Hospital Sungai Buloh boleh kesan Virus Wuhan? Apa pula kehebatan hospital lain?

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Bila jatuh sakit je, benda pertama yang korang buat mesti pergi jumpa doktor kat klinik, kan? Kadang tu sampai disalah erti nak minta MC semata :( . Tapi bila keadaan korang semakin teruk, korang akan dirujuk pula kepada pakar di hospital bagi mengenalpasti, apa sebenarnya penyakit korang ni?

Ni benda biasa lah di mana-mana pun. Tapi macam mana kalau kitorang bagitahu yang ada beberapa kes di mana pesakit yang sedang menjalani rawatan di hospital, dipindahkan ke hospital lain. Contohnya masa terjadinya kes pertama koronavirus yang melibatkan 3 warganegara China di Johor, yang masuk melalui Singapura. Mereka ni terlebih dahulu dikuarantinkan di Johor sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut. 

Malah, perkara yang sama terjadi kepada seorang rakyat Malaysia berumur 41 tahun yang baru saja disahkan sebagai mangsa pertama yang diuji positif koronavirus. Dia dilaporkan terlebih dahulu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta disebabkan batuk dan demam, dan kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut.

Jadi bila terjadinya perkara sebegini, ramai netizen yang mempersoalkan keputusan untuk memindahkan pesakit ke Hospital Sungai Buloh. Sampailah kita jumpa jawapan kepada persoalan tu tadi yang menjelaskan perkara sebenar:

Kitorang try juga menghubungi pemilik tweet tersebut, tapi tak berjaya. Jadi, kitorang cuba pula hubungi Kementerian Kesihatan untuk mengesahkan maklumat ni. Tapi nampaknya… kitorang masih lagi menunggu respon hospital. Walaubagaimanapun, apa yang menarik perhatian kitorang adalah macam mana pulak dengan hospital-hospital lain yang ada keistimewaan tersendiri?

Dan disebabkan orang kita mudah sangat percaya tanpa usul periksa…

Gif dari Tenor

… kitorang decide yang kitorang nak check sendiri dengan kenalan penulis asal artikel ni, Dr Dee (bukan nama sebenar sebab dia nak stay unknown je), merupakan seorang doktor di Sabah. Dan menurut Dr Dee…

Terdapat beberapa buah hospital yang pakar dalam merawat pesakit kronik

Bila kita cakap pasal hospital pula, ada tiga kategori bagi penjagaan kesihatan awam: penjagaan primer dan pencegahan, penjagaan sekunder dan penjagaan tertiari. Korang boleh tengok infografik dari jurnal UM ni untuk pemahaman yang lebih baik:

Screenshot dari studentsrepo.um.edu.my

Dan kebanyakan hospital yang akan kita bincangkan dalam artikel ni adalah di bawah penjagaan tertier. Hospital-hospital ini kadang-kadang dikenali sebagai pusat rujukan.

Walaupun setiap hospital mempunyai jabatan yang berlainan, tapi menurut Dr Dee, terdapat beberapa hospital yang mempunyai keupayaan istimewa untuk menangani kes-kes perubatan yang rumit.

“Setiap hospital ada department-department lain, tapi sesetengah  hospital tu, ada keistimewaan tersendiri sebagai pusat rujukan di seluruh Malaysia.” – Dr Dee

Walau bagaimanapun, Dr Dee juga menambah yang senarai lengkap hospital ni hanya diketahui dalam kalangan pengamal perubatan, terutamanya doktor. Jadi, dengan pengetahun tersebut dan dengan beberapa kajian, kitorang akhirnya berjaya cari empat buah hospital awam (tak termasuk Hospital Universiti macam Pusat Perubatan UM sebab semi-kerajaan) dengan kepakaran seperti…

1. Hospital Sungai Buloh yang dikhaskan untuk Penyakit Berjangkit

Pada tahun 1999, Hospital Sungai Buloh dibina untuk menampung keperluan penduduk sekitar yang semakin meningkat. Pada masa yang sama, hospital itu dibina untuk mengurangkan aliran pesakit dari Hospital Kuala Lumpur.

Dan menurut Menteri Kesihatan pada masa tu, Datuk Chua Jui Meng, hospital itu akan menjadi pusat bagi penyakit berjangkit.

Hospital tersebut, yang akan siap tahun depan, akan dilengkapi dengan kemudahan yang paling moden dan canggih untuk menangani penyakit berjangkit. Pakar di lapangan juga akan berpusat di hospital. “- Chua kepada The Star pada tahun 2003.

Chua Jui Meng. Imej dari Christianity Malaysia

Pusat itu dilaporkan dibina di bekas penempatan kusta yang terletak berhampiran hospital yang menempatkan pesakit kusta dari Pusat Kawalan Kusta Nasional. Ia  diambil oleh hospital bagi mengelakkan tempat tersebut daripada diceroboh oleh orang asing.

“Berikutan pencerobohan oleh penduduk asing yang dilaporkan,  kami membuat permohonan supaya rumah-rumah dan bangunan-bangunan di sana dirobohkan.” – Ketua Pengarah Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Khalid Ibrahim kepada Borneo Post pada tahun 2016.

Dan inilah sebab kenapa ramai pesakit yang disyaki koronavirus dihantar ke hospital ni, macam yang kita bagitahu masa awal tadi. Lagipun, di hospital ni la di mana terletaknya Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan. Juga dilaporkan, disinilah ujian kes-kes koronavirus diadakan dan disahkan.

2. Kepakaran Hospital Ampang dalam Hematologi

Kalau korang duduk kawasan KL, korang memang akan selalu sangatlah nampak hospital ni. Tapi, korang tahu ke yang hospital ni adalah salah satu sebuah pusat rujukan pakar?

Terletak di Ampang, Hospital Ampang mula beroperasi pada tahun 2006, dan dikenali sebagai Pusat Rujukan Nasional bagi rawatan Hematologi. Apa tu?

Hematologi adalah rawatan, diagnosis dan pencegahan penyakit yang berkaitan dengan darah. Jadi, ini bermakna kes-kes luar biasa yang memerlukan rawatan tambahan daripada doktor yang khusus dalam bidang ini akan dirujuk ke Hospital Ampang.

Dan seperti Hospital Sungai Buloh, hospital ni juga ada makmal tersendiri. Dikenali sebagai Makmal Rujukan Klinikal Hematologi, ia adalah makmal rujukan negara milik Kementerian Kesihatan yang dikhususkan untuk pengujian hematologi.

Kitorang ada jumpa reviu pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Ampang. Salah seorangnya adalah Tan Ming Ser, yang didiagnosis dengan Leukemia Myeloid Akut, sejenis kanser darah, pada tahun 2013.

“Apa yang saya boleh kata, saya terhutang sebahagian besar daripada hidup saya kepada pasukan di Hospital Ampang. Dari hari kami melangkah masuk ke hospital, saya dan keluarga  terkesan dengan layanan mesra para pesakit dan sikap profesional pengamal perubatan.

Semua orang dari perunding dan kakitangan kejururawatan kepada kakitangan pentadbir dan keselamatan jelas memahami peranan dan tanggungjawab mereka.” – Petikan dari Malay Mail.

Selain tu, seorang anak kepada pesakit, Nadya Amin Shaharudin turut mengakui perkara yang sama. Ibu Nadya didiagnosis dengan multiple myeloma pada tahun 2012 dan dimasukkan ke Hospital Ampang.

Dalam sepucuk suratnya kepada The Star, Nadya menyatakan kebimbangannya ketika ibunya mula didiagnosis dengan penyakit itu. Tapi dia kemudian mendapati yang ibunya berada di bawah penjagaan baik para doktor yang menjelaskan tentang penyakit tersebut secara terperinci, jururawat yang juga berpengetahuan dan juga kakitangan bukan perubatan.

3. Kepakaran Hospital Serdang dalam Kardiologi

Hospital Serdang. Imej dari musadun.com

Ok, mungkin korang pelik, kenapa kitorang senaraikan Hospital Serdang sebagai institut perubatan yang mempunyai kepakaran dalam Kardiologi (sebarang penyakit yang berkaitan dengan jantung) dan bukan Institut Jantung Negara (IJN).

IJN, yang ditubuhkan pada tahun 1992, adalah sebuah institusi pakar jantung yang menyediakan rawatan kepada pesakit yang mempunyai masalah jantung. Dan IJN biasanya dikenali sebagai tempat di mana pesakit jantung pergi (tapi bukan untuk sakit semata-mata). Malah, Tun Mahathir sendiri pernah menerima rawatan di IJN disebabkan jangkitan dada pada tahun 2018, dah juga pada tahun 2007.

Tun Mahathir dan isterinya, Tun Hasmah. Imej dari smasanews.com

Walaupun IJN dikenali untuk rawatan jantung, tapi Pusat Jantung Kementerian Kesihatan Malaysia sebenarnya terletak di Jabatan Kardiologi Hospital Serdang. Malah, jabatan ini juga dikenali sebagai institusi pakar jantung kedua selepas IJN. Jabatan ini juga boleh merawat sehingga 250 pesakit dalam SEHARI.

Yang menariknya lagi, masa kitorang kaji benda ni, kitorang dapati ada hospital lain yang dikenali sebagai Pusat Rujukan Kementerian Kesihatan. Tapi tak macam hospital yang kitorang sebutkan tadi, pusat ni hanya memberi tumpuan kepada pesakit dibelah Utara Semenanjung Malaysia, iaitu  Hospital Pulau Pinang.

4. Kepakaran Hospital Selayang dalam penyakit berkaitan hati

Hospital Selayang. Imej dari Bernama

Dan nampaknya, rawatan penyakit hati bukanlah bermula di Hospital Selayang. Perkhidmatan tersebut dipelopori oleh Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican di Hospital Kuala Lumpur untuk memenuhi tuntutan pesakit yang menderita komplikasi daripada penyakit hati.

Perkhidmatan ni seterusnya dipindahkan ke Hospital Selayang pada tahun 1999, dan  berkembang menjadi pusat rujukan tertiari kebangsaan khusus dalam pengurusan pesakit kritikal berkaitan penyakit hati.

Sehingga tahun 2016, terdapat sebanyak 80 buah pembedahan pemindahan hati yang dilakukan di hospital ini dan dikatakan menjadi satu-satunya pusat pemindahan hati di Malaysia. Dah tentulah pusat-pusat swasta lain juga boleh melakukan pemindahan ni, tapi menurut Dr Ismail…

“Terdapat percubaan melakukan pemindahan hati di pusat-pusat swasta, tapi kami merasakan pemindahan hati harus ditawarkan kepada pesakit di kemudahan awam… kerana ia memerlukan kepakaran dan mempunyai sumber yang sangat intensif.” – Petikan dari The Star.

Selain daripada pemindahan hati dan rawatan pesakit hati, pusat ini juga menganjurkan forum yang mengemas kini doktor mengenai penemuan baru dan teknologi dalam rawatan hati. Ia dikenali sebagai biennial Liver Updates.

Bukan conference sebenar, tapi lebih kurang macam ni la. Imej dari APASL

Bukan tu je. Rupa-rupanya, Hospital Selayang juga dikenali sebagai hospital pertama dan satu-satunya yang menawarkan perkhidmatan kepada pesakit yang mengalami penyakit-penyakit rematik yang berkaitan dengan sendi, ligamen, tulang dan otot. Dan sebab itu juga, Hospital Selayang dikenali sebagai pusat rujuk pediatrik rheumatologi tertiari di Malaysia.

Sebenarnya, ada lebih banyak hospital dengan kepakaran seperti ini. Selain daripada keempat-empat hospital yang disebutkan ni, korang mesti tertanya-tanya…

… macam mana nak tahu kita nak ke hospital yang mana satu?

“Kebanyakan pesakit kita tak tahu ke mana mereka perlu pergi” – Dr Ismail kepada The Star.

Masa kitorang borak dengan Dr Dee pasal benda ni, dia bagitau kitorang yang walaupun hospital-hospital ni mempunyai keistimewaan mereka sendiri, ini tak bermakna yang mereka lebih hebat daripada hospital-hospital lain. Malah, Dr Dee menekankan yang kepakaran ni hanya bermakna hospital-hospital ni akan mengambil kes-kes yang jarang berlaku, serta memerlukan pemerhatian lebih dan rapi.

Dalam kes terbaru pasal wabak koronavirus pula, ini tak bermakna yang hospital lain tak boleh mengendalikan kes yang berkaitan dengan virus ni. Malah, Kementerian Kesihatan telah menyenaraikan 26 hospital lain selain Hospital Sungai Buloh yang pakar dalam rawatan penyakit berjangkit.

Korang juga boleh semak infografik dari Kementerian Kesihatan di bawah untuk senarai lengkap hospital yang terlibat:

Imej dari Twitter @KKMPutrajaya

Masa kitorang tengah menulis artikel ni, ada lebih daripada 10 kes koronavirus yang dilaporkan di Malaysia. Dan kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan untuk memerangi virus seperti menggantung semua kemudahan visa untuk pelancong China dari wilayah Hubei. Dan menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, Malaysia bukan berseorangan dalam hal ini.

“Malaysia, bersama negara ASEAN yang lain akan bekerjasama memerangi wabak ini” Dr Lee kepada NST.

Manakala untuk kita pula, kita boleh cuba elakkan diri daripada jatuh sakit dengan mencuci tangan dengan sabun, dan gunakan hand sanitizer kalau takde air atau sabun yang berdekatan, dan elakkan daripada menyentuh mata, hidung dan mulut dengan tangan yang tak dibasuh, dan elakkan daripada menyentuh mereka yang sakit.

Tapi kalau korang jatuh sakit juga (simpang malaikat 44) lepas amalkan cara di atas,  Dr Dee ada nasihat terakhir iaitu…

“Bagi orang ramai, pergilah ke mana-mana hospital berdekatan untuk didiagnosis dan mendapatkan rawatan.”