Dari Din Beramboi ke Abam. Ini pelawak-pelawak yang telah pergi meninggalkan kita

Pada pagi Isnin lalu, kita semua dah dikejutkan dengan berita pemergian pelawak dan penghibur serba boleh Abam Bocey atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan. Adik Abam, Ali berkata – dia menerima panggilan dari isteri Abam sebelum itu yang memberitahunya Abam tidak sedarkan diri. Apabila sampai ke kediaman abangnya, Ali mendapati Abam sudah tidak bernafas.

“Beberapa hari lepas dia demam dan mengadu sakit kepala. Tetapi bila ajak ke hospital, dia tak mahu.

“Katanya hanya demam dan sakit kepala biasa. Tapi… pagi tadi saya kejutkan untuk solat subuh, namun dia tak ada tindak balas daripada dia.” – Nor Hidayah, isteri Abam. Katanya dipetik dari Astro Awani.

Dalam kenangan – Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan (1988 – 2020). Imej dari Denai Hati.

Pemergian Abam juga menerima pelbagai reaksi dari ramai rakan artis lain, terutamanya Fad dan Acey yang ternyata terkejut dan rasa tak percaya dengan pemergian rakan baik mereka itu. Tapi ini bukan kali pertama kita dikejutkan dengan berita pemergian pelawak dan penghibur. Mungkin kita semua masih ingat dan terkenang dengan…

1. Din Beramboi – Dari hiburan kaset ke DJ radio

Din Beramboi (1966 – 2010). Imej dari Wikipedia.

Nama Din Beramboi sebenarnya dah begitu popular sejak tahun 1990-an lagi. Masa tu, Din Beramboi atau nama sebenarnya Meor Ahmad Fuad terkenal dengan ‘kaset celoteh Din Beramboi’ kerana ia memang lucu dan menarik hati untuk didengar. Kalau korang nak tahu, Din Beramboi pernah beritahu yang nama watak tu sebenarnya lebih panjang lagi iaitu – Din Beramboi Alai Berjanggut.

“Sebenarnya saya buat rakaman Din Beramboi itu secara santai dengan menggunakan alat perakam biasa.

Kemudian saya minta tolong kawan uruskan rakaman tersebut supaya menjadi lebih cantik. Tahu-tahu cerita Din Beramboi ciptaan saya itu sudah tersebar luas.” – Katanya dipetik dari Utusan Malaysia (14 Dis 2006).

Majalah Din Beramboi. Imej dari akujohan.blogspot

Bagaimanapun pada tahun 1987, watak Din Beramboi dah dilukis dalam bentuk kartun di majalah Gila-Gila. Idea tu datang selepas seorang kartunis mendengar kaset-kaset lawak Din Beramboi yang orangnya masih misteri ketika itu. Pada tahun 1994, watak ni sekali lagi muncul di majalah kartun UJANG.

Dalam populariti yang semakin memuncak tu, Din Beramboi muncul dan mendakwa watak tu sebenarnya ciptaannya. Hal ni jadi kecoh jugalah, sampaikan akhirnya pihak UJANG menarik diri. Din Beramboi juga selepas tu, tak mahu bincangkan lagi hal ni dan baginya biarlah ia menjadi lipatan sejarah.

Menjelang tahun 2000, populariti Din Beramboi meningkat lagi – bila terhasilnya album celoteh bersama Aznil Hj Nawawi yang berjudul ‘Sawancara Aznil Dengan Din’. Dua tahun lepas tu, terbit satu lagi album yang dikenali sebagai ‘Din Beramboi Cari Makan’ yang memuatkan lagu dan sketsa

Diterbitkan pada tahun 2002. Imej dari akujohan.blogspot

Kemuncak populariti Din Beramboi boleh dikatakan bermula pada tahun 2009 apabila dia bergandingan bersama Aznil sebagai penyampai radio di Riuh Pagi Era FM. Disamping itu, Din Beramboi juga ada rancangan bual bicara sendiri – ‘Wuhai Beramboi’ di Astro Warna dan menjadi artis jemputan di banyak program TV.

Kalau korang nak tahu, selain berlawak – Din juga pernah berlakon serius dalam klip video ‘Awan Yang Terpilu’, sebagai bapa Ning Baizura. Klip video ni kemudiannya diiktiraf sebagai video muzik terbaik 2005.

“Saya menjalani uji bakat untuk membawakan watak sebagai bapa Ning. Ternyata pengarah Virginia Kennedy berani dan yakin saya boleh bawa watak serius.

Sebenarnya saya pun teringin nak bawa watak jahat atau gila, tapi sehingga kini belum berpeluang.” – Katanya dipetik dari Utusan Malaysia (14 Dis 2006).

Bagaimanapun, lawak dan komedi Din berhenti menemani kita apabila beliau meninggal dunia pada 2 April 2010. Allahyarham sebelum tu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, akibat demam denggi berdarah. Kini telah hampir 10 tahun, allahyarham meninggalkan kita semua.

2. Bob Kuman – penghibur serba boleh

Bob Kuman (1971 – 2012). Imej dari mStar.

Salah seorang pelawak yang kita pernah nampak selalu berdampingan dengan Saiful Apek adalah tak lain dan tak bukan, Bob Kuman. Berasal dari Negeri Sembilan, Bob Kuman atau nama sebenarnya, Husni Mohd Rawi memulakan kerjaya sebagai pelakon pembantu dalam filem Sama Tapi Tak Serupa (1995).

Selepas itu, Bob bekerjasama dengan rakan sekampungnya, Khuzaimi Ismail (atau Kumin) menubuhkan kumpulan KU2. Kumpulan tu mencatatkan kejayaan besar bila album pertama mereka – ‘Motivasi’ berjaya menerima jualan lebih 25 ribu unit dan menang anugerah platinum.

Bob Kuman ketika menerima kunjungan TG Haji Hadi Awang di rumahnya pada April 2012. Imej dari Ibnu Hasyim.

Berganjak ke tahun 2000-an, Bob semakin banyak muncul dalam filem dan rancangan TV. Antaranya seperti dalam filem Dari Jemapoh Ke Manchestee (2001), Jutawan Fakir (2003), Orang Minyak (2007) dan sebagainya. Dalam rancangan TV pula, Bob selalu bergandingan dengan Saiful Apek seperti dalam rancangan Gitu-Gitu Apek.

Bagaimanapun pada sekitar tahun 2010, kesihatan Bob semakin merosot. Sejak dari itu, Bob selalu mengalami masalah sesak nafas dan bengkak kaki sehingga memerlukannya berulang alik ke hospital untuk menerima rawatan. Bob akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 3 Mei 2012, pada usia 40 tahun.

3. Harun Salim Bachik – pelawak, pelakon dan bekas Presiden SENIMAN

Harun Salim Bachik (1959 – 2015). Imej dari beautifulnara.com

Seorang lagi pelawak yang cukup dirasai pemergiannya adalah Harun Salim Bachik yang meninggal dunia pada 8 Mac 2015. Beliau memulakan karier seninya sebagai pelakon untuk siri ‘Rumah Kedai’ pada tahun 1990-an.

Namanya semakin mula dikenali apabila Harun memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Anugerah Skrin 2001. Menariknya, anugerah itu diterima kerana Harun memainkan watak serius dalam drama ‘Hangatnya Salju Dinginnya Bara’.

Selepas itu, Harun mula berlakon dalam banyak filem (terutamanya komedi) seperti – Baik Punya Cilok (2005), Man Laksa (2006), Cuti (2008), My Spy (2009) dan banyak lagi. Harun juga aktif dalam persatuan apabila beliau menjadi Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dari tahun 2010 hingga 2012.

Gandingan Harun & AC Mizal dalam filem arahan Afdlin Shauki. Imej dari The Movie DB.

Pada tahun 2011, Harun telah bergandingan bersama Afdlin Shauki dengan membentuk kumpulan Boboi dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega. Kumpulan ni berjaya menang tempat ke-2 dalam pertandingan berkenaan.

Bagaimanapun, seperti yang diceritakan di awal tadi, Harun menghembuskan nafas terakhirnya pada 8 Mac 2015 setelah dipercayai mengalami sesak nafas ketika singgah di Hentian Rehat & Rawat Gunung Semanggol (Selatan), Perak. Arwah menutup usia pada umur 56 tahun.

Pada Disember tahun sama, arwah telah dikurniakan ‘Anugerah Pohon Beringin’ bagi menghargai khidmat bakti beliau dalam bidang seni. Anugerah utama Gegar Anak Seni (Gasseni) itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada balu Allahyarham, Surianti Mohd Nor.

4. Yus Jambu – dari Sinaran Pasport Kegemilangan ke juara Raja Lawak

Yus atau nama sebenarnya, Yussry Edo (1976 – 2015). Imej dari Metro.

Sekarang ni, boleh dikatakan ramai di kalangan pelawak kita berasal dari rancangan pertandingan Raja Lawak. Dan kalau ada di antara korang yang masih tak tahu, orang yang mula-mula jadi juara pertandingan tu adalah Yus dalam program Raja Lawak musim pertama pada 2007. Tapi sebelum tu, arwah atau nama sebenarnya Yussry Edoo dah pun menyertai pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan TV pada 2001.

Selepas dinobatkan sebagai juara Raja Lawak, Yus dah membintangi banyak drama dan telefilem, sebelum menubuhkan kumpulan Jambu pada 2011 untuk menyertai Maharaja Lawak Mega. Kumpulan tu kemudiannya berjaya menerima tempat ke-4 dalam pertandingan berkenaan. Tapi setahun lepas tu, gandingan Yus dan Tauke berjaya menjadi naib johan dalam Maharaja Lawak Mega edisi 2012.

Yus dan gandingannya Tauke yang membentuk kumpulan Jambu. Imej dari mStar.

Selain tu, Yus juga terlibat dalam seni pementasan teater dan telah terlibat dalam beberapa buah pementasan. Beliau turut dinobatkan sebagai Pelakon Teater Terbaik Kebangsaan pada tahun 2004.

Bagaimanapun, Allah lebih menyayanginya apabila Yus meninggal dunia pada 30 November 2015. Arwah dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung setelah rebah ketika mengadakan persembahan. Jenazah arwah dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Kampung Nesam, Kangar, Perlis.

Industri lawak juga penuh dengan kisah suka dan duka

Reaksi Fad dan Acey ketika menerima pemergian Abam. Imej dari FMT.

Jika nak diperhatikan, sebenarnya dah ramai pelawak dan penghibur Tanah Air yang telah pergi meninggalkan kita. Mungkin kita semua masih ingat dengan nama-nama seperti Ali Mamak, Mr Os, Accapan, Zami Ismail, Ahmad Busu, Osman Kering, Piee dan ramai lagi yang pernah menghiburkan kita suatu ketika dulu. Semoga segala kenangan dan pengorbanan mereka dalam industri ini terus diingati dan dihargai.

Akan tetapi, seperti mana-mana industri sekalipun – industri lawak juga penuh dengan kisah suka dan dukanya. Kita sendiri mungkin pernah mendengar tentang segala kisah onak dan duri yang pernah dilalui oleh para pelawak ketika menyertai industri ini.

Tapi sejak kebelakangan ni, nampaknya ada juga beberapa usaha positif untuk membantu industri ini seperti memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada para penggiat seni negara.

Mungkin di masa akan datang, akan ada lebih banyak lagi inisiatif disediakan kepada para penggiat seni. Apa yang lebih penting, bukan hanya kepada individu itu sahaja, tetapi juga kebajikan anak, isteri dan keluarga.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.