Recycle botol, dapat naik bas free selama dua jam? Ini cara Surabaya!

Masa kerajaan umumkan untuk mengharamkan penggunaan straw berkuat kuasa 1 Januari 2020, ada yang setuju dan start cari straw besi online, dan tak kurang juga yang mencemuh idea tu sebab, “straw je pun”. Tapi, korang tahu tak yang sampah kita boleh mencederakan haiwan?

Malah dalam kes lain, kura-kura yang terperangkap dalam plastik bir sejak kecil sampai mengubah bentuk asal haiwan tersebut, Imej dari inhabitat.com

Perkara ni terjadi bukan sahaja kerana kita suka buang sampah merata-rata, malah ia disebabkan plastik yang sukar untuk dilupuskan, mengambil masa yang begitu panjang untuk terurai berbanding benda lain. Malah, memakan masa lebih kurang 450 tahun atau mungkin lebih untuk terhapus.

Itu baru plastik, tak masuk lagi sampah lain yang ada dibuang merata-rata. Setakat ni, Malaysia cuma ada beberapa idea untuk mengekang masalah lebih besar dari berlaku. Negara lain pula mempunyai inisiatif tersendiri untuk mengurangkan pelbagai pencemaran yang berlaku di seluruh dunia ni.

1. Surabaya yang kitar semula plastik untuk dapatkan perkhidmatan lain

Kalau Malaysia dah memulakan kempen kitar semula, Surabaya nampaknya lebih terkehadapan dengan memberi perkhidmatan lain dengan setiap kali botol plastik dikitar semula.

Dengan hanya membawa botol-botol plastik yang dah tak digunakan lagi ke tempat recycle yang disediakan di terminal Purabaya, kesemua botol tu boleh ditukarkan dengan sekeping tiket. Tak ada tunai? Tak ada masalah!

Contoh kad daripada sampah yang dikitar semula. Imej dari IG suroboyobus

Bas ni akan terima sebanyak 5 botol plastik dengan isipadu 600ml, 3 botol plastik dengan isipadu 1.5 liter, atau 10 cawan plastik sebagai bayaran menggantikan duit.  Mereka kemudiannya diberi sekeping tiket yang sah dalam tempoh 2 jam. Ini bermakna, mereka boleh naik turun bas dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Mas, kalau bayar guna botol dalamnya ada air bisa sampai ke Jakarta nggak?” Imej dari straitstimes.com

Perkara ni bukan saja memudahkan mereka kitar semula, malah memudahkan pengasingan dibuat. Setakat ni, Surabaya saja mempunyai 300 bank sampah dan 26 buah pusat pemprosesan sisa organik yang boleh digunakan sebagai baja.

Kerajaan Surabaya berhasrat untuk memproses plastik tu kepada barangan lain yang lebih berguna. Perkara ni diterangkan Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini pada bulan April yang lepas masa dia umumkan pelancaran Bas Suroboyo yang baru, bas yang selesa dan berhawa dingin terutama sekali untuk kegunaan penumpang kurang upaya, warga tua dan ibu mengandung.

 “Inilah komitmen kami dalam menangani sisa plastik yang tidak boleh dimusnahkan selama beratus-ratus tahun,” – Bu Risma, dipetik dari asiancorrespondent.com.

Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini atau Bu Risma yang berlatar belakangkan pendidikan perancang bandar berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat dalam masalah alam sekitar. Imej dari IG suroboyobus

Langkah ni dimulakan sebagai satu cara penyelesaian masalah sampah di bandar tersebut, di mana kesedaran muncul apabila mereka sedar yang Indonesia menghasilkan 187.2 juta tan sisa plastik setiap tahun, menjadikannya pencemar laut kedua terbesar di dunia selepas China. 

Antara sebab lain selain daripada kitar semula, kerajaan Surabaya juga berusaha untuk mengajak penduduk naik bas, sekurang-kurangnya dengan nisbah 50:50 dan mengurangkan kenderaan persendirian yang buat masa sekarang masih 75% lebih banyak berbanding pengangkutan awam.

2. Armenia kurangkan penggunaan botol dengan memberikan akses air secara percuma di seluruh negara

Zaman sekarang ni semua benda perlukan duit. Kadang-kadang tu order air suam pun kena caj 20 sen atau 30 sen kat kedai mamak. Tapi di Armenia, air yang merupakan keperluan asas bukanlah satu masalah langsung di negara yang bersempadan dengan Turki di bahagian Barat, Azerbaijan di Barat dan Iran di Selatan.

Tasik dia pun lagi besar dari Singapura. Imej dari geographic guide

Di Armenia, mereka juga buat konsep yang lebih kurang macam Indonesia, iaitu dengan memberi khidmat kepada rakyat mereka sendiri, secara percuma! Untung betul rakyat Armenia.

Pergi la kat mana-mana bahagian negara tu pun, memang senang sangat nak cari water fountain yang bersih – malah, boleh diminum begitu saja! (Ceh, dah macam iklan Gardenia ni). Malah, airnya dikatakan sedap dan segar, kerana ia adalah air dari gunung!

Hang biaq betui? Gif dari make a gif

Punca sebenar kerajaan Armenia memberikan akses air yang percuma ni pula adalah disebabkan mereka tak nak rakyat mereka beli, dan menggunakan botol air plastik.  Minum je terus daripada water fountain tu, apa susah?

Dalam hal ni, kerajaan Armenia memutuskan untuk bekerjasama dengan sektor swasta bagi menjalankan usaha ni. Ia juga dikawal dengan baik sampai ke hari ni dengan kecekapan operasi serta penyediaan perkhidmatan yang lebih baik.

Dah la free, air ni asal dari gunung pulak tu. Taraf-taraf Evian gak ni. Imej dari panorama.am

Kalau kat Malaysia ni masih lagi ada masalah isu di beberapa negeri, nampaknya Armenia lebih kehadapan berbanding kita. Dah la takde masalah bekalan air, malah air mereka bersih sampai boleh minum begitu saja, dan penggunaan botol plastik pun berjaya dikurangkan.

Hmm, tiba-tiba terfikir pasal “Masalah air di Selangor lebih kritikal”. 

3. Pakistan tanam 1.5 million pokok sehari bagi mengurangkan pemanasan global

Bila korang jalan nak pergi lunch tengahari buta dengan kawan sepejabat, mesti ada antara korang yang ‘puteri lilin’ akan mengadu pasal panasnya Malaysia ni. Ingatkan Malaysia je panas? Korang kena tahu yang Pakistan tu lagi panas, malah antara 6 negara yang paling terjejas disebabkan pemanasan global.

Bukan masalah takde air kat rumah, tapi kepanasan melampau di Karachi, Pakistan sampai 45c, dan membunuh 65 orang. Imej dari The Guardian

Sebuah negara yang terletak di Asia Selatan dan berjiran dengan India, Pakistan adalah salah satu negara yang agak gondol disebabkan kurangnya hutan di negara mereka, iaitu sebanyak 2% hingga 5% je, berbanding Malaysia yang ada 67.6% pada tahun 2016. Ia adalah kurang daripada saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu sekurang-kurangnya, 12%. Banyak betul bezanya! Malah disebabkan hutan mereka yang gondol tu juga, Pakistan banyak kali diserang pelbagai bencana alam seperti banjir, tsunami, kemarau dan pelbagai lagi.

Jadi disebabkan permasalahan ni, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan melancarkan projek penanaman semula hutan dengan skala yang besar, dipanggil “Ten Billion Tree Tsunami“. Seluas 350,000 hektar kawasan digunakan untuk penanaman pokok, sebagai usaha memulihkan hutan yang berkurangan di negara tu, dan dalam masa yang sama memerangi kesan perubahan iklim.

Perubahan iklim yang mendadak. Imej dari gifer

Untuk Kempen Program Hijau Pakistan (GPP) ni, acara dimulakan dengan PM Pakistan, Imran Khan yang menanam pokok pokok di Haripur pada bulan September lepas. Sebanyak 1.5 juta pokok juga diedarkan di 190 tempat pengedaran di seluruh negara tu.

Kenapa pokok? Sebab kalau korang belajar sains betul-betul dulu, korang mesti tahu yang pokok membekalkan oksigen kepada manusia, meredupkan suasana, dan mengurangkan hakisan tanah.

Imran Khan serta cangkulnya. Imej dari dunyanews

Selain daripada mengurangkan kepanasan negara, objektif kempen adalah memotivasikan masyarakat umum dan menjadikan Pakistan lebih hijau seperti yang disarankan PBB. Dalam masa yang sama, projek ni nampaknya berjaya mengumpul pelbagai organisasi dan masyarakat sivil untuk berkumpul bagi tujuan yang sama.

4. Sri Lanka yang menggunakan tahi binatang untuk membuat kertas

Haih comelnya. Tolong jangan naik gajah, pls. Imej dari giphy

Sementara tu di Sri Lanka, inovasi mereka ni pulak agak lain berbanding kita. Kalau kita selalunya jadikan bahan buangan (baca: tahi) binatang ternakan sebagai baja, Sri Lanka pulak nampaknya lebih inovatif apabila mereka gunakan tahi gajah sebagai… kad ucapan dan kertas di negara mereka. 

Idea ni sebenarnya muncul apabila seorang pemulihara alam yang juga ahli perniagaan, Thusitha Ranasinghe melihat satu dokumentari dari renjer Kenya tentang pembuatan kertas daripada tahi gajah. Kenapa gajah, secara spesifiknya?

In case korang nak tahu macam mana bau tahi gajah, korang takkan bau kat kertas ni. Imej dari i-believe.org

Tahi gajah mempunyai fiber yang tinggi sebab makanan gajah tu sendiri, iaitu rumput dan daun yang mampu menukarkan ia kepada tekstur kertas yang kebanyakannya sekarang dijadikan kad ucapan dan kad menu di hotel.

Bukan senang sebenarnya nak hasilkan kertas ni sebab prosesnya selama 10 hari yang bermula dengan mencuci kotoran, dan kemudiannya mendidihkan campuran. Tapi apa yang penting baginya adalah nilai dan matlamatnya untuk menukarkan sesuatu yang dianggap tak berguna, kepada sesuatu yang sangat berguna kepada masyarakat.

Perniagaan uniknya juga memenangi World Challenge 2006, iaitu persaingan global untuk idea ekologi inovatif yang dianjurkan oleh Shell (dan ditaja bersama oleh Newsweek).

Thusitha Ranasinghe dan pengiktirafan dari Shell. Imej dari island.lk

“Pengiktirafan itu penting, malah ia menunjukkan nilai apa yang kita lakukan dan membantu mempromosi produk kami.” – Thusitha Ranasinghe, dipetik dari i-believe.org

5. Orang Sweden gunakan sampah untuk menjana elektrik

Kalau di negara-negara lain (termasuk Malaysia), tujuan kitar semula barang untuk mengurangkan kawasan pelupusan sampah, nampaknya orang Sweden lebih maju dalam bidang ni. Negara Scandinavia tu menggunakan sampah yang ada di negara mereka dan untuk menghasilkan tenaga steam/wap dan menjana elektrik!

Kalau nak tahu, Sweden ada sebanyak 34 buah loji jana kuasa waste-to-energy (WTE), atau sisa loji kepada sisa tenaga untuk menghasilkan wap dan elektrik dari pembakaran.

Knock-knock, who’s there? – Sam .- Sam who? – Sampah sarap. Imej dari abc.net.au

Caranya, mula-mula sampah akan diasingkan, di mana 47% adalah barangan yang boleh dikitar semula. Lepas diorang kitar semula apa yang boleh, biasanya 52% lagi dibawa ke kilang untuk dibakar, di mana ia menjana sejumlah besar stim untuk memutarkan penjana turbin dan menghasilkan elektrik untuk rangkaian tenaga negara yang kemudiannya dijana sebagai elektrik. 

Kat Denmark, loji pun cantik. Belum lagi bangunan dan rumah orang. Imej dari volund.dk

Tapi, ada juga bahan yang tak berjaya terbakar macam porselin. Jadi, ia dikumpulkan di satu tempat dan kemudiannya digunakan kembali sebagai batu untuk pembinaan jalan raya (recycle lagi). Manakala selebihnya iaitu hanya 1% sampah yang ada berakhir di pusat pelupusan sampah. Ia dilihat sebagai salah satu pencapaian hijau yang hebat di negara ini.

Yang paling hebat, bukan saja diorang dah tak ada masalah sampah, malah sampah kat Sweden tu jadi tak cukup sampaikan kena import sampah lagi dari negara lain. Dan antara negara yang terlibat pada 2014 adalah UK dan Itali. Mereka eksport lebih kurang 2.3 juta tan sampah ke Sweden, dan membayar $43 untuk setiap tan sampah! Pandai gila buat duit!

Ni semua hasil sampah! Gif dari tenor

Dalam hal ni, ia adalah situasi menang-menang kepada kedua-dua buah negara sebab penghantaran sampah ke Sweden sebenarnya lagi murah daripada nak bayar cukai tempat pelupusan sampah yang memakan ruang dan pencemaran bau. 

Dan kita pula… Gif dari tenor

Walaupun begitu, ada perdebatan kecil dan menjadi topik kontroversial di kalangan ahli-ahli alam sekitar, sama ada pembakaran sampah di loji sisa-tenaga ni selamat atau tak bagi alam sekitar. Tapi negara tu berjaya meningkatkan kapasiti pembakaran sampah sejak sedekad yang lalu dengan kecekapan yang sangat tinggi (99%) dan pelepasan ultra rendah (95-99%). 

Confirm tak sempat direcycle pun. Imej dari mashed.com

Malaysia mungkin boleh mulakan usaha selain kitar semula

Banyak yang boleh kita pelajari dari negara-negara lain dalam isu sampah ni. Jadi, boleh ke Malaysia laksanakan perkara yang sama macam apa yang negara-negara lain buat?

Walaupun idea pengharaman straw bermula tahun 2020 mungkin adalah satu langkah kecil je kalau nak dibandingkan dengan negara-negara lain. Tapi better late than never, kan? Lagipun siapa yang tahu, biarlah bermula kecil, dan kita perbaiki sikit-sikit berbanding tak mencuba langsung.

Sebagai individu pula, apa pulak usaha kita sebagai setiap rakyat Malaysia untuk mengurangkan sampah di negara ni? Takkanlah nak tunggu udara bersih kena beli dalam tin baru nak selamatkan alam sekitar, ye tak?

Udara bersih yang dijual dalam tin adalah satu kemewahan buat negara China. Imej dari nextshark.com