Dari playboy besar London menjadi Perdana Menteri Pakistan

Kalau sebut PRU 14, selain kekalahan Barisan Nasional buat julung kalinya, kita mesti ingat Diva AA kita yang bertanding di DUN Bukit Antarabangsa menentang abang kandungnya, Azmin Ali. Dengan logo gajahnya, dia sakan berkempen sambil memberi makanan yang dimasak sendiri malah menghidangkan pengundi dengan rendang terkenalnya pada 9 Mei. Malangnya dia kalah kepada Azmin Ali dengan hanya mendapat 90 undi. Okay la tu ada juga orang undi kan?

U undi I, U dapat rendang I. Imej dari Cari Infonet

Malah penyanyi Aishah juga pernah bertanding pada PRU 13 untuk parlimen Jempol dan tewas pada Tan Sri Isa Samad. Jadi trend golongan selebriti menyertai politik ni bukanlah suatu yang baru. Malah kat Pakistan, PM dia pun dulu selebriti gak. Nama dia….

1. Imran Khan, dari playboy besar London ke PM Pakistan!

Pada 11 Ogos lalu, Pakistan akan menerima Perdana Menteri baru yang bernama Imran Khan. Sebelum jadi ahli politik pun, kalau sebut Imran Khan satu Pakistan kenal sebab dia ni bekas kapten pasukan kriket Pakistan. Sebab dia, Pakistan berjaya menang buat pertama kali pada World Cup 1992 (untuk kriket punya), mengalahkan England yang pada waktu tu memang otai.

Kalau nak tahu, keluarga dia berprofil tinggi dan dia pun English educated. Dia merupakan graduan Oxford pada 1975 dalam bidang Politik, Falsafah dan Ekonomi. Kira dia ni senior kelas KJ ah. Dulu kat London, dia ni boleh dikatakan playboy besar gak la sebab kaki lepak kelab malam kejar perempuan. Kat London juga dia mula berkawan baik dengan Princess Diana. Wah bukan calang-calang dia ni!

BFF tuuuu. Imej dari Pinterest.

Dia mula bermain kriket sejak dari umur 16 tahun lagi sebab keluarga dia memang gilakan sukan ni. Sebagai pembaling, dia memegang rekod sebagai antara pembaling terlaju di dunia dengan kelajuan 139.7 km/j! Pada 1987, dia umumkan nak bersara tapi atas desakan Presiden General Zia-ul-Haq’, dia tak jadi nak bersara dan sambung menjadi kapten pasukan. Lepas menang je World Cup baru dia bersara dan masuk politik.

Dia tubuhkan parti sendiri yang dinamakan Pakistan Tehreek-e-Insaf dan menjadi MP Dianwali pada 2002. Dia pernah kena hukuman penjara di rumah tau sebab melawan Presiden Musharraf namun berjaya melarikan diri dan menyertai protes mahasiswa. Tapi malangnya, dia terkantoi di situ dan ditangkap malah dibelasah dengan teruk!

Jap korang tahu ke kriket tu apa? Imej dari Giphy.

Ketika nak bertanding menjadi PM pada 2013, dia terjatuh dari pentas dan menyebabkan kecederaan parah pada kepala dan belakangnya. Dia terpaksa sambung berkempen di atas katilnya di hospital malah mengundi di situ. Malangnya dia kalah pada Nawaz yang baru je masuk penjara ni ha.

Tapi pada pilihan raya baru ni, parti dia berjaya menang 115 daripada 270 kerusi! Dia sorang je dah menang 5 kawasan. Bayangkan ADUN kat Malaysia menang 5 kerusi DUN, padu beb! Tapi pihak pembangkang kata yang Imran ni main tipu sebab berpakat dengan askar untuk bagi dia menang. Tapi wakil Kesatuan Eropah (EU) dah datang periksa dan kata pilihan raya ni bersih je.

Imej dari Imgflip.

Sebelum menyertai politik lagi, Imran Khan ni terkenal dengan sifat dermawan dia. Antara sumbangan terbesar adalah menubuhkan hospital kanser pertama di Pakistan, dan rawatan dia percuma tau? Walaupun awalnya ada masalah kos, dia nekad nak bina hospital sebab tak nak orang mati kanser macam ibu dia. Malah hospital tersebut juga dinamakan sempena ibunya. Sebab hospital ni juga dia diberi anugerah kemanusiaan pada Asian Sports Award 2007 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

2. Donald Trump, jutawan yang berkempen pakai duit sendiri untuk jadi presiden!

Siapa tak kenal Donald Trump? Ala yang selalu kat rancangan The Apprentice yang keluar kat TV3 dulu tu. Dia ni merupakan dan masih Presiden AS yang ke-45. Wow Malaysia baru ada 7 kan? Dia juga memegang rekod sebagai Presiden AS terkaya dengan nilai kekayaan bersih 3.1 billion USD!

Sebelum menjadi presiden, Trump ni merupakan usahawan berjaya dengan fokusnya kepada hartanah. Dia mula buat bisnes dengan mendapat ‘pinjaman kecil’ dari ayah dia bernilai 1 juta USD. Antara hartanah dia yang popular adalah Trump International Hotel & Tower, Atlantic City Casino dan 17 padang golf serata dunia. Selain itu, Miss Universe yang banyak awek seksi tu pun dia punya tau?

Untung la kaya. Imej dari RawStory.

Trump mula masuk politik pada 1987 tapi dia ni katak suka lompat-lompat parti. Dia mula sebagai ahli parti Demokratik, lepas tu masuk Republikan, jadi bebas, bla bla… pastu akhir sekali masuk semula Republikan. Sama dengan pencalonan presiden, dari tahun 2000 dia ‘sembang kencang’ nak bertanding presiden tapi tak jadi sehinggalah tahun 2016.

Manifesto dia masa tu pula sangat kontroversi, antaranya nak bina dinding besar di sempadan AS-Mexico, nak keluar dari TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik) dan juga Perjanjian Paris. Tapi walaupun kalah dari segi undian popular, dia masih berjaya mengalahkan Hillary Clinton dan mengangkat sumpah pada 21 Januari 2017.

Dia kata lagi ramai tgok dia angkat sumpah dari Obama, tapi… Imej dari The New York Times.

Masuk je pejabat, arahan eksekutif pertama dia adalah untuk halang kemasukan rakyat dari negara Islam ke AS. Memang kucar-kacir lapangan terbang masa tu! Lebih 60,000 visa dibatalkan walaupun ada antara diorang ni dah lama kerja dan duduk di AS.

Sama macam Imran Khan tadi, pilihan raya Presiden AS ketika itu dikatakan mendapat campur tangan, tapi dari Russia! Agensi Risikan Pusat (CIA) nak siasat perkara ni, tapi Trump bertindak cepat dengan memecat pengarahnya, James Comey. Bukan Comey seorang je, tapi staf sendiri ramai dah cabut. Hanya dalam 13 bulan menjadi presiden, 34% staf pejabat Trump letak jawatan dan dipecat. Agaknya dia gian kot nak masuk rancangan The Apprentice tu balik.

Trump juga menghadapi tuduhan seksual di mana 19 perempuan membuat pengakuan sama ada pernah diraba atau dipaksa cium oleh dia. Trump bagaimanapun menafikannya dan berkata itu semua adalah helah politik untuk jatuhkan dia.

Untuk 2020, dia bercadang untuk bertanding untuk penggal kedua. Setakat ni dia dah berjaya kumpul 22.1 juta USD duit sumbangan, kebanyakannya dari KKK dan kumpulan Neo-Nazi. Agak-agak dia menang lagi tak kali ni?

KKK ni korang jangan bawak main weh! Imej dari Autisme Investigated.

3. Justin Trudeau, pemimpin paling ‘jambu’ di dunia

Dari AS, kita pergi ke jiran sebelah dia Kanada di mana PM ni mendapat jolokan antara pemimpin terkacak di dunia. Sampai anak perempuan Trump pun terpikat tau dengan kekacakan dia ni! Nama dia tak lain tak bukan, Justin Trudeau. Korang tahu kan nenek dia orang Melaka? #tiborh

Ivanka: Homaigod hensemnya dia niii!! Imej dari Star Toronto.

Moyang dia merupakan antara pengasas Singapura yang bernama William Farquhar. Dia berkahwin dengan seorang gadis dari Melaka dan kemudian berpindah ke Singapura dan menetap di sana. Kalau nak tahu, bapak dia dulu pun PM Kanada juga (Pierre Trudeau). Walaupun begitu, dia tak terus masuk politik. Sebelum menyertai politik, dia pernah bekerja sebagai bouncer di kelab malam, instruktor ski, cikgu Matematik dan juga seorang pelakon! Wow, berbakat teruk dah macam Justin Bieber. Eh?

Tapi dari dulu, Trudeau ni memang disukai ramai dan mempunyai karisma sebagai pemimpin, malah masa dia hanya enam bulan, bekas Presiden AS, Richard Nixon pernah datang melawat keluarganya dan berkata,

“Saya nak buat ucap selamat kepada bakal perdana menteri Kanada, Justin Trudeau.” – Richard Nixon, dipetik dari akhbar Star Toronto.

Richard Nixon ngan bapak Justin Trudeau. Imej dari CTV News.

Trudeau mula berkecimpung dalam politik pada 2006 dan menjadi MP Papineau 2 tahun kemudian. Tak lama lepas tu, dia diminta untuk menjadi ketua partinya, Parti Liberal, namun dia tolak sebab nak utamakan keluarga. Tapi pada 2011 dia sekali lagi didesak sebab parti dia kalah teruk pada PRU masa tu. Dia bertanding menjadi ketua parti dan menang! Tapi dengan baik hati, dia beri jawatan tu kepada Irwin Cotler atas rasa hormat.

Tapi selepas tu, Cotler letak jawatan dan jawatan ketua parti diberikan kepada Trudeau. Dia kemudian berjaya membawa partinya menang besar pada PRU. Sebelum ni dengan hanya 36 kerusi, tapi Trudeau buat rekod dengan berjaya memenangi 184 kerusi! Dia kemudian berjaya menjadi PM Kanada kedua termuda dengan umurnya 43 tahun ketika itu.

Dia juga sangat peka dengan hal ehwal agama lain, seperti selalu sertai program iftar kat masjid dan sambut Deepavali. Trudeau ni terkenal juga sebagai seorang feminis. Ini jelas kelihatan apabila kabinet menteri dia ada 15 lelaki dan 15 wanita. Alang-alang cakap pasal wanita tu……..

Done Tarawih. Imej dari Al-Arabiya.

4. Tracy Brabin, pelakon yang masuk politik sebab kawan dia mati ditembak?

Wanita ni mungkin korang tak berapa kenal tapi dia merupakan pelakon terkenal kat UK. Antara lakonan popular dia adalah dalam drama Eastenders, yang telah bersiaran sejak tahun 1985 sampai sekarang! Kalah sinetron macam ni.

Dia mula masuk dunia lakonan ni selepas tamat belajar drama dan menulis skrip di London. Selain Eastenders, banyak drama popular yang dilakonnya seperti A Bit of A Do dan Coronation Street. Selain berlakon, dia juga penulis skrip untuk drama Hollyoaks, drama remaja yang tengah naik sekarang ni.

Antara babak lakonan dia. Imej dari Daily Mail.

Cara Brabin masuk politik ni pun lebih kepada tak sengaja. Dia sebelum ni selalu ikut Jo Cox, MP Batley dan Spen pergi berkempen dan sertai program-program yang dianjurkan oleh Parti Buruh. Tanpa diduga, Cox mati ditembak oleh orang Neo-Nazi yang tak puas hati dengan pendirian Cox. Jadi PRK diadakan dan Brabin menang tanpa bertanding sebab parti lain berkabung atas kematian Cox.

Brabin kini masih merupakan MP Batley dan Spen. Malah dia merupakan Menteri Pendidikan untuk kabinet bayangan partinya.

Dulu dan kini. Imej dari The Sun.

5. Bekas presiden Filipina dulu pernah jadi model catwalk tau?

Dah jauh kita merantau, kali ni mari kita pergi dekat-dekat pula, kat Filipina untuk kenali Joseph Estrada Dia merupakan Datuk Bandar Manila sekarang, tapi korang tahu tak dia dulu pernah jadi Presiden Filipina sekitar tahun 1998 dulu. Sama macam Brabin, dia ni juga merupakan seorang pelakon.

Sebenarnya dia mula bekerja sebagai model pada umur 13 tahun. Tapi ayah dia, seorang jurutera mahukan Estrada juga menjadi jurutera. Jadi dihantarnya Estrada ke kolej kejuruteraan tapi dia dicicirkan sebab memang tak minat. Bila dia kata nak jadi pelakon, keluarga dia marah dan larang dia guna nama keluarga. Jadi terpaksalah dia pakai nama Estrada yang bermaksud jalanan.

Bapaknya, mahukannya jadi seorang jurutera… Imej dari Youtube.

Sekitar kariernya, dia berlakon lebih dari 100 filem dan menerbitkan 70 drama dan filem. Trademark Estrada ni kalau dia berlakon, dia suka jadi hero dari kelas bawahan. Tak macam drama kita yang lelaki mesti CEO je kerja dia. Ini membuatkan Estrada menjadi popular dalam kalangan rakyat marhaen dan membantunya meraih sokongan bila dia mula masuk politik.

Estrada mula sertai politik pada 1969 apabila menjadi Datuk Bandar San Juan. Dia kemudian menang apabila bertanding menjadi presiden dengan meraih 40% undi (pencabar terdekat 15.9%). Tapi dia jadi presiden kurang dari 4 tahun je, sebab dipecat atas tuduhan rasuah sebanyak 80 juta USD! Selepas dipecat, dia sepatutnya dikenakan penjara 40 tahun, tapi ditukar kepada tahanan rumah sahaja. Itu pun hanya dalam 7 tahun je sebab dapat pengampunan dari Presiden Arroyo.

Tak selalu kita jumpa presiden yang ada mugshot ni kan? Imej dari Global Balita.

Pada 2010, dia nak cuba lagi nasib untuk menjadi presiden tetapi kalah. Lepas tu dia cuba pula bertanding jadi Datuk Bandar Manila dan menang sampai la sekarang ni.

Estrada ni memang terkenal dengan personaliti dia yang lucu dan suka cakap lepas. Malah orang suka mempermainkan Bahasa Inggeris dia yang berterabur. Tapi dia tak kisah malah suka melawak dengan merendahkan kemampuannya dalam berbahasa Inggeris. Ada sama macam menteri pertahanan kita tak haha.

Aduh kerja sape ni hoii?! Imej dari Says.

Tak kisah kerja apa, tapi yang penting kredibiliti!

Kesimpulannya, selebriti tak semestinya menjamin akan menjadi ahli politik yang bagus. Tak kisah kerja apa pun sebelum ni, kredibiliti dan karisma pemimpin tu mesti ada kalau nak jadi ahli politik. Tapi jadi selebriti mudah sikit sebab dia dah ada pengikut/peminat jadi tak perlu mula dari bawah.

Selain itu, dari segi imej awam memang diorang ada kelebihan sebab pandai bergaya dan dah biasa bercakap di depan kamera. Jadi macam Ronald Reagan, mana tahu kot-kot ada pelakon Malaysia yang bakal ganti Tun M pula lepas ni?

Agak-agak boleh tak jadi kenyataan? Imej dari SOSCILI.

 

About Afiq Jamsari 11 Articles
Hotel yang sama, Harga yang sama?