Ekonomi

Adakah 4 perkara ni buat kita terlalu bergantung kepada China?

[UPDATE 13/2/2017] – Baru-baru ni telah dikhabarkan bahawa syarikat kereta pertama Malaysia, Proton, bakal dibeli oleh sebuahv syarikat kereta China. Geely, yang ditubuhkan pada tahun 1998 telah menunjukkan minat yang mendalam dalam pembelian tu.

Korang mungkin dah pernah dengar akan dakwaan daripada Dr Mahathir mengatakan kerajaan Malaysia ni makin lama makin bergantung dengan China. Kalau korang pernah baca artikel kami pasal Dawn Raid, korang boleh faham kenapa Mahathir ni memang berjaga-jaga daripada bergantung kepada kuasa luar.

Klik untuk baca artikel kami pasal Dawn Raid.

Hubungan Malaysia-China ni sebenarnya dah bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi tapi kami takde lah nak cerita dari jauh sangat ke situ.

Hubungan diplomatik moden Malaysia-China mula di bawah pimpinan PM Tun Abdul Razak. Time tu Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan dengan China selepas status negara mereka dikembalikan oleh PBB pada tahun 70-an. Dan hubungan ini diteruskan lagi oleh PM Najib Razak sekarang ni atas sebab-sebab ekonomi.

Jadi SOSCILI nak tau, betul ke kita ‘digula-gulakan’ oleh China ataupun memang ia membawa kepada kebaikan ekonomi bersama? So kita tengok satu-satu pelaburan China di sini…

1. Pelaburan bandar di Johor yang bernilai RM143 billion

Projek yang dirancang di Johor ni menawarkan 700K unit rumah siap dengan shopping mall, hotel, pejabat apa semua. Menurut website Forest City, tempat tu akan akan jadi kawasan bebas cukai – wuhoo Langkawi 2.0! PM Najib Razak juga berkata bahawa kawasan tu akan menyumbang sebanyak RM1.98 trillion kepada GDP negara.

Forest City adalah projek hartanah bernilai RM143 billion oleh syarikat China, Country Garden.

Pelaburan China buat masa ni. Carta dari Bloomberg.

Menurut Bloomberg, antara sebab banyak developer China datang ke Malaysia adalah sebab bisnes kat negara dorang dah tak berapa jalan sangat dah, sebab tu ramai yang datang secara berjemaah ke sini. Masalahnya kemasukan yang berderu-deru ni dah menjatuhkan harga rumah kat Johoh jatuh sebanyak satu pertiga, dan nilai resale jatuh 10%.

“Bila orang luar beli tanah kat sini, negara takkan dapat kemasukan duit… Apa yang dibeli oleh syarikat asing akan dibawa ke luar negara. Masa promosi beli satu rumah kat China akan dapat satu rumah percuma kat Malaysia, kita tak dapat untung. Jadi hasilnya tiada cukai akan dibayar kepada kerajaan” – Tun Mahathir, dipetik oleh Today Online.

Dr. M mengesyaki projek ni akan membanjirkan negara dengan pekerja immigran, dan mendakwa seramai 700,000 orang dari negara China akan dibawa masuk dan diberi IC untuk membantu dalam pilihanraya akan datang.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Dalam satu artikel The Star, Sultan Ibrahim tiau balik kenyataan Dr Mahathir yang dianggap ingin mensabotaj ekonomi dan menyemarakkan api perkauman. Najib backup kata rakyat China yang beli rumah kat Malaysia takkan dapat kewarganegaraan. MB Johor pulak kata 42% daripada Forest City adalah milik rakyat tempatan.

Walau bagaimanapun kesemua kenyataan ini tak menafikan/mematahkan laporan yang telah dibuat oleh Bloomberg.

Gambar dari malaysiamustknowthetruth.com

Tapi pelaburan China tak terhenti kat situ je, malah mereka telah membeli salah satu aset negara yang paling tak laku dengan harga yang tinggi.

2. China tolong bayar hutang 1MDB

Najib dan 1MDB berpisah tiada, tu lah yang kita sering dengar sejak isu ni meletup kat media. Tapi apa kaitan 1MDB dengan China? Rupa-rupanya terdapat dua perjanjian besar yang telah berlaku antara China yang dikatakan menampung hutang 1MDB:

Gambar dari jschina.com.cn

1. Pembelian aset-aset 1MDB oleh China sebanyak RM10 billion

China pernah beli semua aset-aset tenaga 1MDB dengan harga RM10 billion, yang sebenarnya adalah jauh lebih mahal daripada harga pasaran (tapi kita tetap jugak rugi besar sebab harga asal yang dibeli 1MDB laaaagilah mahal). Masa pembelian tu dibuat, satu dunia dah tau aset 1MDB ni teruk gila tapi kenapa China nak beli juga?

Biasanya syarikat luar hanya boleh miliki sehingga 49% je pegangan syarikat janakuasa tempatan, tapi dalam kes syarikat Edra ni, China Nuclear Power Corporation (CGN) telah memiliki pegangan sebanyak 100%.

2. Pembinaan keretapi daripada Kuala Lumpur ke Singapore

Kat CILISOS kami ada tulis artikel pasal pembinaan keretapi daripada KL ke Singapura. Projek ni dilaporkan bernilai RM50-60 billion, dan buat masa ni dikatakan syarikat utama yang dapat projek ni adalah sebuah syarikat China. (Malah, syarikat yang sama juga ada pelaburan besar kat Bandar Johor!)

Menurut Sarawak Report, kos yang dikeluarkan tadi merupakan harga wayang je. Maksudnya, kos sebenar adalah separuh dari kos yang ditunjukkan, dan separuh harga landasan kereta api tu digunakan untuk bayar hutang 1MDB.

Selain tu, dah banyak spekulasi mengatakan yang projek ni hanyalah sebahagian plan China untuk menakluk dunia dengan landasan kereta api besar yang merangkumi Asia Tenggara sampailah ke Eropah.

Ni lah plan China untuk buat landasan kereta api yang besar tu. Gambar dari merics.org

Tapi deal kita dengan China tak terbantut kat tanah, malah laut pun ada…

3. Pembinaan port baru di Melaka yang dibayai oleh China

Akhir tahun 2016, PM Najib Razak telah melancarkan projek Melaka Gateway, sebuah projek antara Malaysia dan China yang bernilai RM43 bilion. Projek yang dijangka siap pada tahun 2025 ni merupakan satu inisiatif gabungan Malaysia-China dalam menyaingi Singapura sebagai hub perdagangan terbesar di Asia Tenggara.

“Dalam 5 tahun yang lepas, terdapat peningkatan yang besar antara hubungan pelaburan di antara Malaysia dan China.

Kita ada pelaburan China dalam banyak bahagian di Malaysia termasuklah infrastuktur, kuasa, jalan keretapi, pembuatan, dan kini di sektor perlancongan dan perkhimatan.” – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapha Mohamed, dipetik daripada Nikkei.

Kononnya port Melaka tu akan jadi macam ni la. Gambar dari straittimesreview.com

Tapi tindakan ni telah diragui oleh beberapa pihak, mengatakan yang port ni sebenarnya lebih menguntungkan China daripa segi perdagangan dan juga ketenteraan.

“Ada elemen yang strategik tentang Selat Melaka. Ianya memang bermula dengan keperluan ekonomi, tapi boleh berkembang kepada aspek ketenteraan kerana China perlu memastikan perjalanan yang lancar untuk kapal-kapal komersil mereka” – Dr Johan Saravanamuttu, dipetik oleh Straits Times.

Malah perkara yang dipanggil sebagai “Dilema Melaka” merupakan isu yang dibentangkan di China sejak tahun 2003 lagi, menunjukkan betapa pentingnya Selat Melaka kepada mereka.

Dakwaan yang China ingin menggunakan Selat Melaka untuk tujuan ketenteraan telah diulang oleh sebuah blog tempatan, namun telah dinafikan oleh Ketua Menteri Melaka, Idris Haron.

“Ini adalah satu provokasi yang tidak wajar, apatah lagi bila Malaysia dan China sedang mengukuhkan hubungan bilateral, terutamanya Melaka” – Idris Haron, dipetik oleh NST.

Dan bercakap pasal ketenteraan…

4. Pembelian kapal perang dari China

Jeneral tentera China dan juga Jeneral Tentera Diraja Malaysia. Gambar dari thesundaily.my

Pada akhir tahun 2014, Malaysia telah mengadakan latihan ketenteraan bersama China buat kali pertama. Tahun 2015, kita buat latihan sekali lagi menggunakan ketiga-tiga cabang angkatan tentera dari kedua-dua buah negara, untuk memastikan kita berdua dapat berganding bahu dalam menjaga keamanan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Awal tahun 2014, Malaysia ada membeli 6 kapal LCS dari China yang bernilai 9 billion yang akan dibina di Malaysia. Hujung tahun 2016 pulak, Najib beli lagi 4 kapal LMS dari China, di mana dua akan dibina di China dan dua lagi kat Malaysia.

(Pembetulan, 11 Feb 2017: 6 kapal LCS bukan dibeli dari China! Tapi memang semua adalah dibina di Malaysia. Terima kasih Muhammad Fadhli yang bagi komen kat Facebook.)

Jenis kapal kelas littoral yang kita sedang bina/beli dengan China. Gambar dari manglermuldoon.blogspot.my

Reuters melaporkan yang kos LMS ni boleh mencecah RM300 juta sebijik.

“Yang sebenarnya kita boleh beli kapal ni dari negara-negara lain. Tapi China adalah satu-satunya negara yang telah memberi sokongan politik kepada Malaysia sewaktu skandal 1MDB. Jadi ini adalah balasan kepada sokongan politik tersebut.” – Lam Choong Wah, pegawai senior di REFSA, dipetik oleh Reuters.

Namun satu laporan daripada Bloomberg pulak mengatakan yang kos pembelian dari China ni sebenarnya sangat murah, sampaikan mencecah satu pertiga berbanding negara lain.

“Semuanya adalah berdasarkan kelebihan ekonomi dan China mampu menawarkan sesuatu kepada Malaysia yang lebih murah daripada sesiapun.” – Jon Grevatt, analis pertahanan IHS Jane, dipetik oleh Bloomberg.

Namun buat masa ni, Hishamuddin Hussein selaku Menteri Pertahanan masih belum mendedahkan detail pasal pembelian ni, so kita tunggu dan lihat je dulu, asalkan keselamatan negara kita terjaga!

Sebagai sebuah negara berdaulat, kita kena maintain neutral

Gambar dari asiasentinel.com

James Chin, seorang professor dari Universiti of Tasmania yang pakar dalam perhubungan ASEAN telah berkata bahawa hubungan kita sangat berat sebelah kepada China. Katanya sebagai sebuah negara berdaulat, kita terlalu baik dengan China.

Tambahnya lagi, sewaktu kita dengan China bergaduh pasal Kepulauan Spartly, Malaysia macam tak berkeras dan nak tak nak je. Malah lepas pergaduhan tu kita macam merelakan hati untuk pinjam duit dan buat business dengan negara tu. Semua ni menyebabkan James mengatakan yang Malaysia telah jadi negara paksi China.

Bekas editor NST, Kadir Jasin pula sangat keras pandangannya bila bercakap tentang hubungan Malaysia-China setakat ni, terutamanya dalam pembelian senjata ketenteraan dari China:

“Kalah perang satu hal tetapi menyerahkan kedaulatan negara bulat-bulat kepada kuasa asing kerana berhutang untuk bayar hutang adalah perbuatan khianat dan penderhakaan terhadap negara.” – Kadir Jasin, dipetik dari blognya.

Sebagai sebuah ahli negara UN dan salah satu negara yang menubuhkan ASEAN, kita telah mengamalkan sikap neutral dengan negara-negara lain. Satu prinsip yang telah kita pegang sejak merdeka lagi jadi harap-harap pada masa depan nanti kita tak la terikat dengan negara lain dan maintain bersikap neutral.

(Artikel ini ditulis bersama MK dan Adly.)

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend