7 “filem balas dendam” Korea Selatan yang sangat brutal dan sadis

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 17 Jan 2018

UPDATE 10/2/2020: Industri Filem Korea mencipta sejarah apabila filem Parasite diumumkan sebagai pemenang Oscar 2020. Sekaligus menjadi filem luar US pertama memenangi anugerah tertinggi itu. Filem tu turut menyapu beberapa anugerah lain termasuk pengarah terbaik dan lakon layar terbaik.

Filem ini dikatakan sarat dengan kritikan sosial mengenai jurang orang miskin dan kaya dalam bentuk komedi gelap (dark komedi), thriller dan drama. Jauh sebelum tu, filem ni adalah juara Festival Filem Cannes 2019 yang sangat berprestij. Kena ingat juga, filem ni diberi markah 100% oleh Rotten Tomatoes.

Imej dari Deadline

Bila sebut pasal filem Korea mungkin korang terfikir pasal oppa yang muka jambu, pembedahan plastik untuk nampak jambu, dan juga kimchi yang masam macam jambu batu. Tapi tak kiralah macam mana pun rupa pelakon-pelakon ni, biasanya plot filem/drama romantik komedi Korea Selatan ikut template yang sama, dengan elemen-elemen seperti:

 

Sapa la yang pasang CCTV kat semua sudut bilik ni. Gambar dari YouTube

Tapi kali ni SOSCILI nak cerita satu genre filem Korea yang juga mendapat perhatian dunia perfileman antarabangsa, iaitu… filem balas dendam.

Spesifik betul bunyinya kan, tapi kalau korang Google memang akan banyak senarai yang keluar untuk genre ni. Jadi kami pun pilih filem-filem yang menarik untuk korang cuba.

(Amaran: Kebanyakan filem ni mengandungi adegan seksual dan ganas yang melampau, dan sesetengahnya ada tema yang boleh menggoyahkan pendirian. Jadi senarai filem ini hanyalah untuk pembaca dewasa dan matang sahaja. Jangan kata kami tak warning).

1. The Vengeance Trilogy (Oldboy, Sympathy for Mr Vengeance, dan Lady Vengeance)

Bila korang geram sebab paku masuk senget. Gambar dari The Hollywood Reporter.

Dalam semua senarai yang kami jumpa, tak sah kalau takde The Vengeance Trilogy ni. Paling kurang pun mesti akan ada filem Oldboy, filem yang memperkenalkan orang ramai dengan genre balas dendam Korea. Oldboy mengisahkan seorang businessman yang tiba-tiba kena kidnap dan dipenjarakan selama 15 tahun tanpa sebab. Bila dia keluar, dia mula cari siapa yang penaya dia, dan kenapa dia dipenjarakan.

Ada sebabnya kenapa Oldboy sangat popular. Selain daripada tema filem yang mungkin buat korang menyesal tengok dengan family, Oldboy penuh dengan aksi yang bukan je ganas, tapi choreography dia yang tip-top. Antara babak yang paling ikonik adalah babak lawan kat koridor. Kami tak nak bagi spoiler, korang tengoklah sendiri.

#iwokeuplikethis. Gambar dari MovieHole.

Dua lagi filem dalam trilogi ni adalah Sympathy for Mr Vengeance dan Lady Vengeance. Kedua-dua filem ni takdelah padat dengan dengan aksi dan twist macam Oldboy, dan perjalanan plot dorang lebih perlahan. Tapi ada sesetengah peminat filem yang lebih suka salah satunya atas faktor-faktor lain. Sympathy for Mr Vengeance contohnya, memang boleh buat korang simpati dengan kedua-dua pihak sampai tak tau nak sokong yang mana.

2. I Saw the Devil

Muka macam pak sedara korang yang nak berebut rumah pusaka. Gambar dari letterboxd.

Kalau korang rasa Oldboy sangat ganas, I Saw the Devil adalah Oldboy darab dua. Bersedialah untuk tutup mata dalam babak-babak yang sangat brutal, hardcore dan sadistik. Berdasarkan pengalamam peribadi, kami nasihatkan habis makan dulu sebelum tengok filem ni.

I Saw the Devil sekali lagi menampilkan pelakon utama Oldboy, tapi kali ni dia bawak watak jahat. Dia telah membunuh seorang wanita dan potong anggota-anggota badan wanita tersebut (bunyi macam familiar je). Tapi dia dah tersilap pilih mangsa bila tunang wanita tersebut adalah seorang ejen perisik kerajaan. Jadi ejen tersebut tadi mula menyiasat siapa yang telah membunuh tunangnya.

Mulalah dua watak ni kejar mengejar dan makin lama filem ni berjalan, korang makin confuse pasal watak yang mana sebenarnya yang perangai macam setan

3. Bedevilled

Diam-diam buluh berisi. Gambar daripada Film Society.

Dalam senarai ni, Bedevilled mungkin adalah filem yang paling perlahan sekali pacing dia, malah mungkin korang rasa filem ni tak termasuk dalam kategori filem balas dendam pun. Tapi ada sebab kenapa plot dia disusun macam tu. Bak kata pepatah Melayu, “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”, dan kalau seseorang tu dah lama kena dera sikit-sikit, mau tak membukit amarahnya (cubaan kami membuat analogi #soscilitryhard).

Salah satu daripada watak utama filem ni adalah seorang wanita yang menjadi mangsa penderaan fizikal, seksual dan juga emosi. Dia bukan je dipukul dan dirogol, tapi takde siapa pun yang tolong dia, sebaliknya pandang sebelah mata je. Sama la macam rakyat Malaysia bila ada accident tepi highway.

Tema utama cerita adalah layanan masyarakat yang menganggap wanita sebagai jantina yang low-class dan boleh dilayan sesuka hati. Bukan lelaki je yang bagi layanan macam ni, wanita-wanita lain pun sama. Satu lagi persoalan besar yang dibawa oleh Bedevilled adalah – apa yang korang akan buat kalau korang nampak ada kejahatan berlaku, nak lagi bila korang sendiri boleh terancam kalau korang masuk campur?

4. Pieta

Warning eh, filem ni sangat disturbing. Gambar daripada Film Festival Flix.

Kalau korang rasa Oldboy sangat memualkan dari segi tema, Pietà adalah Oldboy kuasa dua, jadi kami bagi warning besar-besar: filem ni ada babak onani, tapi itu pun bukanlah yang paling teruk dan membuatkan korang tak senang duduk sambil menjerit “whattafarkkk”.

Watak utama filem ni adalah seorang lelaki yang kerja dia tolong kutip hutang untuk Ah Long, dan dia takde belas kasihan langsung. Rutin harian dia termasuklah bangun tidur, gosok gigi, potong tangan orang, balik rumah, gosok gigi, sambung tidur. Tapi segalanya berubah bila seorang wanita muncul dan mengaku mak yang telah tinggalkan dia waktu kecik. Dan kat sinilah jalan cerita Pietà bertukar 180 darjah daripada keganasan kepada menggugat keimanan.

Malah ada review yang kata babak dalam filem ni menjijikkan semata-mata dan bukannya untuk tujuan menyampaikan mesej. Menurut Mark Kermode pula (tukang review terkenal kat UK), stail yang sangat extreme ni telah merendahkan hasil kerja pengarah filem ni sendiri.

5. Mother

“Nak~~ belajar rajin-rajin sembahyang jangan tinggal….” Gambar dari RogerEbert.com.

Kata orang “syurga itu di bawah kaki ibu”, tapi dalam filem Mother, pepatah yang lebih sesuai adalah “kalau korang kacau anak aku, korang memang nak kena tapak kaki ibu.” #soscilitryhard

Watak utama filem ni adalah seorang ibu yang biasa, sangat biasa. Sama je macam mak-mak kita yang suka tengok Bawang Putih Bawang Merah, suka sapu lantai tiga hari sekali, suka tanam kacang bendi belakang rumah.

Hari-hari dia kerja keras untuk menyara hidup dia dan anak lelaki lewat 20-an yang agak ‘lambat’ pemikirannya. Tapi tak semena-mena, seorang gadis terbunuh dalam kampung dorang dan anak dia telah menjadi suspek. Jadi keseluruhan filem ni mengisahkan usaha seorang ibu untuk membuktikan yang anak dia tak bersalah.

Agak jarang kita tengok wanita tua jadi watak utama sebuah filem, dan dia bukan terer jujitsu ke apa. Malah filem ni bukanlah cerita balas dendam macam yang biasa, tapi motif dia sama – seorang yang sanggup buat apa sahaja demi yang tersayang.

6. The Chaser

Bila telefon rumah berdering dan korang nak jawab dulu. Gambar daripada Sky.com.

Sama seperti tajuknya, The Chaser merupakan satu lagi cerita kejar-mengejar antara seorang penyiasat dan penjenayah – sama macam I Saw the Devil. Cumanya dalam The Chaser, dorang memang kejar-mengejar secara harafiah, mengah kami tengok.

Watak utama cerita ni adalah seorang bekas polis yang bertukar kareer kepada bapak ayam. Bila ada seorang anak ayam dia hilang secara misteri, dia rasa ada yang tak kena dan mulakan penyiasatan. Dan apa yang dia jumpa adalah seorang pembunuh bersiri yang muka macam selenga, tapi pandai memanipulasi orang.

Tak macam cerita detektif yang lain, dalam filem ni cepat je kita tau siapa pembunuh bersiri dia. Tapi tu tak bermakna cerita ni habis, penjenayah kena tangkap, dan yang lain hidup happily ever after. Sebaliknya, konflik tu tetap berterusan. Satu lagi tema yang dibawa oleh filem ni adalah sistem kerajaan yang korup dan penuh dengan biroraksi.

7. The Yellow Sea

Ini salam friendzone namanya. Gambar dari Variety.

Dalam senarai ni, The Yellow Sea melibatkan lanskap yang paling luas berbanding filem lain – ia melibatkan banyak watak, tempat, dan latar belakang masyarakat pada zaman tu.

Watak utama filem ni adalah seorang pemandu teksi Korea yang tinggal di Yanji, China. Kawasan ni memang ramai warga Korea yang sangat miskin dan terlibat dalam jenayah. Isteri watak utama pulak dah lama berhijrah ke Korea Selatan untuk cari kerja, tapi dah lama tak dengar berita dan tak hantar duit.

Sebab dah tak mampu bayar sewa dan banyak hutang judi, watak utama kita pun terima satu tugas daripada seorang mafia untuk menyeberangi The Yellow Sea (sempadan China, Korea Utara, dan Russia), dan tugas tersebut adalah – membunuh seseorang. Malah dia ada motif kedua iaitu mencari isteri dia kat sana.

Di sinilah bermulanya peristiwa-peristiwa malang terhadap watak utama kita orang biasa yang terdesak, terperangkap dalam kemiskinan dan dendam, dan tersepit antara pergaduhan kumpulan-kumpulan yang tak peduli pun akan nyawa dia. Sangat tragik.

Kenapa filem Korea obses dengan tema balas dendam?

Tema balas dendam boleh jumpa dalam banyak filem, tak kiralah dari negara mana pun. Tapi kenapa ia sangat popular kat Korea Selatan, sampai jadi satu genre khas?

Ada yang kata fenomena ni dipengaruhi oleh sejarah Korea Selatan sendiri. Zaman dulu dorang terpaksa melalui pelbagi konflik – termasuklah hubungan yang kompleks dengan China, kehadiran tentera Amerika, perpecahan Korea, perang yang mengorbankan nyawa dan memisahkan keluarga, dan ancaman dari Korea Utara.

Diktator Park Chung-hee pernah memerintah sepanjang 16 tahun sebelum dibunuh pada tahun 1979. Pada tahun 1996, dua bekas presiden Korea Selatan telah didapati bersalah atas jenayah masing-masing tapi diampunkan pada tahun seterusnya. Orang-orang kaya yang kaut untung daripada rejim ni pulak sampai sekarang terlepas macam tu je.

Dengan semua tragedi yang berlaku ni, macam manalah agaknya dorang tahan kan?

Gambar yang menyayat hati sewaktu perang Korea. Gambar dari All That Is Interesting.

Menurut pakar filem Jinhee Choi, filem-filem Korea Selatan semenjak tahun 90-an ni dikenali sebagai “New Wave Cinema” bagi rakyat yang masih bergelut dengan trauma. Jadi filem-filem ini dibuat sebagai salah satu cara untuk menyalurkan perasaan-perasaan negatif ni semua.

Nampaknya selain daripada hiburan, kita boleh lihat budaya satu-satu masyarakat tu melalui seni yang dorang hasilkan. Walaupun filem-filem ni tak semestinya menceritakan sejarah dorang, tapi kita boleh ‘rasa’ pergelutan yang dorang alami.

Agak-agaknya, apalah makna yang orang lain nampak bila dorang tengok filem Malaysia ye?

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.