Jenayah & Undang-undang

5 operasi rahsia KGB-Russia yang paling licik, patutla dah diharamkan

UPDATE: Britain baru je umumkan yang mereka akan mengusir 23 orang diplomat Rusia yang ada kat negara tu. Kalau korang nak tahu, ni la pengusiran terbesar yang pernah dibuat sejak Perang Dingin.

Semua ni bermula bila bekas ejen perisik KGB, Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia diracun oleh ahli perisik Rusia di bandar Salisbury, England. Perkara ni tak jauh beza dengan apa yang Alexander Litvinenko kena pada tahun 2006.

Sergei Skripal, bekas ejen Rusia dikatakan bocor rahsia pada ejen perisikan British. Imej dari businessinsider

____________________________________________________________________________

Seperti yang kita semua tahu, Rusia atau Kesatuan Soviet (USSR) dan Amerika Syarikat adalah dua negara yang memang tak berapa nak ngam sejak sebelum Perang Dingin lagi. Dua buah negara ni memang diiktiraf hebat pada zaman tu, tapi diorang berbeza ideologi politik di mana Amerika adalah negara kapitalis yang mengamalkan demokrasi. Manakala USSR pulak terkenal  dengan fahaman komunisme yang dibawa oleh Karl Marx.

Kerajaan komunis biasanya kawal apa je yang keluar dalam media, dan dari segi kebebasan bersuara pulak, kalau ada sesiapa protes, tahu-tahu je orang tu dah ‘senyap‘. Tapi secara dasarnya, komunisme ni adalah sistem politik dan ekonomi yang mana sumber-sumber produktif utama dan kekayaan dibahagikan di kalangan rakyat.

Bercakap pasal Amerika vs USSR ni, benda pertama yang mungkin terlintas dalam kepala adalah pasal spy atau secret service, macam dalam Mission Impossible, James Bond, Salt, The Good Shepherd, dan macam macam lagi la. Selalunya dalam movie macam ni, musuh CIA (Amerika) selalunya ejen perisik yang belah-belah Rusia sana.

Angelina Jolie sebagai ejen CIA dalam Saltbae. Sumber dari drnorth.wordpress

Kalau korang nak tahu, spy dari USSR ni ialah KGB, yang mana asal mulanya polis rahsia je, lepas tu berkembang jadi ejen perisikan USSR, macam CIA Amerika. Secara faktanya, cerita pasal CIA vs KGB ni memang berdasarkan sejarah dunia. Antara operasi Rahsia KGB yang paling licik adalah:

1. Soviet letak alat pengintip kat Jata Negara Amerika (1945)

“Ni paruh dia”. Duta Besar AS, Henry Cabot Lodge Jr. menunjukkan The Great Seal yang digunakan USSR untuk mengintip US selama tujuh tahun di hadapan Majlis Keselamatan PBB. Imej dari Spy Museum.

KGB memang hebat dalam taktik ‘eavesdropping’, dan salah satu contoh terawal taktik ni digunakan ialah THE GREAT SEAL BUG atau pengintipan melalui Jata Negara Amerika. Boleh tahan bijaknya USSR ni, diorang hantar sekumpulan delegasi Perintis Muda Kesatuan Soviet yang hanya berumur 10 hingga 15 tahun sebagai tanda persahabatan dan keamanan terhadap sekutu Perang Dunia II Soviet.

Delegasi ni menyampaikan dua kaki replika kayu jata atau The Great Seal ni kepada Duta Averell Harriman tahun 1946. Duta pun naïf dan bersifat husnuzon terhadap budak-budak ni, beliau pun gantung la jata tu dekat pejabatnya di Spaso House, Moscow.

Spaso House, kediaman duta AS di Moscow, Rusia.

Nak dijadikan cerita, lepas 7 tahun permeteraian tu digantung, seorang broadcaster British terdengar suara orang Amerika masa tengah buat penyiaran dekat luar kedutaan Amerika, dan terus melaporkan kepada kedutaan sendiri. Geng juruteknik Amerika, Technical Surveillance Countermeasures (TSCM) pun buat inspection kat ofis di Spaso House ni, dan mendapati bahawa jata tu ada mikrofon dan alat pendengaran tertanam dalam plak jata, yang boleh dirangsang dari isyarat radio luar.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Bayangkan, 7 tahun US kena spy dengan USSR melalui sekumpulan delegasi remaja je? Well, tak boleh nak salahkan diorang sebab tahun 1940-an, handphone pun besar macam botol air kalau kot, and sebab tu la diorang tak sangka kena tipu hidup-hidup selama 7 tahun tu. Boleh dikatakan inilah bibit-bibit permusuhan Amerika vs USSR mula berputik.

“Hello, it’s me”. Sumber dari knowyourmobile.com

US Buat Comeback!

Tapi Amerika ni cerdik, diorang tak terus melatah pasal hal ni, sampaila 8 tahun lepas tu. Pada 26 Mei 1960, Duta Besar US untuk Majlis Keselamatan PBB, Henry Cabot Lodge Jr. pecah rahsia di hadapan Majlis Keselamatan PBB untuk menentang mengecam misi pengintipan U-2.

Peristiwa U-2 berlaku semasa Perang Dingin pada 1 Mei 1960, semasa pemerintahan Presiden Dwight D. Eisenhower dan kepemimpinan Nikita Khrushchev, apabila sebuah pesawat mengintip milik Amerika Syarikat ditembak jatuh di ruang udara USSR.

Mula-mula kerajaan Amerika menafikan misi pesawat ini, tapi  terpaksa mengaku bila kerajaan Soviet tunjukkan bangkai pesawat dengan juruterbang yang ditangkap, Francis Gary Powers. Kejadian ini berlaku dua minggu je sebelum persidangan Timur-Barat yang dijadualkan di Paris. Peristiwa ni la menyebabkan Amerika Syarikat malu besar dan menjejaskan lagi hubungan Amerika vs USSR.

So, diorang dah start sama-sama try untuk spy satu sama lain masa ni.

2. Pengintipan Sebuah Hotel di Estonia (1972)

Viru Hotel, tempat pengintipan ahli perniagaan seluruh dunia oleh KGB. Sumber dari http://www.thedailybeast.com

12 tahun lepas kes The Great Seal Bug tu, KGB ni dah makin ‘established’, dan makin pakar dalam mengintip guna mikrofon kecil untuk rakam perbualan orang. In fact, diorang pernah intip seluruh tingkat dalam hotel selama 20 tahun! Mana idea diorang dapat ni? Sebab selain daripada kes The Great Seal Bug tu, dalam awal tahun 1970-an, pelancongan makin berkembang dekat Negara Estonia (negara Soviet juga, sebelah Rusia je).

KGB pun apa lagi, ambik peluang nak spy ahli perniagaan seluruh dunia dan kumpul maklumat negara lain supaya diorang selalu “satu langkah dihadapan” daripada negara lain termasuklah Amerika. Macam mana? Diorang ambil alih tingkat atas Hotel Viru Estonia, pasang wayar diseluruh tempat dengan peranti pengawasan audio yang canggih. Sebab area ni yang international businessman banyak lalu. Banyak tak banyak, ada 60 bilik yang kena bugged.

Tingkat 23 Hotel Viru. Photo from http://www.smithsonianmag.com

Kalau tengok daripada luar, hotel ni ada 22 tingkat je. Tapi sebenarnya ada 23 tingkat, dan tingkat rahsia tu menempatkan ejen KGB dan teknologi yang mereka gunakan untuk mengintip semua tetamu di hotel. KGB kekal selama dua dekad, sampailah kejatuhan USSR dan menghentikan operasi pengawasan pada 1991.

Kalau korang berminat nak tengok sendiri macam mana KGB punya peninggalan, pergi je Tallinn, Estonia, boleh tempah dekat Trip Advisor dan jelajah puas-puas sebab Hotel Viru ni dah tukar jadi muzium KGB.

3. Pengeksploitasian ketegangan kaum Afrika Amerika vs Yahudi (Operasi Pandora-1960an)

Jewish Defense League, 1970. Sumber dari timesofisrael.com

Selain tu juga, KGB pernah muncul dengan idea yang agak provokatif, iaitu dengan mengeksploitasi ketegangan kaum yang sedang berlaku di Amerika pada awal tahun 60-an. Dipanggil sebagai Operasi PANDORA, KGB sebarkan risalah palsu yang kononnya macam Jewish Defense League (JDL) yang buat.

Risalah palsu kata orang kulit hitam Amerika telah menyerang dan merrompak kedai milik Yahudi di New York. Ia bertujuan untuk provoke orang Yahudi Amerika untuk melawan “mongrels hitam” (orang Afrika-Amerika). Sekarang JDL ni dah pun diklasifikasikan  sebagai organisasi pengganas oleh FBI kerana mengganggu ketenteraman awam seperti diplomat asing, pemimpin masyarakat, dan pegawai-pegawai, malah orang alim Yahudi sendiri.

No, you’re caramel. Sumber dari memecdn.com

Dalam masa yang sama, KGB pun cucuk orang kulit hitam Amerika ni dengan menghantar 30 risalah dan surat palsu kepada 60 organisasi kulit hitam untuk membuatkan New York kacau-bilau, dengan memberikan butiran palsu kekejaman yang dilakukan oleh organisasi yang diketuai oleh Meir Kahane ni. Apa lagi, membuak buak la kebencian diorang sesama sendiri, padahal dua-dua bangsa minoriti tu kena eksploit dengan KGB.

Antara ‘kejayaan’ sebahagian daripada operasi ni ialah sebuah kolej orang kulit hitam dibom dengan bahan letupan yang ditanam, dan panggilan tanpa nama oleh KGB kepada satu siri organisasi hitam mendakwa bahawa JDL yang bertanggungjawab. Operasi Pandora diketuai oleh Anatoli Kireyev, Ketua Jabatan Pertama KGB yang aktif di New York pada tahun 1971, dan dianggap antara salah satu operasi paling berjaya yang direka untuk memecah belahkan kaum Afrika-Amerika dan Yahudi di negara itu.

4. Operasi Godaan-Honeytrap (1939–1945)

Contoh KGB woman/seducer. Sumber dari dhresource.com

Disebabkan suasana yang tegang dan rasa untuk menakluk dunia tu kuat, KGB rasa diorang kena rekrut ejen baru untuk mendapatkan sumber dari negara lain secara personal. Masa Perang Dunia Kedua, selain daripada USSR sendiri, ada beberapa buah negara yang berkuasa besar termasuklah Nazi Jerman, Jepun, dan Amerika. So, KGB dapat satu idea yang diaorang tahu boleh melemahkan lelaki, iaitu dengan mengupah perempuan cantik sebagai pengiring. Projek ni dipanggil Honeytrap Operation – mak aih, nama pun suspicious!

Taktik KGB untuk merekrut ejen ialah dengan mengarahkan perempuan-perempuan upahan yang juga dinamakan ‘swallow’ untuk jadi pengiring, seterusnya menggoda client diorang yang terdiri daripada orang kenamaan, tentera asing, ahli perniagaan dan diplomat yang berpangkat besar di seluruh negara. Tak cukup jadi pengiring, KGB arahkan swallow ni jadi perempuan simpanan dalam tempoh masa tertentu supaya dapat memanipulasi client diorang dengan cinta.

Dari mata turun ke hati. Sumber dari imgur.com

Tak terhenti kat situ je, KGB akan mengugut client tak rasmi diorang ni dengan mendedahkan ‘illicit sexual intimacies’ atau rahsia seks haram dorang kepada jabatan atau negara masing-masing. Disebabkan skandal ni boleh memusnahkan karier diorang, ramai client ni jadi spy KGB dan mengintip negara sendiri. So nak malu ke nak jadi spy untuk KGB?

Hal ni makin berleluasa walaupun setelah Perang Dunia Kedua habis. Jadi kerajaan US pun mengarahkan pekerja diorang kat luar negara untuk bagitau superior diorang kalau diorang jumpa apa-apa yang mencurigakan, nak lagi yang yang kerja kat Rusia.

5. Pembunuhan Alexander Litvinenko (ex-KGB, 2006)

Alexander Litvinenko, ex-KGB. Photo from http://www.ibtimes.co.uk/

Walaupun KGB ni dikatakan tamat pada tahun 1991, jangan fikir yang diorang terus hilang dari radar sebab ia digantikan dengan FSB (Federal Security Service of the Russian Federation). Sesiapa yang pernah berurusan dengan KGB pun takkan terlepas kalau ada yang cuba untuk buka rahsia kerajaan. Contohnya, Anna Politkovskaya, wartawan Russia dan Alexander Litvinenko, bekas tentera KGB yang diracun di London’s Millennium Hotel, lepas minum teh hijau yang tercemar dengan Polonium-210 pada tahun 2006.

Litvinenko kena target sebab dia kutuk FSB dan juga Vladimir Putin habis-habisan. Kalau nak tahu, Putin ni dulu pun memang bekas KGB yang digeruni, dan dituduh Litvinenko mempunyai hubungan dengan jenayah terancang dan keterlaluan yang didakwa termasuklah:

  1. Putin dikatakan seorang pedofilia,

  2. FSB bertanggungjawab menjalankan pengeboman bangunan apartmen di Rusia pada 1999 yang meragut nyawa sebanyak 124 orang tapi militan Chechen dipersalahkan.

  3. Putin juga disabitkan dengan pembunuhan Anna Politkovskaya, seorang wartawan yang mendedahkan pencabulan hak asasi manusia di Chechnya.

Just Putin the glasses. Sumber dari http://www.fullredneck.com/

Lepas Litvinenko ni dedahkan semua perkara pasal Putin dan FSB tu, dia larikan diri ke Britain pada tahun 2000. Litvinenko juga sempat menulis beberapa buah buku masa beliau tinggal di Britain, dan buku tersebut diharamkan penerbitannya di Rusia oleh Presiden Putin sendiri.

“Ini buku saya” Litvinenko semasa di London, Mei 2002. Sumber dari http://www.mintpressnews.com/

6 tahun lepas dia lari ke Britain, bermula la titik hitam hidup dia bila dua orang Rusia, Andrei Lugovoi  dan Dimitry Kovtun datang untuk jumoa Litvinenko ni dekat Hotel Millenium, London atas alasan bisnes.

Malam tu jugak Litvinenko jatuh sakit dan masuk hospital sebab kuatnya kesan Polonium-210 ni. Keracunan radiasi radioaktif ni sangat dahsyat, boleh nampak Litvinenko ni dah macam berada di peringkat akhir kanser. Sepanjang di hospital tu, Litvinenko memang syak Lugovoi dan Kovtun yang racun dia, dan beliau juga percaya orang yang bertanggungjawab untuk approve pembunuhan dia ialah Vladimir Putin.

“dari segi jisim, polonium-210 adalah salah satu daripada toksin dahsyat, iaitu sekitar 250 bilion kali lebih toksik daripada hidrogen sianid – dos maut ialah 250 miligram” – Medical News Today

KGB je ke yang salah guna kuasa?

Melentur buluh biar dari rebungnya. Sumber dari http://www.headoverfeels.com/

Berdasarkan 5 operasi licik KGB yang dah disebutkan tadi, boleh la kata KGB ni setanding dengan CIA dari segi kebijaksanaan dalam stategi menentang musuh, penyamaran, bugging, dan kawalan pengaruh media. Cumanya, kita lebih nampak keburukan daripada kebaikan daripada KGB ni sebab konspirasi CIA yang kita tak nampak dan takde bukti?

Sumber dari zetaboards.com

ADA! Dari segi kawalan dan pengaruh media, CIA juga tak terlepas dengan keganasan di Amerika sendiri dan negara luar, iaitu Cadangan Operasi Northwoods pada tahun 1962 tentang rampasan dan pengeboman oleh CIA, diikuti dengan pengenalan bukti palsu yang akan mengaitkan kerajaan Cuba. CIA mempersalahkan Cuba untuk meraih sokongan orang awam untuk peperangan di negara tersebut yang menjadi komunis ditangan Fidel Castro.

Selain itu juga, Projek Kawalan Minda MK Ultra  ditubuhkan oleh CIA secara rasmi pada tahun 1950an. Diketuai oleh Sidney Gottlieb, ahli kimia yang bertanggungjawab mencipta LSD untuk CIA khusus untuk mengkaji keupayaan otak manusia, dan seterusnya memanipulasi keadaan mental. Operasi ni kekal rahsia sehinggalah tahun 1973, sampai la pengarah CIA, Richard Helms, mengarahkan supaya semua salinan mengenai MK Ultra dilupuskan.

Keratan akhbar The Washington Post berkenaan LSD oleh CIA. Sumber dari http://www.chaostrophic.com/

Berdasarkan contoh kelicikan operasi CIA Amerika pun, mungkin ada sebab USSR tubuhkan KGB sebagai Secret Service USSR. Selain daripada menunjukkan kuasa diorang sebagai satu kuasa besar dunia untuk mendominasi dunia, secara tak langsung juga membuatkan KGB ni nampak tough pada negara besar lain. Macam tu, tak mudah la USSR diperkotak-katikkan oleh kuasa besar yang lain walaupun sebenarnya matlamat tak menghalalkan cara.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend