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat bagi sesi 2011-2013. Zailah kemudiannya masih kekal pengetuai sayap wanita itu untuk sesi 2013-2015.

Nuridah Salleh dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO,Noraini Ahmad di Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS pada 2018. Imej dari NST.

Bagaimanapun, keadaan mula berubah pada tahun 2015 apabila Zailah ditewaskan oleh Nuridah Salleh yang ada kelebihan 30 undi. Selepas kekalahannya tu, ada ura-ura yang kata Zailah mungkin akan sertai Gerakan Harapan Baru (yang kemudiannya membentuk AMANAH). Tapi hal tu dinafikan Zailah dan nampaknya dia tetap setia bersama PAS sehingga ke hari ini.

Pada tahun 2017, ada usaha untuk menempatkan Zailah semula bagi mencabar kedudukan Nuridah. Tapi Zailah kemudiannya menolak pencalonan sebab nak bagi laluan kepada Nuridah meneruskan perancangan memantapkan pergerakan wanita itu.

“Saya menolak pencalonan kali ini untuk memberi laluan kepada Ustazah Nuridah. Saya akan beri tumpuan kepada politik dan pembangunan Kelantan.” – katanya dipetik dari BH Online.

Pernah membangkitkan isu tentang Mahkamah Syariah

“Aku perati je Teresa ni” – masa ni PAS masih dalam Pakatan Rakyat, Imej dari Roketkini.

Salah satu masalah yang dihadapi kaum wanita dalam kes perceraian di Mahkamah Syariah adalah kes yang lama tertangguh. Harian Metro pada tahun 2007 melaporkan, ada kes perceraian yang tertangguh hampir 10 tahun dan ia sekaligus menjadikan seseorang wanita itu ibarat digantung tak bertali.

Pernah mengulas hal itu kepada Roketkini, Zailah berkata – ia boleh dianggap sebagai penderaan dan ketidakadilan terhadap wanita. Makanya, sistem perundangan Mahkamah Syariah perlu diperkemaskan.

“…sudahlah mereka berhadapan dengan krisis rumah tangga, berdepan dengan tekanan hidup, dengan anak dan suami mereka yang tidak bertanggungjawab. Kadang-kadang kes gantung tak bertali bertahun-tahun. Inilah yang menjadi isu dalam negara.” – Katanya kepada Roketkini.

“Curang” antara salah satu punca utama perceraian di Malaysia. Imej dari Bernama.

Zailah juga mencadangkan supaya adanya hakim dari kalangan wanita dalam mengendalikan kes-kes sebegini, kerana hakim wanita mungkin ada pandangan agak berbeza berbanding hakim lelaki. Hal itu juga katanya akan lebih memberi keadilan kepada wanita.

Berkenaan isu perkahwinan bawah umur pula, ia pernah menjadi isu besar sebelum ini apabila seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun berkahwin dengan seorang lelaki berusia 41 tahun, di Sungai Golok, Thailand sekitar dua tahun lalu. Hal ni dapat perhatian ramai pihak termasuklah Zailah yang kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Majlis Agama Islam Narathiwat.

Hasil penemuan tu, perkahwinan berkenaan dianggap sah oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Baba Syafie, tapi ia melanggar undang-undang Thailand. Susulan kes terbabit, KPWKM dah merangka Pelan
Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur. Mengulas hal berkenaan, Zailah berkata pihaknya akan meneruskan dasar dan inisiatif baik yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu.

Kontroversi isu pakaian pramugari dan dapat kritikan

Dalam perbahasan Parlimen pada Julai 2018, Zailah ada bangkitkan isu pakaian pramugari yang katanya – ada pramugari Islam terpaksa buka tudung masa bekerja demi menyara kehidupan keluarga. Jadinya, dia gesa kerajaan PH masa tu ambil tindakan tegas untuk melindungi hak wanita, khususunya tentang isu pemakaian.

Menjawab hal tu, Menteri Pengangkutan (bekas), Anthony Loke berkata kerajaan tak ada masalah kalau pramugari muslim memilih pakaian yang menepati kehendak syariah, selagi ia mematuhi kriteria yang ditetapkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat penerbangan. Loke juga kata yang dia akan berbincang dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebelum buat sebarang perubahan.

Lepas dilantik sebagai Timbalan Menteri KPWKM, Zailah nampaknya sekali lagi bangkitkan isu ni dengan nak melaksanakan polisi pemakaian patuh syariah untuk pramugari muslim dan berpakaian sopan untuk pramugari bukan Islam.

Kementerian Pengangkutan sebelum ni tak ada perancangan mengubah peraturan sedia ada mengenai pakaian pramugari. Imej dari Astro Awani.

Tapi rancangan Zailah ni dapat kritikan dari Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) yang kata sekarang ni – pemakaian pramugari bukan isu penting sebaliknya tentang nasib pramugari yang kemungkinan hilang pekerjaan akibat ancaman COVID-19.

Walaupun begitu, rancangan yang nak dibawa oleh Zailah ni sebenarnya mungkin akan ambil masa sebab ia ada kaitan dengan pindaan undang-undang, terutamanya Akta Kerja sebab ia melibatkan kakitangan yang bekerja.

Beri Zailah peluang dan masa – Muhyiddin

Ketika memberikan sumbangan. Imej dari Malaysiakini.

Dalam waktu sama, mungkin ada yang diperjuangkan oleh Zailah agak sukar untuk dicapai setelah PAS berada dalam PN ni. Antaranya seperti Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 yang sebelum ni cuba dibentangkan di Parlimen. Zailah pernah mengingatkan semua ahli Parlimen beragama Islam agar takut kepada Allah jika ia tidak berjaya dibentangkan di Dewan Rakyat.

Tapi, memandangkan RUU tu ditentang hebat oleh MCA dan hanya disokong oleh MIC dengan bersyarat kemungkinan agak sukar untuk ia dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.  Apa-apa pun, mungkin kita boleh memetik yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang meminta supaya Rina Harun (Menteri KPWKM) dan timbalannya, Zailah diberikan peluang dan masa untuk menyesuaikan diri dengan portfolio masing-masing.

“Jelas sekali saya memberitahu beliau (Rina) untuk bekerjasama rapat dengan timbalan menteri beliau (Siti Zailah) yang mempunyai pandangan tertentu mengenai perkara tertentu. Apa yang penting bukanlah pandangan peribadi beliau. Apa yang penting ialah apa yang difikirkan oleh kerajaan.” – Muhyiddin, dipetik dari MSN News.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.