Jenayah & Undang-undang

5 parlimen negara lain yang gaduh lagi teruk dari Malaysia, sampai baling kasut!

Lepas genap 222 hari sejak hari terakhir sidang parlimen tahun lepas, Parlimen Malaysia akhirnya bersidang dengan 222 kerusi Parlimen (tapi 2 orang dah meninggal dunia, menjadikannya 220 anggota Parlimen).

Ramai netizen yang nampaknya berpuas hati bila ramai menteri PN yang kena ‘tiau’ dengan bekas menteri sama ada dari PH, dan juga BN (yang tak sokong PN). Malah, ada juga netizen yang tak puas hati dengan persidangan parlimen kali ni yang katanya macam kat zoo je sebab asyik gaduh, kalau nak compare dengan parlimen di Singapura.

Sebenarnya, setakat naik suara dan hentam-menghentam (especially dengan fakta) tu sebenarnya takde apa pun kalau nak dibandingkan negara-negara lain yang siap pernah bertumbuk, baling belon air, baling kasut, dan macam macam lagi!

1. MP Hong Kong bertumbuk sebab berebut… kerusi

Merupakan salah sebuah republik China, Hong Kong sebenarnya ada tahap autonomi yang tinggi di mana mereka ada hak memerintah sendiri (the right of self-government). Disebabkan perbezaan undang-undang, sosial dan budaya terutamanya selepas hidup berasingan selama 150 tahun, rakyat Hong Kong juga tak menganggap diri mereka sebahagian dari China.

Hong Kong juga dah berapa kali meminta kemerdekaan dari China. Tapi permintaan itu tak diendahkan China, dan menyebabkan berlakunya protes secara berperingkat, sampailah yang berlaku pada masa ni. Salah satunya sebab ada perpecahan di mana wujudnya ahli parlimen pro-demokrasi dan pro-Bejing (yang setia kepada China).

Pro-demokrasi dan Pro-Beijing ni memang tak sehaluan, sampaikan pernah bertumbuk untuk berebut kerusi Jawatankuasa Dewan pada tahun lepas sebab yang sebelumnya tu – Dennis Kwok (dari pro-demokrasi) tak digemari China.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Berdendang, dendang hati kama~

Semasa kejadian, memang dah ada mesyuarat untuk decide siapa yang akan jadi ketua Jawatankuasa Dewan, tapi lepas mesyuarat pertama tu Starry Lee, yang merupakan pro-Beijing dilantik sebagai ketua Jawatankuasa Dewan. Dia dikelilingi ramai pengawal keselamatan (dapat greenlight China, kira kebal la ni), dia orang pertama duduk di kerusi Jawatankuasa Dewan tu.

Ahli parlimen dari pro-demokrasi dan pro-Beijing yang pada mulanya berbahas dan mengundi secara berasingan kemudiannya mula berbalah besar sampai berbalas tumbukan, bergelut, dan panjat meja. Seorang penggubal undang-undang dan aktivis sosial, Eddie Chu Hoi-dick, pula pergi panjat tembok dan pergi ke kerumunan pro-Beijing untuk berebut kerusi.

via GIPHY

Tak lama lepas tu dia kemudiannya dikeluarkan dari dewan oleh empat pengawal keselamatan, manakala ahli parlimen lain pula diseret keluar, dipukul, dan ada yang menjadi mangsa apabila plakad dibaling secara rambang semasa pergaduhan lebih dari sejam tu berlaku. Ini menyebabkan anggota keselamatan terpaksa menyuraikan keadaan, yang membawa kepada salah seorang ahli parlimen pro-demokrasi jatuh dan terpaksa diusung ke hospital.

Dennis Kwok kemudiannya disingkir secara fizikal bersama 15 penggubal undang-undang pro-demokrasi semasa pemilihan tersebut disebabkan protes berebut kerusi (jawatan & tempat duduk) dalam Parlimen.

2. Gaduh guna mic stand di Parlimen Uganda sebab tak nak Presiden berumur lebih dari 75 tahun

Kalau Malaysia pernah ada Perdana Menteri yang berumur 94 tahun semasa pentadbirannya, parlimen di Uganda pula pernah gaduh teruk pasal perkara ni pada September 2017, di mana pihak pembangkang dihalau Speaker disebabkan usul mengenai had umur Presiden Uganda yang berumur 73 tahun masa tu.

Ia menyebabkan beberapa ahli parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang berbalas tumbukan dan tendangan, malah menggunakan microphone stand sebagai senjata. Kejadian menyebabkan sekurang-kurangnya dua anggota parlimen wanita dibawa keluar dari ruangan Parlimen disebabkan pengsan.

via GIPHY

Speaker juga menuduh ahli parlimen tersebut sebagai tak menghormati ruang perundangan dan juga dituduh membawa senjata api ke parlimen yang bertentangan dengan peraturan, menyebabkan ahli parlimen tersebut tak boleh masuk dewan parlimen sehingga 3 sesi. Perbalahan  juga menyebabkan 25 anggota Parlimen lain digantung – bukan dari pihak pembangkang semata-mata, tapi juga dari pihak kerajaan.

Sebenarnya, kes nak hadkan umur presiden tu bukanlah kali pertama diusulkan. Malah, memang dah ada dalam undang-undang Uganda sejak sekian lama, di mana seseorang yang berusia lebih dari 75 tahun tak boleh bertanding jawatan presiden dan sebuah pindaan perlembagaan dibuat bagi menghapuskan had dua penggal untuk presiden, tapi ia dibatalkan.

Pembatalan tu juga dah membolehkan Presiden Yoweri Museveni mencalonkan dirinya untuk penggal ketiga yang dimenanginya pada Februari tahun yang sama. Tapi Museveni yang merupakan bekas tentera ni ‘bebai‘ sikit, dia berjaya jadi presiden Uganda selama lebih dari dua dekad – dia baru je angkat sumpah untuk penggal ke-6 sebagai presiden Mei tahun ni,  menjadikannya pemerintah Uganda selama 35 tahun.

Presiden Yoweri Museveni juga terlibat dalam pemberontakan yang menggulingkan pemimpin Uganda, Idi Amin dan Milton Obote sebelum berebut kuasa pada tahun 1986.

Jadi dengan mengusulkan had umur, ia bertujuan untuk tak membenarkan Presiden Yoweri Museveni berkuasa dah, sebab dia dah berusia 73 tahun pada tahun 2017, dan sepatutnya tak layak bertanding dah sebab bakal mencecah 78 tahun pada tahun 2022, ketika pemilihan seterusnya diadakan. Pembangkang dah banyak kali sebenarnya pertikaikan perubahan undang-undang ni, tapi tak pernah berjaya.

*laughs in Mahathir*

3. Baling kasut di parlimen, dan hampir bertumbuk sebab soal siasat Perdana Menteri Kuwait

Kemelut politik belah Arab tak terkecuali dalam list ni. Diorang kalau gaduh pun boleh tahan juga sebenarnya. Pada Mac tahun ni, dua ahli parlimen bertengkaran, Ahli Parlimen Saleh Al Mutairi dan Salman Al Hulaileh, sampai hampir bertumbuk kalau takde campur tangan orang lain dalam parlimen tu masa sesi angkat sumpah Parlimen Kuwait.

“Hold my thawb, hold my thawb”

Saleh Al Mutairi ni adalah salah sorang daripada 30 anggota parlimen yang sebenarnya nak boikot sesi tersebut, tapi dia masuk juga parlimen untuk mempersoalkan ahli parlimen lain yang bersetuju untuk menangguhkan dua usul yang diajukan untuk menyoal siasat Perdana Menteri, Sabah Al Khaled Al Sabah.

Dan dalam  parlimen masa tu, salah seorang ahli parlimen, Saleh Al Mutairi ni jerit kat ahli parlimen lain yang tak ada tanggungjawab nak persoalkan Perdana Menteri diorang yang terlibat dalam skandal rasuah;

“Korang ni bukan jantan ke? Kenapa diam je?” – jerkah Saleh Al Mutairi kepada ahli parlimen Kuwait yang lain

Perkara ni membuatkan Salman Al Hulaileh, Wakil dalam Majlis Nasional Kuwait (parlimen) menyerangnya sebelum disuraikan ahli parlimen lain.

Daripada 34 anggota yang hadir, 18 daripadanya adalah Ahli Parlimen dan 16 adalah menteri, di mana 33 orang daripadanya bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri untuk menangguhkan soal siasat sehingga tahun depan.

Sebelum tu, ada beberapa ahli parlimen lain yang memboikot sesi parlimen yang mana alasannya adalah “kurangnya kerjasama pemerintah dalam meluluskan undang-undang reformasi” untuk menyingkirkan salah seorang ahli parlimen, Bader Al Dahoum yang pernah menghina “Emir” (penguasa Kuwait, macam raja jugalah kat sana) oleh Mahkamah Konstitusi Kuwait beberapa minggu sebelumnya.

Pada 2016 pula, perbahasan dalam Parlimen Kuwait semakin hangat sampaikan anggota parlimen mula membaling kasut apabila salah seorang ahli parlimen, Hamdan El-Azmi menentang idea pemerintah yang mengemukakan pindaan terhadap pembahagian kawasan pemilihan dalam undang-undang perbandaran yang baru. Malah, dia menuduh pemerintah memihak kepada sektarianisme (bersifat kesukuan) dan mendiskriminasi masyarakat Kuwait.

Ini menyebabkan ahli parlimen lain, Ali Al-Khamis dan Sultan Al-Gaitham yang marah dengan kenyataan tersebut dan terus confront El-Azmi, menyebabkan ketiga-tiganya mula saling menghina dan membaling kasut. 

Kuwait a fight, huh?

Selain tu, ada kontroversi lain iaitu pada Mei 1999 pulak, lebih daripada 120,000 salinan Al-Quran disalah cetak di Kuwait yang menyebabkan undi tak percaya dalam parlimen terhadap Menteri Hal Ehwal Islam pada masa tu Ahmad al-Kulaib sampaikan parlimen Kuwait terpaksa dibubarkan sendiri oleh Emir Kuwait, Sheikh Jaber Al-Ahmad Al-Sabah.

Kiranya Emir Kuwait masa tahun 1999 dengan Perdana Menteri Kuwait sekarang ni memang berkait la sebab mereka berdua ni datang dari keluarga Al Sabah, yang merupakan keluarga pemerintah Kuwait. Keluarga Al Sabah bagaimanapun takde kaitan dengan negeri di bawah bayu yang terletak di Borneo.

Ye, tahu.

4. Baling belon air dalam parlimen Taiwan

Negara asal-usul boba tea pada Julai tahun lepas, ada la sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh dua minggu bergaduh dalam sidang parlimen mereka. 

Puncanya, kedua-dua parti utama negara tu tak bersetuju dengan undian pencalonan bagi ketua badan pemantau kerajaan, iaitu Control Yuan. Jadi, berlaku pertelagahan yang membawa kepada salah sorang ahli parlimen kerajaan, iaitu Parti Demokratik Progresif (DPP), menumbuk seorang anggota parti pembangkang ketika pengundian Chen Chu sebagai calon bagi mengisi jawatan tersebut.

Chen Chu, veteran pembela hak asasi manusia Taiwan dan pernah dipenjara selama enam tahun ketika Taiwan ditadbir secara diktator di bawah KMT. Imej dari Taipei Times

Manakala ahli parlimen Kuomintang (KMT) pula dalam masa yang sama melemparkan belon air ke pentas Speaker, memaksa ahli DPP melindungi diri dengan memakai baju hujan (amboi, dah tahu bakal ada perang belon air) dan berselindung di sebalik kadbod. Wah, macam mana la belon air tu boleh lepas dalam parlimen?

via GIPHY

Kekecohan kali ketiga yang juga terburuk itu berlaku kerana dua parti terbabit bertelagah mengenai keputusan mencalonkan Chen, 70, untuk mengetuai Control Yuan, sebuah agensi penyiasat kerajaan bagi memantau cabang kerajaan yang lain.

Ketua KMT, Johnny Chiang, menentang pelantikan itu, dan mengarahkan penilaian semula diadakan dan menuntut pencalonan sedia ada ditarik balik. Lagipun, pelantikan tu memerlukan persetujuan daripada Parlimen yang dikuasai DPP. Parti itu mendakwa 24 daripada 27 individu dicalonkan sebagai anggota Control Yuan itu mempunyai hubungan rapat dengan DPP dan menyifatkannya senarai pencalonan ‘terburuk yang pernah ada’ untuk agensi terbabit.

Walaupun berlaku kekecohan di sebelah pagi, pencalonan Chen tetap dipersetujui dan dia akhirnya keluar DPP .

Cuba la bawa-bawa minum boba? Baru la chill sikit. Imej dari The Star

5. Parti pembangkang Afrika Selatan bertumbuk sebab memaksa Presiden mereka letak jawatan

Pada Februari 2017 pula, pergaduhan terjadi di parlimen Afrika Selatan di antara penggubal undang-undang dari pihak pembangkang dan juga pengawal keselamatan parlimen, apabila ketika anggota parlimen radikal banyak kali mengganggu ucapan Presiden Jacob Zuma.

“Bila kita kat tempat tinggi memang orang suka jatuhkan” – logik politik korup

Anggota pembangkang berusaha untuk menghentikan Zuma dari berucap di ruangan itu, dengan berulang kali menghina Presiden dan menyatakan dia tak layak untuk jawatan tersebut.

Parlimen Afrika Selatan menjadi huru-hara apabila ahli politik pembangkang mengecam Presiden Jacob Zuma dengan pelbagai dakwaan, antaranya “rosak dari akar umbi” disebabkan pelbagai tuduhan rasuah. Parlimen Afrika Selatan menjadi semakin panas menyebabkan berlaku pertengkaran, yang menyebabkan ahli parlimen bertumbuk sesama sendiri.

Pasukan keselamatan akhirnya dipanggil masuk ke dewan parlimen untuk mengeluarkan para pembangkang yang berpakaian merah, yang merupakan Pejuang Kebebasan Ekonomi (EFF) yang kemudiannya melawan balik dengan menumbuk pengawal. Ini juga menyebabkan ahli parlimen dari Alliance Democratic, iaitu kumpulan pembangkang terbesar di negara itu, kemudian keluar dewan sebagai tunjuk perasaan.

Sama macam kat Malaysia, jurubahasa isyarat (dalam kotak kecik) pun terkedu nak translate pergaduhan tu via GIPHY

Dikatakan sebagai seorang tokoh politik yang lemah, Presiden Zuma telah banyak kali didesak untuk mengundurkan diri dari politik bukan saja dari parti pembangkang, malah dari partinya sendiri, African National Congress (ANC), asal-usul kemenangannya sebagai Presiden sejak 2007.

Malah, sebilangan anggota African National Congress (ANC) menyalahkan skandal Zuma yang menyebabkan prestasi buruk dalam parti itu dalam pilihan raya tempatan beberapa bulan sebelumnya, di mana mereka banyak kehilangan kerusi di beberapa bandar-bandar besar negara tersebut.

Bukan setakat dalam parlimen, malah polis dan ratusan pasukan tentera terpaksa melakukan rondaan di sekitar Cape Town untuk berjaga-jaga terhadap penunjuk perasaan yang memaksa Presiden mereka meletakkan jawatan. Ekstrem!

Sekali imbas macam perhimpunan Bersih pulak

Masih wujud ke kesopanan dan kesusilaan dalam Parlimen Malaysia?

Ni cuma beberapa negara yang bergaduh. Kalau nak diikutkan banyak lagi negara lain yang bertumbuk juga, contohnya di Turki, disebabkan cadangan parti pemerintah yang nak lucutkan kekebalan ahli politik dari pendakwaan, Parlimen Ukraine bertumbuk kerana dituduh sebagai Ejen Kremlin, dan banyak lagi.

Di Malaysia pula walaupun takde lagi sampai bertumbuk, tapi agak menyedihkan jugalah bila berlakunya seksisme semalam, di mana Speaker Dewan, Art Harun mengherdik MP Segambut, Hannah Yeoh dan MP Batu Kawan, Kasthuri Patto apabila mereka terpaksa mencelah semasa mempersoalkan beberapa keraguan dari kerajaan PN tentang vaksinasi negara.

Malah MP Pasir Salak, Tajuddin pula pernah memanggil MP Seputeh, Teresa Kok sebagai ‘the only woman with a Kok’ yang mambawa maksud kurang senonoh.

MP Baling, Abdul Azeez Abdul Rahman pula pernah membuat kenyataan rasis apabila menyampuk “Gelap, tak nampak” pada Kasthuri Patto.

Manakala bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin pula pernah mengeluarkan kenyataan seksis terhadap MP Pengerang, Azalina Othman, “Kejap macam perempuan, kejap macam lelaki”, yang tak sepatutnya berlaku.

Korang rasa, patut tak rasisme dan seksisme diberi lebih perhatian lebih-lebih lagi di Parlimen Malaysia?

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend