Sewaktu penjajahan Jepun, wanita ini dirogol 10 hingga 20 orang tentera sehari

Jepun kini menjadi antara negara yang paling banyak memberikan bantuan kepada negara dunia ketiga untuk pembangunan, seolah-olah usaha bertaubat daripada dosa yang mereka lakukan ketika perang. Apabila Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Ke-2 pada tahun 1945, Jepun terus diheret dengan konflik berpanjangan di seluruh dunia kerana sikap tenteranya sewaktu perang.

Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom hingga hancur. Imej dari Youtube

Antara sikap tentera Jepun yang membawa kepada konflik selepas perang adalah dalam isu perhambaan seks wanita seluruh Asia atau dunia untuk memuaskan nafsu tentera mereka. Isu itu sehingga kini masih hangat malah menjadi antara isu utama yang boleh mengeruhkan hubungan negara itu dengan negara lain terutama sekali dengan Korea Selatan. Jepun masih berdolak dalih, malah ada ketikanya nampak seperti tidak ikhlas.

Jadi, SOSCILI akan bawa korang semua sama-sama terbang ke Jepun untuk bersembang pasal isi penting isu yang tak selesai lagi sampai sekarang walaupun dah 73 tahun peperangan tamat.

Walaupun sudah 73 tahun Perang Dunia Ke-2 tamat, Jepun sehingga sekarang bergelut dengan isu zaman perang. Imej dari www.premiumbeat.com

Jepun buat sistem rumah pelacuran untuk pastikan tentera diorang “puas”

Bila Jepun mula meluaskan empayarnya, diorang terlupa satu perkara iaitu tentera diorang ni adalah lelaki buas yang perlukan wanita untuk melempiaskan nafsu. Mula-mula diorang buat tak peduli, lama-kelamaan tentera Jepun mula memperkosa wanita tempatan. Maka, wujudlah penentangan di kawasan tertentu yang menyebabkan pihak Jepun mula bertindak.

Wanita yang menjadi hamba seks tentera Jepun bukan sahaja diculik, ditipu tetapi juga dipukul dan dirogol tanpa henti. Imej dari The Independent.

Diorang perkenalkan “comfort house”, yang didakwa tak beza pun dengan rumah pelacuran yang banyak wujud ketika itu. Daripada pelbagai dokumen pentadbiran dan keterangan wanita hamba seks ini, rumah wanita Jepun wujud di mana-mana sahaja. Dari Manchuria, New Guinea, Kepulauan Andaman sampailah ke seluruh Asia Timur dan Tenggara.

Jumlahnya dianggarkan lebih 400 buah dengan ribuan wanita di dalamnya. Menurut keterangan beberapa wanita, diorang mengatakan setiap divisyen akan ada lima atau enam rumah pelacuran.

Akibatnya, ratusan ribu wanita dikerah menjadi hamba seks buas tentera Jepun. Walaupun jumlah sebenar mangsa tak dapat dikenal pasti, dianggarkan lebih 200,000 wanita seluruh Asia terpaksa hidup sebagai hamba seks ketika perang. Setelah perang, hanya 25% jumlah wanita hamba seks ini dikatakan terselamat. Selebihnya pula dah meninggal dunia kerana penyakit, didera, bunuh diri dan kemalangan lain ketika perang.

Antara mangsa perhambaan seks tentera Jepun yang ditahan tentera bersekutu selepas Jepun menyerah kalah. Imej dari Washington State Universities.

Pusat hamba seks ni juga wujud di Tanah Melayu

Kalau korang fikir tragedi hamba seks tentera Jepun ni hanya berlaku di tempat lain korang tersilap. Sebabnya, di mana sahaja ada tentera Jepun, di situlah akan wujud pusat hamba seks ni. Malah, di Tanah Melayu sendiri terdapat beberapa tempat yang sudah disahkan menjadi pusat hamba seks ni suatu masa dahulu. Antaranya adalah:

  1. Banglo besar belakang Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur
  2. Empat bangunan besar di sepanjang Jalan Tun Razak dekat dengan Perpustakaan Negara
  3. Hotel Tain Sun depan tapak lama Penjara Pudu
  4. Sebuah rumah di Jalan Ampang
Di bangunan MCA Kuala Pilah ini dahulu, wanita pernah ditahan dan dipaksa menjadi hamba seks tentera Jepun. Imej dari placesmap.net

Di luar KL juga ada beberapa yang disahkan sebagai tempat hamba seks tentera Jepun suatu masa dulu. Antaranya:

  1. Bangunan MCA Kuala Pilah, Negeri Sembilan
  2. Hotel Tong Lock di persimpangan Jalan Burma dan Jalan Zainal Abidin, Port Dickson
  3. Bangunan Seng Cheong, Jalan Cheng Lock, Melaka
  4. Sebuah sekolah Tamil di Sepang

“Saya dirogol 10-20 lelaki sehari…”

Banyak cara yang digunakan oleh pihak Jepun untuk mendapatkan wanita sebagai pemuas nafsu buas tenteranya. Pada mulanya diorang hanya ambik pelacur dari seluruh kawasan jajahan diorang. Kemudiannya, menurut Profesor Nakaharo Michiko, pihak Jepun keluarkan iklan untuk mencari pelacur pelbagai etnik berusia 17 hingga 28 tahun. Gaji yang ditawarkan pula kira banyaklah zaman tu dengan 150 Dollar Singapura.

Tapi lama kelamaan, tak cukup pelacur dah yang sanggup kerja dengan Jepun, jadi diorang mula ambil tindakan yang lebih drastik dan kejam. Lagi bertambah sedih apabila ada ibu bapa yang sanggup “jual” anak gadis mereka kepada Jepun. Ada juga wanita yang dijanjikan pekerjaan tetapi bila sampai kat tempat yang dijanjikan mereka dipaksa melacur, serta wanita yang ditipu sehingga berhutang dan untuk melangsaikan hutang terpaksa melayan nafsu buas tentera ini.

Antara wajah bekas hamba seks Jepun, ramai antara mereka sudah meninggal dunia tanpa sempat merasai keadilan. Imej dari scmp.com

Antara penipuan yang berlaku adalah Jepun menjanjikan wanita-wanita tempatan ni untuk bekerja di hospital, di dobi dan sebagainya, pendek kata kerja halal untuk cari duit lah. Pada zaman perang ketika semua orang nak cari kerja, duit untuk survive hidup, mestilah tertarik kan. Tapi malangnya, mereka ditipu kerana sebenarnya mereka sudah terjerat untuk jadi hamba seks tentera.

Ada juga yang lebih malang, diculik dari rumah sendiri, dirogol beramai-ramai dan dipaksa menjadi hamba seks tentera Jepun bertahun-tahun. Salah seorang mangsa wanita Melayu Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai “P” menceritakan:

“Saya sedang memasak di dapur. Saya gagal larikan diri. Mereka tangkap dan rogol saya. Saya cuba lawan tapi salah seorang mereka tendang kepala saya. Cedera…Ada empat bangunan besar di mana wanita yang layan tentera Jepun tinggal.

Saya terpaksa layan 10 hingga 20 tentera setiap hari. Saya dipukul sepanjang masa. Ia berterusan sampailah Jepun menyerah kalah pada 1945.”- P, wanita Malaysia bekas hamba seks Jepun, petikan dari Malaysiakini.

Selepas perang, P berkahwin pada tahun 1951. Tetapi disebabkan dia pernah dirogol sangat teruk, dia tak mampu nak lahirkan anak. Trauma yang dihadapinya disebabkan kejadian tu sampai sekarang menghantuinya. Banyak lagi kisah sengsara wanita bekas hamba seks ini, korang boleh baca kat sini.

Ramai wanita bekas hamba seks yang terselamat dipinggirkan keluarga selepas perang, terpaksa hidup melarat dengan trauma dan derita perang. Imej dari nsnbc.me

Malaysia pernah nak buat tuntutan tapi dihalang Menteri Pertahanan?

Pada 1992, Ketua Biro Antarabangsa Pemuda UMNO ketika itu, Mustapha Yaakob pernah memohon wanita yang pernah jadi hamba seks tentera Jepun tampil beri keterangan. Sangat mengejutkan bila dia sebenarnya terima lebih 3,500 pucuk surat dari mangsa hamba seks Jepun yang menceritakan pengalaman mereka menggambarkan sebenarnya ramai wanita Malaysia pelbagai kaum yang pernah menjadi hamba seks Jepun.

Itu daripada wanita yang masih hidup ketika itu, jadi kita boleh anggarkan yang sebenarnya ramai lagi yang jadi mangsa tapi tak tampil ke depan mungkin kerana malu dan stigma masyarakat. Ramai lagi yang dah terbunuh waktu perang dan selepas perang sebelum sempat menceritakan kisah perit mereka.

Veteran Umno, Mustapha Yaakob pernah nak bawa isu wanita hamba seks Tanah Melayu tetapi tidak berjaya. Imej dari Sinar Harian.

Mustapa tergerak hendak membangkitkan perkara ini selepas menghadiri Persidangan Hak Asasi Manusia yang diadakan di Geneva, Switzerland pada Jun 1992. Dia bercadang hendak bawa isu itu ke Persidangan Hak Asasi Manusia seterusnya yang akan diadakan di Austria pada Jun 1993.

Tetapi hasratnya terhalang apabila Menteri Pertahanan ketika itu memutuskan Mustapa tak cukup maklumat untuk dedahkan tragedi hamba seks wanita Malaysia di peringkat antarabangsa.

Jepun bayar pampasan berbilion kepada Korea, tapi…

Pada tahun 2015, Jepun dan Korea Selatan buat perjanjian untuk selesaikan masalah hamba seks ni. Ketika itu, perjanjian ini dianggap boleh selesaikan isu ni buat selama-lamanya. Tapi, bila situasi politik di Korea Selatan berubah, perjanjian ni mula dianggap “tak cukup” untuk selesaikan isu ini.

Sebenarnya, sebelum perjanjian ni pun ada beberapa tindakan dilakukan Jepun untuk gambarkan kekesalan diorang dalam isu ini. Antaranya adalah permohonan maaf Ketua Setiausaha Luar Jepun Yohei Kono dan penubuhan Asian Women’s Fund untuk bantu bekas hamba seks Jepun di Korea Selatan. Tetapi, Korea Selatan tak puas hati dengan tindakan-tindakan ini.

Sebabnya, ia bukanlah tindakan rasmi Kerajaan Jepun atau Parlimen (Diet) nya. Misalnya, Asian Women’s Fund tu dibiayai oleh syarikat swasta dan orang persendiran yang bagi derma untuk bantu kehidupan bekas hamba seks yang sekarang ni dah tua dan memerlukan penjagaan.

Tugu wanita hamba seks yang dikenali sebagai Sonyeosang sehingga kini menjadi tugu yang menimbulkan kemarahan Jepun. Imej dari Japan-Forward.com

Jadi, perjanjian 2015 ni cuba menyelesaikan masalah ni. Kerajaan Jepun meminta maaf secara rasmi dan peruntukan 1 bilion Yen yang diberikan sekali. Tapi, masalah mula muncul bila pentadbiran Korea Selatan yang buat perjanjian ni dianggap korup.

Sebuah pasukan tindakan khas ditubuhkan untuk menyemak perjanjian ini dan mereka mendapati perjanjian ni banyak kekurangan, antaranya ia dibuat secara sulit dan tidak melibatkan pandangan bekas hamba seks ini. Malah, perjanjian ni juga dilihat sebagai “tak ikhlas” kerana turut disertakan dengan desakan Jepun. Antaranya Korea Selatan perlu menghentikan semua kritikan terhadap Jepun berkaitan isu ini serta memindahkan tugu gadis hamba seks yang didirikan di depan Kedutaan Jepun di Seoul.

Tapi disebabkan perjanjian ni adalah perjanjian rasmi dua negara, Korea Selatan tak boleh buat apa-apa dah, tapi diorang masih cuba memasukkan suara bekas hamba seks ni dalam urusan pampasan yang diberikan. Ini bagi menghormati bekas hamba seks dan menyembuhkan luka perang, trauma dan penderitaan dialami mereka sehingga kini.

Apa yang sebenarnya wanita bekas hamba seks ni mahukan?

Mesti ada yang tertanya-tanya, dah dapat duit banyak kot, apa lagi yang wanita bekas hamba seks ni mahu?

Alasannya mudah, duit tak boleh kembalikan maruah dan kehidupan mereka. Ramai wanita ini selepas habis perang dibuang keluarga kerana dianggap tak suci, wanita kotor. Trauma yang mereka alami bukan sekadar kena rogol beramai-ramai, layan nafsu serakah tentera Jepun tetapi juga stigma yang diorang terima selepas habis perang dan boleh kata sampai mereka mati.

Di usia tua, wanita bekas hamba seks ini masih tegar menuntut keadilan. Imej dari Inquirer.net

Permohonan maaf mengikut definisi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (PDF) menyatakan yang permohonan maaf perlu dilakukan selepas rundingan dan perbincangan dengan mangsa. Benda ni lah yang tak wujud dalam perjanjian Korea Selatan-Jepun 2015. Definisi tu juga mengatakan, permohonan maaf itu tidak sepatutnya menutup peluang mencari kebenaran, benda ni juga tak dipenuhi dalam perjanjian 2015.

Ramai wanita hamba seks Jepun sudah meninggal sebelum sempat mengecapi keadilan. Imej dari PRI.

Apa yang paling utama, permohonan maaf dalam kes jenayah perang dilakukan negara perlulah disertakan dengan pengakuan maaf negara tersebut, sebaliknya Jepun hanya “mengakui penglibatan tenteranya sahaja”. Seolah-olah menafikan kepimpinan negara Jepun ketika perang tidak mengetahui wujudnya perhambaan seks, sesuatu yang dinafikan berulang kali oleh dokumen sejarah dan tentera yang wujud.

Kesan peperangan mengambil masa yang panjang untuk sembuh

Kisah ratusan ribu wanita yang dipaksa melayan nafsu serakah tentera Jepun ni menggambarkan kepada kita yang kesan perang ambil masa yang sangat lama untuk sembuh. Walaupun dah tamat, tapi kesan psikologi, trauma, penderitaan dan hilang nyawa serta maruah tak akan hilang buat selamanya.

Dalam perang, yang derita mereka tak pernah sembuh adalah wanita dan kanak-kanak. Imej dari The Vietnam War.

Begitu juga, permohonan maaf sebenarnya tak pernah cukup, apatah lagi kalau ia dibuat separuh hati dan tidak mahu memanjangkan keadaaan. Permohonan maaf perlu dibuat dengan komitmen untuk tidak mengulangi kesilapan silam, untuk menyesal dengan tingkahlaku silam dan paling penting ia perlu dibuat dengan mengakui penderitaan mangsa terutama wanita dan kanak-kanak yang paling banyak menderita.