Telefon bimbit korang boleh hasilkan lebih banyak emas daripada lombong emas sendiri

Kalau korang beli telefon bimbit baru, apa yang korang buat dengan telefon lama? Simpan buat tunjuk dekat anak cucu atau buang je dalam tong sampah? Tahu tak, sekarang ni ada cara yang lebih baik untuk kitar semula telefon bimbit dan barangan elektrik di rumah korang tau.

Untuk simpanan anak cucu katanya. Imej daripada wired.com

Telefon bimbit dan komputer adalah sisa elektronik

Masa di sekolah dulu mesti korang ada belajar kitar semula kertas, kaca, aluminium dan plastik kan. Tapi, tak ramai yang tahu barangan elektrik dan elektronik pun boleh dikitar semula. Pernah dengar tak istilah ‘e-sisa’ (e-waste). Apanya tu?

E-sisa bermaksud sisa elektronik. Secara ringkasnya, e-sisa ni ialah yang digunakan untuk semua peralatan elektrik dan elektronik (EEE). Bahagian-bahagian barangan tersebut dilupuskan tanpa ada niat untuk digunakan semula pun. E-sisa boleh terdiri daripada perkakas TV, komputer, komputer riba, tablet, telefon bimbit, peti sejuk, mesin basuh dan pengering. Barang lain macam sistem stereo dan cerek pun termasuk juga.

Cerek rupa gini, elok kitar semula ajelah. Imej daripada pinterest.com

Malaysia buang kira-kira satu juta tan e-sisa setiap tahun!

Pada 2014, dianggarkan yang dunia menghasilkan 41.8 juta tan metrik (Mt) e-sisa yang nilainya lebih kurang 48 bilion Euro (RM 225 bilion). Pada 2016 pula, jumlah e-sisa yang dihasilkan oleh seluruh dunia, beratnya sama dengan 4,500 buah Menara Eiffel. Berat tersebut boleh disamakan jika setiap keluarga kat Amerika Syarikat buang 400 iPhone diorang setiap tahun.

Barang-barang kecik macam telefon bimbit dan pencetak adalah perkara yang paling selalu orang buang. Laporan daripada Global E-waste Monitor beritahu pada tahun 2016, hanya 20 peratus aje e-sisa dekat dunia ni dikitar semula dengan elok. Manakala 80 peratus lagi dibawa dengan kapal ke negara-negara miskin untuk dilupuskan. Tak pun, bawa je kat pusat pelupusan sampah dan dibiarkan macam tu sahaja.

Dianggarkan kira-kira 250 ribu hingga 1.3 juta tan barangan elektrik terpakai dibawa keluar dari Eropah setiap tahun dan kebanyakannya dibuang ke Afrika Barat dan Asia.

E-sisa yang dibuang kat negara-negara miskin. Imej daripada thestandard.co.zw

Kalau di Asia pula, China memang juara dalam pembuangan e-sisa ni. Pekan Guiyu di China memang terkenal sebagai salah satu tempat pembuangan sisa elektronik terbesar di dunia. Setiap hari orang kampung kat sana akan kitar semula 15 ribu tan. E-sisa tu bukan saja datang dari China sendiri, tapi dia orang import juga dari luar negara. Di Malaysia pula, menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, rakyat Malaysia buang kira-kira satu juta tan e-sisa setiap tahun.

Ada komponen dalam telefon bimbit boleh rosakkan sistem pembiakan

Kalau pembuangan sampah merata-rata boleh mencemarkan alam sekitar dan kesihatan, sama jugalah dengan pembuangan e-sisa ni. Contohnya macam di Guiyu, China. Kanak-kanak dekat sana mempunyai kandungan plumbum dalam darah yang melebihi paras purata. Keadaan ni boleh menyebabkan kesan serius pada otak dan sistem saraf pusat.

Macam ni agaknya kesan otak yang ada kandungan plumbum? Imej daripada media.giphy.com

Walaupun keadaan di Malaysia taklah seteruk di China, tapi kita tak boleh ambil sambil lewa. Sekarang ni, kebanyakan e-sisa di Malaysia akan dibuang di pusat pelupusan sampah. E-sisa ni pula berisiko untuk keluarkan bahan kimia berbahaya di pusat pelupusan dan air bawah tanah. Selain tu, ada juga e-sisa yang dibuang kat belakang rumah je. Diorang akan bakar peralatan elektronik dan proses tersebut akan melepaskan toksin ke udara dan tanah.

Apabila telefon bimbit korang dilupuskan secara tak betul, ia memang boleh memberi kesan negatif pada hampir semua sistem badan manusia. Contohnya, plumbum yang ada banyak dalam komponen telefon bimbit korang boleh rosakkan sistem pembiakan, saraf dan darah. Merkuri pula terdapat pada bateri telefon bimbit. Pendedahan merkuri boleh rosakkan otak dan buah pinggang korang.

Kanak-kanak semuda ini dah terdedah dengan masalah kesihatan akibat e-sisa yang tak terurus. Imej daripada sites.google.com

Jepun kitar semula e-sisa untuk buat pingat Sukan Olimpik 2020

Kalau korang nak tahu, lebih 90 peratus bahan dalam peranti elektronik boleh digunakan semula. Kita boleh dapat pelbagai logam berharga macam aluminium, emas dan tembaga kalau kita kitar semula e-sisa kita dengan cara yang betul. Sekali gus dapat kurangkan aktiviti perlombongan.

Ada beberapa negara luar yang bijak menggunakan sisa elektronik untuk tujuan yang lebih baik. Contohnya macam Jepun. Negara-negara tuan rumah untuk Sukan Olimpik secara tradisinya akan dapatkan logam untuk pingat daripada firma-firma perlombongan. Tapi, Jepun kekurangan sumber mineral.

Jadi dia orang ambil satu cara kreatif. Penganjur untuk Olimpik Tokyo 2020 dan Paralimpik buat pengumuman yang dia orang akan buat pingat emas, perak dan gangsa menggunakan barangan elektronik yang didermakan oleh orang awam. Orang awam boleh letak barangan elektronik mereka yang dah tak guna lagi di kotak-kotak yang disediakan di kedai-kedai telekom.

Gigit dulu nak tahu betul ke ni emas atau plastik. Imej daripada dailymail.co.uk

Penganjur berharap dia orang dapatlah kumpul lapan tan emas, perak dan gangsa daripada berjuta-juta telefon bimbit dan barangan elektronik yang dikitar semula tu. Selepas melalui pemprosesan pula, bolehlah dapat dua juta tan logam asli yang cukup untuk hasilkan 5,000 pingat untuk atlet Olimpik dan Paralimpik.  Lagi pun, Jepun memang terkenal sebagai negara yang mempunyai kadar kitar semula tertinggi di Asia. Tapi kebanyakannya adalah plastik, kertas dan kaca.

Sebenarnya, bukan Jepun je yang buat pingat guna bahan kitar semula. Semasa Olimpik Rio 2016 di Brazil pun, 5,130 pingat yang dihasilkan, 30 peratus adalah daripada bahan terpakai. Sukan Musim Sejuk Vancouver 2010 pun guna barangan elektronik untuk hasilkan pingat walaupun mereka hanya guna 1.5 peratus je. Untuk Olimpik Tokyo pula, dia orang berharap dapat hasilkan pingat dengan guna sepenuhnya barangan terpakai.

Di Brazil pula, beberapa orang doktor dengan kreatifnya menggunakan iPhone lama untuk melakukan pembedahan otak menggantikan video pemantauan yang besar. Kata doktor yang terlibat, cara ni lebih murah dan cekap.

Dia orang menjalankan 42 pembedahan menggunakan iPhone 4, 5, atau 6. iPhone tersebut disambungkan dengan neuoendoskop. Jadi, doktor boleh fokus dekat skrin iPhone di depan mereka berbanding mesin besar yang kena pandang ke sisi untuk tengok video semasa melakukan pembedahan. Kesemua pembedahan tersebut telah berjaya tanpa ada apa-apa komplikasi.

Senang nak buat kerja guna skrin kecik macam ni. Imej daripada thejns.org

Dalam telefon bimbit korang sebenarnya ada emas dan tembaga

Tahu tak yang telefon bimbit dan peralatan elektronik yang korang beli tu ada logam yang sangat berharga seperti emas, aluminium dan tembaga. Walaupun telefon bimbit korang dah rosak, tapi sebenarnya ia masih lagi bernilai tau.

90 peratus bahan dalam peranti mudah alih dan aksesori boleh diekstrak semula untuk buat produk elektronik baharu. Kuantiti logam yang diekstrak daripada e-sisa adalah lebih banyak sehingga 40-50 kali ganda bijih berbanding kalau korang ekstrak terus dari lombong. Contohnya, satu tan bijih emas boleh hasilkan lima gram emas. Tapi satu tan litar telefon boleh hasilkan kira-kira 150 gram emas – 30 kali ganda lagi banyak!

Emas banyak macam ni hah. Imej daripada media.giphy.com

Jadi memang rugi sangat-sangat kalau e-sisa ni dibuang macam tu sahaja dekat tapak pelupusan sampah atau disimpan kat rumah. Padahal e-sisa ni sangat bernilai dan boleh menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar. Urban mining atau mengesktrak logam-logam berharga daripada e-sisa adalah satu cara terbaik untuk menangani sumber yang terhad ni.

Malaysia negara pertama Asia Tenggara bangunkan sistem pembuangan e-sisa

Di Malaysia, e-sisa dikumpulkan kepada sembilan kategori utama –pendingin udara, kipas, mesin basuh, peti sejuk, televisyen, komputer, bateri, mentol lampu dan barangan kecil termasuk telefon bimbit dan komputer riba. Tapi, kalau ikutkan senarai daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebenarnya ada 57 kategori e-sisa. Ini menunjukkan yang sistem di Malaysia masih lagi tak jelas.

Malaysia dikatakan akan muncul sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang akan bangunkan pengurusan sistem e-sisa yang lebih teratur untuk isi rumah.  Sistem ni akan dibantu oleh Japan Cooperation Agency (JICA). JICA merupakan agensi kerajaan Jepun yang menyelaras bantuan pembangunan rasmi untuk kerajaan Jepun. JICA juga membantu ekonomi dan pertumbuhan sosial untuk negara-negara membangun.

Imej daripada memegenerator.net

Sekarang ni belum ada lagi sistem yang teratur untuk pembuangan e-sisa dekat Malaysia ni, walaupun e-sisa daripada industri terikat dengan peraturan. Di Malaysia, buat masa sekarang e-sisa dikutip oleh pembeli, badan bukan kerajaan (NGO) atau pengumpul. Tapi kebanyakan e-sisa tak dilupuskan atau dikitar semula dengan cara sepatutnya dan ia memang boleh membahayakan alam sekitar dan kesihatan.

Rakyat Malaysia boleh kitar semula telefon terpakai di lokasi berdekatan

Pada Ogos 2015 lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah perkenalkan program e-Sisa Mudah Alih: Telefon Lama, Kehidupan Baharu. Tujuannya untuk galakkan rakyat Malaysia untuk jaga alam sekitar dan bertanggungjawab hapuskan e-sisa dengan cara yang betul.

Sejak program tersebut diperkenalkan, MCMC dengan rakan kolaborasinya dah berjaya kumpul 1.5 tan e-sisa mudah alih. Pihak yang bekerjasama dengan MCMC ni terdiri daripada pelbagai kategori seperti industri telekomunikasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi, sekolah, syarikat swasta dan agensi media. Hasilnya, sekarang ni dekat Malaysia ada lebih 170 buah kotak pengumpulan seluruh negara untuk orang ramai buang alatan atau peranti elektronik yang korang tak mahu guna lagi.

Salah satu kotak pengumpulan di TTDI Kuala Lumpur. Imej daripada The Star.

Kalau korang berminat untuk letak barangan elektronik dan telefon bimbit lama korang, bolehlah layari http://www.doe.gov.my/hhew/collection-points/ untuk tahu premis-premis terpilih yang ada kotak pengumpulan ini.

Korang mesti nak tahu alatan elektronik apa yang korang boleh letak dekat kotak tersebut kan? Korang boleh letak e-sisa mudah alih khususnya daripada peranti yang berasaskan SIM macam telefon bimbit, telefon pintar, tablet, phablet termasuk sekali dengan pengecas dan akesesori.

Jadi, para penderma yang nak letak barangan elektronik dinasihatkan untuk format telefon masing-masing serta keluarkan kad memori/kad SIM sebelum serahkan kepada pengumpul untuk kitar semula nanti. Supaya nak elakkan data peribadi masing-masing bocor.

Imej daripada memegenerator.net

Mahu dibayar untuk e-sisa yang dikumpul

Rakyat Malaysia sangat kurang kesedaran tentang pengurusan sisa elektronik atau e-sisa ni walaupun kita dah biasa dengan usaha-usaha kitar semula. Orang awam lebih suka buang e-sisa dalam longkang, semak samun dan tong sampah biasa. Sebab utama pengguna tak ambil kisah pasal kitar semula ni adalah sebab dia orang mahu dibayar untuk e-sisa yang dia orang hantar.

Tak perlu lagi bersusah payah lombong emas. Sedekah saja telefon lama korang. Imej daripada tes.com

Memandangkan sumber bumi adalah terhad, jadi kalau kita terus melombong hasil bumi memang akan merosakkan alam sekitar. Maka, kitar semula e-sisa secara teratur memang satu langkah tepat.  Kitar semula e-sisa dengan cara elok memang dapat kurangkan pencemaran kat tapak pelupusan sampah dan kurangkan pembaziran. Apa lagi yang kita mahu? Mulakan mengumpul barangan elektronik dan telefon lama korang. Kemudian, boleh hantar dekat pusat-pusat pengumpulan yang disediakan. Ingatlah yang kita ni ada satu bumi sahaja. Sayangilah bumi kita.