Mohd Noah: Speaker Dewan Rakyat pertama yang dua menantu & cucunya jadi PM

Seperti yang kita semua tahu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun telah pun dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Yusof. Berdasarkan undang-undang yang ditetapkan, YDP atau Speaker Dewan Rakyat boleh dilantik dari kalangan atau bukan ahli-ahli Dewan Rakyat asalkan orang itu ada kelayakan.

Tugas Speaker Dewan Rakyat ni pada amnya adalah mengawasi perjalanan mesyuarat, memastikan perbahasan mematuhi peraturan dan membuat keputusan/tafsiran mengenai peraturan-peraturan mesyuarat.

Pelantikan Speaker dengan penuh kekecohan. Imej asal dari The Star.

Tapi korang kenal tak Speaker Dewan Rakyat pertama selepas merdeka?

Tan Sri Mohd Noah Omar: Memegang jawatan Speaker ketika peraturan Dewan masih belum digubal lagi

Tan Sri Mohd Noah Omar, negarawan ulung negara. Imej dari Without Fear or Favour.

Sebelum adanya Dewan Rakyat, pihak pentadbiran British ada menubuhkan Majlis Mesyuarat Persekutuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu atau dikenali sebagai Majlis Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1909. Pada masa tu, ia dianggotai oleh Sultan-Sultan Melayu, Residen British dan empat orang Ahli Rasmi. Menjelang tahun 1948, nama majlis ni diubah kepada Majlis Undangan Persekutuan Tanah Melayu di bawah Perjanjian Persekutuan 1948 yang diketuai oleh seorang Presiden Majlis.

Jawatan Presiden masa tu disandang oleh Ketua Pesuruhjaya British sampailah pada tahun 1953, apabila ia bertukar tangan kepada rakyat tempatan iaitu bekas Menteri Besar Pahang, Dato’ Setia Wangsa Mahmud Mat yang dilantik dengan gelaran Speaker. Dua tahun lepas tu, jawatan Speaker dipegang pula oleh Raja Sir Uda Raja Muhammad sampai tahun 1957, sebelum dijawat oleh Dato Abdul Malek Yusuf.

Apabila Sesi Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Pertama Tanah Melayu (segalanya pertama) berlangsung pada 11 September 1959, seorang tokoh dari Johor dah dilantik sebagai Speaker dan orang itu adalah Tan Sri Mohd Noah Omar. Pada masa tu, tak ada peraturan dewan lagi yang ditetapkan, jadinya Mohd Noah banyak menggunakan kuasa Speaker dan amalan House of Commons UK bagi menjelaskan keputusannya.

Majlis Undangan Persekutuan Tanah Melayu yang dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya British, Sir Donald MacGillivary. Imej dari NST.

Beliau juga terlibat dalam banyak mesyuarat bersama Speaker-speaker Negeri Tanah Melayu bagi menyeragamkan peraturan dan protokol sebagai seorang Speaker. Terkenal sebagai seorang yang berpengetahuan luas, beliau turut memberikan pandangan dalam banyak hal.

“Dato Haji Mohamed Noah banyak memberi nasihat dan menjawab soalan berhubung peraturan, amalan, fatwa dan konvensyen Parlimen kepada Speaker-speaker yang hadir.” – Dipetik dari terbitan Jubli Emas Parlimen Malaysia 1959 – 2009.

Setelah meletakkan batu asas Dewan Rakyat dan memberikan sumbangan besar dalam proses demokrasi di Malaysia, beliau akhirnya bersara pada 17 Mei 1964 dan digantikan oleh timbalannya, Dato’ Syed Esa Alwee.

Tapi, Mohd Noah bukanlah sebarangan orang, sebab…

Dua orang menantu dan seorang cucunya pernah jadi Perdana Menteri Malaysia

Mohd Noah dan cucunya yang tak perlu diperkenalkan lagi. Imej dari Alchetron.

Berdasarkan maklumat dari biografi beliau, Without Fear or Favour: A Biography of Tan Sri Mohd Noah, beliau dilahirkan di Bandar Maharani (Muar), Johor pada 13 Ogos 1897. Bapa beliau, Orang Kaya Omar dan datuknya Orang Kaya Junid adalah tokoh berpengaruh di zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar (1862 – 1895).

Lebih dari itu, kaum keluarga Orang Kaya Junid berasal dari keturunan kerabat Raja Chempa Bugis yang berkerajaan di daerah Bukit Mor, Muar Johor. Makanya, boleh dikatakan yang beliau memang datang daripada keluarga bangsawan Melayu, yang dalam masa sama berpegang kuat dengan ajaran Islam.

Buktinya, Mohd Noah dihantar ke Sekolah Arab Al-Madarasah Al-Arabiah Al-Khairiah, sejurus saja tamat pengajian di sekolah Melayu. Pada 11 Mei 1914, beliau bertolak pula ke Beirut, Lubnan untuk melanjutkan pengajian di sebuah kolej yang dikenali sebagai “Al-Othmaniah Al-Islamiah”.

Malangnya, tak lama selepas sampai di sana, tercetus Perang Dunia Pertama (WWI) sehingga membuatkan pengajiannya terganggu. Kemudian, beliau melanjutkan pula pengajian di Syrian Protestant College (sekarang American University of Beirut).

Pada tahun 1917, Mohd Noah dan rakan-rakan keluar dari Syrian Protestant College dan masuk pula ke sebuah kolej di bawah naungan Jamal Pasha, Panglima Angkatan Tentera Turki bernama “Kuliah Salahiah” yang terletak di Baitulmaqdis. Bagaimanapun beliau tak lama di sana, dan masuk semula ke Syrian Protestant College sebelum kembali ke Tanah Melayu.

Syrian Protestant College pada tahun-tahun sebelum 1900. Imej dari Al Mashriq.

Sekembali ke Tanah Air, beliau berkhidmat sebagai kerani di Mahkamah Tinggi Muar. Pada April 1922, Mohd Noah mendirikan rumah tangga bersama Maimun Abdul Manaf (anak Kadi Daerah Muar).

Mereka dikurniakan 4 orang anak iaitu Fakhriah, Abu Rais, Suhailah dan Rahah. Fakhriah kemudiannya berkahwin dengan Datuk Abdullah Ahmad (bekas Presiden Majlis Lembaga Bandar Johor Bharu), Suhailah berkahwin dengan Tun Hussein Onn dan Rahah berkahwin dengan Tun Abdul Razak.

Ini bermakna, dua orang anak perempuan beliau berkahwin dengan dua orang Perdana Menteri Malaysia! Lebih menarik lagi, cucunya juga pernah jadi PM iaitu tak lain dan tak bukan adalah Datuk Seri Najib Razak.

“Anak-anak saya dan sekarang cucu saya adalah sumber utama kebahagiaan saya. Saya sering melihat mereka… Mereka bukan sahaja kegembiraan saya tetapi kekuatan saya pada usia tua saya ini.” – Katanya dipetik dari Without Fear or Favour: A Biography of Tan Sri Mohd Noah.

Perbincangan di rumahnya menjadi titik mula penubuhan UMNO

Mohd Noah (kiri sekali) bersama pemimpin-peminpin Perikatan. Imej dari Without Fear or Favour.

Menjelang tahun 1920-an, Mohd Noah dah lulus dalam peperiksaan undang-undang dan beliau kemudiannya dilantik sebagai Majistret kelas dua di Mahkamah Muar. Lepas tu, Mohd Noah ditukarkan ke Mersing sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah.

Dari tempoh 1930 hingga awal 1940-an, Mohd Noah dah menjawat pelbagai jawatan yang antaranya Penolong Kanan Pemungut Hasil Tanah Muar dan Timbalan Pegawai Daerah Mersing hinggalah meletusnya Perang Dunia Kedua (WWII) pada akhir tahun 1942.

“Jawatan terakhir Mohamed Noah sebagai kakitangan awam ialah Yang Dipertua Jabatan Agama Johor.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Selepas tamatnya WWII, ketika itu semangat menuntut kemerdekaan mula membara dan beliau juga terlibat dalam menentang Malayan Union. Hal itu terbukti pada November 1945, apabila satu mesyuarat melibatkan enam orang tokoh politik Melayu Johor dah diadakan di rumahnya sendiri dan mesyuarat itulah yang menjadi titik mula penubuhan UMNO.

Mohd Noah dijulang oleh para penyokongnya selepas menang di kawasan Johor Bahru Timur pada PRU-1959. Imej dari Utusan Malaysia.

Selepas bersara dari jawatan kerajaan Johor, Mohd Noah mula aktif dalam politik sehingga dipilih sebagai Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung UMNO dari tahun 1951 hingga 1959. Beliau juga menang di kawasan Segamat pada PRU-1955 dan Johor Bahru Timur pada PRU-1959, serta dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat pada tahun sama.

Orang Melayu pertama yang menubuhkan yayasan pendidikan

Mohd Noah dipimpin oleh Tan Sri Kishu Tirathrai, bekas Pengarah Bank Negara. Imej dari NST.

Selepas menamatkan tugasnya sebagai Speaker Dewan Rakyat, Mohd Noah dilantik pula sebagai Speaker Dewan Negara yang ketiga dari Februari 1969 hingga Julai 1970. Beliau turut pernah bertugas sebagai Setiausaha Parlimentari Komanwel.

Selain tu, kalau korang nak tahu – Mohd Noah sebenarnya adalah antara orang penting dalam penubuhan Genting Berhad atas kerjasamanya bersama usahawan terkemuka, Tan Sri Lim Goh Tong.

Pada 23 Jun 1971, beliau menubuhkan sebuah yayasan pendidikan – Yayasan Noah (Noah Foundation). Menurut penulis buku biografi beliau, John Victor Morais – dia percaya yang yayasan itu adalah yayasan pendidikan pertama yang ditubuhkan oleh orang bumiputera di Semenanjung Malaysia

Maka, tak dapat dinafikan yang insan ini telah menyumbang banyak kepada negara sejak sebelum dan selepas merdeka lagi. Atas jasa besarnya itu, allahyarham Tan Sri Mohd Noah Omar telah dimakamkan di Makam Pahlawan pada September 1991, setelah menutup usia pada umur 94 tahun.

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.