5 tokoh Malaysia yang pernah terlibat dengan PBB

Tak lama dulu, SOSCILI pernah tulis artikel pasal Perdana Menteri dari Portugal, Antonio Guterres yang dilantik menjadi Setiausaha Agung untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantikan Ban Ki-moon pada 31 Disember 2016.

Klik sini untuk baca pasal Antonio Guterres. Imej dari Soscili.my

Kalau korang nak tahu, pangkat Setiausaha Agung dalam PBB ni adalah pangkat diplomatik yang tertinggi di dunia. Jadinya, Antonio jadi orang tengah dalam penyelesaian pertikaian-pertikaian diplomatik. Dalam masa yang sama, dia juga boleh pilih siapa yang boleh jadi ahli dalam PBB ni.

Oh, ye. Salah satu point dalam artikel SOSCILI tu, kitorang ada cakap pasal Antonio Gutteres juga berjanji akan masukkan lebih ramai perempuan dalam PBB yang sebelum ni dipenuhi dengan lelaki je. Dan siapa yang sangka, baru je beberapa hari lepas, ada sorang tokoh wanita dari Malaysia mengangkat sumpah sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)!

Jadi, siapa orang Malaysia yang terpilih ni?

1. Datuk Maimunah Mohd Sharif, dari Datuk Bandar Pulau Pinang kepada Penolong Setiausaha Agung PBB

Tokoh yang terpilih tu nampaknya adalah Datuk Maimunah Mohd Sharif, iaitu Datuk Bandar Pulau Pinang yang sekarang ni.

Datuk Maimunah Mohd Shariff. Imej dari Berita Harian

Dia dilaporkan telah mengangkat sumpah dihadapan Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat pada 30 Januari jam 2 petang waktu tempatan. Mana la korang nak perasan, sebab 2 petang waktu New York tu adalah 3 pagi waktu Malaysia, kita semua tengah lena dibuai mimpi, atau main Facebook.

Dalam masa yang sama, dia juga turut mengangkat sumpah untuk jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat yang memang dah dijawatnya sejak 1 Januari lalu. Kira macam 2-in-1 la ni.

Datuk Maimunah dalam akaun Twitternya, dua hari yang lepas. Imej dari Twitter

Macam mana Datuk Maimunah ni terpilih untuk terima kedua-dua jawatan penting kat PBB ni? Semuanya disebabkan dia dapat sokongan sebulat suara dalam perhimpunan agung pertubuhan tu, bagi menggantikan bekas Datuk Bandar Barcelona, Joan Clos yang tamat kontrak pada 31 Disember lepas secara rasmi.

“Adalah matlamat saya untuk melaksanakan matlamat UN-Habitat, iaitu matlamat pembangunan lestari dan agenda bandar baru 2030 di peringkat kerajaan tempatan,” – Datuk Maimunah Mohd Sharif, dipetik dari The Star.

Kalau nak diikutkan, Datuk Maimunah ni baru juga menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar Penang, iaitu sejak Jun tahun lepas menggantikan Datuk Patahiyah Ismail yang tamat tempoh perkhidmatannya. Sebelum tu, dia merupakan Presiden untuk Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Apa yang lagi hebatnya, pemilihan dia sebagai Penolong Setiausaha Agung dalam PBB ni nampaknya dah menjadikannya sebagai wanita Asia pertama yang menjawat jawatan tu!

See? Cepat betul UN update dorang punya website. Imej dari unhabitat.org

Datuk Maimunah Mohd Sharif memulakan kerjayanya sebagai Perancang Bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada tahun 1985. Pada tahun 2003, dia dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Perancangan dan Pembangunan. Sebagai Pengarah, dia bertanggungjawab untuk penyediaan struktur dan rancangan tempatan, dan terlibat secara langsung dalam pembangunan projek dan landskap Pulau Pinang.

Dia juga mengetuai pasukan untuk perancangan dan pelaksanaan Projek Pembaharuan Bandar di GeorgeTown. Pada November 2009, Datuk Maimunah diamanahkan sebagai Pengurus Besar yang pertama untuk menubuhkan George Town World Heritage Incorporated dan menguruskan Tapak Warisan Dunia George Town, hasil pengiktirafan UNESCO pada bulan Julai 2008.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada sidang akhbar mengumumkan pelantikan Maimunah dan menyifatkannya sebagai sumber kebanggaan rakyat Pulau Pinang dan penghormatan untuk Malaysia.

Jadi sekarang ni bila dia dapat jawatan baru di peringkat antarabangsa, maknanya dia kena lepaskan jawatannya sebagai Datuk Bandar Penang. Jawatan baru dia ni nampaknya akan menempatkan dia ke Nairobi, Kenya.

Farewell, Datuk! Imej dari The Star

Tapi, korang jangan tak tahu pula yang sebelum Datuk Maimunah Shariff, ada beberapa orang tokoh Malaysia yang lain pernah juga terlibat dengan PBB, contohnya macam..

2. Tun Dr Ismail, Duta Malaysia pertama, siap bawak keris masuk dewan PBB!

Korang mesti pernah dengar Taman Tun Dr Ismail, kan? Lebih-lebih lagi pasar malam atau masa bazar ramadhan yang boleh buatkan jalan jadi ya ampunnn jammed gila.

TTDI. Imej dari The Star

Tapi korang kenal ke tak dengan tokoh yang bernama Tun Dr Ismail ni?

TDI memang ada stail. Imej dari ktemoc.blogspot.

Tun Dr Ismail ni, adalah seorang lulusan perubatan daripada Australia. Dia kemudiannya buka klinik perubatannya sendiri yang dikenali sebagai Tawakkal di Johor Bahru dari tahun 1947 hingga 1952, di samping bekerja secara sambilan di Hospital Besar, Johor Bahru.

Dalam masa yang sama, dia juga merupakan aktivis politik dan juga orang penting dalam pembentukan negara kita bila Inggeris membentuk Malayan Union. Tun Dr Ismail dengan keluarga dia bersama-sama terlibat dalam kempen anti-Malayan Union yang diketuai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Disebabkan Dr Ismail diberi kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan penting negara, dia kemudiannya terpilih untuk pegang jawatan sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat dan juga wakil kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Salah satu sebab lain adalah orang Cina lebih percayakan dia berbanding Perdana Menteri pada masa tu.

“Orang Cina takde keyakinan terhadap Razak (Tun Abdul Razak), tapi dorang percaya kat Ismail. Razak sering dikaitkan dengan orang Melayu atau pun kawasan pendalaman tapi semua bangsa pula kenal Ismail sebagai orang yang berprinsip.” – Tengku Razaleigh, Bekas Menteri Kewangan.

Ku Li yang banyak tahu selok-belok politik di Malaysia. Imej dari blogspot

Masa kita baru je kecapi kemerdekaan pada tahun 1957, Tun Dr Ismail ni kemudiannya dilantik sebagai diplomat pertama Malaya ke PBB dan Duta Besar Malaya yang pertama ke Amerika Syarikat. Masa dia mula nak berucap dalam PBB tu, semua orang bagi perhatian kat dia, bukan semata-mata ayat dia yang tegas, tapi juga pemakaian dia melambangkan kebanggaan dia sebagai seorang Melayu Malaya.

Dr Ismail dengan bangganya berpakaian kebangsaan Melayu lengkap, siap dengan tengkolok dan sebilah keris di pinggangnyaPower tak powernya dia, itu adalah pertama kali mana-mana senjata pernah di bawa masuk ke dalam dewan PBB. Alasannya, dia berkeras dengan pendirian Malaysia untuk tak berpihak dengan mana-mana negara berperang, iaitu pihak barat dan Amerika atau pun pihak Komunis Rusia.

Dr Ismail yang pakai pakaian tradisional Melayu masa Perhimpunan Agung PBB ke-12 pada tahun 1957. Malaysia masa tu masih dikenali sebagai Malaya. Imej dari outlet.historicimages.com

Masa perdebatan di PBB pada 25 September 1957 tu, macam-macam jugalah isu yang dia timbulkan. Contohnya isu di Afrika, Timur Tengah dan negara-negara Asia akibat penjajahan. Walaupun Malaysia baru je masuk PBB pada masa tu, dia takde pun nak sugar-coat apa-apa untuk memenangi hati pihak barat atau sebaliknya. Malah, dia siap tegaskan lagi yang penaklukan pihak penjajah dah menyebabkan negara-negara yang dijajah tu dah digunakan sebagai gadaian dan juga persaingan ideologi.

Part paling best sekali adalah apabila dia gunakan sebuah peribahasa Melayu,

“Gajah berjuang, rumput juga yang berasa.”

dengan terjemahan bahasa Inggeris,  “when elephants clash, it is the grass that is destroyed.” – Tun Dr Ismail, dipetik dari Utusan Malaysia.

Dalam satu persidangan PBB pada tahun seterusnya pulak, Dr Ismail la antara salah seorang yang berani menyatakan rasa kesal dia terhadap rakyat Algeria yang masih dijajah oleh Perancis, pasal nasib sedih orang kulit hitam di Afrika Selatan, dan juga dasar Apartheid yang berlaku di negara tersebut.

Tak ketinggalan, Dr Ismail juga ada menjadikan Malaysia sendiri sebagai lambang perpaduan yang baik.

“Kami di Malaya mempunyai tiga kaum utama: orang Melayu, Cina dan India, yang hidup bersama generasi demi generasi dengan aman damai dan harmoni. Perbezaan agama dan latar belakang -budaya, perbezaan status ekonomi dan sosial tidak pun menjadi rintangan untuk mewujudkan perpaduan nasional ketiga kaum itu.

Keinginan utama kami ialah mempunyai hak dan tuah untuk hidup sebagai bangsa yang merdeka dan bersatu-padu di kalangan bangsa-bangsa yang bebas di seluruh dunia.

Pencapaian cita-cita itu melalui cara-cara aman, damai dan berperlembagaan, melalui rundingan-rundingan persahabatan dan semangat kompromi adalah hasil keteguhan moral semulajadi ketiga kaum itu yang hidup di Malaya di waktu itu.” – dipetik dari catatan buku berjudul Malaya’s First Year At The United Nations: As Reflected in Dr Ismail’s Reports Home to Tunku Abdul Rahman (terbitan Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura 2009).

Boleh cari buku ni untuk tahu lebih lagi. Imej dari bookshop.iseas

Setelah beberapa tahun berkhidmat, pada tahun 1966, Dr Ismail telah dianugerahkan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia (membawa pangkat Tun), yang menjadikannya orang pertama yang menerima anugerah tersebut. Tun Dr Ismail akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 2 Ogos 1973 disebabkan serangan sakit jantung, dan dimakamkan di Makam PahlawanMasjid Negara. Tun Dr Ismail menjadi pemimpin pertama yang disemadikan di situ.

Tun Dr Ismail bersama isteri tercintanya, Toh Puan Norashikin Mohd Seth. Imej dari bigdogdotcom.wordpress

3. Tan Sri Razali Ismail, orang Malaysia pertama pegang jawatan Presiden PBB, tapi berani kutuk dasarnya

Tak lama dulu pada tahun 1997, ada sorang tokoh Malaysia yang pernah pegang jawatan Presiden yang ke-51 dalam PBB!

Imej dari United Nations Organization

Tokoh tersebut adalah Tan Sri Razali Ismail, yang satu masa dulu juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Antara sebab pemilihannya sebagai Presiden PBB adalah sebab dia mula aktif sejak beberapa tahun sebelum tu lagi, iaitu pernah menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama 10 tahun, dari tahun 1988 hingga 1998, serentak sebagai Duta ke Cuba, Jamaica, Saint Lucia, Barbados, Trinidad dan Tobago.

Malaysia di persada dunia. Imej dari malaysiaunsc.kln.gov.my

Bukan tu je, dia juga pernah berkhidmat dalam pelbagai bidang dalam PBB sendiri, contohnya seperti:

  1.  Pengerusi Kumpulan 77 (sebuah badan antarabangsa yang dianggotai oleh 128 negara-negara membangun) pada 1989.
  2. Mengetuai delegasi Malaysia ke Majlis Keselamatan PBB dan berkhidmat dua kali sebagai Presidennya – pada bulan Jun 1989 dan pada bulan Julai 1990.
  3. Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan Mapan pada 1993.
  4. Presiden Sesi ke-51 Perhimpunan Agung PBB, 1996-1997.

Semasa Tan Sri Razali Ismail aktif dalam PBB, dia berani menyuarakan pasal isu-isu seperti pembangunan dan kemapanan, kemiskinan dan peminggiran, pembaharuan politik di PBB dan isu hak asasi manusia dan alam sekitar. Dia mengikuti rapat perkembangan hal-ehwal dunia ni melalui penyertaan di seminar dan juga melalui pelbagai interaksi.

Tan Sri Razali duduk di sebelah Kofi Annan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari Januari 1997 hingga Disember 2006. Imej dari mykedah2.com

Malah, Tan Sri Razali juga pernah jadi Duta Khas Setiausaha Agung PBB untuk Myanmar, pada tahun 1998, iaitu satu masa di mana Aung San Suu Kyi kena tahanan rumah sejak 1989 hingga 1995, 2000 hingga 2002, dan dari Mei 2003 hingga November 2010.

Masa tu, misi dia adalah untuk redakan ketegangan di antara kerajaan Myanmar dan penyokong (pemimpin pembangkang) Aung San Suu Kyi. Dan pada tahun 2003, dia sekali lagi  memainkan peranan dalam pembebasan Aung San Suu Kyi daripada tahanan rumah demi hak asasi manusia.

Aung San Suu Kyi masa jadi tahanan rumah di Yangon, Myanmar tahun 1995. Imej dari codepen.io

Walaupun dia pernah berkhidmat sebagai Presiden PBB, tapi Tan Sri Razali pernah condemn PBB sebab baginya, badan dunia itu sebagai pertubuhan yang hanya dikuasai oleh pihak-pihak tertentu yang mementingkan diri dan kuasa politik, bukan untuk membantu membangunkan umat manusia di dunia. PBB ada membincangkan mengenai isu reformasi dalam pertubuhan tu, tapi last-last takde sebarang langkah pun yang diambil.

”PBB sudah tidak berkesan lagi dalam menangani masalah antarabangsa termasuk dalam proses mesyuarat rundingan antara kerajaan. Undang-undang dan peraturan yang diamalkan oleh PBB sudah berusia 20 tahun dan sehingga ini tidak ada peruntukan yang jelas dan kukuh,”

Tambahnya lagi, PBB selalunya gagal menyelesaikan isu-isu penting semasa melalui Majlis Keselamatannya, contohnya masa konflik di Chechnya dan Rwanda.

”Ini berlaku kerana proses mesyuarat rundingan antara kerajaan adalah terlalu lambat, menyebabkan penduduk dan negara menderita,” – Tan Sri Razali Ismail, dipetik dari Utusan.

Selepas menghentikan perkhidmatannya dalam PBB, Tan Sri Razali Ismail berkhidmat sebagai Pengerusi SUHAKAM sejak April 2016 sampai sekarang (setakat artikel ni ditulis).

4. Tuan Guru Haji Yusuf Rawa, Presiden PAS yang menjadi wakil Malaysia ke PBB

Siapa sangka, seorang berserban dan nampak macam ustaz ajar mengaji ni pada satu masa dulu, pernah jadi wakil Malaysia ke PBB. Tokoh ni adalah Tuan Guru Haji Yusuf Rawa, yang merupakan salah seorang tokoh dari parti politik pembangkang, iaitu PAS. Tapi, PAS masa tu masih lagi menjadi komponen Barisan Nasional (dulu dipanggil Parti Perikatan).

Yusuf Rawa. Imej dari ibnuhasyim.com

Yusuf Rawa mula bertanding pada pilihan raya umum 1969 di kerusi Parlimen Kota Setar, dan berjaya mengalahkan Dr. Mahathir Mohamad dengan majoriti 989 undi.

Beberapa tahun kemudian, dia dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada tahun 1973, iaitu ketika pemerintahan negara diterajui Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussain. Pada tahun yang sama ni la Tuan Guru Yusof Rawa kemudiannya dilantik sebagai Penolong Ketua Delegasi Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai wakil Malaysia ke PBB untuk membahaskan isu-isu antarabangsa yang melibatkan Malaysia. Malah, pernah tinggal selama setahun di New York untuk mewakili negara di PBB.

70-an tu zaman hippies juga la kat New York, kan? Imej dari vintag.es

Pada Mac 1975 hingga 1977 pulak, dia dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran, yang masa tu masih lagi di bawah pemerintahan Shah Iran. Dua lepas tahun lepas tu la dia akhirnya digulingkan oleh Ayatollah Khomeini. Tugasnya ketika tu meliputi negara Afghanistan dan juga Turki sebab Malaysia masih belum tubuhkan kedutaan di kedua-dua negara itu.

Sekembalinya Yusuf Rawa ke Malaysia, dia kembali aktif dalam PAS. Pada 18 April 1981 ketika Muktamar PAS Kali Ke-27 diadakan, Yusof sebulat suara dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS, sebelum dipilih menjadi Presiden PAS tahun selepasnya sampai 1989, apabila dia mula menyerahkan tugas-tugas Presiden PAS kepada Datuk Fadzil Noor mulai 15 Februari 1989.

Yusuf Rawa (PAS) dan Ku Li (Semangat 46) pada tahun 1991 masa Perhimpunan Agung PAS. Imej dari The Star

Dia kemudiannya meninggal pada tahun 2000, dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Jalan Perak, Pulau Pinang. Penglibatannya dalam badan keamanan dunia ni menjadikannya salah seorang tokoh dalam PAS yang lain dari yang lain.

Salah seorang anaknya iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengikuti jejak langkahnya dalam bidang politik, PAS dan kini beralih kepada anggota parlimen dan Naib Presiden Parti Amanah Negara.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. Imej dari kedahnews

5. Tun Omar Ong Yoke Lin, pengasas MCA yang menjadi Wakil Tetap Malaysia ke PBB

Mungkin tak ramai yang kenal dengan Tun Omar Ong Yoke Lin, iaitu salah seorang ahli pengasas MCA pada tahun 1952, bersama-sama dengan Datuk Yahya Razak dari UMNO. Mereka ni la yang membentuk Perikatan MCA-UMNO, membawa kepada kelahiran gabungan pelbagai kaum dan pendahulu Barisan Nasional yang kita kenali sekarang.

Imej dari mejakerusi.wordpress.com

Tun Omar adalah antara 10 orang pertama dalam Kabinet Malaya, iaitu pada tahun 1955 bersama tokoh-tokoh lain seperti Tun Abdul Razak, V.T. Sambathan, Dr Ismail Abdul Rahman dan H.S. Lee.

Selain daripada menjadi seorang ahli jawatankuasa penasihat kerajaan, Tun Omar Ong Yoke Lin juga adalah salah seorang pejuang kemerdekaan yang menentang komunis di Malaya. Kalau nak tahu berani tak beraninya dia, Tun Omar ni la ketua untuk pasukan peronda di Kuala Lumpur masa komunis berleluasa dulu.

Klik sini untuk baca tentang orang bukan Melayu yang menentang penjajah. Imej dari Soscili.my

Antara 1956 dan 1957, Tun Omar merupakan menteri pengangkutan, dan dalam kabinet pertama pasca kemerdekaan negara. Tun Omar diberi portfolio tenaga kerja dan kebajikan sosial. Malah dia juga adalah salah seorang daripada empat anggota yang menyertai delegasi parti Perikatan ke London pada April 1957, sampai Tanah Melayu berjaya capai kemerdekaan pada tahun yang sama, sampailah sekarang ni.

Tun Omar memeluk agama Islam pada tahun 1961. Dalam tahun yang sama juga, dia menjadi salah seorang yang mengetuai delegasi Malayan ke Sarawak untuk membincangkan pembentukan sebuah persekutuan yang lebih besar. Perjanjian tu la yang kita kenali sebagai perjanjian penubuhan Malaysia yang ditandatangani di London pada September 1963.

Pada bulan Mei 1962, Tun Omar berlepas ke Amerika Syarikat untuk berkhidmat sebagai Menteri Kabinet dan Perwakilan Tetap ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu selama satu dekad, iaitu sehingga tahun 1972.

Omar Ong Yoke Lin (kanan), dengan Setiausaha Agung PBB, U Thant (dari Myanmar). Imej dari drkokogyi.wordpress.com

Menurut Tun Mahathir, Tun Omar merupakan seorang yang baik dan bersopan. Dia juga tak pernah cakap buruk pasal sesiapa pun. Walaupun berlainan bangsa dengan pemimpin lain dalam Parti Perikatan, dia tak kekok dan pandai bergaul dengan semua orang. Malah, dia adalah antara tokoh yang memperbaiki hubungan orang Melayu dan Cina yang makin terpisah satu masa dulu. Tun Omar kemudiannya dianugerahi Seri Setia Mahkota yang membawa kepada gelaran Tun pada tahun 1979.

Tun Omar bersama Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir. Imej dari Arkib Negara

Pada tahun 2010, Tun Omar akhirnya meninggal dunia di kediamannya pada usia 92 tahun. Dia disemadikan di Makam Pahlawan, sebelah Masjid Negara bagi memperingati jasanya yang pernah terlibat dalam penubuhan Malaysia tahun 1963, mewakili Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Tun Omar merupakan salah seorang Menteri Kabinet pertama yang berkhidmat di bawah Tunku Abduk Rahman, dan dalam masa yang sama merupakan anggota terakhir kabinet Malaysia pertama pimpinan Perdana Menteri Malaysia yang pertama tu.

BONUS: Taman U Thant di Kuala Lumpur adalah bersempena dengan nama bekas Setiausaha Agung PBB

Korang pernah dengar Jalan U-Thant kat KL? Kalau korang nak tahu, nama tu adalah bersempena dengan nama bekas Setiausaha Agung PBB dari 1961 hingga 1971, iaitu U Thant.

Pemangku Setiausaha Agung, U Thant. Imej dari PBB/Yutaka Nagata.

Ok, U Thant ni bukanlah orang Malaysia pun. Dia adalah bekas Setiausaha Agung PBB yang macam kitorang bagitau tadi, merupakan pangkat diplomatik yang tertinggi di dunia.

Malaysia mampu jadi sebuah negara contoh baik di persada dunia

Kitorang kat SOSCILI betul-betul respek dengan kesemua tokoh yang pernah terlibat dalam PBB ni, iaitu dengan misi perdamaian, dan menjadi orang tengah dalam ketegangan yang berlaku di seluruh dunia.

Dalam masa yang sama, kitorang juga berharap Datuk Maimunah Mohd Sharif yang baru je dilantik sebagai Setiausaha Agung PBB juga dapat mengharumkan nama Malaysia dengan idea-idea yang bernas bagi mengurangkan permasalahan, dan menangani konflik yang melibatkan negara-negara anggota.

Malah, kita harap akan ada ramai lagi orang Malaysia yang mengharumkan nama Malaysia tak kisahlah dalam apa-apa bidang yang diceburi bukan semata-mata sebab nak menempa nama, tapi untuk bagi impak yang mendalam untuk keamanan dunia.