Awang Batil: Seni Melayu asli berusia beratus tahun yang hampir pupus

Semua orang mesti terkejutkan kes Mat Over tampar David Teo kat Dialog TN50 yang diadakan khas bersama penggiat seni. Ingatkan perbincangan penggiat seni ni ada hasil yang positif tapi netizen pandang serong pulak sebab kes tampar tu. Bila cakap pasal perbincangan penggiat seni, kita tertanya-tanya juga kenapa ada seni kat negara ni yang makin pupus walaupun ada penggiatnya.

Baru-baru ni tersebar berita tentang generasi terakhir penglipur lara Awang Batil. Generasi terakhir tu bernama Ramli Mahmud atau famous dengan nama panggilan Bang Li. Kalau dulu, seni Awang Batil ni dipersembahkan kat majlis keramaian macam kenduri kahwin dan sebagainya. Hari ni, nampaknya, Bang Li hanya dijemput di majlis-majlis istana dan jemputan-jemputan antarabangsa, itupun atas inisiatif aktivis kebudayaan dan syarikat korporat yang ada.

Kalau korang nak tahu, seni penglipur lara Awang Batil ni sangat popular kat Perlis suatu masa dulu. Kalau Kelantan ada dikir barat dan wayang kulit, Perlis pulak ada Awang Batil. Tapi sekarang nampaknya, ada yang jangkakan ia bakal berkubur, rakyat Perlis terpaksalah ucap so long and goodbye kepada seni Awang Batil.

Babai Awang Batil! Gif dari Giphy.com

Jadi kat sini, SOSCILI nak kongsi sikit apa yang kami temui pasal Awang Batil ni untuk jadi tatapan semua. Manalah tahu akan ada artis-artis yang baru nak up ni berminat nak masukkan seni ni dalam persembahan diorang.

Siapa Awang Batil ni sebenarnya?

Sebelum kami tanyakan soalan ni, rupa-rupanyanya dah ada orang tanya dulu. Pada 18 Mei 2013, Aniza Binti Khalid dan Zaniya Binti Meh ada pergi menemu ramah sendiri Ramli Mahmud. Soalan Aniza waktu tu tanya kenapa guna nama Awang. Jadi Bang Li pun jawab berdasarkan cerita yang dia dengar dari mulut ke mulut masyarakat. Wawancara penuh boleh baca kat sini.

Cerita Awang ni bermula apabila ada seorang anak dara minum air yang terkumpul dalam lopak batu kat hutan yang dikatakan air kencing gajah. Lepas tu, anak dara tadi hamil dan melahirkan seorang anak yang dia bagi nama Awang. Awang ni pula dianggap tiada bapa dan sering dihina oleh masyarakat sekeliling sebagai anak luar nikah. Jadi dia rasa tertekan dan lari masuk hutan untuk cari bapa dia. Dia pun pergi ke tempat di mana ibu dia pernah minum air kat kawasan lopak batu dulu tu. Di tempat tu, dia terjumpa dengan seekor gajah putih. Gajah putih tu juga ada bagi batil kat dia. Batil ni ada ditulis dalam sebuah kajian sebagai,

Bekas yang digunakan untuk menakung air di dalamnya. – Jurnal tulisan  Mohd Syamril Aklmar Chek Kassim (Klik fail pdf)

Lepas perisitwa tadi, Awang pun pergi mengembara ke serata tempat sambil menceritakan kisah mengenai seorang lelaki yang bernama Awang. Batil yang telah diberikan juga digunakan sebagai alat muzik untuk mempersembahkan cerita dia. Ketukan batil tu mengeluarkan bunyi yang berdeting-deting.

Asalnya bukan Awang Batil, tapi Awang Belanga

Awang Batil ni sebenarnya seni yang melibatkan penglipur lara atau storyteller. Kalau nak diikutkan, penglipur lara ni akan mempersembahkan cerita dia sambil pukul belanga masa dulu-dulu. Jadi penglipur lara ni tadi dipanggil Awang Belanga.

Nak dijadikan cerita, belanga tembaga ni ada satu saja masa tu. Jadi, satu hari tu, belanga tembaga ni pecah, diorang gantilah dengan batil. Ada juga yang cakap belanga ni dipenuhi jelaga arang. Batil yang dijadikan pengganti ni pula adalah bekas mengisi air atau bekas untuk menakung air yang dibuat dari tembaga juga.

Inilah batil tu. Imej dari orangperlis.com

Apa yang menarik, batil yang digunakan oleh Ramli Mahmud sebagai penglipur lara tunggal ni adalah barang peninggalan ayah dia. Dalam batil tu dikatakan ada tulisan dari petikan kitab Tajul Muluk yang nak pudar dah. Kalau nak tahu, Kitab Tajul Muluk ni pula dikatakan tulisan seorang Syeikh dari Acheh yang menagandungi hal-hal macam perubatan tradisional.

Antara kandungan buku ini ialah menyatakan ubat-ubatan tradisional, bagi mengubati berbagai-bagai penyakit, suratan azimat dan rajah dan juga bacaan doa, jampi serapah dan hal-hal berkaitan nujum, jin dan sebagainya. – Sumber laman web Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor

Topeng yang penglipur lara tu pakai berusia 300 tahun!

Disebabkan nama seni ni Awang Batil, jadi batil adalah alatan utama yang akan digunakan dalam persembahan penglipur lara. Penglipur lara akan bercerita pasal Awang sambil mengetuk-mengetuk batil tadi.

Selain batil, penglipur lara tadi akan pakai topeng yang diperbuat daripada kayu yang diambil dari pokok Tui. Kayu Tui ni kemudiannya disapu dengan warna merah-kemerahan. Kayu Tui ni dipilih sebab ia ringan dan mudah dibentuk lagi-lagi nak buat topeng bentuk muka macam orang ni kan. Hak Tui!

Topeng ni pula ada dua jenis iaitu topeng hulubalang dan topeng ahli nujum atau wak nujum. Dikatakan topeng ni akan dipakai mengikut kesesuaian cerita yang disampaikan. Contoh kalau dalam cerita tu ada watak hulubalang, penglipur lara akan pakai topeng hulubalang. Apa yang menariknya, topeng yang digunakan adalah warisan turun-temurun yang berusia lebih kurang 300 tahun.

Imej dari orangperlis.com

Selain daripada topeng dan batil, peralatan muzik iringan lain pun juga digunakan oleh penglipur lara. Kalau macam Ramli Mahmud, dia guna macam-macam alat muzik sebagai contoh rebana, biola dan serunai mengikut kesesuaian persembahan. Biola ni pulak telah diperkenalkan sendiri oleh dia walaupun sebelum ni tak pernah ada dalam seni Awang Batil ni.

Cerita Awang Batil bergenre komedi sampai boleh selitkan lagu Sharifah Aini!

Kalau ikutkan, fungsi penglipur lara ini adalah untuk menghilangkan rasa resah, penat dan letih penonton apabila mendengar kisah-kisah yang disampaikan. Selain tu, penglipur lara juga dikatakan sebagai seseorang yang menghiburkan hati orang lain yang sedang berduka lara.

Untuk mencapai fungsi penglipur lara yang macam kita sebut tadi, jadi isi cerita dan lagu dalam Awang Batil ni mestilah bergenre komedi. Kajian pasal lirik-lirik lagu dan cerita Awang Batil ni memang telah terbukti mampu menggelikan hati penonton. Contohnya macam kat bawah ni (kalau tak kelakar, kena gelak jugak):

Hei! Riuh rendah gegak gempita,
Inilah hamba nak mula cerita,
Hang tengok kat aku, aku tengok kat hang,
Hang kuit aku, aku kuit kat hang,
Hang gelak kat aku, aku gelak kat hang,
Hang jeling kat aku, aku jeling kat hang,
Hang kejip mata, aku kenyut misai,
Hei beginilah mula ceritanya…… – Jurnal tulisan Mohd Syamril Aklmar Chek Kassim (Klik fail pdf)

Koleksi cerita-cerita Awang Batil ni sebenarnya banyak. Ada kajian yang sebut koleksi cerita yang disampaikan oleh Ramli Mahmud dan bapa dia pun sebenarnya berbeza dan ada penambahan. Kalau diikutkan, Ramli Mahmud ada lapan koleksi cerita manakala bapa dia pulak ada enam koleksi cerita. Maknanya, cerita dalam seni ni boleh ditokok tambah dan diubah suai.

Hang kejip mata. Aku kenyut misai. Gif dari Giphy.com

Bagi menarik perhatian penonton untuk mendengar cerita Awang Batil, lagu-lagu yang dikatakan evergreen ada diselitkan sama ada sewaktu pembukaan atau ditengah-tengah cerita. Lagu-lagu nyanyian Ahmad Jais, S.M Salim, Sharifah Aini dan seangkatan dengan diorang biasanya akan dipilih.

https://www.facebook.com/161861580538209/videos/808837152507312/

Satu cerita boleh makan masa 5 malam untuk dihabiskan

Sebenarnya, penglipur lara ada tempat khas untuk buat persembahan. Biasanya diorang akan duduk dalam rumah kecil dengan ketinggian 3 atau 4 meter. Penonton pula akan duduk kat sekeliling rumah kecil tu untuk dengar cerita Awang Batil.

Ada satu kajian bagitahu yang persembahan sesebuah cerita tu boleh makan masa selama dua hingga lima malam untuk dihabiskan. Bayangkan kalau drama Slot Akasia TV3 kena tunggu malam-malam seterusnya nak habis. Cerita jenis panjang macam ni biasanya dijemput oleh tuan rumah sempena tamatnya musim menuai padi.

Imej dari Quickmeme

Dikatakan cerita-cerita ni menjadi panjang sebab lagu-lagu dalam cerita yang disampaikan adalah secara spontan. Sebab tu, zaman sekarang ni, persembahan ni dipendekkan dengan memasukkan lagu-lagu evergreen tadi untuk dijadikan pengganti.

Nak belajar cerita baru, kena bakar asap kemenyan

Setiap seni mesti ada cara tersendiri untuk belajar. Untuk Awang Batil ni, setiap cerita yang akan dioarang sampaikan tu bukan dapat senang-senang saja. Macam yang diterangkan oleh Mustaffa Mohd Isa yang merupakan pengkaji power pasal Awang Batil ni, setiap penglipur lara yang nak mewarisi cerita-cerita dari tok guru dia mesti sediakan sirih pinang, sintuk, rokok tembakau, kemenyan dan wang pengeras untuk guru. Lepas semua tu dah disiapkan, si guru akan menepuk murid tu sambil guru tadi memukul batil. Tepukan itu sebagai tanda pembelajaran cerita baru sudah bermula.

Menurut Ramli Mahmud, pembakaran asap kemenyan ada digunakan waktu bapa dia (Pak Mahmud) belajar cerita baru dari Tok Mat Selembon. Aktiviti macam ni dikatakan dapat membantu proses untuk menghafal cerita tersebut.

Bang Li dan topengnya. Imej dari kosmo.com

Namun Ramli Mahmud tak belajar tak lagi mewarisi cara belajar dengan menggunakan kepulan asap kemenyan tetapi hanya mendengar cerita-cerita tersebut dari bapanya sebelum tidur.

Namun, keunikan ritual ini kelihatannya tidak lagi diteruskan oleh Awang Batil alias Ramli Mahmud. Beliau kini meneruskan persembahannya tanpa sebarang amalan membakar kemenyan, seperti sebelumnya. Awang Batil alias Ramli Mahmud, secara dasarnya, memperoleh kepakaran bercerita ini daripada Allahyarham bapanya sendiri, iaitu Pak Mahmud secara langsung. – Jurnal tulisan Mohamad Luthfi Abdul Rahman (klik fail pdf)

Ramli Mahmud juga kata yang dia ada belajar cerita baru dari guru-guru lain selain bapa dia. Dia pernah belajar Tok Umar Gelombang dan orang tua bernama Tok Din. Dari sumber ni, dia dapat koleksi cerita baru iaitu Cerita Awang Biawak dan Cerita Awang Kambing Berak Taik Emas. Ini menunjukkan yang Bang Li memang betul-betul nak menambah kreativiti dalam persembahan dia.

Sekarang ni, orang Jepun pulak yang tengok Awang Batil

Arigatou Bang Li. Persembahan Awang Batil kat Jepun. Imej dari kosmo.com

Awang Batil ni nampaknya macam kesunyian dan tak mendapat tempat dalam kalangan orang Perlis dan rakyat Malaysia. Tapi dengan usaha penggiat seni yang bertungkus-lumus siang dan malam ni, ia telah membuka mata banyak pihak.

Dilaporkan bahawa ada sekumpulan penggiat muzik indie dan punk dari Perlis telah berjumpa Bang Li untuk tujuan penggubahan muzik. Hasil pertemuan tu, Bang Li dah siapkan satu rakaman seni Awang Batil untuk digabungkan dengan muzik Moist Last Von ala barat. Moist Last Von ni adalah pemuzik Indie Eksperimental Perlis.

Selain adaptasi lagu, banyak juga cadangan dari ahli akademik untuk pembaharuan Awang Batil. Tapi idea-idea pembaharuan tu banyak yang buat Bang Li jadi ragu-ragu.

Malah, sejak lima lapis Awang Batil dalam jalurnya, hanya dua pembaharuan pernah berlaku, iaitu penukaran nama daripada Awang Belanga, dan penambahan alat muzik biola dan rebana. – Petikan dari Malaysiakini

Selain mendapat perhatian ahli akademik, seni Awang Batil ni jugak dapat perhatian syarikat Petronas yang menaja Ramli Mahmud untuk buat persembahan kat Tokyo. Persembahan Awang Batil ni juga dapat undangan luar termasuk Jerman dan Brazil. Apa yang membanggakan, seni ni mendapat perhatian UNESCO.

Kini, di usia emasnya, Ramli diiktiraf sebagai “Orang Warisan” oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengaku terkesan jika seni itu benar-benar pupus. Petikan dari Malaysiakini

Mudah-mudahan Awang Batil tak pupus macam Dinosaur

Memang diakui dengan kemasukan hiburan moden macam genre muzik barat dan panggung wayang telah menenggelamkan seni ni. Tapi tu sebenarnya bukanlah alasan untuk kita lupakan seni ni. Sebab dah ada contoh yang seni tradisional ni boleh ditempatkan dalam arus moden macam dikir barat dalam Karoot Komedia X. Macam tu jugalah nasib Awang Batil ni. Mesti ada pihak yang berani ambil peluang ni untuk letak dalam arus moden ni.

Sedih kalau pupus. Imej dari nature.ca

Dilaporkan yang Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan berusaha mempertahankan Awang Batil ni dan dijadikan produk pelancongan. Diorang akan sediakan dana untuk buat peralatan muzik dan sediakan program mentor-mentee beserta bengkel.

Dana ini akan disalurkan mengikut beberapa fasa yang direncanakan iaitu membina bengkel membuat peralatan kesenian Awang Batil seperti topeng, gendang, dan biola serta menyediakan dewan terbuka bagi membolehkan Awang Batil beraksi kepada pelancong. –Petikan dari Utusan Online

Akhir sekali, peminat seni juga tak perlu risau dengan unsur-unsur mistik yang terkait dengan seni ni. Sebab Ramli Mahmud dah buktikan yang dia belajar seni Awang Batil ni secara normal tanpa melibatkan unsur-unsur khurafat. Jadi, ramai-ramailah korang pergi jumpa Bang Li.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT